Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Sambutan Deepavali dalam kalangan masyarakat India di Kampung Jabor, Perasing dekat sini meriah, setiap tahun kerana turut diraikan kaum-kaum lain di perkampungan tersebut.
Wartawan Suara Timur yang berkunjung ke kampung berkenaan hati ini berpeluang melihat sendiri kemeriahan dan semangat perpaduan kaum sempena sambutan perayaan Deepavali.
Ketua Masyarakat India kampung berkenaan, Siva Kumar a/l Sri Raman berkata, beliau berbangga menerima ramai tetamu pelbagai kaum pada sambutan Deepavali ini dan sekaligus membuktikan semangat perpaduan yang tinggi kekal dipertahankan masyarakat kampung ini.
Menurutnya, semangat tersebut sekali gus membuktikan usaha kerajaan untuk mewujudkan suasana perpaduan pelbagai kaum berjaya diamalkan di kampung berkenaan.
“Saya sukalah sambut Deepavali sini, sebab pelbagai kaum datang rumah saya, dia datang makan muruku, tosai, macam-macam, so saya sukalah, dengan rakan-rakan saya, jiran-jiran saya pun, datang semua, hari ni YB pun datang, kawan-kawan lama saya semua datang, terima kasihlah merayakan hari Deepavali,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam dirumahnya di Taman Perasing Jaya, di sini, hari ini.
Siva Kumar menambah, beliau berharap semangat perpaduan antara penduduk di kampung tersebut akan terus dapat dikekalkan sehingga ke anak cucu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata, beliau bangga melihat sambutan perayaan Deepavali di kawasan berkenaan yang sentiasa meriah setiap tahun.
“Semangat perpaduan dan kerjasama di antara masyarakat berbilang kaum khususnya di Malaysia mestilah diteruskan dan dikekalkan kerana melambangkan semangat Malaysia yang sebenarnya,” katanya.
Menurut Hafiz, kepimpinan ditunjukkan ketua masyarakat kaum India, Siva Kumar ternyata dapat menyatukan pelbagai kaum di kampung berkenaan dengan satu semangat perpaduan tinggi.
Seorang wakil wanita masyarakat India, Thurgaashine a/p Visvanathan berkata, dia bangga melihat ramai tetamu pelbagai kaum yang datang ke rumah mereka untuk sama-sama menyambut perayaan Deepavali.
“Selamat Deepavali, hari ni kami menyambut perayaan Deepavali dan rumah kami ramai tetamu datang pelbagai kaum seperti Cina, Melayu dan kami sangat gembira,” ujarnya.
Sementara itu, tinjauan Suara Timur difahamkan lebih 300 penduduk pelbagai kaum akan menyambut Tahun Baharu Cina dan Deepavali bersama-sama dengan semangat perpaduan yang begitu tinggi. – Suara Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.