Pengusaha lemang Kijal diingat jaga kualiti, elak cemar imej Terengganu
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Pengusaha lemang di Kijal dekat sini diingatkan supaya sentiasa menjaga kualiti produk bagi memastikan kelangsungan industri berkenaan serta memelihara imej negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, lemang Kijal bukan sahaja menjadi identiti Kijal dan Kemaman, malah merupakan antara ikon makanan tradisi negeri itu yang semakin dikenali sehingga ke Kuala Lumpur.
“Justeru, kualiti perlu sentiasa dipelihara agar pelanggan berpuas hati. Saya tidak mahu melihat komen negatif mengenai lemang Kijal di media sosial kerana ia secara tidak langsung boleh menjejaskan dan membunuh industri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar dan Perasmian Pembukaan Gerai Wilayah Lemang Kijal Arah Utara di hadapan stesen minyak Shell, Kampung Bukit Anak Dara, di sini, petang semalam.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Hajijan; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Zuwislan Awang; serta Pengerusi Persatuan Lemang Kijal, Khazalina Khalid.
Sebanyak 16 gerai baharu dibina di tapak baharu yang dikenali Wilayah Lemang Kijal yang dilengkapi pelbagai kemudahan untuk keselesaan peniaga dan pelanggan.

Pembinaan gerai baharu itu yang terletak tidak jauh dari tapak gerai lama itu bernilai RM570,000 yang dibayai MPK dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.
Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata, lemang Kijal merupakan produk warisan turun-temurun yang tersenarai sebagai antara makanan Malaysia dan perlu dipelihara keasliannya.
Selain itu, beliau berkata, sebarang pengubahsuaian gerai baharu itu perlu mendapat kebenaran MPK terlebih dahulu bagi memastikan keseragaman dan keselamatan.

Mengulas pembangunan gerai, Razali berkata, pembinaan baharu dilaksanakan bagi menggantikan lokasi lama yang berisiko tinggi kerana terlalu hampir dengan jalan raya.
“Pemindahan ini mengambil masa selepas beberapa siri perbincangan dengan pengusaha, namun akhirnya berjaya direalisasikan dengan reka bentuk serta kemudahan infrastruktur yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, kerja penurapan bitumen akan dilaksanakan selepas struktur tanah benar-benar stabil bagi mengelakkan pemendapan dan masalah air bertakung.

Selain itu, menurutnya, pada masa ini, pengusaha tidak dikenakan sewa sehingga Mei, manakala bayaran sewa akan bermula Jun dengan kadar minimum sebelum semakan semula selepas tempoh tiga tahun.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebuah lagi projek Gerai Lemang Kijal Wilayah Selatan akan dibangunkan dalam masa terdekat berhampiran simpang ke Universiti Kolej TATI.
Sementara itu, peniaga lemang terlibat pula menarik nafas lega apabila dapat berniaga dengan lebih selamat dan selesa di Wilayah Lemang Kijal Zon Arah Utara itu.

Pengerusi Persatuan Lemang Kijal, Khazalina Khalid berkata, sebelum ini mereka sering berasa bimbang kerana gerai terletak di tepi jalan dan dikaitkan dengan risiko kemalangan.
“Dulu setiap kali berlaku kemalangan, kami rasa serba salah kerana orang mengaitkannya dengan gerai lemang yang boleh mengganggu tumpuan pemandu.
“Sekarang kami rasa lebih selamat dan tenang untuk berniaga kerana susun atur gerai yang lebih kemas serta jaraknya lebih jauh dari jalan raya, sekali gus memudahkan pelanggan untuk meletak kenderaan,” jelasnya. – Suara Timur


Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.