Peniaga cemarkan kesucian Ramadan
Sikap tamak jadi punca
Anggota
penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kemaman 'menahan' makanan dan minuman yang
dijual peniaga pada waktu yang ditegah penjualannya, pagi semalam. - UTUSAN
ONLINE
01 Jun 2018 6:20 PM
KEMAMAN
1 Jun - Didorong oleh keinginan meraih untung dengan mudah, segelintir peniaga
sanggup mencemarkan kesucian Ramadan dengan membekalkan makanan kepada kalangan
yang ponteng puasa.
Gelagat peniaga yang sanggup bersengkongkol ini dikesan dalam
operasi oleh penguat kuasa Pejabat Agama Daerah di sekitar bandar Cukai dan
Geliga semalam.
Pegawai Agama Daerah, Ahmad Azhar Harun@Musa berkata,
ada peniaga sudah menyediakan set makanan bersama air dengan harga RM4 hingga
RM6 sebungkus sejak awal pagi.
Lebih 200 bungkus makanan dan minuman dirampas pihaknya untuk sementara
waktu.
"Ada di dua tiga tempat kita tahan barang-barang jualan dan
di satu kedai kita beri amaran kepada peniaganya.
"Ada juga peniaga kalangan lelaki dan wanita yang melarikan
diri ketika menyedari kehadiran penguat kuasa.
"Kita tahan barang jualan kerana kita tak mahu mereka
membuat jualan pada waktu tidak dibenarkan." ujarnya, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Azhat memberitahu, tiada sebarang tangkapan
dibuat kerana pihaknya memberi tumpuan terhadap pencegahan agar tiada peniaga
yang menjual makanan sebelum sebelum pukul 3 petang setiap hari.
Menurutnya, operasi pencegahan dilakukan sepanjang Ramadan bagi
mencegah aktiviti penjualan makanan dan minuman kepada orang yang tidak
berpuasa daripada berleluasa.
"Kadang-kadang penjual sendiri juga tidak berpuasa. Kalau
dia jual 300 hingga 400 bungkus makanan sehari, akan ada 300 hingga 400 umat
Islam juga tidak berpuasa," katanya. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.