Restoran di
Kemaman diarah tutup kerana kotor
MUKHATAR A. RAHMAN
02 Jun 2018 8:10 PM
Lipas turut ditemui di restoran berkenaan yang boleh menjadi agen
pembawa bakteria penyebab penyakit.
KEMAMAN - Sebuah restoran makanan yang dimiliki
pengusaha bukan Islam di Jalan Masjid dekat sini diarah tutup serta-merta
semalam selain dikenakan notis atas beberapa kesalahan oleh Pejabat Kesihatan
Daerah (PKD) Kemaman.
Pegawai kesihatan daerah, Dr. Mohd. Anuar Abd.
Rahman berkata, seramai lapan anggota penguat kuasa menjalankan operasi
pemeriksaan ke atas tiga buah kedai makan bukan Islam di sekitar bandar Chukai
yang beroperasi pada bulan Ramadan.
Menurutnya, salah sebuah daripada tiga restoran
yang diperiksa telah diarahkan tutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta
Makanan 1983 berikutan tahap kebersihan yang tidak mencapai piawaian.
"Hasil pemeriksaan mendapati bahan mentah
seperti sayur-sayuran diletakkan di atas lantai yang kotor selain beras yang
disimpan di dalam stor dibiarkan di atas rak tanpa pelapik.
"Stor tersebut juga sangat kotor, berbau dan
menjadi tempat pembiakan lipas. Kami juga mendapati terdapat sisa makanan dan
air buangan tidak diuruskan dengan sempurna sehingga menimbulkan bau yang
memualkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Anuar berkata, kehadiran
lipas di premis berkenaan boleh menjadi agen pembawa bakteria penyebab penyakit
yang mendatangkan risiko seperti keracunan makanan.
Jelas beliau, hasil penilaian yang dilakukan juga
mendapati restoran berkenaan memperolehi markah rendah iaitu 49 peratus,
dibawah paras yang ditetapkan iaitu sebanyak 60 peratus. - K! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.