MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Ahad, Julai 27, 2025

Ibu, anak maut kereta terjunam dalam gaung

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN – Dua termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun tujuh bulan, maut  manakala neneknya parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam kedalam gaung.

Kemalangan  berlaku kira-kira pukul 6.24 petang semalam di jalan kilang kelapa sawit Felda Kerteh Dua dan Tiga, di sini.

Dalam kejadian itu mangsa, Nur Suhailla Azman, 25, tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian leher dan badan.

Sementara itu, bayi bongsunya, Nur Alisya Humaira Mohamad Shahrool Nizam, turut disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya.

Dalam kemalangan itu juga, nenek mangsa, Timah Mohammad, 73 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Tiga lagi mangsa, Mohammad Sharol Nizam Hamzah, 32, Ruzaimi Abd Rashid, 48, dan anak sulung mangsa, Nur Aisya Humaira Mohamad Shahrool Nizam, 3 tahun, cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, kereta dinaiki enam sekeluarga itu sedang dalam perjalanan dari Bandar Dungun ke rumah mereka di Felda Kerteh 4.

Sejurus tiba dilokasi kejadian, kereta Honda Civic dipandu Mohammad Sharol Nizam dipercayai  terbabas ke kiri jalan ketika hujan sebelum terjunam dan terbalik ke dalam gaung sedalam 3 meter.

Kesemua mangsa tersepit di dalam kereta yang remuk dan berjaya dikeluarkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka.

Nur Alisya Humaira yang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bandar Ketengah Jaya disahkan meninggal dunia pukul 7.16 petang akibat kecederaan parah pada bahagian anggota badan.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat manakala semua mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.

Maizura berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Suara Timur

Sabtu, Julai 26, 2025

Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai, Kampung Pasir Gajah

 Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai, Kampung Pasir Gajah disini menerima lapan belas orang pelajar dan guru sekolah dari Hardenhuish School Chippenham, United Kingdom sejak Khamis hingga semalam.

Ini merupakan kunjungan kumpulan ketiga pelajar dan guru sekolah dari UK bagi bulan ini dan bulan Oktober nanti akan datang lagi satu kumpulan dari sekolah yang sama.

Keseluruhan pelajar UK yang datang tahun ini seramai 55 orang. Setahun sebelum mereka datang, mereka telah memohon terlebih dahulu bagi memudahkan kami membuat persiapan dari segi keselamatan, tempat penginapan dan pengangkutan.

Selain melawat Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai Kampung Pasir Gajah, kami juga membawa mereka melawat Hafiz Firefly Cherating, Pusat Pendidikan Alam Sekitar EcoCare Kerteh, Persatuan Pemuliharaan dan Kajian Marin Malaysia (Pulihara) Kerteh.


Layari Youtube https://www.youtube.com/watch?v=VR57Vx53o_c




Jumaat, Julai 25, 2025

Beruang Matahari berkeliaran di dusun buah-buahan berjaya ditangkap Perhilitan

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN – Seekor beruang Matahari yang berkeliaran di kawasan dusun buah-buahan milik penduduk Kampung Ping, Hulu Dungun, di sini, sejak dua minggu lalu berjaya diitangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Beruang jantan seberat kira-kira 100 kilogram itu ditangkap lewat malam tadi dengan menggunakan sebuah perangkap yang dipasang Perhilitan selepas menerima aduan penduduk.

Sebelum ini, lebih 200 penduduk kampung berkenaan hidup dalam kebimbangan selain terpaksa menghentikan sementara aktiviti di dusun selepas bimbang dengan kehadiran haiwan liar itu.

Beruang berkenaan turut dilihat berkeliaran di sekitar kawasan kediaman sehingga memaksa penduduk berkurung dalam rumah kerana bimbang keselamatan mereka dan keluarga.

Selain itu, haiwan berkenaan juga turut merosakkan sebahagian hasil tanaman penduduk termasuk buah durian dan nangka yang sudah sampai masa untuk dituai.

Beberapa penduduk yang ditemui berterima kasih kepada Perhilitan yang berjaya menangkap haiwan itu sekaligus membolehkan mereka menjalani kehidupan seperti biasa.

Seorang penduduk Tuan Rashid Tuan Kob berkata, penduduk mula lega dan tidak takut untuk pergi ke kebun buah-buahan berdekatan selepas beruang tersebut telah berjaya ditangkap Perhilitan.

“Kebanyakan penduduk takut untuk pergi ke kebun untuk mengutip buah-buahan seperti durian yang mula gugur dan boleh dikutip.

“Dalam tempoh dua minggu ini, penduduk tidak berani pergi ke dusun kerana bimbamg diserang beruang tersebut,” katanya. – Suara Timur

Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai, Kampung Pasir Gajah terima kunjungan pelajar luar negara

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN – Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai, Kampung Pasir Gajah di sini sering menerima kunjungan pelajar dan guru sekolah daripada United Kingdom (UK) bagi mengkaji kehidupan tuntung sungai.

Pengasas Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-kura dan Labi-labi Malaysia (TCS), Dr. Chen Pelf Nyok berkata, selain mereka dari UK, terdapat juga pelancong tempatan dalam negara.

“Ini merupakan kunjung ketiga pelajar dan guru sekolah dari Hardenhuish School Chippenham, United Kingdom bagi tahun ini dan Oktober nanti akan datang lagi satu kumpulan dari sekolah yang sama.

PELAJAR dan guru sekolah dari Hardenhuish School Chippenham, United Kingdom melepaskan tuntung sungai di Sungai Pasir Gajah, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Keseluruhan pelajar UK yang datang tahun ini seramai 55 orang. Setahun sebelum mereka datang, mereka telah memohon terlebih dahulu bagi memudahkan kami membuat persiapan dari segi keselamatan, tempat penginapan dan pengangkutan,” katanya.

Dr. Chen berkata, kedatangan mereka bertujuan untuk mendalami dan mempelajari tentang usaha-usaha pemuliharaan tuntung, penyu, kelip-kelip dan hutan bakau di Malaysia.

“Sepanjang lawatan mereka selama lima hari, kami juga mengatur program pertukaran budaya di sekolah-sekolah sekitar Kemaman bagi mereka mengenali budaya dan cara hidup masyarakat Malaysia.

“Selain melawat Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai Kampung Pasir Gajah, kami juga membawa mereka melawat Hafiz Firefly Cherating, Pusat Pendidikan Alam Sekitar EcoCare Kerteh, Persatuan Pemuliharaan dan Kajian Marin Malaysia (Pulihara) Kerteh.

Menurut Dr Chen, Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-kura dan Labi-labi Malaysia (TCS) ditubuhkan pada tahun 2011 bagi tujuan menjaga dan memelihara Tuntung yang sanga terancam di Malaysia.

Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai, Kampung Pasir Gajah mula beroperasi pada tahun 2017 dan hingga kini kami berjaya mengutip sebanyak lebih dari sebelas ribu biji telur bagi pengeramam dan berjaya melepaskan lebih enam ribu anak Tuntung ke Sungai Kemaman bagi tujuan pemeliharaan.

Bercakap kepada media, Dr Chen berkata, bagi tahun ini kami berjaya mengutip sebanyak 1,825 biji telur bagi tujuan pengeraman dan lebih 1,300 anak Tuntung berjaya ditetaskan. Kadar penetasan sekadar 75 peratus.

“Sebagai sebuah badan bukan kerajaan, kami sentiasa memikirkan cara mencari dana bagi membolehkan organisasi ini terus beroperasi termasuklah menjana dana daripada orang awam dalam bentuk derma dan juga penjualan cenderamata yang ddihasilkan oleh penduduk setempat bagi membolehkan operasi TCS berjalan lancar setiap tahun.

Salah satu objektif kami menggunakan Tuntung Sungai ini sebagai simbol dan ikon bagi menaikkan lagi imej pelancongan terutama sekali di negeri Terengganu kerana di negeri Terengganulah TCS terkenal dengan “turtle” dan Tuntung Sungai juga dikenali dengan panggilan turtle.

“Berdasarkan pengalaman saya, suatu ketika dahulu ramai orang yang pergi melawat pusat pusat pelancongan dengan mengambil gambar sebagai kenangan tetapi sekarang mereka lebih berminat untuk belajar sesuatu perkara baru,” ujarnya. – Suara Timur

Khamis, Julai 24, 2025

‘Terima kasih PMX, tiada kenaikan tol tahun ini’

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN – Kebanyakan pengguna lebuh raya yang ditemui menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengenai tiada kenaikan tol di 10 lebuh raya utama di seluruh negara pada tahun ini.

Tinjauan Suara Timur di Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) dekat sini, hari ini, mendapati beberapa pengguna yang ditemui berkata, langkah tersebut membuktikan keprihatinan Perdana Menteri dan kerajaan Madani yang sentiasa berusaha untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Seorang pesara kerajaan, Ahmad Kamal Ismail berkata, beliau bersetuju dengan pengumuman Perdana Menteri itu yang dilihat dapat membantu meringankan kos perbelanjaan bulanan keluarga yang sentiasa berulang alik dari Kemaman ke Kuala Terengganu menggunakan lebuh raya itu.

AHMAD KAMAL ISMAIL

“Terima kasih kepada PMX kerana mengumumkan tiada kenaikan tol pada tahun ini dan ianya dapat menjimatkan perbelanjaan pengguna lebuh raya pada tahun ini. Terima kasih Malaysia Madani,” katanya.

Seorang pengguna lebuh raya, Shaik Mohamad Fikri Shaik Ismail berkata, langkah kerajaan yang tidak menaikkan kadar tol pada tahun ini dapat membantu meringankan kos sara hidup bulanannya yang terpaksa berulang alik ke tempat kerja sejauh 50 kilometer sehari menggunakan LPT2.

SHAIK MOHAMAD FIKRI SHAIK ISMAIL


Beliau yang merupakan penjawat awam berkata, ini menunjukkan ketika rakyat berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi, kerajaan berusaha membantu meringankan beban rakyat dengan tidak menaikkan kadar tol sehingga hujung tahun yang sepatutnya telah dinaikkan pada ketika ini.

“Jadi sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada PMX dan Kerajaan Madani atas usaha yang sangat baik ini,” ujarnya

AMIRUL AMRAN

Seorang lagi pengguna lebuh raya, Amirul Amran berkata, pengumuman Perdana Menteri itu adalah satu langkah tepat bagi semua pengguna lebuh raya yang dilihat dapat membantu meringankan kos perbelanjaan harian pengguna dan rakyat.

“Di sini saya nak merakamkan jutaan terima kasih kepada PMX dan juga kerajaan Malaysia Madani yang baru saja mengumumkan kadar tol tidak dinaikkan sehingga hujung tahun ini,” katanya.

Perdana Menteri semasa membuat pengumuman itu semalam berkata, kerajaan terpaksa menanggung kos lebih RM500 juta bagi memastikan pihak konsesi lebuh raya tidak menaikkan kadar tol di sepuluh lebuh raya utama tahun ini selakigus membuktikan kerajaan mengutamakan kesejahteraan rakyat. – Suara Timur

Rabu, Julai 23, 2025

Projek Tanaman Jagung Manis Berkelompok, Kampung Seberang Tayur Hilir berjaya kutip hasil RM100,000 semusim

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN – Projek Tanaman Jagung Manis Berkelompok, di Kampung Seberang Tayur Hilir, disini berjaya mengeluarkan hasil berjumlah RM100,000 semusim.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Seberang Tayur Hilir, Ab. Khalid Kamaludin berkata, tanaman jagung seluas lebih 15 ekar itu di sertai 22 peserta di bawah Program Sejati Madani, Jabatan Perdana Menteri melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dengan bantuan pelbagai agensi seperti, Jabatan Pertanian, Peladang dan FAMA.

Seorang peserta projek tanaman jagung, Azlinawati Awang berkata, tanaman jagung manis tidak terlalu rumit dan dalam masa dua bulan kami sudah menuai hasil.

AZINAWATI Awang menunjukkan sebahagian buah jagung yang dituai di Projek Tanaman Jagung Manis Berkelompok, di Kampung Seberang Tayur Hilir, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Kami mula menanam jagung pada Februari lalu dan menuai pada April. Purata pendapatan peserta bagi musim lalu sebanyak RM8,000 hingga RM11,000 seorang.

‘Sekarang kami mula menuai hasil bagi musim kedua dan kami berharap dapat menanam sebanyak tiga musim sepanjang tahun,” katanya ketika ditemui Suara Timur di Projek Tanaman Jagung Manis Berkelompok, di Kampung Seberang Tayur Hilir di sini hari ini.

Buat sementara ini kami hanya menjual kepada penduduk setempat dan sekitar. Jika berlaku lambakan jagung kami bercadang memasarkan melalui FAMA. – Suara Timur

Selasa, Julai 22, 2025

Beruang berkeliaran berhampiran sekolah

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : Sesi pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Tayor, di sini, bertukar kecoh apabila dua ekor beruang berkeliaran berhampiran sekolah itu, pagi semalam.

Kelibat dua ekor beruang yang berkeliaran di tepi pagar dan kawasan kebun sekolah dikesan warga sekolah itu kira-kira pukul 8.30 pagi.

Tukang kebun sekolah, Azmi Yaakob, 52, berkata, pada awalnya beruang itu hanya berkeliaran di tepi pagar sekolah, berhampiran padang sekolah.

“Pagi semalam kebetulan murid-murid ada latihan sukan di padang sekolah, bila ada kelibat beruang, guru-guru meminta murid-murid bersurai seketika dan masuk ke kelas masing-masing untuk keselamatan mereka.

“Beruang itu agak lama berkeliaran di sekitar kawasan sekolah, kira-kira pukul 11 pagi, kedua-dua beruang itu kemudiannya memanjat pagar sekolah dan masuk ke kawasan kebun di belakang sekolah untuk mencuri buah durian sebelum berlalu pergi ke kawasan belukar berhampiran,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Azmi berkata, dia yang pertama kali melihat beruang turut merasa panik dan takut kerana saiz beruang yang agak besar, setinggi paras paha orang dewasa.

“Kita tak tahu saiz sebenar beruang itu, tapi dia merangkak pun, saiznya paras paha dewasa, kalau dia bangun, mungkin lagi tinggi,” katanya.

Sementara itu Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya telah memasang dua perangkap di kawasan kampung tersebut sejak hujung Mei lalu.

“Kita juga sentiasa mengadakan kawalan dan pemantauan berterusan bagi menangkap beruang tersebut,” katanya. – Suara Timur

Penduduk bimbang dua ekor beruang berkeliaran di Kampung Seberang Tayur Hilir

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN – Seramai 22 peserta Projek Tanaman Jagung Manis Berkelompok, di Kampung Seberang Tayur Hilir, di sini berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera menangkap dua ekor beruang berkeliaran di kawasan kampung mereka sejak beberapa hari lalu.

Penduduk mendakwa dua ekor beruang berkeliaran di kawasan rumah dan kebun jagung mereka itu boleh mengundang bahaya kepada mereka serta berpotensi merosakkan tanaman mereka.

Mereka mendakwa beberapa kali terserempak dengan haiwan itu merayau-rayau dalam kawasan kampung ketika dalam perjalanan ke kebun dan berulang alik menghantar anak ke sekolah.

Penduduk berharap pihak terbabit dapat bertindak segera menangkap haiwan itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku terutama membabitkan kanak-kanak sekolah selepas haiwan itu dilihat merayau-rayau di kawasan sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Seberang Tayur Hilir, Ab. Khalid Kamaludin berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah datang melakukan pemantauan terhadap haiwan tersebut.

WAN Noraini Wan Hassan menunjukan pokok jagung yang ditanam di halaman rumah dirosakkan beruang kepada Ab. Khalid.

Menurutnya, penduduk diminta bersabar kerana pihak Perhilitan akan mengambil tindakan segera untuk menangkap haiwan berkenaan sekaligus menjaga keselamatan penduduk dan tanaman jagung mereka.

“Saya ingin menyarankan dan  berharap supaya tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkaitan supaya beruang itu segera ditangkap,’ katanya ketika ditemui media di Projek Tanaman Jagung Manis Berkelompok, di Kampung Seberang Tayur Hilir di sini, hari ini.

Menurutnya, penduduk bimbang beruang tersebut masuk ke dalam kawasan jagung dan memusnahkan kawasan jagung ini.

“Lebih baik kita elak daripada awal sebab jagung sekarang ni sedang mengeluarkan hasil dan merupakan sumber pendapatan utama bagi peserta kita, ujarnya

Seorang penduduk yang juga pengusaha projek tanaman jagung, Azlinawati Awang berkata, dia berharap Perhilitan dapat segera menangkap haiwan terbabit yang dilihat boleh membahayakan penduduk dan mengancam tanaman yang menjadi sumber pendapatan mereka.

PESERTA Projek Tanaman Jagung Manis Berkelompok, di Kampung Seberang Tayur Hilir, Kemaman, Sarti Mohamad (kiri) dan Azlinawati Awang (kanan).

“Saya mewakili pengusaha tanaman jagung takut untuk datang ke kebun pada waktu pagi dan petang bimbang masalah beruang yang berleluasa di kampung kami,” ujarnya.

Seorang lagi pengusaha tanaman itu, Sarti Mohamad berkata, mereka mengusahakan tanaman jagung seluas lebih 15 ekar itu di bawah Program Sejati Madani, Jabatan Perdana Menteri melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dengan bantuan pelbagai agensi seperti, Jabatan Pertanian, Peladang dan FAMA.

“Saya berharap pihak perhilitan dapat menangkap segera beruang yang berkeliaran di kebun jagung dan sekarang ni berada di sekitar kawasan rumah penduduk kampung. Saya berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera,” tambahnya.

Seorang penduduk, Nurul Sakinah Amira Othman berkata, dua ekor beruang itu telah merayau-rayau mencari makanan sehingga di hadapan rumahnya dan ianya boleh membahayakan keselamatan anak-anak yang bermain di luar rumah.

“Tadi semasa suami saya baiki motosikal, dia nampak beruang lalu depan rumah saya, lalu beruang tu lari masuk ke dalam semak. Perkara ini sangat membahayakan penduduk dan anak-anak kecil yang bermain di luar rumah. Sebab saya setiap petang sentiasa beriadah di kawasan kampung dan membawa anak-anak naik basikal,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Wan Noraini Wan Hassan, 41, berkata, beruang begitu berani masuk ke Kawasan rumahnya yang berpagar dan merosakkan tanaman jagung dalam pasu dihadapan rumahnya diwaktu malam.

Beliau berharap Jabatan Perhilitan segera menangkap beruang tersebut kerana bimbang untuk keluar rumah waktu malam.

Sementara itu Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya telah mengambil maklum mengenai perkara berkenaan dan tindakan pemantauan telahpun dilakukan Perhilitan Kemaman di kawasan kampung itu.

Bulan lalu Suara Timur pernah menyiarkan kebimbangan masyarakat Felda Seberang Tayor di sini dengan kehadiran beruang berhampiran kediaman mereka. – Suara Timur

Isnin, Julai 21, 2025

2,000 hektar tanah di Terengganu ditanam kelapa pandan

 

KEMAMAN – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan membelanjakan RM1.28 juta menerusi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bagi membantu pengeluaran kelapa di negeri Terengganu.

Timbalan Pengarah Pertanian Negeri (Operasi), Hamidah Abdul Hamid berkata, bagi meningkatkan pengeluaran kelapa, kementerian memberi inisiatif kepada 37 usahawan tani dengan keluasan 248 hektar dari tahun 2021 hingga 2025.

“Menurut rekod Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, hasil usahawantani di Terengganu dapat membantu 60 peratus keperluan kelapa bagi negeri ini,” katanya.

Pegawai Pertanian Daerah Kemaman, Nur Shazwani Mohd Salleh (kiri) dan Timbalan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu (Operasi), Hamidah Abdul Hamid (kanan) menunjukkan produk yang dihasilkan daripada kelapa  Seminar Usahawantani Tanaman Kelapa Daerah Kemaman 2025 di Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/ MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau berkata demikian ketika ditemui Suara Timur selepas menyampaikan ucaptama sempena Seminar Usahawantani Tanaman Kelapa Daerah Kemaman 2025 anjuran Pejabat Pertanian Daerah Kemaman bertempat di Dewan Sri Geliga, Majlis Perbandaran Kemaman di sini, hari ini.

Program di bawah Agroteknologi disertai seramai 100  peserta termasuk pengusaha kelapa pandan di daerah Kemaman.

Hamidah memberitahu, di Terengganu, Jabatan Pertanian telah menanam lebih 2,000 hektar kelapa pandan dan daerah Kemaman merupakan daerah paling tinggi dengan 344 hektar bersamaan 15 peratus merupakan peserta dari daerah Kemaman.

Katanya, pengeluaran kelapa di negeri Terengganu pada tahun lepas sebanyak 17,400 metrik tan.

“Setakat ini pengeluaran kelapa di negeri ini masih rendah dengan hasil sekitar lapan metrik tan per hektar.

“Kita berharap dengan bantuan ini pengeluaran kelapa dapat ditingkatkan daripada lapan metrik tan kepada 15 metrik tan bagi mencukupi pemintaan kelapa di negeri ini,” ujarnya.

Tambahnya, produk kelapa bukan sahaja tertumpu kepada santan, malah ia juga boleh dijadikan air nira, minyak kelapa dara dan lipstik – Suara Timur

Ahmad Shabery dilantik semula Pengerusi Felda

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini mengumumkan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilantik semula sebagai Pengerusi Felda.

Jabatan Komunikasi Strategik Felda dalam kenyataan berkata, Ahmad Shabery menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan untuk terus menerajui Felda.

Menurutnya, pengurusan dan seluruh warga Kumpulan Felda juga menyambut baik pelantikan semula Ahmad Shabery.

Beliau berkata, pihaknya yakin pengalaman, wawasan serta komitmen tinggi Ahmad Shabery akan terus membawa Kumpulan Felda melangkah lebih jauh seiring dengan hasrat Malaysia Madani.

“Datuk Seri menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberikan untuk terus menerajui Felda,” katanya.

Ahmad Shabery sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi Felda pada 1 Julai 2023 sebelum ditamatkan kontraknya pada 30 Jun 2025. – Suara Timur