MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Khamis, Julai 03, 2025

“Jangan tunggu penduduk jadi mangsa serangan beruang, baru nak ambil tindakan’

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Penduduk tanah rancangan Felda Seberang Tayor di sini kini berada dalam ketakutan susulan beberapa ekor beruang berkeliaran di kawasan kediaman mereka sejak Mei lalu.

Menurut mereka, beruang berkenaan dikatakan tersesat dari hutan berhampiran dan berkeliaran di kampung itu untuk mencari makanan ekoran musim buah-buahan pada masa ini.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, setiap hari haiwan liar berkenaan  menceroboh kawasan rumah yang mempunyai pokok tanaman seperti durian serta nangka dan bertindak merosakkan buah yang telah hampir masak.

Menurutnya, haiwan berkenaan juga berani memanjat pokok tanaman dan memetik buah durian serta nangka dan membuangnya ke bawah menyebabkan mereka mengalami kerugian.

“Haiwan liar itu sering muncul pada waktu pagi dan petang hampir setiap hari sehingga   penduduk bimbang dengan keselamatan terutamanya kanak-kanak yang berulang alik ke sekolah.

KEADAAN perangkap beruang yang berada dalam keadaan terbiar di Felda Seberang Tayor, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Pada 22 Mei lalu, Pejabat Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kemaman telah meletak perangkap dan membiarkan tanpa pemantauan sejak diletak hingga sekarang.” katanya ketika ditemui semalam.

Penduduk terlibat berkata, warga Felda Seberang Tayor berharap masalah yang dihadapi mereka dapat diselesaikan segera memandangkan kehidupan mereka telah lama berada dalam ketakutan dan berjaga-jaga sepanjang masa sehingga menjejaskan rutin harian mereka.

“Jangan ada dalam kalangan kami yang menjadi mengsa serangan beruang, barulah pihak berkuasa akan mengambil tindakan.

Tinjauan Suara Timur semalam mendapati perangkap haiwan yang diletakkan di tepi jalan berhampiran sebuah rumah tiada pengawasan dan tidak diletakkan umpan.

Selain itu, keadaan perangkap juga kotor dengan plastik pembungkusan minuman di dalamnya dan berada dalam keadaan terbiar.

Pada 29 Jun lalu, Suara Timur melaporkan kebimbangan penduduk tanah rancangan Felda Seberang Tayor susulan beberapa ekor beruang dikatakan berkeliaran di kawasan kediaman mereka sejak beberapa minggu lalu. – Suara Timur

Rabu, Julai 02, 2025

TDM Berhad, KMI Healthcare kekal taja TFC

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KUALA NERUS: TDM Berhad bersama anak syarikatnya dalam sektor penjagaan kesihatan, Kumpulan Medic Iman (KMI Healthcare) Sdn. Bhd, secara rasmi telah memeterai Perjanjian Penajaan Tahun Kedua bersama Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFC) bagi musim Liga Malaysia 2025/2026.

TDM dalam satu kenyataan kepada Suara Timur berkata, penajaan ini melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM500,000 yang merangkumi sumbangan tunai RM300,000 daripada TDM dan RM200,000  daripada KMI Healthcare. Inisiatif ini menandakan kesinambungan komitmen Kumpulan dalam menyokong pembangunan sukan bola sepak serta penglibatan belia di Negeri Terengganu.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Hotel Raia dan Convention Centre di sini semalam, disaksikan Pengerusi TFC merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu Hishamuddin Abdul Karim.

HISHAMUDDIN Abdul Karim (empat dari kiri)
bergambar bersama penaja-penaja TFC pada
Majlis menandatangani MoU di Hotel Raia, Kuala Nerus, semalam.

Bagi pihak TDM, perjanjian telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin.

Turut hadir sebagai penaja TFC, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc., Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, bersama barisan ketua anak-anak Syarikat Kumpulan Terengganu Inc. yang menaja.

Dalam ucapannya, Hishamuddin berkata, kerjasama strategik dengan entiti korporat amat bertepatan untuk memastikan kelestarian pasukan di peringkat profesional.

“Ini sejajar dengan visi kami untuk menjadikan TFC sebagai pusat kecemerlangan bola sepak yang bukan hanya kompetitif tetapi juga mampu memberi impak positif kepada komuniti. Dengan sokongan pihak yang terlibat, TFC akan lebih berdaya saing di peringkat kebangsaan,” katanya.

Menurutnya, kerjasama ini merupakan manifestasi komitmen korporat TDM dan KMI Healthcare dalam menyokong pembangunan sukan bola sepak dan pemerkasaan belia di negeri Terengganu, seiring dengan nilai teras kumpulan dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat melalui pendekatan strategik dan berimpak tinggi.

Jelasnya, penajaan ini memperkukuh semangat TDM untuk terus menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan pembangunan modal insan melalui sukan.

“TDM percaya bahawa kerjasama strategik seperti ini bukan sahaja memperkukuh penjenamaan korporat, malah membawa nilai tambah yang signifikan kepada pembangunan sukan tempatan,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, selain tanggungjawab sosial korporat (CSR) berbentuk kemasyarakatan, Kumpulan TDM turut menekankan kepentingan sinergi antara korporat dan sukan.

“Sebagai sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Terengganu, kami percaya bahawa kejayaan TFC adalah kejayaan kita bersama. Ini merupakan bukti komitmen berterusan kami dalam memacu kecemerlangan sukan tanah air, khususnya dalam pembangunan bola sepak negeri Terengganu.

“Ia bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga merangkumi potensi program pembangunan bersama yang memberi impak jangka panjang kepada pasukan dan komuniti,” katanya.

Beliau menambah, TDM dan KMI Healthcare yakin sokongan ini adalah permulaan kepada satu perjalanan jangka panjang dalam memartabatkan bola sepak negeri Terengganu.

“Kerjasama erat antara sektor korporat, pasukan bola sepak dan komuniti setempat, TFC diyakini mampu melakar lebih banyak kejayaan dan terus diiktiraf sebagai salah satu pasukan paling disegani di Malaysia,” ujarnya. – Suara Timur

Selasa, Julai 01, 2025

Ibu, anak maut kemalangan di LPT2

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN : Seorang wanita dan anak lelakinya berusia lima tahun maut, sementara suaminya cedera parah selepas lori yang dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan di Kilometer 362.9, Lebuhraya Pantai Timur 2, berhampiran Bukit Besi, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang, Isnaini Mohd, 42, dan anak lelakinya, Muhammad Al Amin Khairul Syahmy,5, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan di beberapa bahagian badan dan kepala manakala suaminya, Khairul Syahmy Mat Hassan, 49, mengalami cedera parah.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, difahamkan, pasangan suami isteri itu yang bekerja di syarikat pembekal perkakasan elektrik sedang dalam perjalanan pulang ke Gong Badak, Kuala Terengganu selepas menghantar ‘chamber’ pembumian elektrik di Kuantan, Pahang.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila lori yang dipandu lelaki itu tiba-tiba hilang kawalan selepas salah satu tayar lori itu pecah menyebabkan lori tersebut terbabas dan terbalik,” katanya kepada pemberita.

Maizura berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun manakala Khairul Syahmi turut dikejarkan ke hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Suara Timur

Pemuda sedang mandi, nyaris terperangkap dalam kebakaran

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN – Seorang pemuda bertindak nekad meredah api yang sedang marak untuk keluar menyelamatkan diri selepas menyedari rumahnya sedang terbakar pagi tadi.

Ketika kejadian, mangsa Mohd Yusraf Irfan Mohd Yusri, 22, sedang mandi di dalam bilik air di rumahnya di Kampung Pengkalan Binjai, dekat Bandar Chukai, di sini.

Menurutnya, ketika sedang mandi dia terkejut selepas mendapati lampu bilik air itu tiba-tiba padam selepas terdengar satu letupan kecil di dalam rumahnya itu.

Katanya, dia bergegas keluar dari bilik air dan terkejut melihat bilik tidurnya sedang terbakar dan bergegas keluar menyelamatkan diri dengan meredah api menuju pintu utama.

MOHF YUSRAF IRFAN MOHD YUSRI

“Kejadian kebakaran itu berlakuk ketika saya  sedang mandi, lepas itu lampu bilik air terpadam dan bau asap.

“Apabila keluar dari bilik air, tengok api sedang marak,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Mohd Yusaf Irfan berkata, sejurus keluar menyelamatkan diri dia terus menghubungi bomba dan sempat menyelamatkan sebahagaian harta benda dari rumah itu sebelum api marak sepenuhnya.

Menurutnya, dia tinggal tiga orang dalam rumah berkenaan dan ketika kejadian ayah dan adiknya tiada di rumah kerana bekerja.

ANGGOTA Bomba sedang memadam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Binjai, Chukai, Kemaman.

Pada 19 Jun lalu, rumah ibu saudara Mohd Yusaf Irfan iaitu Nurisah Muda yang terletak bersebelahan rumahnya juga telah terbakar.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan 2, Syed Malikuzzaman Syed Mohd Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.26 pagi dan terus bergegas ke lokasi bersama lima belas anggota dan tiga jentera.

Beliau menambah, pihaknya berjaya mengawal kebakaran kira-kira setengah jam kemudian dan kira-kira 80 peratus rumah kayu separuh kekal itu hangus.

“Punca lebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya. – Suara Timur

Isnin, Jun 30, 2025

Pembantu jualan terpedaya penipuan tawaran kerja sambilan

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang pembantu jualan mendakwa telah terpedaya dengan penipuan tawaran kerja sambilan setelah menerima panggilan daripada individu tidak dikenali pada 21 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, individu tersebut memaklumkan mangsa yang berusia 32 tahun telah memenangi hadiah berupa sebuah kerusi Camping daripada laman web Marketplace Malaysia dan hadiah tersebut telah dihantar ke rumah mangsa beberapa hari kemudian.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang dinamakan “Chill with Your Fest” untuk memberikan maklum balas berkenaan hadiah yang diterima dan turut menerima ganjaran sebanyak RM8.

“Seterusnya, mangsa diminta untuk melaksanakan beberapa tugasan yang diberikan dan telah melakukan sebanyak (9) transaksi berjumlah keseluruhan RM60,943.00 dalam tempoh di antara 27/06/2025 hingga 29/06/2025 ke atas tujuh (7) akaun bank yang berbeza.

“Namun, setelah semua tugasan diselesaikan, mangsa tidak menerima komisen yang telah dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Razi memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Justeru itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja dalam talian yang tidak wujud,” ujarnya. – Suara Timur

Operasi Carilamat tekong warga Thailand hilang di perairan Kemaman ditamatkan

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) seorang tekong warga Thailand yang dilaporkan hilang di perairan Kemaman sejak lima hari lalu ditamatkan malam tadi selepas tiada petunjuk baharu ditemui.

Mangsa, Wongnguan Supot, 53, dipercayai hilang apabila bot yang dikemudinya mengalami kebocoran dan dimasuki air selepas dilambung ribut dalam kejadian pada jam 10 malam, 25 Jun lalu.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, keputusan penamatan operasi dibuat setelah pencarian menyeluruh di kawasan laut dan udara seluas 511 batu nautika persegi tidak menemui sebarang petunjuk.

BOT yang dinaiki tekong warga Thailand yang dilaporkan dilaporkan hilang di perairan Kemaman sejak lima hari lalu. – SUARA TIMIR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Walaupun operasi rasmi telah ditamatkan, rondaan dan pemantauan oleh Maritim Malaysia tetap akan diteruskan.

Kami juga bersedia mengaktifkan semula operasi sekiranya terdapat maklumat baharu yang boleh membantu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam usaha pencarian termasuk Jabatan Laut Malaysia (JLM), serta komuniti maritim yang tampil memberi kerjasama sepanjang tempoh operasi berlangsung.

Terdahulu, operasi tersebut telah digerakkan sejurus laporan kehilangan diterima dan melibatkan pelbagai aset laut dan udara dari Maritim Malaysia. – Suara Timur

Ahad, Jun 29, 2025

Penduduk bimbang beruang berkeliaran di kawasan kediaman

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Para penduduk tanah rancangan Felda Seberang Tayor di sini kini berada dalam kebimbangan susulan beberapa ekor beruang dikatakan berkeliaran di kawasan kediaman mereka sejak beberapa minggu lalu.

Menurut mereka, beruang berkenaan dikatakan tersesat dari hutan berhampiran dan berkeliaran di kampung tersebut untuk mencari makanan ekoran musim buah-buahan pada masa ini.

Seorang penduduk, Johari Arif memberitahu, haiwan liar berkenaan dikatakan menceroboh kawasan rumah yang mempunyai pokok tanaman seperti durian serta nangka dan bertindak merosakkan buah yang telah hampir masak.

JOHARI ARIF

Menurutnya, haiwan berkenaan juga bertindak berani memanjat pokok tanaman dan memetik buah durian serta nangka dan membuangnya ke bawah menyebabkan mereka mengalami kerugian.

“Penduduk berharap pihak berkuasa dapat bertindak segera untuk mengesan dan menangkap segera haiwan liar berkenaan yang boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk terutamanya kanak-kanak yang berulang alik ke sekolah setiap hari,” katanya ketika ditemui hari ini.

Tinjauan mendapati terdapat kesan cakar pada batang pokok-pokok tanaman yang telah dipanjat haiwan berkenaan dan puluhan biji buah durian yang belum masak telah dijatuh serta dirosakkan.

Sementara itu, Pengurus Felda Seberang Tayor, Mohd Syafiq Hilmi Ahmad Zahid berkata, pihaknya telah melaporkan masalah tersebut kepada Pejabat Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kemaman untuk tindakan lanjut.

MOHD SYAFIQ HILMI AHMAD ZAHID

“Bagi menjamin keselamatan penduduk di kawasan Felda Seberang Tayor, pihak pengurusan felda telah membuat laporan kepada pejabat Perhilitan Kemaman dan Alhamdulillah pejabat Perhilitan Kemaman telah membuat tindakan pantas dengan memasang perangkap di kawasan Felda Seberang Tayor dan kami menzahirkan terima kasih kepada Perhilitan atas kerjasama diberikan,” katanya.

Mohd Syafiq juga meminta penduduk sentiasa berwaspada dan mengawasi anak-anak mereka agar tidak berkeliaran atau bermain di kawasan kampung kerana dibimbangi boleh terserempak dengan haiwan berkenaan yang boleh mendatangkan bahaya.

Dalam perkembangan berkaitan Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong mengesahkan ada menerima laporan berkaitan masalah tersebut dan telah mengambil tindakan memasang beberapa perangkap di kawasan berkenaan pada 22 Mei lalu serta turut melakukan pemantauan berterusan. – Suara Timur