MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, Mei 30, 2009

Perhimpunan Agung UMNO 13 hingga 16 Oktober

KUALA LUMPUR 29 Mei - Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat hari ini menetapkan 13 hingga 16 Oktober depan sebagai tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2009.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, terdapat sedikit kelainan kepada perhimpunan kali ini kerana ia akan dimulakan dengan Mesyuarat Agung Khas yang bertujuan untuk meminda perlembagaan parti.
Menurutnya, draf cadangan untuk pindaan berkenaan sudah hampir siap dan ia akan diedarkan kepada badan perhubungan negeri tidak lama lagi bagi mendapatkan maklum balas mengenai perkara tersebut.
``Selepas itu MT akan membuat ketetapan tentang peruntukan yang akan dipinda dan seterusnya dibentangkan dalam mesyuarat Agung Khas. Selepas selesai, maka mesyuarat akan kembali kepada Perhimpunan Agung biasa.
Petikan www.utusan.com.my 29 / 5 / 09

Kabinet arah kekejaman komunis diceritakan

KUALA LUMPUR 28 Mei - Kabinet mengarahkan pihak-pihak berwajib menulis semula sejarah kedurjanaan komunis dengan memperincikan pembunuhan dan jenayah yang dilakukan agar generasi sekarang memahami mengapa Parti Komunis Malaya (PKM) serta pemimpinnya tidak harus diagungkan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim memberitahu, Kabinet mahu perkara ini dilaksanakan bagi membolehkan generasi sekarang jelas serta memahami bahawa komunis merupakan musuh negara.

''Punca menyebabkan komunis dan pemimpin-pemimpinnya diagungkan oleh generasi muda sekarang kerana kekejaman mereka tidak diceritakan dengan jelas serta terperinci.

''Buku sejarah yang tertulis sejarah komunis pula hanya mencatatkan PKM diharamkan pada 1948, membunuh Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu, Sir Henry Gurney.

''Tetapi tidak dijelaskan bahawa kumpulan itu melakukan pembunuhan bukan sahaja sebab politik tetapi juga terhadap rakyat yang tidak berdosa,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kedua Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PVTM) yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Joseph Salang Gandum di Angkasapuri di sini hari ini.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan pemimpin PKM, Chin Peng tidak dibenarkan kembali ke negara ini dengan menyatakan kepulangannya jika dibenarkan hanya akan menimbulkan rasa tidak puas hati terutama kepada ahli-ahli keluarga mereka yang terkorban semasa era Darurat antara tahun 1948 hingga 1960.

Rais memberitahu, penulisan semula secara terperinci sejarah kekejaman komunis ini akan membolehkan generasi muda terutama di sekolah dan universiti dapat diberi pemahaman bahawa komunis adalah musuh negara.

Katanya, walaupun generasi muda mempunyai idealisme tinggi dalam hal-hal tertentu tetapi dalam soal kenegaraan terutama mengenai komunis ini tidak ada kompromi.

Sehubungan itu, katanya, kementerian akan memulakan tayangan filem dokumentari mengenai kekejaman komunis.

''Muzium Negara juga akan membuat pameran mengenai sejarah kekejaman komunis bagi membolehkan generasi muda menyedari mengenai pengorbanan yang dilakukan oleh generasi lepas mempertahankan negara dan rakyat dari kumpulan pelampau tersebut.

''Kementerian melalui agensi-agensi di bawahnya akan menggerakkan tenaga untuk memberi penjelasan dan penerangan dalam perkara ini agar tidak timbul lagi gerakan atau sebarang usaha untuk mengagung- agungkan komunis dan pemimpin- pemimpin mereka,'' katanya.

Rais memberitahu, kementerian melalui Akta Komunikasi dan Multimedia juga telah memberi amaran kepada penulis blog yang membangkitkan nostalgia mengenai komunis.

Katanya, tindakan lebih keras termasuk mendakwa di mahkamah akan dilakukan sekiranya terus membangkitkan nostalgia tersebut dengan memperdayakan masyarakat memberi gambaran palsu mengenai komunis.
Petikan www.utusan.com.my 29/5/09

Khamis, Mei 28, 2009

Hidupkan komunisme usaha raih populariti

SEREMBAN 27 Mei - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan sebarang usaha menghidupkan kembali fahaman komunisme di negara ini sebagai satu agenda untuk meraih populariti tanpa memikirkan sensitiviti rakyat.

Menurutnya, tidak ada sebarang sebab untuk mana-mana pihak menjadikan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng sebagai pahlawan dan membawa pulang pengganas itu ke tanah air. "Chin Peng dianggap sebagai pengganas. Ramai orang dibunuh kerana enggan memberi pertolongan kepada mereka.

"Saya yakin orang ramai yang pernah mengalaminya sudah pasti akan menolak cadangan itu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari.

Beliau menambah, mana-mana pihak yang cuba membawa pulang Chin Peng sebenarnya buta sejarah dan usaha seperti itu tidak akan diterima rakyat yang menolak fahaman tersebut.
Pada masa sama, Mohamad juga mahu rakyat menolak sekeras-kerasnya cadangan berkenaan kerana ia tidak memberikan sebarang manfaat kepada negara.

''Kita tidak nampak ada alasan untuk membawa Chin Peng pulang ke negara ini dan dijadikan pejuang kerana dia adalah pengganas. ''Usaha seperti itu harus ditentang kerana ia adalah sesuatu yang biadab memandangkan mereka penderhaka kepada negara," ujar beliau.
Petikan http://www.utusan.com.my/ 28/5/09

Lagi mangsa kekejaman komunis

'Ayah saya diseksa sebelum disembelih'

BANGI 27 Mei - "Ayah dan bapa saudara saya diikat dengan tali antara satu sama lain, mereka diseksa, seluruh tubuh ditetak dan ditakik-takik sebelum leher kedua-duanya disembelih.
"Semasa ditemui, mayat kedua-duanya hanya tinggal rangka dan tulang, bercampur antara satu sama lain tanpa kepala, amat jelas kesan takikan bertubi-tubi seperti sebatang pokok kayu yang ditakik-takik bagi dikeluarkan getahnya."

Demikian cerita Profesor Dr. Amat Juhari Moain, bekas Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM).
Beliau berkata, jenazah bapanya, Moain Saridin @ Shahidin dan Hassan Akasah yang dibunuh dengan penuh kejam tanpa perikemanusiaan oleh komunis itu kemudian dikebumikan dalam satu liang lahad di Kampung Sungai Dulang Darat, Rengit, Batu Pahat Johor.

Mengimbas kejadian menyayat hati yang berlaku pada akhir Jun 1945 tetapi masih lagi segar di ingatan seolah-olah baru berlaku semalam, Amat Juhari, 69, berkata, semasa dia dan bapanya mandi di tepi Sungai Dulang pada waktu petang, mereka didatangi beberapa penduduk yang meminta bantuan.

Menurut beliau, arwah ayahnya, seorang ketua kampung, dimaklumkan mengenai penangkapan seorang alim yang dikenali dengan nama Wak Sulaiman oleh sekumpulan komunis.
"Adalah menjadi tanggungjawab arwah ayah untuk membantu anak buahnya, lantas dia yang berselempang kain merah segera bergegas ke kawasan hutan di pinggir kampung, kawasan yang menjadi persembunyian komunis itu dengan ditemani oleh Hassan.

"Sehingga lewat tengah malam ayah, Hassan dan Wak Sulaiman masih tidak pulang dan selepas beberapa minggu, langsung tiada berita mengenai mereka bertiga, sama ada hidup atau mati.
"Pada malam yang sama terdapat seorang Cina bersenjata mundar-mandir di kawasan rumah kami, seperti tidak membenarkan kami keluar mendapatkan bantuan.

"Keadaan itu berlarutan sehingga beberapa minggu menyebabkan kami sekeluarga menjelang malam terpaksa menyorok di kawasan pokok buluh berhampiran bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beberapa minggu selepas itu apabila keadaan telah menjadi aman, penduduk kampung mula berani keluar rumah untuk mengerjakan kebun masing-masing dan ketika itulah mayat Moain dan Hassan ditemui di bahagian hutan.

Sementara itu, Amat Juhari berkata, pada akhir Mei tahun sama, sebelum kejadian itu berlaku, sekumpulan kira-kira 20 komunis yang lengkap bersenjata mengunjungi bapanya di rumah bagi mempelawa dan meyakinkan arwah supaya menyertai kumpulan haram mereka, tetapi telah ditolak.

Tambah beliau, kekejaman komunis tidak hanya terhenti di situ malah ramai lagi penduduk kampung yang berpengaruh seperti penghulu, orang alim dan pendekar dibunuh kerana enggan memberikan sokongan dan kerjasama kepada mereka.

"Saya masih ingat lagi kejadian di Kampung Sungai Tongkang berhampiran kampung kami apabila komunis menyerang rumah penghulu, mereka tembak bertubi-tubi sebelum dibakar menyebabkan kira-kira 30 orang yang berlindung di rumah berkenaan mati," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, arwah bapanya sebenarnya telah menghidu lebih awal kegiatan komunis di negara ini apabila mendapat maklumat melalui pembacaan dalam Utusan Melayu dan Utusan Zaman yang dilanggan terus daripada Singapura pada masa itu.
Petikan www.utusan.com.my 28/5/09

Tidak ! Chin Peng

PUTRAJAYA 27 Mei - Pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng tidak dibenarkan kembali ke negara ini, tegas Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, kepulangannya jika dibenarkan hanya akan menimbulkan rasa tidak puas hati terutama kepada ahli-ahli keluarga mereka yang terkorban semasa era Darurat antara 1948 hingga 1960.

''Kerajaan tidak benarkan Chin Peng balik ke negara ini sebab ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati terutama kepada mereka yang terkorban dan ahli-ahli keluarga mereka yang telah terkorban dalam waktu darurat dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan pelantikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara di pejabatnya di sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas permintaan Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan baru-baru ini agar kerajaan membenarkan bekas pemimpin PKM itu pulang ke Malaysia.

Hock Nan membuat permintaan itu atas alasan kemanusiaan di samping mendakwa Chin Peng bukan lagi ancaman keselamatan kepada negara.

Kenyataan pemimpin Gerakan itu mendapat bantahan keras daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang berasakan permintaan tersebut tidak tepat.
Kira-kira 2,500 orang awam dan 1,865 anggota pasukan keselamatan terbunuh di tangan PKM diketuai Chin Peng semasa era keganasan kumpulan pengganas itu antara 1948 sehingga mereka meletakkan senjata pada 1989.
Petikan www.utusan.com.my 28/5/09

Rabu, Mei 27, 2009

TRAUMA angkara komunis

ONJININ Christopher Jopinol (kanan) dan Amid Abdul Rahman menunjukkan pingat yang diterima selepas majlis dialog antara Jabatan
Hal Ehwal Veteran ATM dan Veteran ATM Sabah di Hotel Le Meridien di Kota Kinabalu, semalam. – UTUSAN/ZULHISHAM ISHAK
Kezaliman Parti Komunis Malaya (PKM) meskipun telah lama berlalu, namun ia masih menghantui dan meninggalkan kesan kepada segelintir golongan pejuang
di negara ini.
Salah seorang daripada mangsa kekejaman kumpulan pengganas itu, Onjinin Christopher Jopinol, 52, kini hidup sengsara setelah hilang kedua-dua belah kakinya akibat terpijak jerangkap samar komunis dalam operasi di Gubir, Kedah pada tahun 1985.
“Kepada mereka yang masih tidak faham kekejaman Chin Peng, lihatlah keadaan kaki saya,” kata veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu pada majlis dialog Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM di Kota Kinabalu, semalam.
Selain Onjinin, rakannya, Amid Abdul Rahman turut mengalami pengalaman yang sama iaitu putus kaki kiri akibat terpijak jerangkap samar di hutan Gubir pada 1977.

Selasa, Mei 26, 2009

Chin Peng dan ideologi Komunis yang masih subur

Salam Blogger

Sebarang usaha untuk membawa pulang Pengerusi Parti Komunis Malaya ( PKM ), Ching Peng dan rakan rakan komunis ke negara ini bukan sahaja menghiris perasaan seluruh warga dan bekas anggota serta keluarga Angkatan Tentera Malaysia ( ATM ) dan juga Polis Diraja Malaysia ( PDRM ). Saya masih ingat apabila saorang anggota PKM menyerah diri dan mendapat pengampunan pada tahun 80an dan diberi tanah di Temerloh, serta gencatan senjata pada tahun 1989 telah menjadi kemarahan sebilangan besar rakyat dan pemimpin pembangkang.

Saudara Mohd Sabu ( sekarang Naib Presiden PAS ) dalam ceramah PAS menjelang pilihanraya umum 1990 nada yang bersemangat supaya rakyat menolak Barisan Nasional ( BN ) kerana kerajaan BN menerima gencatan senjata PKM yang mana pada keanggotaan PKM semakin kecil.
" Saudara saudara lihat di TV, Ching Peng Pengerusi Parti Komunis Malaya yang segak memakai kot dan tali leher umpama tokoh koprat sedang menandatangani perjanjian gencatan senjata dengan wakil Kerajaan Malaysia supaya kerajaan tidak menyerang PKM kerana keanggotaan PKM telah kecil, berapa ramai wanita yang menjadi balu? Berapa ramai ibu bapa yang kematian anaknya kerana mempertahankan tanah air? Berapa ramai bekas tentera yang kudung kaki, putus tangan dan sebagainya tidak diberi pampasan. Tup tap tup tap aku yang berceramah atas tiket Parti PAS ditahan 2 tahun di Kem Kemunting ( ISA ). Komunis yang membunuh rakyat dan tentera Malaysia diberi pengampunan"

Saya menyokong penuh kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar usaha untuk mambawa pulang Chin Peng tidak diteruskan dan dihramkamkan sama sekali Chin Peng dan rakan rakan memijak bumi Malaysia. Sejak akhir akhir ini telah banyak usaha untuk membawa pulang Chin Peng dengan pelbagai cara termasuk menggunakan undang undang.

Walau pun PKM telak letak senjata, tetapi ideologinya masih lagi kuat, semangat ingin menakluki negara masih lagi diteruskan dengan pelbagai cara termasuk penerbitan buku buku bagi membangkit semangat dikalangan barisan pelapis yang dikenali sebagai Angkatan Muda Nasional. Buku ini pernah diterbitkan pada tahun 90an dan diulang cetak kali yang ketiga pada tahun 2002. Buku ini bolih didapati di Selatan Thailand dengan harga RM 15.00

Buku ini tidak terdapat didalam negara, saya telah mencari buku ini di Bukit Kayu Hitam dan juga Rantau Panjang tetapi tidak ketemui. Saya hanya membaca ketika menaiki bas dari Ipoh ke Kemaman pada tahun 2002. Menurut sahabat yang baru pulang dari Thailand buku ini dijual secara terbuka di Thailand untuk rakyat Malaysia.

BAB SATU buku ini menceritakan sejarah Pahlawan Melayu diera Hang Tuah dan rakan rakan. BAB DUA menceritakan sejarah Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Ulama serta Pahlawan dari Gunung Semanggol.

BAB TIGA pula menceritakan betapa peritnya hidup ditindas olih Inggeris yang disokong olih orang orang melayu yang ada kepentingan dan Malaysia hingga hari ini masih dijajah walau pun Inggeris telah pulang ke tanah air mereka. Dalam bab ini mereka menaikan semangat perjuangan bangsa yang mereka dakwa akan diagih sama rata tanpa mengira bangsa.

Buku ini ditulis olih Abdul Rashid Maidin saorang pemimpin kanan PKM.
Pada tahun 2002 juga saya telah lapur kepada BKN dan KDN supaya awasi penjualan buku ini.

Lagi kenyataan pemimpin mengenai PKM.

Ada pihak galak ideologi komunis: Zahid

PETALING JAYA: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini menyelar usaha beberapa pertubuhan tidak berdaftar dan parti politik yang didapati bagaikan sengaja menggalakkan kemunculan semula ideologi komunis dalam negara. Beliau berkata, ini kerana pihaknya mendapati ada pihak tertentu termasuk beberapa pertubuhan haram yang seakan-akan mengambil kesempatan dengan cuba menghidup dan menyebarkan sentimen mengenai ideologi itu melalui pelbagai cara. Katanya, lebih mengejutkan apabila ada juga yang seakan cuba membangkitkan dan menyebarkan sentimen itu melalui parti-parti politik.
"Saya tidak dapat memaklumkan secara khusus tentang adanya gerakan untuk hidupkan ideologi komunis dalam negara, tetapi ada macam suatu usaha yang berbaur komunis yang cuba dihidupkan semula oleh beberapa badan yang tidak berdaftar dan ada juga yang mahu hidupkannya melalui parti politik," katanya kepada pemberita selepas melawat Markas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang, dekat sini. Petikan www.bharian.com.my 25/5/09

Hiris perasaan anggota ATM

SEREMBAN 25 Mei - Sebarang usaha membawa masuk bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negara ini menghiris perasaan seluruh warga anggota dan bekas anggota serta keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha tersebut juga meningkatkan semula rasa kemarahan meluap-luap mereka terhadap Chin Peng dan PKM.
Pada masa ini, katanya, seluruh anggota, bekas anggota dan keluarga ATM serta pasukan keselamatan lain menolak sebarang usaha membawa masuk Chin Peng.

"Saya mewakili warga ATM, sama ada yang sedang bertugas atau yang telah tamat perkhidmatan, berasa amat terhiris jika keputusan dibuat untuk Chin Peng diberi taraf kewarganegaraan.

"Ini kerana lebih 50,000 anggota pertahanan termasuk tentera dan polis terkorban akibat angkara pengganas PKM. Jika ini berlaku, rasa terluka yang amat sangat di kalangan anggota dan keluarga ATM," kata beliau.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas melancarkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Dalam Pertahanan Awam di Kem PLKN, Seri Perkasa, Mantin di sini hari ini.
Hadir sama timbalan beliau, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil; dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin.

Beliau mengulas saranan Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan agar kerajaan membenarkan bekas pemimpin PKM, Chin Peng pulang ke Malaysia baru-baru ini.
Tambah Ahmad Zahid, ketegasan itu tiada kaitan dengan sentimen perkauman tetapi rasa patriotisme yang telah tertanam di kalangan anggota tentera dan polis serta pasukan keselamatan negara yang lain.

"Ada yang bertanya saya, mengapa pengganas komunis yang telah menyerah diri dapat tanah, sedangkan pesara tentera tidak dapat. "Kalau ini pun sudah disuarakan, apatah lagi jika Chin Peng dan gerombolannya diberi taraf kewarganegaraan," tegas beliau.

Justeru Ahmad Zahid berharap jika ada parti politik mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu memperjuangkan nasib Chin Peng ini, agar lebih berhati-hati.
"Fahamilah jiwa, hati dan darah daging anggota tentera sama ada yang bertugas mahupun yang tamat perkhidmatan. "Ingatlah juga anggota keluarga yang kehilangan orang yang disayang ketika mempertahankan negara sewaktu PKM mengganas dahulu," ujar beliau.

Menurut Ahmad Zahid, saranan membawa masuk Chin Peng telah menjejaskan moral pasukan keselamatan dan menyebabkan rasa marah kembali muncul. "Ini soal perjuangan mempertahankan maruah negara akibat identiti dan ancaman kumpulan Chin Peng," kata beliau.

RTM perlu siar semula kekejaman PKM

KUALA LUMPUR 25 Mei - Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu menyiarkan semula kisah kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM) dan bekas pemimpinnya, Chin Peng bagi menyedarkan semua pihak tentang keperitan yang pernah mereka timbulkan.

Setiausaha Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Madya Dr. Zainal Abidin Borhan berkata, kekejaman yang ditimbulkan oleh bekas pemimpin PKM dan Chin Peng ke atas askar Melayu dan pasukan polis dulu tidak mungkin lenyap daripada ingatan mereka yang pernah menjadi mangsa.

''Justeru seandainya Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia maka askar-askar Melayu dan anggota polis yang pernah menentang komunis serta waris-waris mereka akan menangis air mata darah.

''Gapena menentang tindakan membawa pulang Chin Peng kerana tempoh darurat ekoran ancaman komunis antara tahun 1948 hingga 1981 menyaksikan rakyat khususnya orang Melayu hidup dalam ketakutan,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan akhbar tertentu yang menyiarkan rencana mengenai nostalgia Chin Peng dan PKM baru-baru ini.
Jelas beliau, Chin Peng memang tidak layak diiktiraf sebagai seorang pejuang ekoran tindakan PKM yang menyaksikan banyak penduduk Tanah Melayu terkorban dan menderita.
Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan Chin Peng patut dihadapkan ke Mahkamah Tribunal kerana menyebabkan banyak nyawa terkorban ketika kumpulan komunis mengganas di Tanah Melayu.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, apa yang dilakukan oleh Chin Peng itu tidak boleh dimaafkan. ''Chin Peng adalah seorang penderhaka kepada negara dan rakyat Malaysia tidak akan berdiam diri jika usaha untuk membawa balik bekas pemimpin komunis ini diteruskan oleh pihak tertentu.

''Siasatan juga perlu dilakukan bagi mengetahui bagaimana sebuah akhbar tempatan boleh menerbitkan artikel nostalgia Chin Peng dan PKM seperti kedua-duanya adalah pejuang negara,'' katanya.

Sementara itu pakar sejarah, Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, tindakan pihak tertentu memberikan pengiktirafan kepada Chin Peng dan PKM adalah cubaan untuk memutar-belitkan sejarah tanah air.

''Jika ada pihak yang menganggap Chin Peng dan PKM adalah pejuang apakah askar Melayu yang menggadai nyawa mempertahankan negara daripada serangan komunis adalah pengkhianat.

''Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah tertentu seperti menerbitkan buku sejarah mengenai kekejaman komunis kepada generasi muda supaya mereka dapat membezakan siapa pejuang dan siapa petualang negara,'' jelasnya.

Gerakan Pulau Pinang 'buta sejarah'

JOHOR BAHARU 25 Mei - Persatuan Bekas Komando Negeri Johor menyifatkan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Dr. Teng Hock Nan sebagai 'buta sejarah' berikutan saranannya agar kerajaan membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng kembali ke negara ini.

Penasihatnya Datuk Abdul Aziz Sapian berkata, PKM pimpinan Chin Peng itu bertanggungjawab terhadap ribuan kematian dan kecederaan yang dialami sama ada oleh anggota pasukan keselamatan serta orang awam.

"Tangannya (Chin Peng) itu diselaputi oleh darah anggota pasukan keselamatan dan orang awam yang menjadi mangsa kepada kekejaman perjuangan Parti Komunis Malaya yang dipimpin oleh Chin Peng.

"Adakah parti Gerakan Pulau Pinang itu sengaja membutakan dirinya kepada fakta sejarah semata-mata untuk kepentingan peribadi dan politik," katanya kepada Bernama hari ini.
Abdul Aziz yang juga merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya berkata, ramai di kalangan anggota persatuannya masih menanggung kecederaan yang dialami ketika bertempur dengan anggota PKM.

Parti Gerakan Pulau Pinang itu menurut beliau, sepatutnya lebih sensitif terhadap perasaan ribuan keluarga anggota pasukan keselamatan dan orang awam yang menjadi mangsa kepada PKM.

Persatuan katanya, juga bersedia mempelawa Hock Nan berjumpa dengan balu-balu anggota pasukan keselamatan terutamanya daripada pasukan komando yang terkorban akibat tindakan ganas anggota PKM.

Sehubungan dengan itu kata beliau, persatuan menentang keras sebarang cubaan daripada mana-mana pihak untuk membawa balik Chin Peng yang disifatkan sebagai pengkhianat bangsa walaupun di atas dasar kemanusiaan.
"Pengkhianat bangsa itu (Chin Peng) tidak mempunyai tempat walau seinci pun di negara ini," kata Abdul Aziz yang pernah terlibat di dalam operasi memerangi pengganas komunis ketika bertugas sebagai anggota komando. - BERNAMA

PBPM beri amaran

KUALA LUMPUR 25 Mei - Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) memberi amaran keras kepada semua pihak yang bersimpati dengan perjuangan komunis agar tidak berusaha membawa pulang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke tanah air.

Presidennya, Shafie Bakri menegaskan, sesiapa juga yang bercita-cita hendak membawa pulang Chin Peng kononnya atas dasar kemanusiaan, bakal berdepan dengan tindakan keras daripada bekas anggota polis yang sebelum ini mempertaruhkan nyawa mempertahankan kedaulatan negara.

"Saya memberi amaran kepada pihak di luar sana. Walaupun apa pun motif mereka, jangan sesekali bercita-cita membawa Chin Peng ke Malaysia.

"Kami bekas pejuang tidak akan berpeluk tubuh dengan hanya melontarkan bantahan melalui kenyataan semata-mata. Andai keadaan itu benar berlaku, mereka ini terpaksa menerima akibatnya,'' tegas beliau kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Shafie memberi amaran itu sebagai mengulas permintaan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan terhadap kerajaan supaya membenarkan Chin Peng pulang ke Malaysia.

Hock Nan membuat permintaan itu atas alasan kemanusiaan di samping mendakwa Chin Peng bukan lagi merupakan ancaman keselamatan kepada negara.
Kenyataan pemimpin Gerakan itu mendapat bantahan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berasakan permintaan tersebut sebagai tidak tepat.
Menurut Shafie, golongan yang bersimpati dengan komunis mahupun pemimpinnya adalah golongan yang buta sejarah serta tidak mempunyai nilai patriotik.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan golongan berkenaan supaya berhenti menjuarai isu Chin Peng kerana ia melukakan hati khususnya para perajurit yang berjuang menentang pengganas komunis.

"Hormatilah pengorbanan kami kerana tanpa darah dan nyawa bekas anggota keselamatan khususnya mereka yang telah terkorban, negara ini belum tentu bebas daripada cengkaman komunis.

"Tetapi jika ada pihak yang sengaja mencabar kesabaran dan tidak menghormati perjuangan murni kami, mereka terpaksa membayar dengan harga yang tinggi,'' tegasnya yang pernah melalui pengalaman menyayat hati apabila terpaksa mengutip cebisan mayat anggota polis daripada unit Pasukan Polis Hutan (PPH) yang dibunuh komunis.
Petikan http://www.utusan.com.my/ 26/5/09

Gelaran "MB Mahkamah" untuk Nizar: Zambry

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, hari ini berkata gelaran "Menteri Besar Mahkamah" patut diberikan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang telah memulakan proses mahkamah bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah. Beliau berkata, oleh kerana proses mahkamah itu dimulakan oleh Mohammad Nizar, sewajarnya gelaran itu diberikan kepada bekas Menteri Besar Perak itu dan bukan dirinya. "Proses mahkamah itu dilakukan oleh Nizar, bukannya saya.

Tok Guru (Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat) yang saya hormati pun manusia juga, dia pun buat silap dan bukannya manusia maksum.
"Jadi saya tolong perbetulkan sedikit pandangan Tok Guru itu," kata Zambry kepada pemberita di sini hari ini semasa diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan itu Sabtu lalu bahawa beliau adalah "Menteri Besar Mahkamah" dan tidak mewakili seluruh rakyat Perak. Terdahulu Zambry mengadakan perjumpaan dengan dua orang perenang Selat Inggeris, Zahra Ma'soumah dan Salman Ali Shariati Abdul Halim di pejabatnya di sini. Jumaat lalu, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah dalam satu keputusan sebulat suara selepas mendapati keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lalu bahawa Mohammad Nizar adalah Menteri Besar yang sah adalah salah.

Sementara itu, Zambry menolak kemungkinan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) pimpinannya akan mendapatkan perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sebagai jalan penyelesaian kemelut politik di negeri itu. "Sekarang ini kita berpandukan kepada apa yang telah pun diputuskan oleh mahkamah. Meskipun kita mempunyai peruntukan-peruntukan yang diberikan tetapi proses yang berlaku sekarang ini ialah proses perundangan. "Jadi biarlah proses perundangan itu mengambil tempatnya dan kita mengharapkan semuanya akan berjalan seperti biasa," katanya mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam bahawa langkah itu adalah pilihan terbuka kepada BN tetapi tidak semestinya ia satu-satunya jalan menentukan kerajaan mana yang ada majoriti.

Sementara itu, Zambry berkata kerajaan negeri akan menyumbang RM30,000 bagi menampung kos perjalanan Zahra Ma'soumah, 18, dan Salman Ali Shariati, 12, yang akan berenang merentasi Selat Inggeris pada awal Julai ini serta anggota pengiring projek renangan berkenaan.

Beliau berkata, sumbangan tersebut adalah sebagai tanda komitmen dan sokongan kerajaan negeri terhadap usaha dua anak Perak itu yang telah pun mencatatkan beberapa kejayaan dalam bidang renangan sebelum ini. Dua beradik itu sebelum ini berenang dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis sejauh 43 kilometer pada 2007 dan dari Pulau Pangkor ke Lumut sejauh 8.9 kilometer pada 2006. Salman Ali adalah pelajar Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Anglo Chinese di sini manakala Zahra Ma'soumah yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Convent Ipoh, akan melanjutkan pelajarannya dalam bidang Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada Julai ini. Bapa mereka, Abdul Halim Abdul Manaf, 49, seorang pensyarah di UiTM Seri Iskandar dekat sini meramalkan renangan Selat Inggeris dari Dover, England ke Calais, Perancis sejauh 38 kilometer dalam keadaan cuaca sejuk itu akan mengambil masa 14 jam. - Bernama
Petikan www.bharian.com.my 25/5/09

Komunis tiada tempat di Malaysia: Rais

KUALA LUMPUR: Komunis tidak boleh diberi tempat di negara ini kerana dosa mereka membunuh beribu-ribu rakyat Tanah Melayu pada ketika itu tidak boleh dilupai, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin yang melahirkan perasaan positif terhadap bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng, supaya menyatakan pendirian mereka dengan jelas dan tidak berlindung di belakang tabir parti politik masing-masing. "Komen saya mudah, Chin Peng dan komandonya yang bunuh ramai orang dahulu sekali-kali tidak ada tempat bagi kita untuk bermuafakat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan 1Malaysia kepada para pegawai kanan kementerian itu di Angkasapuri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan Parti Gerakan Pulau Pinang supaya Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia atas sebab kemanusiaan. Rais juga menyeru kepada rakyat Malaysia agar tidak terburu-buru mengikuti dan meminati pembaharuan yang dibuat sesetengah pihak khususnya penulis blog yang cuba mendewa-dewakan fahaman komunisme. "Komunis telah mendera negara ini dan kita telah dibelenggu melalui pembunuhan dan pelbagai tindakan dahsyat, ribuan yang telah mati di tangan komunis sudah cukup bagi kita untuk insaf supaya kita tidak keluarkan sesuatu yang menyamarkan fikiran kita terhadap satu rejim yang begitu dahsyat ketika dulu," katanya.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan mengambil tindakan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap pihak yang cuba memberi gambaran positif terhadap komunis, Rais berkata beliau akan membawa perkara itu pada mesyuarat Kabinet nanti. "ISA bukan di bawah bidang tugas saya, tapi saya sedang berurusan dengan menteri berkenaan supaya dia juga bersiap siaga melihat kecenderungan seperti ini. "Apa-apa maklumat yang kita miliki kita akan sampaikan kepada pihak berkuasa pada mesyuarat jemaah menteri minggu ini kerana didapati ada beberapa blog yang sudah mula muncul seolah-olah beri pujian melahirkan perasaan nostalgia kepada komunisme serta angkara yang mereka lakukan," katanya. Baru-baru ini, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan meminta kerajaan membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia atas sebab kemanusiaan memandangkan keganasan komunis sekitar tahun 50-an tidak lagi diamalkan dan komunisme di seluruh dunia termasuk di China serta Russia juga sudah mengalami transformasi. - Bernama
Petikan www.bharian.com.my 25/5/09

Ahad, Mei 24, 2009

Isu MB Perak : Pembangkang jangan terlalu hipokrik

Salam Blogger

Pakatan pembangkang seharusnya tidak mentafsir keputusan Mahkamah Rayuan semalam sebagai sesuatu yang negatif. Jika timbul perasaan tidak puas hati, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin boleh membawa perkara tersebut ke Mahkamah Persekutuan.
Ini merupakan keputusan Mahkamah Rayuan. Jika tidak berpuas hati, hak mereka untuk membawa ke Mahkamah Persekutuan kerana ini adalah proses undang-undang, seperti juga Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang merayu ke Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Apa lagi yang nak bising-bising apabila mahkamah telah membuat keputusan dan kalau mereka yakin sangat rakyat Perak mengundi mereka, tunggu sahaja pilihan raya umum akan datang yang akan berlangsung tidak lama lagi. Saya tidak fikir pakatan pembangkang akan bubar DUN Perak jika mereka menang dalam keputusan Mahkamah Rayuan semalam.

Apabila keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lalu memutuskan kemenangan kepada Datuk Seri Ir. Nizar maka berkatalah mereka mereka ini yang mahkamah telah membuat keputusan yang betul dan adil. Semalam apabila Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi, maka berkatalah lagi mahkamah telah dipengaruhi olih politik dan sistem kehakiman negara telah hancur dan akan mengadakan mogok lapar sebagai protes.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menempelak UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti yang tidak bermoral dan bertamadun kerana menguasai Perak melalui cara tidak terhormat.

Beliau turut menyifatkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai 'Menteri Besar mahkamah' dan bukannya mewakili seluruh penduduk Perak.

"Kenapa pakatan pembangkang yang telah dipilih oleh rakyat secara sah melalui undi, tetapi dirampas oleh UMNO dan BN secara melarikan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri untuk menyokong mereka," katanya.

Saya merasakan Datuk Nik Abdul Aziz kurang berpengetahuan tentang politik walau pun telah menjadi Menteri Besar lebih dari 18 tahun. Dalam politik tidak ada perkara yang mustahil bolih berlaku, hari ini kita kawan, esok kita jadi lawan. Sepertimana Pas melalui Akhbar Harakah pada tahun 1998 telah mengatakan yang Pas bimbang jika Datuk Seri Anwar jadi PM. Beberapa bulan selepas itu Pas menerima Datuk Seri Anwar sebagai rakan politik hingga sekarang. Andaikata projek 16 September Datuk Seri Anwar menjadi kenyataan tahun lepas, adakah Datuk Nik Abdul Aziz akan berkata kerajaan Pakatan Rakyat juga tidak bermoral dan tidak bertamadum?