MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, Januari 06, 2018

Jabatan Kesihatan Terengganu buka pusat transit pesakit berisiko mangsa banjir

MUKHATAR A. RAHMAN
06 Januari 2018 7:21 PM
Mangsa banjir yang terperangkap akibat banjir boleh mendapatkan rawatan awal dengan segera sekiranya tidak sihat di pusat transit berkenaan.


KEMAMAN - Jabatan Kesihatan Terengganu mengambil inisiatif mewujudkan pusat transit pesakit berisiko dalam kalangan mangsa banjir di Sekolah Menengah Agama Al-Fatah, Chukai di sini. 

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar berkata, pembukaan pusat transit pesakit berisiko terbabit bertujuan untuk memudahkan mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mendapatkan rawatan awal dan susulan.

"Mangsa banjir yang terperangkap akibat banjir boleh mendapatkan rawatan awal dengan segera sekiranya tidak sihat di pusat transit terbabit sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman di sini jika penyakit mereka semakin serius.

"Pusat transit itu juga disasarkan kepada mangsa banjir terdiri daripada pesakit yang baru dibenarkan keluar dari wad hospital dan masih menerima rawatan susulan," katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok di sini hari ini. - K! ONLINE 


Jumaat, Januari 05, 2018

Yang DiPertuan Muda lawat mangsa banjir

TENGKU MUHAMMAD ISMAIL menyampaikan wang tunai kepada salah seorang mangaa banjir, Osman Mamat di PPS Bukit Mentok, Kemaman hari ini. - UTUSAN ONLINE/Mukhtar A. Rahman


05 Januari 2018 6:18 PM

KEMAMAN 5 Jan. - Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail ibni Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini meninjau keadaan mangsa banjir dengan melawat beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini.

Ketibaan baginda bersama adinda baginda, Tengku Muhammad Muaz disambut oleh Pegawai Daerah, Mohd. Zahari Md. Azahar; Ketua Polis Derah, Superintenden Mohd Said Ibrahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Terdahulu di sebelah pagi, baginda melawat PPS SK Bukit Mentok dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa di samping bemesra dengan mereka.

Tengku Muhammad Ismail kemudiannya ke PPS Surau Surau Pulau Tempurung sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Meraga Beris, Kijal.

Pada sebelah petang pula baginda melawat PPS Dewan Orang Ramai Kg Batu 14 dan PPS Dewan Orang Ramai Felda Seberang Tayor.

Sementara itu seorang mangsa, Maria Maziah Wok, 67, dari Kampung Bukit Mentok mengucapkan terima kasih kepada keluarga diraja kerana melawat dan turut memberikan sumbangan.

“Makcik mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Muda. Sumbangan ini dapatlah makcik membeli barangan dapur dan barang barang untuk mencuci rumah apabila balik nanti,” ujarnya.

Seorang lagi penerima, Osman Mamat, 66, teruja dapat bertemu Yang di-Pertuan Muda yang datang bertanya khabar. - UTUSAN ONLINE



Khamis, Januari 04, 2018

1,158 mangsa banjir di Kemaman


ANGGOTA Jawatankuasa Pusat pemindahan Sementara mengemaskan bilik darjah Sekolah Kebangsaan Binjai Kemaman untuk menampung mangsa banjir petang tadi. - UTUSAN ONLINE

04 Januari 2018 8:31 PM



KEMAMAN 4 Jan - Seramai 1,158 mangsa daripada 263 keluarga masih berada di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir sejak kelmarin.

Pengerusi Pengurusan Bencana Daerah, Mohd. Zahari Md. Azahar berkata, PPS termasuklah di Dewan Orang Ramai Kampung Teladas, Surau Haji Othman Kampung Seberang Tayor Hulu, Surau Kampung Ban Ho, PPS Kampung Pasir Gajah dan Surau Kampung Pulau Tempurung.

Juga di Dewan Orang Ramai Kampung Batu 14, Masjid Batu 16, Masjid Batu 14, SK Bukit Mentok, Dewan Orang Ramai Felda Seberang Tayor, PPS Lubuk Megat, SK Binjai dan SK Cukai,

“Mereka (mangsa) terdiri daripada 399 lelaki dewasa, 373 wanita dewasa, 342 kanak- kanak dan 44 orang bayi,” katanya ketika ditemui lewat petang ini di sini. - UTUSAN ONLINE

268 mangsa banjir di Kemaman


MUKHATAR A. RAHMAN
04 Januari 2018 10:07 AM
Keaadan banjir di Kampung Tanjung, Bukit Mentok, Kemaman.

KEMAMAN - Seramai 268 mangsa banjir melibatkan 64 keluarga di daerah ini masih berada di enam pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini akibat banjir.

Pengerusi Bencana Daerah Kemaman, Mohd. Zahari Md. Azahar berkata, ia peningkatan daripada 158 orang daripada 31 keluarga sebelum ini.

"Kesemua mereka ditempatkan di 11 PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Teladas, Surau Haji Othman Kampung Seberang Tayor Hulu, Surau Kampung Ban Ho, PPS Kampung Pasir Gajah, Surau Kampung Pulau Tempurung, Dewan Orang Ramai Kampung Batu 14, Masjid Batu 14, Masjid Batu 16, SK Bukit Mentok, SK Cukai dan Masjid Sungai Mas, Kijal.

"Mereka terdiri daripada 73 lelaki dewasa, 80 wanita dewasa, 103 kanak kanak dan 12 orang bayi,"  katanya ketika di temui di Bilik Gerakan Bncana Daerah Kemaman di sini hari ini.

Mohd. Zahari berkata, jawatankuasa bencana daerah sentiasa memantau perkembangan banjir dari masa ke semasa melibatkan pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah Kemaman, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran.- K! ONLINE



Rabu, Januari 03, 2018

EPIC bawa kegembiraan kepada 40 murid di Kemaman





KEMAMAN 3 Jan.- Semuanya 'lebih dari satu' kelengkapan yang dimiliki kini termasuk pakaian seragam dan kasut untuk keperluan bagi 40 murid terpilih dari di dua sekolah di daerah ini apabila melalui permulaan penggal pertama sesi persekolahan 2018.

Tentunya menambahkan kegembiraan buat mereka dan kelegaan bagi ibu bapa sementelahan pada musim hujan yang berlarutan kini apabila Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad menghulurkan bantuan hari ini.

Anak syarikat kerajaan negeri itu memperuntukan RM20,000 bagi tujuan itu dengan setiap murid daripada keluarga berpendapatan kecil itu menerima bantuan bernilai RM500 setiap seorang dalam Program Kembali ke Sekolah EPIC 2018 di Pusat Beli-Belah Mesra Mall Kerteh dekat sini.

Penyampaian disempurnakan oleh Ketua Pegawai Operasi EPIC, Wan Shukri Mohammad yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor.

Yang hadir sama Pengurus Besar, Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif, Wan Mahusain Wan Man; Pengurus Besar Bahagian Perancangan dan Komunikasi Korporat EPIC, Abdul Adzim Abdul Hamid; Pengurus Besar Pengkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (KSB) dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Korporat, Azimah Abd. Rahman.

Noor Fadzil dalam teks ucapannya yang disampaikan oleh Wan Shukri memberitahu, program di bawah tanggungjawab sosial korporat EPIC yang dimulakan pada tahun 2009 ini digerakkan sebagai salah satu komitmen syarikat dalam membantu masyarakat dalam pelbagai bidang.

“Sepanjang tahun lalu EPIC membelanjakan lebih dari RM100,000 bagi membantu kalangan yang kurang bernasib baik melalui Program Kembali Ke Sekolah dengan tumpuan kepada golongan sasar bagi meringankan bebanan mereka.

“Pada hari ini, setiap murid diperuntukkan sehingga RM500 termasuk sebanyak RM350 untuk memenuhi keperluan asas persekolahan seperti mendapatkan uniform sekolah yang lengkap, beg sekolah, buku dan peralatan sekolah yang lain,” katanya.

Sementara itu, Nor Damia Shahirah Amirizan, 11, dari Sekolah Kebangsaan Cukai gembira kerana dengan bantuan yang diterima dia mempunyai lebih banyak pakaian dan kasut untuk digunakan secara bergilir sepanjang minggu.

“Musim hujan baju dan kasut mudah kotor, jika mudah diganti apabila terpaksa dibasuh,” ujarnya sambil menceritakan keadaan ayahnya yang uzur. - UTUSAN ONLINE

110 mangsa banjir di pusat pemindahan Kemaman

MUKHATAR A. RAHMAN
03 Januari 2018 9:59 PM
Keadaan banjir di Kampung Pulau Tempurung, Kemaman.

KEMAMAN - Seramai 110 mangsa banjir melibatkan 23 keluarga di daerah ini masih berada di enam pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini akibat banjir.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Said Ibrahim berkata, mangsa banjir daerah ini bertambah kepada 23 orang dari enam keluarga sehingga pukul 9 malam tadi.
"Mereka merupakan penduduk Kampung Pulau Tempurung dan Kampung Batu 14 Jalan Air Putih di sini.

"Kesemua mangsa banjir berkenaan termasuk sebelum ini ditempatkan di PPS Kampung Teladas, Kampung Seberang Tayor Hulu, Kampung Ban Ho, Kampung Pasir Gajah, Kampung Pulau Tempurung dan Kampung Batu 14 Jalan Air Putih di sini," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Said berkata, penduduk daerah ini terutama yang tinggal berhampiran sungai dinasihat sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dari masa ke semasa memandangkan trend air banjir semakin naik ini.
Menurutnya, pemantauan banjir telah dilakukan berterusan melibatkan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah Kemaman, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan Jabatan Pengairan dan Saliran. - K! ONLINE 

Pemandu lori dan isteri cedera, lori masuk gaung

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan MUKHATAR A. RAHMAN

02 Januari 2018 11:27 PM

Sebuah lori terbalik selepas terjatuh ke dalam gaung berhampiran sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Mak Lagam

Mangsa dikejarkan ke Hospital Kemaman

KEMAMAN - Seorang pemandu lori dan isterinya menghadapi detik cemas terperangkap selama lebih empat jam di dalam sebuah lori yang terbalik selepas terjatuh ke dalam gaung berhampiran sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Mak Lagam di sini hari ini.

Pemandu lori, Abd. Rahman Che Ruas, 56, cedera parah di bahagian kaki manakala isterinya, Norazah Lahan, 54, mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan yang berlaku pada pukul 2.13 petang tersebut.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azmi Ab. Rahim berkata, sewaktu kejadian, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Bukit Sagu, Kuantan, Pahang.

"Sebelum kejadian, mereka telah menghantar barangan di sebuah kedai di Chukai di sini.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori muatan tujuh tan yang kosong dipandu Abd. Rahman tiba-tiba hilang kawalan di sebuah selekoh tajam sebelum terjunam ke dalam gaung yang sedalam kira-kira empat meter," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Azmi berkata, usaha untuk menyelamatkan kedua-dua mangsa pada mulanya agak sukar kerana sebahagian besar kepala lori itu sudah tenggelam ke dalam parit yang terletak di bawah gaung terbabit.

Menurut beliau, Norazah yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan hanya mengalami kecederaan ringan dan berjaya dikeluarkan kira-kira 17 minit selepas kejadian berlaku.

"Begitupun usaha untuk mengeluarkan pemandu lori agak sukar kerana tebing curam dan sebahagian tubuhnya sudah termasuk ke dalam parit.

"Dia yang cedera parah hanya berjaya dikeluarkan pada pukul 7 petang sebelum dikejarkan di Unit Kecemasan Hospital Kemaman di sini untuk menerima rawatan," katanya.

Azmi berkata, keadaan Abdul Rahman kini dilaporkan stabil manakala isteri mangsa yang cedera ringan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama.

Beliau berkata, anggota bomba juga terpaksa menggunakan kemudahan jentolak untuk menarik lori yang terjatuh di dalam gaung terbabit pada kira-kira pukul 9 malam. - K! ONLINE 

http://www.kosmo.com.my/terkini/pemandu-lori-dan-isteri-cedera-lori-masuk-gaung-1.583637

Selasa, Januari 02, 2018

Banjir : Hampir 90 penduduk Teladas berpindah

Jambatan Teladas tidak boleh dilalui

Mohd Said (tiga dari kiri) bersama Rizal meninjau keadaan di pusat pemindahan Kampung Teladas Kemaman

02 Januari 2018 4:49 PM

KEMAMAN 2 Jan. - Hujan berterusan menyebabkan beberapa kawasan terutama di kampung Teladas Air Putih di sini dinaiki air, dan memaksa seramai 87 penduduk daripada lapan keluarga berada di pusat pemindahan bermula awal malam tadi.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Said Ibrahim memberitahu, mangsa ditempatkan dI pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Ramai Teladas dan Surau Haji Othman Seberang Tayor Hulu.

Mohd Said mengingatkan orang ramai sentiasa mengikut arahan pihak berkuasa dengan menitikberatkan aspek keselamatan diri dan keluarga dalam keadaan yang sukar dijangka.

Beliau ditemui ketika meninjau pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Ramai Teladas hari ini bersama Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah, Asisten Superintenden Rizal Mohd Dan. - UTUSAN ONLINE

41 rumah rosak dibadai ribut di Chukai

Keratan Akhbar Kosmo! 2 Januari 2018 Muka Surat 16

Isnin, Januari 01, 2018

Taman Fikri terjejas akibat ribut

Beberapa penduduk di Taman Fikri berusaha menutup bumbung bagi mengelak hujan. - UTUSAN ONLIN

Salah sebuah kediaman di Taman Fikri, Kemaman yang bumbungnya diterbangkan ribut, pagi tadi. - UTUSAN ONLINE

Mukhatar A. Rahman

01 Januari 2018 6:25 PM

KEMAMAN 1 Jan. - Sebanyak 41 buah kediaman melibatkan lebih 160 penghuni di kawasan perumahan Taman Fikri di sini terjejas akibat ribut yang melanda kira kira pukul 11.15 pagi tadi.

Daripada jumlah tersebut, ada sebahagiannya rosak teruk setelah bumbung terkopak dan diterbangkan angin namun nilai sebenar kerosakan belum dapat dipastikan.

Pemangku Penyelia Agensi Transformasi Rakyat Terengganu (ATRA) Cukai,  Mohd Hanafi Rahman ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang mendaftar senarai keluarga mangsa yang terlibat sebelum mengambil langkah tindakan.

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Cukai, Datuk Mohamed Awang Tera pula memberitahu, pihaknya telah meminta pejabat daerah Kemaman menilai segala kerosakan dan melantik kontraktor bagi membaik pulih dengan segera. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/taman-fikri-terjejas-akibat-ribut-1.582777#ixzz54nLAiKhb
© Utusan Melayu (M) Bhd


Beautiful Terengganu











KEMAMAN 1 Jan – Jawatankuasa Pelancongan Dan Kebudayaan Negeri Terengganu kini giat menjayakan kempen menggalakkan orang ramai membudayakan cara hidup sihat menerusi aktiviti fizikal dan amalan pemakanan yang sihat.

Antaranya dengan menganjurkan Program Kempen Gaya Hidup Sihat Beautiful Terengganu Sempena Sambutan Tahun Baru 2018 di Hentian R&R Perasing dekat sini hari ini.

Timbalan Pengerusi Pelancongan Dan Kebudayaan Negeri, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, pengambilan pemakanan yang baik akan membentuk masyarakat yang sihat dan cerdas.

Turut hadir, Pegawai Daerah Kemaman Mohd. Zahari Md. Azahar, Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr. Mohd. Anuar Abd. Rahman, Ketua Bahagian Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan Komuniti Ipd Kemaman, Assisten Superintenden Amran Mat dan Pengurus Wilayah Lebuhraya Pantai Timur, Roszi Ibrahim.

“Di samping menjaga kesihatan yang baik melalui pemakanan, masyarakat juga dapat mengelakkan kos perubatan yang perlu dibelanjakan apabila sakit,” katanya dalam ucapan perasmian program itu.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia kerana telah mewartakan Kawasan R& R Perasing sebagai kawasan larangan merokok.

Jelasnya ibu bapa perlu lebih peka dalam soal pengambilan makanan untuk anak-anak mereka kerana diet makanan yang sihat bermula dari rumah.

“Didikan yang betul perlu diberikan seperti membimbing mereka mengenai pemakanan yang sihat dan seimbang mengikut kadar yang sepatutnya,” ujarnya.

Menurutnya, Kawasan R & R Perasing mempunyai potensi untuk dibangunkan pusat membeli belah bagi memudahkan orang ramai terutama mereka yang tinggal di berhampiran seperti Balok, Sungai Ular, Lembah Jabor, Felda Neram dan juga Ceneh.

Bagaimana pun ia tertakluk kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia memikirkan samaada ia perlu dibangun atau tidak, katanya.