MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Selasa, Mei 22, 2018

Empat bot Vietnam bersama 37 nelayan ditahan

MOHAMAD REZAL KAMAL BASHAH menunjukan anak ikan Yu hidup yang dirampas dari nelayan asing, di Kemaman petang ini. - UTUSAN ONLINE


22 Mei 2018 10:35 PM


KEMAMAN 22 Mei - Pencerobohan nelayan asing terutama dari Vietnam masih berleluasa, dan mereka seakan tidak serik walaupun tindakan tegas terus diambil.

Terbaharu, semalam empat buah bot bersama 37 nelayan ditahan oleh kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Operasi Perkasa Timur di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) kira-kira 120 batu nautika dari Kuala Kemaman.

Ketua Zon Maritim Kemaman, Left. Komander Maritim Mohamad Rezal Kamal Bashah berkata, kesemua empat buah bot ditahan ketika sedang menangkap ikan secara ganding.

“Hasil pemeriksaan, kesemua 33 awak awak dan 4 tekong berumur 18 hingga 59 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, dan mereka ditahan atas kesalahan dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959.

“Kesemua bot dibawa ke Pengkalan Maritim Kemaman dan tiba pada pukul 3.30 petang ini,” katanya dalam sidang akhbar.

Mohamad Rezal berkata, pemeriksaan mendapati anggaran 2,600 kilogram ikan pelbagai jenis, 2,000 kilogram ikan baja dan 3,700 liter minyak disel.

Terdapat juga hampir 20 ekor ikan Yu hidup yang mendapat nilai pasaran cukup tinggi di negara jiran terutama Thailand.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan peralatan dianggarkan berjumlah RM3.5 juta. - UTUSAN ONLINE

Ahad, Mei 20, 2018

Lima lelaki mengedar dadah di tahan

MOHD. SAID (tengah) bersama Nawawi dan Mohd Faizol menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di IPD Kemaman hari ini. - UTUSAN ONLINE


20 Mei 2018 1:58 PM


KEMAMAN 20 Mei - Polis menahan lima lelaki yang berjinak-jinak mengedar dadah di daerah ini sejak awal tahun dalam serbuan di Kampung Mak Cili Paya dekat sini pada awal pagi Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Said Ibrahim memberitahu, pihaknya turut merampas dadah jenis heroin seberat 154.8 gram, syabu (1.80 gram) dan pil kuda (220 biji) yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM12,360.

Katanya, semua suspek yang berusia antara 24 hingga 40 tahun itu kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Empat daripada mereka disahkan positif dadah manakala seorang pula mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Asisten Superintendan Mohd Faizol Azuhan Che Omar dan Inspektor Nawawi Muhamad.

Katanya, suspek mendapat bekalan dadah di Pengerang, Johor dua hari sebelum tangkapan dibuat untuk dijual kepada penagih di kawasan sekitar daerah ini.

“Selain itu pihaknya turut menyita sebuah kereta Toyota Wish bernilai RM45,000 dan sebuah motosikal bernilai RM3,500,”ujarnya. - UTUSAN ONLINE