MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Rabu, Mei 28, 2025

Lima pelajar kolej vokasional bergaduh ditahan

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Polis menahan lima pelajar lelaki di sebuah kolej vokasional di daerah ini selepas disyaki terlibat dalam kes pergaduhan dan pukul seorang pelajar lelaki di asrama kolej itu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kesemua pelajar berusia 17 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam, selepas mangsa yang juga berusia 17 tahun tampil membuat laporan polis tengah hari semalam.

“Kejadian pergaduhan dan pukul itu berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam, pada Selasa.

“Kejadian itu dipercayai berlaku berpunca akibat rasa tidak puas hati antara mangsa dengan suspek kerana suspek mengejutkan mangsa yang sedang tidur dengan cara menendang katil dan kemudiannya, berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Mohd. Razi berkata, beberapa rakan mereka yang lain juga dipercayai turut masuk campur dengan pergaduhan itu dan mangsa mendakwa dipukul beberapa rakannya.

“Mangsa telah dirujuk ke klinik untuk membuat pemeriksaan dan setakat ini kita masih belum mendapat laporan pemeriksaan perubatan mangsa,” katanya.

Mohd Razi berkata, lima remaja itu kini ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat  mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. – Suara Timur

380 kanak-kanak Tadika YIT Chukai jalani simulasi ibadat haji

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seramai 380 kanak-kanak daripada Tadika Yayasan Islam Terengganu (Tadika YIT) Cawangan Chukai mengikuti Program Lambaian Kaabah, Simulasi Haji Cilik, semalam.

Program tersebut yang berlangsung di Kampung Gong Limau, Chukai bertujuan memberikan pendedahan awal kepada generasi muda mengenai ibadah haji melalui aktiviti simulasi dan pembelajaran interaktif.

Seramai 196 orang daripada kanak-kanak itu berusia 5 tahun dan 184 orang berusia 6 tahun dibimbing 42 orang tenaga pengajar yang diketuai Ketua Biro Kurikulum, Akhtar Najihah Anuar.

Guru Besarnya, Roslina Abdulllah berkata, kanak-kanak tersebut menjalani simulasi suasana sebenar mengerjakan haji, bermula dengan urusan menaiki kapal terbang ke Mekah.

GURU Besar Tadika YIT Cawangan Chukai, Roslina Abdulllah.

Katanya, program tahunan kali kelima itu bertujuan memberi pendedahan lebih luas kepada kanak-kanak terhadap ibadat yang menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam itu dan menyemai kecintaan mereka terhadap agama.

“Jemaah kanak-kanak itu dilepaskan dengan bacaan doa oleh Iman Masjid Jamek Chukai, Abdul Hadi Salleh yang juga bertindak sebagai mutawih,” katanya.

TENAGA pengajar Tadika YIT Cawangan Chukai, Kemaman.

Menurut Roslina, kanak-kanak itu mengikuti pembelajaran tersebut secara praktikal termasuk memakai pakaian ihram manakala pelajar perempuan memakai telekung.

“Mereka juga diajar cara mengerjakan ibadah tawaf, tempat wukuf, mengutip batu dan melontar jamrah, Bukit Safa dan Marwah serta kawasan bertahallul,” ujarnya.

Program yang bermula pukul 8 pagi dan berakhir pukul 11 pagi dengan kanak kanak diajar cara cara menyembelih kambing. – Suara Timur



Ahad, Mei 25, 2025

‘Biasiswa Terengganu Sejahtera’ dilancar

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kerajaan Terengganu melalui Yayasan Terengganu hari ini melancarkan ‘Biasiswa Terengganu Sejahtera’ bagi membantu para pelajar yang kurang berkemampuan di negeri itu untuk meneruskan pengajian di Kolej Universiti Tati (TatiUC). 

Menteri Besar,  Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM1.6 juta khusus bagi membantu anak-anak negeri itu yang akan memulakan pengajian di TatiUC tahun ini.

Beliau berkata, objektif utama penubuhan biasiswa itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri bagi memastikan tiada anak-anak yang cemerlang negeri itu terhalang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana masalah kewangan.

Menurutnya, pendidikan adalah kunci utama untuk memecahkan lingkaran kemiskinan di samping berupaya meningkatkan taraf hidup masyarakat.

“Jumlahnya hampir RM1.6 juta untuk digunakan oleh pelajar-pelajar di Kolej Universiti Tati. Yang ini kita tengok, kalau tak cukup, kita akan semak semula,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata demikian pada Majlis Hari Terbuka Kolej TatiUC di Kampus Teluk Kalong, di sini, hari ini.

Turut hadir Rektor TatiUC, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid.

Beliau menambah, kerajaan negeri akan melihat kemampuan kewangan negeri dan mungkin akan menambah jumlah biasiswa berkenaan sekiranya terdapat permintaan.

Selain itu, katanya, Ahmad Samsuri meminta anak-anak negeri itu yang menuntut di TatiUC supaya dapat mengambil peluang pendidikan yang diberikan itu termasuk mendalami bidang kecerdasan buatan (AI)

“Pelajar perlu mendalami bidang dan kemahiran berkaitan AI kerana yang manusia yang hebat perlu mengawal AI dan bukan hanya bergantung kepada AI,” katanya.- Suara Timur