MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Khamis, Jun 26, 2025

Masjid baharu UiTM Bukit Besi bernilai RM6 juta siap 2027

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Universiti Teknologi Mara (UiTM)  Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi di sini, bakal dilengkapi kemudahan sebuah masjid baharu bernilai RM6 juta yang dapat menampung sehingga 1,500 jemaah dalam satu masa pada 2027.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin berkata, pembinaan masjid atau dikenali pusat hidayah bagi fasa satu yang bernilai RM2 juta dibina di atas atas tanah berkeluasan 0.61 hektar itu, merupakan hasil sumbangan orang ramai yang dikumpul sejak 2018.

“Kita menyasarkan pembinaan keseluruhan pusat hidayah ini menelan belanja kira-kira RM6 juta, merangkumi tiga fasa yang mana fasa pertama adalah untuk pembinaan ruang ibadah yang dilengkapi pelbagai kemudahan bertemakan minimalis.

SULTAN Mizan Zainal Abidin melancarkan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Masjid UiTM Terengganu Kampus Bukit Besi di Dungun, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Fasa kedua dan ketiga pula akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk kelas pengajian, perpustakaan mini, dewan dan dijadikan pusat aktiviti keagamaan untuk kegunaan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Masjid UiTM Terengganu Kampus Bukit Besi di sini, hari ini.

Majlis pecah tanah projek itu disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, hari ini.

Baginda bersama dua anakandanya, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Seri Setia Mahkota Raja, Tengku Datuk Seri Muhammad Muaz, disambut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

GAMBAR ilustrasi Masjid UiTM Terengganu Kampus Bukit Besi, Dungun.

Shahrin berkata, masjid yang mengambil masa dua tahun pembinaan itu bukan hanya akan digunakan untuk kemudahan pelajar, malah akan dibuka kepada penduduk setempat dan orang ramai untuk menunaikan solat termasuk solat Jumaat.

“Ketika awal kampus UiTM ini beroperasi pada 2013 hingga 2016, pelajar terpaksa ke Masjid Bukit Besi dan Masjid Bandar Al Muktafi Billah Shah yang jaraknya lima hingga lebih 15 kilometer untuk solat jumaat, sebelum kami mendapat tauliah untuk menunaikan solat Jumaat di surau kampus ini. Selepas ini, Insya-Allah pelajar akan dapat beribadah di ruang yang lebih selesa.

“Pembinaan masjid ini juga akan menjadi mercu tanda baharu kawasan ini dan bukan menjadi tempat ibadah semata-mata tetapi juga pusat penyatuan masyarakat di sini,” katanya. – Suara Timur

Penjawat awam rugi RM85,000 diperdaya penipuan dalam talian

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang penjawat awam berusia 40 tahun mengalami kerugian RM85,000 selepas terpedaya dengan penipuan dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, mangsa telah menyertai pelaburan dalam perniagaan pelancongan dalam talian yang diperkenalkan oleh seorang wanita warganegara Indonesia yang dikenalinya melalui laman sosial.

“Mangsa telah membuat lapan  transaksi bermula 19 Jun  hingga 24 Jun lalu  ke dua akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM175,510.00.

“Daripada jumlah tersebut, mangsa hanya menerima pulangan sebanyak
RM90,510 menyebabkan kerugian berjumlah RM85,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian pada 25 Jun lalu.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Suara Timur

Pelajar rugi RM70,000 dipedaya penyamaran tipu panggilan

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang pelajar sebuah universiti di sini mengalami kerugian RM70,000 selepas terpedaya dengan penyamaran tipu panggilan pada 22 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, pelajar berusia 20 tahun itu mendakwa telah menerima  panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai Cyber Security Malaysia dan pegawai polis.

Menurutnya, nombor telefon pelajar itu didakwa telah terlibat dengan penipuan wang sebanyak RM2.28 juta

Katanya, pegawai Cyber Security Malaysia dan pegawai polis yang menyamar itu mendakwa mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram dan ada satu waran tangkap ke atas mangsa.

“Mangsa kemudian melakukan tiga tiga transaksi pindahan wang melalui mesin ATM berjumlah RM 70,000.00 ke akaun bank yang diberikan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Razi menambah, pengadu menyedari telah ditipu setelah memaklumkan kejadian tersebut kepada rakannya.

Katanya, siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Suara Timur

Rabu, Jun 25, 2025

Kemas Terengganu laksana program Thalatha Tis’a di tiga taska

 

DUNGUN : Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Terengganu melaksanakan program Thalatha Tis’a di tiga taska di negeri ini dalam usaha melahirkan generasi celik Al-Quran seawal usia tiga tahun.

Pengerusi Komuniti Kemas Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, pada peringkat permulaan, seramai 100 kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun terpilih menyertai program perintis itu yang bermula sejak Februari lepas.

Menurutnya, program itu merupakan usaha untuk memperkenalkan pendidikan tahfiz bagi kanak-kanak seawal usia tiga tahun dan tamat hafazan 30 juzuk Al-Quran sebelum berusia sembilan tahun.

SALAH seorang kanak-kanak perempuan yang menyertai peserta program Thalatha Tis’a di Taska Kemas 2 Setia di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Kita menggunakan modul pengajaran dari Indonesia yang mana selain guru-guru di taska yang mengajar Al-Quran, mereka akan dibantu tiga orang tenaga pengajar dari Indonesia yang juga pakar dalam Al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Thalatha Tis’a Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Taska Kemas 2 Setia di Bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Kemas Negeri, Dr Faridah Mat dan Penaung Program Thalatha Tis’a, Tan Sri Idris Jusoh.

IDRIS Jusoh (tengah) hadir pada Program Thalatha Tis’a Ketengah di Taska Kemas 2 Setia di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Rozi berkata, dua lagi taska perintis yang melaksanakan program itu ialah Taska Kemas PPAK Gong Kepas di Besut dan Taska Kemas PAKR Kuala Telemong di Hulu Terengganu.

“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya kesemua Lapan Parlimen di Terengganu akan ada satu Taska yang melaksanakan program ini pada tahun hadapan dan kita akan memohon dengan kementerian untuk meluaskan program ini.

“Kita juga mahu pada masa akan datang sebelum usia tujuh tahun, kanak-kanak di negeri ini telah hafaz Al Quran dan program ini turut diperluaskan di semua Taska Kemas,” katanya.

Menurutnya, program ini turut memberi fokus terhadap penguasaan kemahiran seperti baca, hafaz, tulis dan bahasa Arab. – Suara Timur

Selasa, Jun 24, 2025

Polis berpangkat sarjan cedera motosikal ditunggangi dilanggar MPV

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang anggota polis berpangkat sarjan cedera selepas motosikal ditungganginya dipercayai dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kampung Mak Chili di sini, semalam.

Mangsa berusia 42 tahun yang berkhidmat Unit Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman tercampak ke dalam sebuah longkang sedalam hampir dua meter akibat kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi hari ini, mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan dari IPD Kemaman untuk rehat dan makan tengah hari di Kampung Mak Chili kira-kira pukul  1.33 petang.

KEADAAN motosikal ditunggangi seorang anggota polis berpangkal sarjan di Kampung Mak Chili, Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Sejurus tiba di lokasi kejadian di satu simpang empat, MPV yang dipandu seorang wanita berusia 59 tahun dari simpang sebelah kanan jalan dikatakan keluar dari simpang tersebut secara tiba-tiba.

“Kenderaan MPV terbabit kemudiannya telah melanggar bahagian tepi sebelah kanan motosikal mangsa menyebabkannya terbabas ke bahu kiri jalan dan mangsa tercampak ke dalam longkang,” katanya.

Mohd Razi memberitahu, sepasukan sebelas anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai dan ambulan dari unit EMRS telah memberi rawatan awal dan berjaya mengeluarkan mangsa dengan peralatan khas.

“Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian tulang belikat sebelah kiri dan dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman dan keadaannya dilaporkan stabil,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah seksyen 43 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987.  – Suara Timur

Isnin, Jun 23, 2025

Tindakan mahasiswa bakar gambar Perdana Menteri tidak bertanggungjawab, melampaui batas

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Angkatan Muda Keadilan (AMK)  Dungun memandang serius tindakan sekumpulan mahasiswa di Sabah membakar gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu demonstrasi jalanan di Kota Kinabalu, pada 21 Jun lalu.

Ketua Penerangan AMK Dungun, Heikarl Edzha berkata, tndakan tersebut bukan sahaja melanggar peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, malah mencerminkan sikap yang tidak wajar dan tidak bertanggungjawab, khususnya dalam kalangan anak muda yang sepatutnya menunjukkan contoh lebih baik dalam menyuarakan pandangan.

Menurutnya, kebebasan berhimpun dan bersuara sememangnya dijamin dalam negara demokrasi seperti Malaysia.

Namun, katanya, kebebasan ini mesti dilaksanakan dengan penuh adab, berhemah dan dalam ruang yang dibenarkan oleh batas undang-undang.

SEKUMPULAN mahasiswa mwmbakar gambar Anwar Perhimpunan Gempur Rasuah 2.0 anjuran Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu, Sabah.

“Kerajaan pada hari ini telah membuktikan kesediaan membuka ruang kepada rakyat, termasuk golongan mahasiswa, untuk menyuarakan pandangan secara aman dan berhemah.

“Maka, adalah tidak wajar sama sekali apabila kebebasan ini disalahguna untuk mencetuskan tindakan provokasi yang melampau dan keterlaluan dan boleh merosakkan suasana demokrasi yang sihat di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Heikarl menambah,  AMK Dungun menyeru semua pihak, terutamanya anak muda dan mahasiswa, agar lebih bijak dalam memilih pendekatan menyuarakan pandangan.

“Politik idea, nilai dan hujah yang membina harus diangkat melebihi politik kebencian yang menjurus kepada perpecahan dan tindakan melulu,” ujarnya.

Pada 21 Jun lalu dilaporkan sebahagian mahasiswa yang menyertai Perhimpunan Gempur Rasuah 2.0 anjuran Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu telah bertindak membakar gambar Perdana Menteri. – Suara Timur