MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, Mac 22, 2025

Larangan aktiviti ‘busking’, hormat bulan Ramadan

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kerajaan negeri mendakwa larangan aktiviti persembahan ‘busking’ atau muzik jalanan atau ‘busking’ pada 10 malam terakhir Ramadan di negeri ini dikuatkuasakan selepas menerima banyak rungutan daripada pelbagai pihak berhubung aktiviti itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata,
larangan aktiviti persembahan muzik jalanan itu bukan bertujuan menyekat punca rezeki golongan tersebut.

Sebaliknya, beliau berkata, tindakan itu diambil untuk menghormati 10 hari terakhir bulan Ramadan.

“Kita tidak ada niat untuk menyekat sesiapa mencari rezeki, tetapi apabila hal ini menjadi isu yang menimbulkan keresahan rakyat, maka tindakan perlu diambil sebagai penyelesaian. 

“Walaupun ada antara mereka yang mematuhi prosedur, ada juga beberapa persembahan yang dikatakan agak keras dengan muzik yang kuat dan kurang sesuai di bulan Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Peliter @ Perasing di Hentian Rehat dan Rawat Perasing, di sini, malam tadi.

Pada program itu, Razali turut bertemu dan mendengar rugutan  daripada beberapa wakil Persatuan Buskers Terengganu. 

Larangan aktiviti tersebut hanya dikuatkuasakan selama 10 hari bermula Khamis lalu hingga 30 Mac ini.

Razali berkata, kerajaan negeri juga akan mengadakan perjumpaan dengan wakil buskers bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu itu dalam masa terdekat.

“Selepas hari raya, aktiviti ini dapat diteruskan seperti biasa dan mungkin kita akan bincang SOP yang lebih baik untuk bulan Ramadan akan datang.

“Persatuan dan kumpulan pemuzik jalanan ini juga perlu melihat semula apa yang dikatakan busking termasuk alat yang digunakan. Busking ini muziknya tidak kuat dan muzik itu hanya boleh didengari di sekitar kawasan itu sahaja dan bukannya berbentuk ‘live band’,” katanya. – Suara Timur

Jumaat, Mac 21, 2025

Guru KAFA, imam antara 70,000 terima ‘duit raya’ RM250 – PM

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Lebih 70,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja serta marbut di seluruh negara bakal menerima bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) pada minggu depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan keseluruhan bantuan tersebut berjumlah RM17 juta.

Menurutnya, setiap seorang daripada mereka akan menerima bantuan tersebut sebanyak RM250 seorang.

“Insya-Allah, BKK Aidilfitri ini akan dibayar bermula minggu depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani peringkat negeri Terengganu 2025 di Masjid Sultan Ahmad di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

ANWAR Ibrahim ditemani Ahmad Samsuri Mokhtar mengunjungi Bazar Ramadan Padang Astaka, Chukai, Kemaman.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM1.836 bilion bagi Belanja Pembangunan di negeri Terengganu, berbanding RM1.597 bilion pada tahun 2024.

Jelasnya, peruntukan ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM239 juta berbanding tahun sebelumnya.

Anwar menambah, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM1.836 bilion bagi Belanja Pembangunan di negeri Terengganu, berbanding RM1.597 bilion pada tahun 2024.

Menurutnya, peruntukan ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM239 juta berbanding tahun sebelumnya.

Daripada jumlah tersebut, tambahnya, sebanyak 83 projek telah siap di Terengganu dengan kos keseluruhan RM1.826 bilion.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM2.243 bilion bagi pelbagai projek tebatan banjir serta pemuliharaan muara sungai dan hakisan pantai di Terengganu.

Daripada jumlah tersebut, sebahagian besar peruntukan terdiri daripada projek pemuliharaan muara sungai dengan nilai keseluruhan sebanyak RM999.86 juta.

“Selebihnya merangkumi projek di bawah Rancangan Tebatan Banjir sebanyak RM581.39 juta serta Projek Loji Rawatan Kumbahan dan Rangkaian Paip Pembetungan bernilai RM662.26 juta,” jelasnya. – Suara Timur

Khamis, Mac 20, 2025

15 anak istimewa PDRM terima sumbangan raya

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seramai 15 orang anak-anak istimewa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dan Dungun menerima sumbangan raya berupa wang tunai, barangan keperluan dan hamper, hari ini.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin sempena Majlis Iftar Ramadan Bersama di Dewan Kompleks Perumahan PDRM Bukit Mentok, di sini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli dan Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir.

MOHD Khairi Khairudin (dua kanan) menyerahkan sumbangan wang tunai kepada mangsa kebakaran Kopral Zul Rahmat sempena Majlis Iftar Ramadan di Dewan Kompleks Perumahan PDRM Bukit Mentok, Kemaman,  hari ini. – GAMBAR/MUKHATAR A. RAHMAN

Pada majlis yang sama, Mohd Khairi turut menyampaikan sumbangan kepada seorang anggota polis, Koperal Zul Rahmat setelah rumahnya musnah dalam kebakaran, baru-baru ini.

Barangan dan wang tunai tersebut disumbangkan oleh Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Polis Terengganu, IPD Kemaman, IPD Dungun, Persatuan Pegawai Kanan Polis (PPKP) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRP).

Pada majlis tersebut, Presiden PPKP, Asisten Komisioner Suffian Sulaiman turut menyerah sumbangan wang tunai kepada Zul Rahmat.

Khamis lepas Suara Timur melaporkan tujuh buah rumah teres dua tingkat di Taman Alam Perdana, Chukai, di sini, musnah dalam kebakaran tersebut. – Suara Timur

Selasa, Mac 18, 2025

PASAK agih bakul makanan kepada enam sekolah

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Pertubuhan Aspirasi Anak Kemaman (PASAK) mengagihkan 35 bakul makanan hasil sumbangan orang ramai kepada enam sekolah di daerah ini, semalam.

Pengerusinya, Mohamad Reeza Abd. Patah berkata, PASAK merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (ngo) yang baru ditubuhkan lapan bulan lalu oleh sekumpulan anak muda daerah Kemaman.

“Lima Fokus utama PASAK  antaranya Pendidikan, Kebajikan, Kesukarelawan, Modal Insan dan Kemasyarakatan.

“Kita nak membantu mengembangkan potensi pendidikan anak-anak pelajar dalam daerah Kemaman disamping menggalakkan program berbentuk kebajikan, kemasyarakatan dan juga kesukarelawanan katanya ketika dihubungi Suara Timur hari ini.

MOHAMAD Reeza (dua kanan) menyampaikan bakul makanan kepada guru SK Cheneh Baru 2, Kemaman.

Mohamad Reeza yang juga Pegawai Tadbir di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat berkata, program ini dinamakan Program Bakul Makanan Ramadan 1446.

Menurutnya, selain kotak makanan, PASAK juga mengagihkan duit raya kepada 35 pelajar miskin dan yatim kepada enam buah sekolah yang mana nama pelajar dipilih oleh pihak sekolah sendiri.

Katanya, antara sekolah yang terpilih seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai, SK Seri Geliga, SK Cheneh Baru 2, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, SMK Seri Cheneh dan SMK Cheneh Baru.

MOHAMAD Reeza (kanan) menyerahkan bakul makanan kepada guru SMK Chukai, Kemaman.
MOHAMAD Reeza menyampaikan bakul makanan kepada salah seorang murid di SK Seei Geliga, Kemaman.

“Alhamdulillah, program ini berjaya dilaksanakan dan PASAK mengucapkan terima kasih kepada semua cikgu dan pihak sekolah atas kerjasama yang diberikan.

“Sokongan yang amat memberangsangkan membuatkan kami sangat terharu.
Terima kasih kepada semua yang memberikan sumbangan dan hanya Allah yang mampu membalas jasa mereka semua,” katanya. – Suara Timur

Isnin, Mac 17, 2025

Suri rumah rugi RM50,000 terpedaya sindiket tawaran kerja tidak wujud

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Akibat terpedaya tawaran kerja yang tidak wujud, seorang suri rumah di daerah ini mengalami kerugian sebanyak RM50,550.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli, berkata, wanita berusia 47 tahun itu telah tertarik dengan sebuah iklan di laman sosial yang menawarkan kerja dengan komisen lumayan pada 3 Mac lalu,

“Mangsa kemudian telah berurusan dengan suspek iaitu seorang wanita berbangsa Cina melalui aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai tawaran itu.

“Mangsa telah diberikan tugasan iaitu perlu membuat bayaran beberapa tempahan hotel secara dalam talian dengan nilai tempahan berbeza dan dijanjikan komisen antara empat hingga 10 peratus,” katanya kepada pemberita semalam.

Mohd. Razi berkata, mangsa kemudiannya telah membuat 24 kali pindahan wang secara atas talian ke 22 akaun berbeza bermula 5 Mac hingga 14 Mac dengan jumlah RM50,5000.

“Mangsa mula menyedari dia tertipu selepas tidak menerima sebarang komisen yang dijanjikan, susulan itu mangsa membuat laporan di Balai Polis Chukai, semalam,” ujarnya.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Suara Timur