MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, Mac 08, 2025

Tujuh buah rumah teres dua tingkat musnah terbakar

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang lelaki melecur di bahagian tangan dan tiga buah kereta serta sebuah motosikal penduduk hangus dalam kebakaran membabitkan tujuh buah rumah teres dua tingkat di Taman Alam Perdana, Binjai, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Hanif Che Khalid, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.55 pagi.

Menurutnya, sebaik sahaja menerima lapuran, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian bersama kekuatan dua puluh lima anggota bersama tiga jentera.

“Sejurus tiba di lokasi, api sedang marak di bahagian depan dan parkir beberapa buah rumah teres berkenaan dan pihaknya mengambil masa kira-kira 50 minit untuk mengawal kebakaran dari merebak,” katanya kepada media, hari ini.

DUA buah kereta musnah dalam kebakaran di Taman Alam Perdana Binjai, Kemaman, hari ini. – FOTO: MUKHATAR A. RAHMAN

Menurutnya, anggota bomba yang tiba mendapati ada seorang mangsa melecur dalam lima peratus di kedua-dua belah tangan dihantar ke hospital terdekat.

“Lima daripada tujuh rumah berkenaan rosak teruk pada bahagian hadapan sementara sebuah rumah terbakar hampir 85 peratus,’ katanya

Beliau memberitahu, punca dan nilai kerugian keseuruhan mangsa terlibat masih dalam siasatan.

“Kita mengambil masa selama 50 minit untuk mengawal kebakaran dan keanggotaan kita terdiri daripada 25 orang termasuk Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Kemaman dan Bomba Sukarela Seberang Tayor,” ujarnya.

TUJUH buah rumah teres dua tingkat yang terbakar di Taman Alam Perdana Binjai, Kemaman, hari ini. – FOTO: MUKHATAR A. RAHMAN

Sementara itu seorang mangsa yang ditemui Ahmad Zulwafi Mohd Sitara berkata, dia hanya menyedari rumahnya terbakar selepas dimaklumkan jiran sebelah rumahnya.

“Ketika kejadian dia sedang tidur bersama isteri dan anaknya dan terus bergegas keluar melalui pintu belakang menyelamatkan diri dan keluar dari rumah berkenaan.

“Pada pukul 7.40 pagi hingga 7.45 pagi, seorang jiran telefon memberitahu saya  bahagian depan rumah sudah dijilat api, saya cuba keluar melalui pintu hadapan tetapi api telah menyambar kereta Persona yang berada di hadapan pintu. Saya, isteri dan anak keluar melalui pintu belakang. Alhamdulillah kami semua selamat,” katanya.

ANGGOTA bomba sedang memadam kebakaran di Taman Alam Perdana Binjai, Kemaman, hari ini. – FOTO: MUKHATAR A. RAHMAN

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, pihaknya menerima aduan kebakaran lebih kurang pukul 7.52 pagi dan terus bergegas ke tempat kejadian bagi mengesahkan kebakaran dan membuat kawalan. – Suara Timur

Bubur Lambuk Perpaduan

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seramai 250 orang ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) daerah Kemaman dan Dungun telah menjayakan Program Gerak Rahmah Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 yang diadakan di Dewan Sivik Kerteh disini hari ini.

Sebanyak 50 periuk disediakan sebagai simbolik sempena sambutan Jubli Emas Rukun Tetangga.

Program Gerak Rahmah merupakan salah satu aktiviti di bawah Program Komuniti Rahmah yang merupakan kluster program ketiga di bawah flagship Kembara Perpaduan Malaysia MADANI, Kementerian Perpaduan Negara yang telah bermula pada tahun 2023.

Program ini bertujuan untuk menggerakkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) secara menyeluruh dan bersepadu di seluruh negara bagi memastikan keaktifan serta keberkesanannya di peringkat komuniti.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Program ini juga merupakan salah satu aktiviti di bawah bidang ketiga RT Progresif iaitu Kesejahteraan Komuniti. Konsep pelaksanaan aktivit ini digerakkan secara bergotong-royong dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi, NGO dan swasta

Program ini menjadi tapak integrasi untuk memperkukuhkan semangat kerjasama, bersatu padu dan hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini ke arah membina Malaysia yang lebih harmoni, sejahtera, mampan dan progresif.

Bercakap kepada media Aaron berkata, program ini merupakan anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu.

“Program ini merupakan anjuran kali keempat yang dianjurkan secara serentak di seluruh negara pada tahun ini. Sebanyak lebih 700,000 bekas bubur lambut telah diedarkan seluruh negara oleh kementerian melalui 3,400 Kawasan Rukun Tetangga.

“Ujarnya lagi, program seumpama ini bukan sahaja Berjaya menghimpunkan dan menggerakkan warga KRT secara bersepadu, tetapi juga dapat mengeratkan perpaduan dalam kalangan masyarakat di pelbagai peringkat tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama. – Suara Timur

Khamis, Mac 06, 2025

1,170 KIR mangsa banjir dapat ‘durian runtuh’

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Wajah 1,170 ketua isi keluarga (KIR) mangsa banjir di daerah ini terpancar kegembiraan apabila menerima sumbangan sempena menyambut perayaan Aidilfitri, hari ini.

Mereka menerima bantuan wang ihsan mangsa banjir Monsun Timur Laut (MTL) Tahun 2024/2025 daripada Kerajaan Persekutuan.

Majlis agihan bantuan tersebut telah disempurnakan oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu (PPPNT) di Kemaman Arena Square, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Jalan Padang di sini.

Bantuan ini bertujuan meringankan beban keluarga mangsa banjir dalam usaha pemulihan akibat bencana yang menimpa daerah ini tahun lalu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kemaman Kapten (PA) Mohd. Suhaimi Awang @ Muhammad berkata, agihan bantuan  ini adalah pembayaran fasa pertama yang melibatkan 1,170 KIR dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.

Menurutnya, kerajaan pusat memperuntukkan sebanyak RM2,927,000.00 bagi 2,927 KIR yang terjejas akibat banjir Monsun Timur Laut (MTL) Tahun 2024/2025 yang lalu.

“Bagi mangsa banjir yang belum menerima, pihaknya akan memaklumkan dengan kadar segera apabila mendapat pengesahan daripada PPPNT,’ katanya kepada Suara Timur.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah PPPNT, Mohd. Zaid Mohamed Yusoff, Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Masyarakat), Abdul Hakim bin Abdul Latiff.

SADIAH MAT AMIN
AHMAR SALLEH

Saorang penerima, Arifin Ismail, 63, dari Perumahan Rumah Mampu Milik, Teluk Kalong, Kijal melahirkan rasa gembira dengan bantuan ini.

“Terima kasih kerajaan diatas bantuan ini, dengan bantuan ini dapat membuat persiapan menyambut hari raya.

“Saya sudah lapan tahun tak dapat kerja akibat sakit jantung dan stroke,” katanya.

Bagi pesara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang berasal dari Kampung Padang Kemunting, Ibok Ahmad Salleh, 63, pula mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah memberi bantuan wang ihsan mangsa banjir MTL menjelang sambutan Aidilfitri.

Menurut Ahmad, wang sumbangan yang diterima hari ini akan digunakan untuk mengganti barangan yang rosak dan sedikit untuk persiapan raya.

NOORISHAM SELAMAT
ARIFFIN ISMAIL

Sadiah Mat Amin, 70, dari Kampung Meraga Beris, Kijal, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Madani di atas bantuan ini.

Sadiah yang lebih mesra dengan penggilan Mok Su berkata, ketika banjir Monsun Timur Laut (MTL) lalu beliau terpaksa berpindah sebanyak tiga kali di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Meraga Beris, Kijal.

Seorang lagi penerian bantuan ihsan mangsa banjir MTL, Noorisham Selamat, 50, berkata, ketika banjir melanda daerah Kemaman yang lalu, dia berpindah sebanyak dua kali di PPS Sekolah Kebangsaan Ibok.

Beliau yang berasal dari Kampung Kebun Sayur, Yakyah, Ibok, Kijal mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas sumbangan bantuan ihsan mangsa banjir MTL 2024/2025.

“Wang RM1,000 yang diterima hari ini dapatlah membeli ganti barangan rumah yang rosak akibat banjir dan barangan keperluan harian sempena Aidilfitri,” ujarnya. – Suara Timur

Rabu, Mac 05, 2025

Peniaga lemang tidak naikkan harga sesuka hati

  


 Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

 

KEMAMAN: Kenaikan harga bahan mentah bukan satu alasan untuk peniaga lemang di Kijal dekat sini menaikkan harga sesuka hati sehingga membebankan pelanggan.

 

Peniaga, Rabiah Ismail, 59, berkata, kenaikan harga adalah perkara biasa bergantung kepada harga bahan seperti santan, beras pulut, kayu api, daun pisang dan buluh.

 

“Kami peniaga lemang  terpaksa menaikan harga tetapi bukanlah sampai mencekek darah pelanggan.

 

“Kami juga faham masalah ekonomi hari ini. Ada pekerja yang berpendapatan rendah dan ada yang berpendapatan tinggi,” katanya ketika ditemui Suara Timur, hari ini.

 



 Rabiah yang mesra dengan panggilan Kak Ruby berkata, bagi mereka yang berpendapatan tinggi mungkin tidak timbul masalah tetapi memberi kesan dalam kalangan berpendapatan rendah.

 

“Rata-rata peniaga lemang di sini menaikkan harga tidak terlalu tinggi dan tindakan itu terpaksa dilakukan bagi mengelak kerugian,’ katanya.

 

“Harga satu kilogram (kg) santan mencecah hingga RM16 berbanding sebelumnya yang hanya RM13. Setiap peniaga membeli santan sebanyak 10 kg sehari.

 

“Disebabkan kesukaran mendapat bekalan dari pembekal di Terengganu, kami terpaksa mendapat bekalan dari Pahang walaupun harganya agak tinggi,” ujarnya.

 



 Menurut Rabiah, Lemang Kijal masih boleh didapati dengan harga RM4 hingga RM10 sebatang bergantung kepada sais buluh.

 

Beliau mula menjual lemang ketika berusia 24 tahun di Kampong Kijal sebelum berpindah di Gerai Lemang Kijal Jalan Pintasan Teluk Kalong, Kijal berhadapan dengan stesen minyak Shell sejak 20 tahun lalu.

 

Kepada mereka yang ingin menempah untuk hari raya boleh hubungi melalui WhatsApp atau telefon Rabiah di nombor telefon 014-8065674. – Suara Timur


 

Selasa, Mac 04, 2025

68 pelatih AMSAS sertai Program Ikhtiar Hidup Pelatih Asas Pegawai Leftenan Muda Maritim

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seramai 68 pelatih Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) menyertai Program Ikhtiar Hidup Pelatih Asas Pegawai Leftenan Muda Maritim Siri 12/2024 di Pantai Telaga Simpul, di sini, bermula 24 hingga 27 Februari lalu.

Program tersebut dirangka bagi menguji ketahanan mental dan fizikal pelatih, memantapkan disiplin, kerjasama berpasukan dan meningkatkan kemahiran kepimpinan dalam pelbagai situasi dan persekitaran.

Pengarah AMSAS, Laksamana Pertama (M) Hamizan Harun menzahirkan keyakinan latihan berasaskan ketahanan dan daya tahan amat penting dalam melahirkan pegawai penguat kuasa maritim yang cekap, berdaya saing serta memiliki jati diri yang tinggi.

Menurutnya, program ini memberi pendedahan kepada asas ikhtiar hidup di laut, hutan dan persekitaran yang mencabar.

“Program ini selaras dengan objektif AMSAS dalam membentuk pegawai yang berpengetahuan, berkebolehan dan berdaya tahan tinggi sebelum diperjawatkan di lapangan kelak,” katanya ketika berucap pada majlis penutup program tersebut.

Majlis turut dihadiri Ketua Kluster Pengajian Pengurusan dan Profesional AMSAS (KPPP), Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman serta Ketua Kluster Pengajian dan Pembangunan Operasi Maritim AMSAS (KPPOM), Kepten Maritim Hamiludin Che Awang.

Hamizan memberitahu, modul latihan ini turut menekankan aspek strategi survival, kemahiran pengurusan risiko, kawalan emosi, kreativiti dalam penyelesaian masalah serta penerapan nilai kepimpinan yang diperlukan dalam bidang penguatkuasaan maritim. – Suara Timur