KEMAMAN: Seorang lagi penunggang motosikal maut dalam satu kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Kemaman petang tadi.
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 5.25 petang tadi di Kilometer 299.9 LPT2 berhampiran susur masuk ke Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kijal.
Dalam kemalangan itu, mangsa Muhamad Nur Alif Hakim Mohd Ali, 28, berasal dari Batu Pahat, Johor, maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan.
MUHAMAD NUR ALIF HAKIM MOHD ALI
Sejurus tiba di lokasi, motosikal jenis SYM ditunggang mangsa dipercayai telah hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh di laluan kanan lebuh raya.
Ketika kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menuju ke Kuantan dipercayai selepas hadir Himpunan RXZ Member 2025 di Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pebangkutan Jalan 1987 (APJ 1987).
Tengah hari tadi dua penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dalam perjalanan menyertai himpunan berkenaan maut dalam dua kemalangan berasingan di Dungun dan Hulu Terengganu kira-kira pukul 12 tengah hari. – Suara Timur
DUNGUN: Seorang penunggang motosikal Yamaha RXZ maut dalam kemalangan di Kilometer 370 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Bukit Besi di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari, mangsa, Hariz Fahmi Shaizuren Amin, 29, berasal dari Seri Kembangan, Selangor, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan di beberapa bahagian badan.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama beberapa rakannya yang menunggang motosikal jenis yang sama sedang dalam perjalanan menuju ke Gong Badak, Kuala Terengganu untuk menghadiri program RXZ Members 7.0.
Motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai secara tiba-tiba bergesel dengan salah sebuah motosikal rakannya menyebabkan motosikal ditunggangnya terbalik dan mangsa tercampak ke atas jalan raya.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedahsiasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, di Kemaman, seorang penunggang Yamaha RXZ cedera ringan selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan terjatuh di kanan lebuh raya sebelum dirempuh sebuah Perodua Bezza di Kilometer 293.5 LPT2 berhampiran Kijal kira-kira pukul 5 pagi tadi.
“Pelanggaran itu menyebabkan motosikal mangsa terseret beberapa meter dan kedua-dua kenderaan itu turut terbakar. Bagaimanapun, penunggang motosikal berusia 19 tahun itu hanya cedera ringan manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. – Suara Timur
DUNGUN: Sebuah rumah musnah 80 peratus selepas hangus dijilat api di Lorong Kubur, Kampung Minda dekat sini, pada pukul 3 petang tadi.
Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Rohaya Jamil dalam satu kenyataan kepada Suara Timur berkata, pihaknya menggerakan jentera ke tempat kejadian setelah menerima panggilan pada pukul 3.10 petang.
Menurutnya, jarak rumah yang terbakar sejauh 50 kilometer dari balai bomba.
DUA anggota bomba memadam kebakaran di sebuah rumah di Lorong Kubur, Kampung Minda, Kemaman, petang tadi. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
“Sebaik tiba dilokasi kebakaran anggota bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran hose 200 kaki dengan dua pancutan air tangki jentera hingga selesai,” katanya di sini, hari ini.
KEADAAN rumah yang musnah dalam kebakaran di di Lorong Kubur, Kampung Minda, Kemaman, petang tadi. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
Beliau memberitahu, operasi memadam kebakaran diketuai Komander Operasi PBK II, Norhazri Mohd Nor dengan kekuatan anggota seramai 14 orang dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Balai Bomba Almuktafi Billah Shah dan Balai Bomba Dungun dengan sebuah jentera FRT, LFRT dan kenderaan EMRS.
Ketika berita ini ditulis, operasi pemadaman masih berjalan dan terkawal. – Suara Timur
KEMAMAN: Program Hari Bersama Pelanggan, Sesi Ramah Mesra Ahli Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) dan Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Klinik Kesihatan Batu 2 ½, di sini, berlangsung dalam suasana yang meriah dan harmoni, hari ini.
Pengerusinya, Wan Norsuriya Wan Mokhtar berkata, program tersebut merupakan anjuran kedua PPKK bagi sesi 2025/2027 selepas Program Memasak Bubur Assyura pada Julai lepas.
“Acara Sambutan Bulan Kemerdekaan diadakan setiap tahun bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan kakitangan klinik dan ahli PPKK dan sambutan ini merupakan kali keempat berturut-turut,” katanya ketika ditemui Suara Timur.
WAN NORSURIYA WAN MOKHTAR
Program ini mendapat sokongan dan kerjasama Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Nini Shuhaida Mat Harun selaku Ketua Klinik Kesihatan Batu 2 ½, dan seluruh kakitangannya.
Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Nini Shuhaida Mat Harun (kiri) dan Pengerusi PPKK, Wan Norsuriya Wan Mokhtar memasang Jalur Gemilang di Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Kemaman. – SUARA TIMUR/ MUKHATAR A. RAHMAN
Beliau memberitahu, bagi memeriahkan Sambutan Bulan Kemerdekaan itu, PPKK juga mengadakan lawatan dan ramah mesra ahli PPKK ke semua unit di Klinik dan serahan bendera Malaysia kepada ketua unit MCH, UPL, NCD, Makmal, X-ray. TB, Farmasi, Klinik Pergigian.
“Kakitangan klinik dan PPKK juga turut mengagihkan Jalur Gemilang kepada pelanggan klinik dan mewarwarkan tentang Suntikan Imunisasi Measles Rubella (MR) secara percuma kepada kanak-kanak di bawah 5 tahun,” ujarnya. – Suara Timur
KEMAMAN: Sepasang suami isteri cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta di Kilometer 298 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Tol Kijal menghala ke Kuala Terengganu di sini hari ini.
Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Rohaya Jamil ketika dihubungi Suara Timur berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian setelah menerima laporan pada pukul 12.52 petang.
Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Vios terbabas ke bahu jalan.
ROHAYA JAMIL
Katanya, pemandu seorang lelaki dan perempuan dewasa cedera akibat tersepit.
“Sebaik tiba dilokasi, anggota penyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak ambulan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau memberitahu, operasi menyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Balai Chukai diketuai Komander Operasi PBK II Muhammad Azizi Abd Aziz dengan kekuatan anggota seramai Sembilan orang dan sebuah Jentera FRT dan sebuah kenderaan Utiliti.
“Operasi menyelamat tamat pada pukul 1.55 petang,” ujarnya. – Suara Timur
KEMAMAN – Bagi melahirkan generasi pelapis bola sepak Terengganu, Komuniti Kampung Paya Berenjut dekat sini telah menubuhkan Akademi Budak Kampung FC pada Januari 2024 yang lalu.
Pengerusiya, Ustaz Mohd Johari Othman berkata, penubuhan akademi itu bertujuan melatih dan mencungkil bakat-bakat muda dalam sukan bola sepak tempatan dan memberi peluang kepada kanak kanak yang berusia 8 tahun hingga 16 tahun untuk belajar asas bola sepak, membina disiplin diri, dan memupuk semangat kesukanan dalam persekitaran yang positif dan menyeronokkan.
“Modul latihan yang terancang dan sesuai dengan peringkat umur dikendalikan oleh jurulatih yang berpengalaman yang mampu membina keyakinan diri dan disiplin anak-anak serta kemahiran asas, taktikal permainan, kecergasan, dan kerja berpasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Suara Timur selepas Majlis Perasmian Akademi Budak Kampung FC dan Gimik Penyerahan Jersy serta Sijil Penyertaan bertempat di Padang Bola Kampung Paya Berenjut di sini, hari ini.
PESERTA Akademi Budak Kampung FC bergambar bersama keluarga pada Majlis Perasmian Akademi Budak Kampung FC dan Gimik Penyerahan Jersy serta Sijil Penyertaan di Padang Bola Kampung Paya Berenjut, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Mesyuarat Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) merangkap Setiausaha Majlis Tindakan Dun (MTD) Cukai, Ahmad Eksan Razali.
Mohd Johari yang juga merupakan kakitangan Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA), Bahagian Intergriti dan Pemantuhan Standard, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman berkata, selain latihan bola sepak, peserta akademi turut program Qiamulail sebulan sekali, program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) setiap dua minggu sekali, program motivasi tiga bulan sekali dan program dakwah rumah ke rumah mengajak remaja ke masjid.
Pada majlis tersebut seramai 17 orang peserta yang berusia bawah 16 tahun (U16) menerima sijil penghargaan apabila mendapat naib johan dalam pertandingan Putrajaya FA Academy Cup 2025 yang berlansung Padang Presint 4 Putrajaya pada 3 Ogos lalu.
SERAMAI 17 orang peserta yang berusia bawah 16 tahun (U16) menerima sijil penghargaan selepas muncul naib johan dalam pertandingan Putrajaya FA Academy Cup 2025 di Putrajaya, 3 Ogos lalu. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
Ujar Mohd Johari, Akademi Budak Kampung FC telah didaftarkan sebagai badan sukan dibawah Seksyen 17 Akta Pembangunan Sukan 1997 pada 21 Julai lalu dengan nombor pendaftaran C-TRG-16232 dengan nama BK FOOTBALL CLUB.
BK Football Club mempunyai 150 orang peserta bermula 8 tahun (20 orang), 10 tahun (30 orang), 12 tahun (40 orang), 14 tahun (20 orang dan 16 tahun (40 orang).
LOGO Akademi Budak Kampung FC
Mereka menerima bimbingan daripada enam orang jurulatih yang diketuai Mohd Ikhwan Hadi Idris.
“Hala tuju masa depan Akademi Budak Kampung FC adalah mendidik disiplin anak anak bermula dengan latihan bola sepak, mewujudkan suasana yang sihat serta mengelakan anak anak bermain gajet. Anak anak yang menyertai akademi juga diwajibkan mengikuti program qiamulail sebulan aekali dan mengikuti kelas KAFA,” ujarnya. – Suara Timur
Semua berita yang disiarkan didalam Akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! merupakan tulisan penulis yang diolah oleh Biro Utusan Malaysia dan Kosmo! Terengganu.
Mereka terdiri daripada Wan Zulkifli Wan Yaakob, Azli Adlan, Radhuan Hussain dan Rosalinda Md. Said
Bermula Oktober 2019 menjadi penulis bebas
Bermula Mac 2025 ditawar menjadi wartawan sambilan dengan Portal Suara Timur
Dilahirkan di Kg Tasik Mengkuang, Kerandang, Besut, Terengganu.
Dibesarkan di Kemaman Terengganu.
Jawatan sukarela dan badan bukan kerajaan.
1. Menyertai Ikatan Relawan Rakyat Malaysia ( 1989 hingga sekarang )
2. Dilantik sebagai Timbalan Ketua Platun TRG 0219 dari tahun 1994 - 1998
3. Dilantik sebagai Ketua Kumpulan Elit dari Tahun 1994 - 1998
4. Pengasas Persatuan Belia Seri Jaya pada Tahun 1993
5. Pengerusi Persatuan Belia Seri Jaya dari Tahun 1994 - 2004
6. Pengasas UMNO Cawangan Kg Lot Seri Jaya pada Tahun 1994
7. Ketua UMNO Cawangan Kg Lot Seri Jaya dari Tahun 1994 - 1995
8. Timbalan Ketua UMNO Cawangan Kg Lot Seri Jaya dari Tahun 1995 hingga 2023.
9. Dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa MAYC Kawasan Kemaman dari Tahun 1998 hingga 2009.
10. Dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis Belia Daerah Kemaman dari Tahun 2000 - 2004
11. Dilantik Timbalan Pengerusi JKKK Kg Lot Seri Jaya dari Tahun 2005 hingga 31 Mac 2014.
12. Dilantik sebagai Pengerusi JKKK Kg Lot Seri Jaya dari bermula 1 April 2014 hingga 31 Mei 2018
Menjadi Ahli PAS dari Tahun 1987 - 1993