













KUALA LUMPUR 1 Julai - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menutup pintu rundingan dengan mana-mana penganjur perhimpunan haram pada 9 Julai ini selepas nasihat kepada pemimpin masing-masing diberikan sejak semalam dan kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, berikutan itu, tindakan tegas akan diambil kepada penganjur yang tetap berdegil untuk meneruskan hasrat mereka.
Menurutnya, sepanjang dua hari lepas, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan beliau sendiri telah memberi nasihat kepada penganjur perhimpunan haram itu tentang tindakan yang akan diambil terhadap mereka.
Tiga pihak yang diberi nasihat itu adalah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pergerakan Pemuda UMNO.
"Selepas nasihat diberi, polis tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan menahan pemimpin perhimpunan haram itu lebih awal, kita juga mungkin akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
"Tindakan tegas itu diambil bagi menjaga keamanan negara dan keselamatan rakyat kerana peniaga, pengusaha teksi dan bas termasuk agensi pelancongan semakin risau perniagaan mereka terjejas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Tambahnya, selain arahan tegas supaya tiada perhimpunan haram diadakan pada 9 Julai ini, polis juga akan merampas segala bahan promosi termasuk baju kuning yang tertulis Bersih atau baju merah, Patriot.
Beliau berkata, mereka yang cuba mengadakan perhimpunan haram itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967.
Dalam pada itu, Khalid memberitahu, sebanyak 2,136 laporan polis terhadap Bersih telah dibuat di seluruh negara sehingga semalam.
Menurutnya, polis setakat ini telah menahan seramai 115 orang berkaitan perhimpunan haram itu.
PULAU PINANG 30 Jun - Perintah tahanan reman selama tujuh hari terhadap 30 penyokong perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Jeyakumar Devaraj, diisytiharkan sah dan betul oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim memutuskan demikian ketika menolak permohonan kesemua suspek supaya perintah tahanan reman yang dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth, Amernudin Ahmad pada 26 Julai lalu dibatalkan.
Dalam penghakiman yang dibacakan secara lisan hampir setengah jam, Hakim Zamani berkata, Hakim Mahkamah Sesyen telah bertindak mengikut undang-undang yang betul ketika memerintahkan kesemua suspek itu direman tujuh hari bermula dari tarikh tersebut sehingga Sabtu ini untuk disiasat mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan.
Jelas beliau, seksyen tersebut memperincikan tentang niat untuk memerangi Yang di-Pertuan Agong merupakan satu kesalahan amat serius dan peruntukan tersebut pernah digunakan sekali sahaja sebelum ini iaitu dalam kes rampasan senjata oleh kumpulan pelampau Al-Maunah pada 2000.
"Suspek dalam kes ini juga ramai iaitu 30 orang, jadi skop penyiasatan polis amat luas sekali. Justeru, demi keselamatan negara, keselamatan saya, keselamatan awak, keselamatan anak saya, cucu saya dan kita semua, saya mendapati perintah tahanan reman terhadap semua suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari yang dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen adalah betul, sah dan dikekalkan," tegas Hakim Zamani.
Sebaik sahaja keputusan dibacakan, hampir 80 ahli keluarga suspek yang memenuhi galeri awam semasa prosiding itu berlangsung kelihatan beredar keluar seorang demi seorang dalam keadaan tenang.
Semalam, Hakim Zamani mendengar hujah kira-kira dua jam daripada peguam Datuk C.V Prabakaran yang mengetuai 12 peguam lain bagi mewakili kesemua suspek serta hujah Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed yang mewakili pihak pendakwaan.
Dalam hujahnya, Prabakaran berkata, alasan yang diberikan Hakim Mahkamah Sesyen untuk membenarkan tahanan reman ke atas kesemua suspek adalah tidak berasas.
Abdul Wahab pula dalam hujahan balasnya berkata, keputusan penahanan reman dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dapat dilakukan pihak polis dan ia dibuat mengikut prosedur dan prinsipal yang ditetapkan undang-undang.
Pada 25 Jun lalu, Jeyakumar, yang juga pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama 30 lagi individu dipercayai penyokong Bersih ditahan ketika menaiki sebuah bas di Plaza Tol Sungai Dua, di sini ketika dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Pulau Pinang bagi mempromosikan perhimpunan Bersih.
Petikan Utusan Online 30 Jun 2011
Beliau berkata, ini berdasarkan pelbagai barangan yang dirampas polis daripada aktivis berkenaan dilihat mempunyai kaitan dengan fahaman Parti Komunis Malaya (PKM).
"Antaranya risalah dan baju T yang tertulis nama Chin Peng, Rashid Maidin dan Suriani Abdullah, kesemua mereka ini mempunyai kaitan dengan PKM,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mereka dilihat cuba menghidupkan balik fahaman komunis dengan menyebarkan risalah-risalah berkaitan berkenaan kepada rakyat di beberapa kawasan di sini, katanya.
"Polis terpaksa menahan kesemua mereka kerana membawa unsur menghasut rakyat untuk membenci kerajaan dan ini adalah sesuatu yang serius serta boleh mengancam keselamatan negara,” katanya mengenai penahanan 31 aktivis PSM yang diketuai Anggota Parlimen Sungai Siput Dr. Michael Jeyakumar Devaraj semalam. - Bernama
Petikan Utusan Onlie 26.6.2011
KUALA LUMPUR 25 Jun — Rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu diminta meneliti siapa sebenarnya Datuk Ambiga Sreenevasan sebelum mengikut telunjuknya yang meminta rakyat mengadakan perhimpunan haram 9 Julai ini.
Penganalisis politik berpendapat orang Melayu harus melihat kembali sejarah tindak tanduk Ambiga yang pernah menimbulkan kemarahan umat Islam terutamanya orang Melayu di negara ini sebelum secara membuta tuli mengikut kehendak dan telunjuknya.
Bekas Presiden Majlis Peguam itu adalah orang yang bertanggungjawab menerima memorandum menuntut pelaksanaan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) pada 21 Ogos 2001. Majlis Peguam telah menerima memorandum untuk menuntut pelaksanaan 14 tuntutan IFC yang jelas sekali bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam kes Lina Joy yang murtad, Ambiga telah mempertikaikan pelaksanaan hukum syariah di bawah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan dengan menyatakan kebebasan beragama turut termaktub kepada semua penganut agama Islam.
Beliau turut mengadakan forum mengenai memeluk agama Islam pada 9 Ogos 2008 yang membincangkan dan mempertikaikan secara terbuka Perkara 121 (1A). Biarpun mendapat bantahan daripada orang Islam, namun Majlis Peguam yang diterajui oleh Ambiga tetap meneruskan forum tersebut.
Justeru penganalisis politik berpendapat tindak tanduk Ambiga memperlihatkan diri beliau sebagai seorang yang tidak menghormati undang-undang dan perlembagaan dan dengan itu orang Melayu terutamanya harus memikirkan semula hasrat untuk menyertai perhimpunan haram 9 Julai yang diketuai oleh Ambiga.
Penganalisis politik bebas dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Datin Paduka Prof. Dr. Ramlah Adam berkata sebagai seorang peguam, Ambiga sudah tentu arif mengenai undang-undang dan perlembagaan negara.
"Ambiga tahu sekiranya penganjuran sesuatu perhimpunan tidak mendapat permit daripada pihak polis maka perhimpunan itu tidak boleh dilakukan. Kita tidak faham kenapa dia tetap juga mahu meneruskan perhimpunan haram itu walaupun mendapat bantahan daripada pelbagai pihak," katanya kepada Bernama.
Tegasnya, keperluan menganjurkan perhimpunan haram itu juga tidak jelas kerana jika penganjur ingin menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mereka boleh menggunakan saluran yang betul seperti membuat kenyataan di surat khabar dan media elektronik dan bukannya mengadakan demonstrasi haram.
Pemerhati politik dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr. Zainal Kling pula menyifatkan golongan yang terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram itu tidak layak dan tidak patut menjadi pemimpin termasuk Ambiga.
Katanya, mereka terlampau mengikut parti tertentu yang memperjuangkan ideologi politik masing-masing.
"Lebih baik buat tunjuk perasaan sebagai parti politik dan bukan NGO. Jadi orang akan faham maksud dan matlamat mereka (pemimpin politik) terutama orang awam tentang kacau bilau dalam parti seperti PKR yang tidak bersih, DAP yang selalu bermaharajalela atau autokratik dan PAS yang tidak mengikut atau sudah lari daripada perjuangan asal mereka," katanya.
Zainal menyifatkan tujuan perhimpunan haram itu adalah semata-mata untuk melindungi "kekotoran" dalam parti pembangkang.
"Mereka sedang cuba melahirkan keadaan kacau bilau, huru hara dan anarki yang semua ini berniat memberi isyarat buruk di mata dunia dan meniru taktik yang sedang dilakukan oleh negara yang menghadapi huru-hara," katanya. — BERNAMA
Petikan Utusan Online 26.6.2011