MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Khamis, Julai 09, 2009

Nizar dibenar merayu keputusan Mahkamah Rayuan

DATUK Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (tengah) mengadakan sidang akhbar selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan merayu keputusan Mahkamah Rayuan, 22 Mei lalu yang mengekalkan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah. - Foto Zef Othman

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Keputusan itu dibuat tiga Hakim Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Tan Sri Ariffin Zakaria dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin.

Selasa, Julai 07, 2009

Pas masih sedia bincang dengan Umno: Hadi

KUALA KRAI: Pas masih bersedia berbincang dengan Umno dalam hal politik dan ekonomi demi kebaikan negara, tetapi ia mahu berhati-hati sebelum berbuat demikian, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, Pas akan menimbang terlebih dulu perkara yang akan dibincang bagi mengelak pertemuan itu memberi kesan negatif kepada parti berkenaan dan sekutunya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Abdul Hadi mengulas pelawaan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang juga Ketua Wanita Umno untuk berbincang dengan Dewan Muslimah Pas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berceramah pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai di Kampung Sungai Sok malam tadi.

Abdul Hadi sebelum ini menimbulkan polemik dalam Pas apabila menyuarakan hasrat membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno tetapi cadangan itu dibantah Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ditolak oleh kepimpinan pakatan Pas, PKR dan DAP.

Walaupun ada cadangan untuk berdebat oleh Nik Abdul Aziz dan wacana ilmiah oleh Dewan Pemuda Pas, sehingga hari ini belum ada pertemuan antara pemimpin Umno dan Pas diadakan ke arah itu. - Bernama

Tindakan Sultan Perak demi maruah negeri, rakyat: Hakim

PUTRAJAYA: Tindakan Sultan Perak Sultan Azlan Shah adalah betul semasa melaksanakan kuasa prerogatifnya untuk meredakan pergolakan politik Perak dan mengekalkan maruah negeri itu, kata Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Zainun Ali.

Hakim Zainun berkata, satu daripada kuasa eksekutif yang kritikal bagi seorang Raja dalam melaksanakan tanggungjawabnya mengikut perlembagaan bagi mengekalkan kententeraman awam demi kepentingan awam dan oleh itu kesedaran baginda berhubung signifikan daripada pelaksanaan kuasa prerogatifnya itu tidak boleh dipertikaikan. "Keadaan di Perak pada masa itu boleh dianggap sebagai sudah tidak normal, tidak jika seseorang menganggapnya sebagai normal, ketegangan politik, tekanan politik yang memuncak, suspens dan pengkhianatan dan pertukaran kesetiaan politik, sebagai satu yang rutin dan semuanya dalam pekerjaan harian.

"Kematangan dan kebijaksanaan Raja adalah wajib. Pelaksanaan kuasa prerogatif ini adalah lebih kritikal jika jentera kerajaan yang normal mengalami masalah," kata Hakim Zainun dalam penghakiman bertulisnya setebal 115 muka yang dikeluarkan hari ini. Pada 22 Mei, tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Raus Sharif, Zainun dan Datuk Ahmad Maarop telah memutuskan bahawa Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir adalah Menteri Besar Perak yang sah, yang mengubah keputusan Mahkamah Tinggi sebelum itu yang menyebelahi Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Tidak puas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan, Nizar memfailkan permohonan untuk membuat rayuan, yang dijadualkan didengar di Mahkamah Persekutuan, Khamis ini.
Hakim Zainun, dalam penghakimannya, berkata Sultan Azlan Shah adalah betul untuk mengadakan inkuiri bagi mengesahkan beberapa fakta dan untuk menilai kedudukan politik dengan betul sebelum memutuskan sama ada untuk memperkenan atau menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Dalam hal ini, ia mungkin kurang bijak bagi Baginda untuk membuat keputusan tanpa merujuk kepada fakta. "Sebagai contoh, jika Baginda mendapati isi kandungan tiga pucuk surat daripada tiga Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) tidak mencukupi untuk menentukan bahawa Nizar hilang majoriti, baginda boleh, dalam melaksanakan prerogatif dan budi bicaranya, mendapatkan penjelasan mengenai fakta yang terkandung di dalam surat daripada ketiga-tiga Adun itu," katanya.

Oleh itu, beliau berkata keputusan hakim Mahkamah Tinggi bahawa Sultan Azlan Shah tidak layak untuk menemubual beberapa Adun pada 5 Februari untuk menentukan siapa yang menguasai dewan itu adalah jelas salah. - Bernama
Petikan http://www.bharian.com.my/ 7 / 7 / 09

Tak apa kalau Najib tak mahu jumpa: Nik Aziz

KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akur dengan keputusan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang menolak pelawaannya untuk mengadakan pertemuan dan debat secara terbuka antara PAS-Umno.

Nik Abdul Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata terpulang kepada Najib sama ada ingin menerima atau tidak pelawaannya kerana bagi beliau, tugasnya untuk mengajak seseorang mencari jalan kebenaran atau pendakwah dianggap sudah selesai.

"Tugas saya sebagai seorang pendakwah ada tiga cara; pertama: ajak manusia dengan cara bil-hikmah (kebijaksanaan), macam saya mentadbir sesebuah negeri mengikut cara Islam; kedua dengan nasihat, melalui ceramah, usrah, kuliyah, siaran internet dan yang terakhir ialah secara mujadalah (debat), Kalau tak mahu tak apa, selesai sudah kerja saya," katanya di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Semalam, ketika diminta mengulas hasrat Nik Abdul Aziz untuk bertemu beliau bagi membincangkan mengenai perdebatan yang dicadangkan antara kedua-dua mereka, Najib berkata: "Saya dah kata, debat tidak ada gunanya dan semua orang pun kata demikian. "Kalau nak bertemu, jangan kutuk dulu, ini tidak timbulkan suasana kondusif untuk kita bertemu," kata Perdana Menteri. - Bernama
Petikan http://www.bharian.com.my/ 7 / 7 / 09

Isnin, Julai 06, 2009

Kerajaan Perpaduan atau Pakatan Rakyat Yang Berkubur.

Salam Blogger

Saya tertarik membaca kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam utusan online berkenaan kerajaan perpaduan telah berkubur. “Isu (kerajaan) perpaduan kami dah tanam, dah berkubur. Pakatan adalah lebih melambangkan perpaduan, lebih daripada maksud perpaduan iaitu ia terdiri daripada berbilang kaum.
“Melayu buat apa? Tak usahlah timbul isu perpaduan itu lagi kerana kami dah baca talkin, jadi apa masalahnya?” ini adalah petikan kata kata beliau semasa menjawab pertanyaan wartawan dipusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra Satu Kuala Krai Kelantan hari ini.

Nik Aziz bertanya " Melayu buat apa?" seolah olah Nik Aziz bukan orang melayu. Bagi Nik Aziz Pakatan Rakyat lebih perpaduan, hinggakan DAP Kedah keluar dari Pakatan di Kedah kerana perpaduan. Kerana Pakatan lebih dari perpaduan menyebabkan kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP memecat Ketua Whip Parti Keadilan Rakyat (PKR), Johari Kassim sebagai ahli Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) olih kerana Johari sebagai ahli majlis memboikot pelantikan Yang Dipertua MPSP, Mokhtar Mohd Jait pada 4 Jun lalu lalu. Inilah yang dikata perpaduan oilh Nik Aziz yang sebenarnya Pakatan Rakyat yang berkubur.

Kerajaan perpaduan telah ‘berkubur’ - Nik Aziz

KUALA KRAI 6 Julai – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, cadangan kerajaan perpaduan demi kepentingan Melayu telah ‘berkubur’ dan Pas tidak akan menyebutnya lagi.
Beliau berkata, ruang untuk Pas atau UMNO berbincang lagi mengenai isu tersebut sudah tertutup kerana Pas telah mencapai perpaduan melalui pakatan pembangkang.
“Isu (kerajaan) perpaduan kami dah tanam, dah berkubur. Pakatan adalah lebih melambangkan perpaduan, lebih daripada maksud perpaduan iaitu ia terdiri daripada berbilang kaum.
“Melayu buat apa? Tak usahlah timbul isu perpaduan itu lagi kerana kami dah baca talkin, jadi apa masalahnya?” tegas beliau.
Beliau sekali lagi ditanya berhubung cadangan dicetuskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu di pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra Satu di sini hari ini. - Utusan