MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, Jun 21, 2025

KRT ejen perpaduan antara masyarat setempat

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : Penubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bukan sekadar berperanan untuk menjaga keselamatan di kawasan kejiranan, malah turut menjadi ejen perpaduan antara masyarakat setempat.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator K. Saraswathy berkata, KRT yang mula ditubuhkan pada 1975 dan mencapai usia 50 tahun pada tahun ini, kini telah berkembang daripada rondaan keselamatan kepada satu gerakan akar umbi yang menyentuh pelbagai aspek kejiranan, kesejahteraan sosial, pendidikan, ekonomi komuniti dan pemuliharaan budaya.

“Rukun Tetangga bergiat aktif dalam menyatukan perpaduan termasuk di media sosial, anggota rukun tetangga turut memainkan peranan termasuk di mana-mana sahaja yang mungkin akan berlaku ketegangan antara kejiranan.

K. SARASWATHY

“Anggota rukun tetangga juga bersama pihak polis berperanan untuk menyelesaikan pelbagai isu yang timbul,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan peringkat negeri Terengganu di Arena Squera Chukai, di sini, hari ini.

Sambutan Minggu Perpaduan peringkat Negeri Terengganu, ini adalah negeri yang keenam berlangsungnya bermula dari Negeri Melaka, kemudian diikuti oleh negeri-negeri seperti Kelantan, Kedah, Perlis, dan Johor, dan Terengganu.

Perancangan program Sambutan Minggu Perpaduan ini untuk memberi kesedaran kepada rakyat bahawa kita harus memperkukuhkan lagi perpaduan di antara kaum di negara ini.

Saraswathy berkata, ia dapat dilihat, sebahagian daripada pengisian program ini ialah Rumah Kita yang mempersembahkan rumah kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain, bertujuan memperkenalkan cara hidup, budaya dan makanan kaum-kaum. Ini memberi satu bentuk kesedaran kepada masyarakat.

“Keseluruhan program ini adalah berteraskan kepada konsep faham, hormat dan terima, seperti yang ditekankan oleh Kementerian Perpaduan Negara,’ ujarnya.

Saraswathy berkata, sehingga kini, terdapat 8,565 KRT yang berdaftar di seluruh negara dengan disertai pelbagai peringkat usia.

Menurutnya, kementeriannya melakukan pelbagai aktiviti untuk menggalakkan penyertaan golongan belia dalam KRT.

“KRT bukan hanya disertai golongan dewasa, malah kita sangat galakkan golongan belia menyertai KRT dan kita turut mengadakan pelbagai program untuk menarik golongan ini.

“Perpaduan perlu dijadikan sebagai budaya hidup, bukan hanya semangat bermusim dan kita perlu sama-sama menjunjung prinsip Rukun Negara dengan mengamalkan nilai faham, hormat dan terima,” katanya. – Suara Timur

Jumaat, Jun 20, 2025

10,000 pengunjung meriahkan Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Negeri Terengganu

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN:  Lebih 10,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan program Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Negeri Terengganu di Arena Square dan Padang Astaka Kemaman di sini bermula 19 hingga 21 Jun ini.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPENIN) Negeri Terengganu, Mohd Rosli Alias berkata, berdasarkan sambutan yang diterima Majlis Bicara Perpaduan yang dijayakan dua ahli penel jemputan, semalam lebih 1,000  menjayakannya.

Menurutnya, antara objektif program itu adalah untuk meningkatkan kesedaran rakyat berbilang kaum mengenai pentingnya perpaduan megara integrasi nasional yang perlu dipelihara ke arah membentuk sebuah negara yang harmoni, sejahtera dan stabil.

MOHD ROSLI ALIAS


Selain itu, katanya, program tersebut juga dapat menyemarakkan semangat patriotik, taat setia dan rasa cinta terhadap negara melalui penhayatan perlembagaan persekutuan dan rukun negara bagi membentuk warganegara yang bertanggungjawab dan berintegriti.

“Apa yang saya nak tekankan di sini adalah pihak Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, kita mempamerkan pameran rumah pelbagai kaum, kita ada masyarakat Melayu, masyarakat Cina, India, kita ada oreang Asli dan kita ada masyarakat Sabah dan Sarawak.

SEBAHAGIAN daripada peserta Pertandingan Masakan Berasaskan Pulut 2025 sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Negeri Terengganu di Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Ada tujuh rumah yang kita bawa merangkumi pelbagai adat resam dari segi pakaian, kebudayaan, alat muzik dan sebagainya.

“Jadi kita harap pengunjung dapat berpeluang untuk dua hari ini untuk mengambil kesempatan untk melihat rumah pelbagai kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau Rumah Perpaduan di Arena Square Chukai di sini hari ini.

Menurut Mohd Rosli, melalui program itu juga, ianya dapat menyedia ruang, peluang dan suasana yang dapat merangsang masyarakat berintegrasi melalui program dan aktiviti yang dijalankan.

Katanya, antara pengisian program itu ialah membabitkan tiga elemen iaitu meliputi Semarak Kenegaraan, Semarak Perpaduan dan Komuniti Rahmah.

“Antara aktiviti Semarak Kenegaraan ialah Bicara Perpaduan, Pameran Rukun Negara, Pameran Wajah-Wajah Perpaduan, Tayangan Patriotik dan Karektor Perpaduan.

“Aktiviti di bawah Semarak Perpaduan antaranya ialah Pameran Rumah Kami, pameran Rerual Agensi, Demonstrasi Makanan dan Masakan Tradisional Terengganu dan jualan produk,” tambahnya.

Selain itu turut diadakan pertandingan membaca cerita pendek, melukis, mewarna, busana perpaduan kepelbagaian kaum, sukan rakyat, e-sport, lagu-lagu rakyat, tarian kebudayaan, kugiran, pemeriksaan kesihatan, ceramah kesedaran dan pelbagai lagi.

Menurut Mohd Rosli, di bawah Komuniti Rahmah, pelbagai aktiviti diadakan seperti jualan produyk Ekonomi Rukun Tetangga, Jualan Rahmah, ‘Food Truck’ dan cabutan bertuah.

“Satu keunikan yang diperkenalkan pada program kali ini ialah gerai-gerai yang mempamerkan keunikan rumah-rumah pelbagai kaum termasuk Sabah, Sarawak dan Siam,” ujarnya. – Suara Timur

Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Terengganu 2025

Pelbagai maklumat yang bakal diperolihi mengenai peranan dan tanggungjawab Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta melihat peralatan yang digunakan dalam operasi menangkap haiwan berbisa seperti ular dan sebagainya.

 


Rumah Perpaduan Sabah



Khamis, Jun 19, 2025

Warga emas, cucu terselamat dalam kebakaran

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN:  Seorang warga emas yang mengidap penyakit kencing manis kronik dan cucunya berusia enam tahun berjaya diselamatkan seorang pemuda dalam kebakaran di Kampung Pengkalan Binjai, Chukai di sini tengah hari tadi.

Ketika kejadian, mangsa, Nurisah Muda, 60, tinggal bersama cucunya itu di dalam rumah tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Menurut Nurisah, pada mulanya, dia terdengar bunyi sesuatu di atas atap dan menyangka haiwan liar seperti kera berada  di atas atap tersebut sebelum menyedari api mula merebak di bahagian tengah rumah.

MOHD KHAIRI MOHD AZIAH

Katanya, dia kemudian menyuruh cucunya keluar rumah dan dia mencapai tongkat lalu keluar sebelum diselamatkan seorang pemuda.

“Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pemuda tersebut,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Mohd Khairi Mohd Aziah, 32, berkata, dia secara kebetulan dalam perjalanan mengambil anak di Sekolah Kebangsaan Seri Jaya di sini yang terletak 300 meter dari tempat kejadian.

Katanya, dia terus ke tempat kejadian dan mendapati seorang wanita warga emas dalam keadaan lemas dan bertongkat cuba menyelamatkan diri bersama seorang kanak kanak.

“Saya meminta kanak kanak tersebut menyelamatkan diri dan saya mengangkat warga emas itu ke tempat yang lebih selamat,” ujarnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Hanif Che Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.44 tengah hari.

Menurutnya, seramai 16 anggota bomba dan tiga buah jentera dari Balai Bomba Chukai dan Balai Bomba Kemaman bergegas ke lokasi kejadian diketuai Komander Operasi PBKII Muhammad Azizi Abd Aziz.

“Ketika tiba, api sedang marak dan kita berusaha sedaya upaya memadamkan kebakaran menggunakan air dari pili bomba dan tangki jentera.

“Kita mengambil masa kira-kira 1.16 minit untuk mengawal kebakaran dari merebak ke kediaman lain,” katanya. – Suara Timur

Selasa, Jun 17, 2025

Bayi lelaki sakit jantung perlukan RM40,000 untuk pembedahan

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang bayi lelaki berusia 14 bulan yang menderita mengidap penyakit jantung berlubang dan masalah paru-paru memerlukan kos kira-kira RM40,000 untuk menjalani pembedahan pada Oktober depan.

Ibu bayi itu, Nur Shahira Ashiqin Nasrudin, 31, dari Felda Neram II, Bandar Cheneh Baru, di sini, berkata, anaknya, Muhammad Yusuf Rizqi Mohd Kharil Izuan, mengidap penyakit jantung serius sejak dari lahir.

Menurutnya, dia dan suaminya, Mohd Kharil Izuan Rasid, 32, buntu untuk mencari sumber kewangan memandangkan mereka telah kehabisan wang simpanan yang digunakan bagi menampung kos rawatan dan perjalanan untuk rawatan anaknya di Kuala Lumpur, sejak tahun lalu.

“Sejak lahir, anak saya ada masalah jantung berlubang dan saluran darah pada paru-paru terbalik.

“Sebelum ini dia pernah menjalani empat kali pembedahan termasuk pembedahan untuk memasang alatan pada jantung dan paru-paru di Institut Jantung Negara (IJN) pada November tahun lalu, namun untuk pembedahan itu saya menerima subsidi kerajaan,” katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Ibu kepada enam anak itu berkata, pada pertengahan Oktober depan, Muhammad Yusuf Rizqi sekali lagi dijadualkan menjalani pembedahan bagi membuka ikatan di paru-paru dan menutup lubang di jantung.

“Kami dah buntu untuk mencari duit untuk tampung kos pembedahan anak. Wang simpanan semua dah habis dan kami sebelum ini pernah jual motosikal dan kereta semata-mata untuk dapatkan duit untuk tanggung rawatan anak.

“Kos pembedahan anak pada Oktober uni sebanyak RM85,000. Suami saya polis bantuan Felda, dia turut memohon bantuan untuk kelulusan jaminan (GL) sebanyak RM45,000 di syarikatnya dan namun GL hanya diluluskan apabila anak sudah didaftarkan masuk hospital.

“Sekarang ini kami memerlukan RM40,000 untuk pembedahan anak, kami sangat berharap orang ramai dapat bantu sebab kalau tak ada bantuan, mungkin anak kami tak dapat nak jalani pembedahan,” katanya.

Nur Shahira Ashiqin berkata, dia dan suaminya juga bimbang dengan keadaan anak mereka yang cepat penat dan tidak boleh aktif seperti bayi lain.

“Muhammad Yusuf juga perlu sentiasa diperhatikan kerana dia mudah semput dan tercungap-cungap apabila merangkak dan bermain. Kami bimbang kalau-kalau berlaku perkara tak diingini,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat baru sahaja meluluskan permohonan untuk sakit kronik anaknya yang bernilai RM500 sebulan dan akan disalurkan bermula bulan depan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan menerusi akaun Maybank Mohd Khairil Izuan Rasid iaitu 163019626682 atau menghubungi Nur Shahira di talian 019-8180268. – Suara Timur

Tiga lelaki termasuk polis bantuan mengaku tidak bersalah pukul pemandu lori

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Dua polis bantuan dan seorang buruh di sebuah syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas pertuduhan memukul seorang pemandu lori, bulan lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, Che Muhammad Firdhaus Che Zamri, 29, W Muhammad Sharil Azizul W Ahmad, 26 dan Mohd Hafiz Mohd Arifin, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh telah bersama-sama dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Mohammad Faiz Sedi, yang berusia 30 tahun dengan menggunakan tangan.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 11.30 pagi pada 29 Mei lalu, di kawasan Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB), di sini.

Ketiga-tiga lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 324 kanun yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Wan Suhaila kemudiannya membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 14 Julai depan di Mahkamah Majistret.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi.

Terdahulu, tular di media sosial, sebuah rakaman video berdurasi 0.32 saat yang memaparkan pemandu lori itu dipukul beberapa individu.

Difahamkan, kejadian itu tercetus apabila pemandu lori enggan bekerjasama untuk tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan turut mengeluarkan kata-kata kesat. – Suara Timur

Isnin, Jun 16, 2025

Pukul pelajar lelaki, sembilan rakan sekolah menengah ditahan reman

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Gara-gara tidak berpuas hati terhadap mangsa yang masih mempunyai gambar bekas kekasihnya suspek yang kini merupakan kekasih suspek dipukul sembilan pelajar sebuah sekolah menengah di daerah ini, bulan lalu.

Sembilan pelajar terlibat direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Rabu, bagi membantu siasatan kes pukul tersebut.

Perintah reman terhadap kesemua pelajar lelaki itu dibenarkan Hakim Wan Suhaila Mohd, bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, sembilan pelajar berusia 15 hingga 18 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.30 tengah hari semalam susulan pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa yang berusia 14 tahun.

“Mangsa mendakwa dia dipukul beberapa orang pelajar pada 27 dan 28 Mei lalu.

SEBAHAGIAN daripada sembilan pelajar yang dibawa ke Mahkamah Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Kejadian itu dikatakan berpunca apabila salah seorang suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa yang masih mempunyai gambar bekas kekasihnya yang kini merupakan kekasih suspek,” katanya.

Mohd Razi berkata, suspek bersama rakan-rakannya telah memukul mangsa yang merupakan pelajar tingkatan dua.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk kepala dan belakang badan.

“Pihak polis sedang melakukan siasatan terperinci berhubung kes ini,” katanya. – Suara Timur

Tiga rumah teres terbakar di Bukit Kuang

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : Tiga buah rumah teres di Taman Rakyat Bestari, Bukit Kuang di sini, musnah dijilat api dalam kebakaran, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Hanif Che Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.03 malam.

Menurutnya, seramai 11 anggota bomba dari Balai Bomba Kemaman dan Kijal bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba, api sedang marak dan kita berusaha sedaya upaya memadamkan kebakaran menggunakan air dari pili bomba dan tangki jentera.

ROSMADI Abd Razak bersama isteri Norhayati Abd Rahman dan anaknya, Nur Aisy Aira. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Kita mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal kebakaran dari merebak ke kediaman lain,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Menurutnya, kesemua mangsa terselamat dan operasi ditamatkan kira-kira pukul 12.14 tengah malam.

“Punca sebenar kejadian dan kerugian dialami mangsa masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Norhayati Abd Rahman, 41, berkata, dia bergegas menyelamatkan suaminya, Rosmadi Abd Razak, 42, yang merupakan orang kelainan upaya kategori fizikal serta anaknya Nur Aisy Aira, 7, selepas menyedari rumahnya dipenuhi asap tebal.

“Saya dan suami serta anak baru sahaja masuk bilik untuk tidur. Tiba-tiba saya terhidu bau hangit dan terdengar bunyikan seperti percikan api sebelum mendapati bahagian dapur rumah dipenuhi asap.

“Suami saya mengidap saraf dan tidak boleh berjalan seperti biasa. Namun, ketika kejadian, saya pimpin dan paksa suami gagahkan diri untuk melangkah keluar dari rumah kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Norhayati yang merupakan seorang tukang cuci berkata, api yang marak menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan harta bendanya.

“Buat masa ini saya terpaksa menumpang rumah adik kerana tidak mampu menyewa kediaman lain. Suami tidak bekerja sejak enam tahun lalu dan hanya saya yang menyara keluarga,” katanya. – Suara Timur