MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Jumaat, Mei 23, 2025

15 bengkel kereta kena serbu, 13 ditahan

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Sebanyak 15 bengkel kereta di daerah ini dan Kemaman diserbu pihak berkuasa dalam operasi bersepadu, Ops Mega semalam, selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan menyalahi undang-undang.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, serbuan tersebut dilakukan serentak berdasarkan maklumat risikan berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang di semua premis berkenaan.

Menurutnya, operasi disertai pasukan Cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, IPD Kemaman dan IPD Dungun serta pasukan Jabatan Imigresen (JIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Telekom Malaysia (TM) negeri.

“Seramai 22 lelaki diperiksa membabitkan warga tempatan, Myanmar dan Bangladesh, dengan 13 daripadanya melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1995, Akta Peniaga Sekendhend 1946, dan Akta Imigresen 1959/63.

“Daripada 13 ini, lapan adalah warga tempatan, manakala tiga warga Myanmar dan dua Bangladesh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairi berkata, tiga notis saman dikeluarkan atas kesalahan tiada lesen perniagaan dan sampel minyak terpakai telah diambil oleh Pegawai Penguatkuasa Alam Sekitar untuk dihantar ke makmal bagi siasatan di bawah Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Menurutnya, pihaknya turut merampas barangan seperti keratan kabel, buku daftar jual beli, alat penimbang, besi buruk, gegelung dawai tembaga, grinder, dan enjin motosikal. – Suara Timur

Rabu, Mei 21, 2025

Pengusaha kantin meninggal dunia dipercayai tersedak ketika sarapan

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN:  Pengusaha kantin sebuah sekolah rendah di daerah ini meninggal dunia dipercayai tersedak ketika bersarapan di kantin berkenaan, hari ini.

Sebelum kejadian, mangsa Mohd Abdullah, 70, dikatakan tersedak sebelum rebah dan pengsan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 9.50 pagi.

Menurutnya, anak mangsa yang menyedari keadaan ayahnya itu menghubungi klinik kesihatan berhampiran dan diberi rawatan kecemasan oleh kakitangan perubatan.

“Mangsa dihantar ke klinik kesihatan berhampiran sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 10.30 pagi.

“Siasatan mendapati mangsa mempunyai penyakit asma dan darah tinggi,” katanya.

Mohd Razi berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut.

“Bedah siasat ke atas mayat mangsa akan dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya. – Suara Timur

Selasa, Mei 20, 2025

Farm Fresh Milk Kemaman sasar tembusi pasaran di 30 sekolah tahun ini

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Farm Fresh Milk Kemaman menjalin kerjasama dengan sekolah-sekolah di negeri ini bagi memasarkan produk susu keluaran Farm Fresh Milk Sdn. Bhd.

Home Dealer (HD) Farm Fresh Milk Kemaman, Nor Lindawati Othman berkata, setakat ini, lebih dari 10 buah sekolah telah menjalin kerjasama termasuk sekolah di kawasan Paka dan Dungun.

Farm Fresh Milk Kemaman menyasarkan 30 buah sekolah sepanjang tahun ini menerusi program Education Talk By Farm Fresh yang bermula awal tahun.

“Semalam Farm Fresh Milk Kemaman telah menandatangani sjil menjalin kerjasama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Air Putih, Kemaman,’ katanya ketika ditemui Suara Timur di Rumah Susu Pitstop di Kilometer 3, Jalan Chukai – Air Putih, di sini.

ANTARA produk keluaran Farm Fresh Milk Sdn. Bhd. yang terdapat di Rumah Susu Pitstop di Kilometer 3, Jalan Chukai – Air Putih, Kemaman.

Majlis menandatangani sjil menjalinkan  kerjasama itu disempurnakan oleh Guru Penolong Kanan Pentadbiran (PKP), Yusof Osman Yasin mewakili SK Air Putih dan Nor Lindawati Othman mewakili Farm Fresh Milk Kemaman.

Pada majlis tersebut, pihaknya memberi penerangan mengenai latar belakang Farm Fresh, ⁠cara penyimpanan susu, ⁠khasiat susu, ⁠cara minum dengan betul, ⁠main game bersama mrs Moo dan kuiz jawab soalan dan penyampaian hadiah.

Ujarnya, selesai program Education Talk By Farm Fresh pihaknya membuat jualan susu subsidi dengan harga murah dari pasaran. Jualan susu subsidi hanya dijual pada hari program sahaja. Komisen akan diberikan kepada sekolah mengikut hasil jualan setiap bulan.

Nor Lindawati yang merupakan pemilik Rumah Susu Pitstop berkata, Rumah Susu Pitstop dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga pukul 10 malam sejak ditubuhkan pada pertengahan tahun 2019.

“Terdapat 13 jenis produk susu yang dikeluarkan oleh Farm Fresh antaranya Full Cream Milk, Full Cream Milk Lactose Free, Skinny Milk, Skinny Milk Lactose Free, Yarra Farm Full Cream Milk, Yarra Farm Low Fat Milk, Master Barista Milk, Chocolate Milk, Cafe Latte, Kurma Milk, UHT Chocolate Milk, UHT Cafe Latte, UHT Kurma Milk, Susu Tepung Dewasa, Chocomalt, Susu Tepung Rumusan Kanak Kanak, Susu Kultur dan Santan Kotak. – Suara Timur

KRT Padang Gerai aktif jalankan rondaan sukarela tingkat keselamatan komuniti

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

PAKA: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Padang Gerai di sini terus menunjukkan komitmen tinggi dalam menjaga keselamatan komuniti setempat apabila Skim Rondaan Sukarela (SRS) di bawah kelolaannya aktif menjalankan rondaan malam secara berkala.

Menurut Pengerusi KRT Padang Gerai,  Mazedi Mukhtar rondaan tersebut dilaksanakan oleh sukarelawan SRS seramai 20 orang secara bergilir-gilir, melibatkan kawasan Komuniti sekitar Padang Gerai dan Bukit Merah, Paka.

“Tujuan utama rondaan ini adalah untuk mencegah jenayah, serta membina keyakinan dan rasa selamat dalam kalangan penduduk,” katanya ketika ditemui Suara Timur selepas sesi rondaan malam, Ahad lalu.

DUDUK tiga dari kiri, Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Daerah Dungun, Asmawati Chik @ Mohammad, Ketua Balai Polis Paka, Asisten Superintendan Polis Wan Khairul Azwan Wan Shah Rudden (empat, kiri) dan Pengerusi KRT Padang Gerai, Mazedi Mukhtar (kanan) bergambar pada  Program Taklimat Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Penyerahan Kad Ahli telah diadakan pada April lalu

Tambah beliau, selain rondaan, KRT Padang Gerai turut aktif mengadakan program kemasyarakatan seperti gotong-royong, bantuan kebajikan RT Cares, ziarah rahmah dan aktiviti perpaduan untuk mengukuhkan hubungan antara penduduk.

“Inisiatif ini mendapat sambutan baik daripada masyarakat setempat dan disokong oleh agensi keselamatan serta Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Dungun.

“KRT Padang Gerai turut giat mempromosikan kempen 1 keluarga 1 peronda SRS dlm usaha menggalakkan lebih ramai penduduk untuk terlibat dlm kawasan SRS di sini.  Setakat ini, seramai 35 org ahli2 berdaftar,” ujarnya.

SEBAHAGIAN daripada ahli SRS yang melakukan rondaa di KRT Padang Gerai, Bukit Merah, Paka.

Mazedi memberitahu, pada April lalu Program Taklimat Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Penyerahan Kad Ahli telah diadakan di perkarangan rumah pengerusi jirannita KRT Padang Gerai, Bukit Merah.

Jelasnya, program tersebut bertujuan memberi penerangan kepada ahli baharu dan lama mengenai fungsi, peranan serta garis panduan keselamatan dalam rondaan komuniti.

Menurutnya, penyerahan kad tersebut disempunakan oleh Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Daerah Dungun, Asmawati Chik @ Mohammad. – Suara Timur

Isnin, Mei 19, 2025

Pelajar pusat tahfiz cedera ditampar warden

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : Seorang pelajar lelaki di sebuah pusat tahfiz di daerah ini, cedera di bahagian kiri dahinya, dipercayai ditampar wardennya selepas memakan beberapa keping roti tanpa kebenaran, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian itu berlaku di pusat tahfiz itu kira-kira pukul 3.45 petang, pada 26 April.

“Mangsa yang berusia 16 tahun mendakwa dia telah ditampar beberapa kali oleh suspek pada bahagian muka semasa berada di dalam bilik asrama kerana dia telah memakan roti yang disimpan untuk sarapan keesokkan hari tanpa kebenaran dan dia telah melanggar peraturan. 

“Roti yang dimakan adalah roti keping yang masih dalam bungkusan diletakkan di tempat simpanan makanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Razi berkata, mangsa telah membuat laporan polis kira-kira pukul 9.50 pagi keesokan harinya dan telah mendapat rawatan di Hospital Kemaman.

“Laporan pemeriksaan awal perubatan mangsa telah diperolehi dan kita juga telah mengambil keterangan suspek yang berusia 41 tahun.

“Suspek telah dilantik menjadi warden di tahfiz itu sejak Disember tahun lalu,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – Suara Timur

Program Pasar Percuma, ‘Trash To Cash’ berjaya, meriah

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Geng Plastik Ija (GPI) dengan kerjasama Asnaf Care, INEOS PCG Acetyls Sdn. Bhd. dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) berganding bahu menganjurkan program Pasar Percuma  dan ‘TrashTo Cash’ di Dewan Sivik Kerteh di sini, baru-baru ini.

Pengerusi GPI, Zulkefli Sarji berkata, sebanyak 4.5 tan barangan kitar semula pelbagai kategori seperti kotak, kertas, plastik berjaya dikumpul dalam tempoh empat jam pada program tersebut.

Katanya, minyak masak terpakai kira-kira 1.3 tan juga berjaya dikumpul untuk dikitar semula sebagai bio-diesel.

Dari kiri, Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Zulkifli Tahar, Pengerusi Geng Plastik Ija (GPI), Zulkefli Sarji, Timbalan Pengarah JKAS, Siti Rahayu Mamat dan wakil INEOS PCG Acetyls Sdn. Bhd. sempena Pasar Percuma anjuran Geng Plastik Ija (GPI) di Dewan Sivik Kerteh, baru-baru ini.

“Dua program yang bertujuan menjaga kelesatarian alam dengan menggalakkan usaha ReUse (Guna Semula) dan Recycle (Kita Semula),” katanya kepada Suara Timur, hari ini.

Beliau berkata, barangan kitar semula yang dikumpul itu akan dijual dan hasil diperoleh
akan digunakan bagi menampung aktiviti GPI pada masa hadapan.

“Melalui Pasar Percuma, barangan yang disumbangkan oleh komuniti setempat dikongsikan secara percuma kepada sesiapa yang memerlukan.

SEBAHAGIAN barangan kitar semula yang berjaya dikumpul sebelum dijual.

“Barang yang tidak lagi digunakan atas sebab sebab tertentu, ianya dapat dikongsi dan digunakan oleh pihak yang lain,” katanya.

Menurut Zulkefli, pada setiap minggu, GPI membuat aktiviti gotong-royong membersih pantai seluruh negeri Terengganu terutama di kawasan tumpuan orang ramai.

SEBAHAGIAN minyak masak terpakai  yang dikumpul.

“GPI bermula pada November 2017 di pantai Kuala Kertih apabila beberapa sukarelawan melakukan aktiviti gotong-royong membersih pantai ini dengan mengutip sampah-sampah bawaan air serta sampah ditinggalan pengunjung.

“Pada masa ini, GPI mempunyai lebih daripada 1,100 orang sukarelawan yang berdaftar,” ujarnya. – Suara Timur