MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, Oktober 03, 2026

𝐏𝐏𝐊𝐊 𝐁𝐚𝐭𝐮 𝟐 ½ 𝐣𝐨𝐡𝐚𝐧 𝐊𝐚𝐭𝐞𝐠𝐨𝐫𝐢 𝐎𝐫𝐚𝐥 𝐌𝐢𝐧𝐢 𝐊𝐨𝐧𝐯𝐞𝐧𝐬𝐲𝐞𝐧 𝐏𝐏𝐊𝐊 𝐃𝐚𝐞𝐫𝐚𝐡 𝐊𝐞𝐦𝐚𝐦𝐚𝐧

 

PPKK Batu 2 ½ johan Kategori Oral Mini Konvensyen PPKK Daerah Kemaman

03/10/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Batu 2 ½, Chukai muncul johan Kategori Oral pada Mini Konvensyen PPKK Daerah Kemaman 2026 di Dewan Dato’ Seri Tuan Guru, Darul Iman Training Centre (DITC), Telok Kalong, dekat sini hari ini.

Program Mini Konvensyen PPKK Daerah Kemaman 2026 ini merupakan mini konvensyen yang julung kali diadakan di daerah ini dan pertama di Terengganu pada tahun ini yang menggabungkan semua Sembilan PPKK dalam daerah ini.

Sementara itu PPKK Kuala Kemaman dan PPKK Kerteh memenangi naib johan dan tempat ketiga bagi kategori Oral.

Empat dari kiri, Pengerusi PPKK Daerah Kemaman, Abdul Hadi Muhammad, Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr. Mohd Shafik Abd. Majid dan Pengerusi PPKK Batu 2 ½, Wan Norsuriya Wan Mokhtar sempena Mini Konvensyen PPKK Daerah Kemaman 2026 di Telok Kalong, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Sebanyak empat PPKK menyertai pertandingan dalam kategori Oral, lima PPKK kategori Poster dan sembilan PPKK kategori Booth.

Bagi kategori Booth Pameran, Johan pertandingan dimenangi oleh PPKK Kemasik dan diikuti PPKK Chukai dan PPKK Kijal sebagai naib johan dan tempat ketiga.

PPKK Chukai muncul sebagai johan pertandingan kategori Poster diikuti PPKK Kuala Kemaman dan PPKK Cheneh sebagai naib johan dan tempat ketiga.

Program tersebut dirasmikan Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr. Mohd Shafik Abd. Majid.

PENGERUSI PPKK Batu 2 ½, Wan Norsuriya Wan Mokhtar  menunjukan sijil penghargaan yang dimenangi pada Mini Konvensyen PPKK Daerah Kemaman 2026.

Hadir sama, Pegawai Kesihatan Keluarga, Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, Dr. Hanis Ahmad dan Pengerusi PPKK Daerah Kemaman, Abdul Hadi Muhammad.

Program Mini Konvensyen PPKK Daerah Kemaman 2026 ini tidak hanya merupakan platform untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman, tetapi juga merupakan medan kemuafakatan antara sukarelawan PPKK dengan anggota kesihatan.

Selain itu, program berkenaan juga memupuk dan menyemarakkan semangat sukarelawan untuk meningkatkan lagi usahasama dalam meningkatkan mutu kesihatan masyarakat.

Mini Konvensyen PPKK Daerah Kemaman 2026 ini amenjadi  platform bagi semua ahli PPKK untuk bertukar idea, berkongsi pengetahuan dan memperkaya pengalaman melalui persembahan projek masing-masing.

Antara PPKK yang mengambil bahagian Mini Konvensyen PPKK Daerah Kemaman 2026 ini adalah PPKK Batu 2 ½, PPKK Chukai, PPKK Kemasik, PPKK Air Putih, PPKK Kijal, PPKK Kuala Kemaman, PPKK Kerteh, PPKK Cheneh dan PPKK Seri Bandi. – Suara Timur

Selasa, September 29, 2026

Ketengah Terengganu International Junior Golf Masters 2026 cungkil bakat golf muda

 

Ketengah Terengganu International Junior Golf Masters 2026 cungkil bakat golf muda

29/09/2026

Oleh MUKHATAR  A RAHMAN

DUNGUN: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bakal menganjurkan KETENGAH Terengganu International Junior Golf Masters 2026 di Kelab Golf Bukit Besi, dekat sini, pada 12 hingga 14 Oktober ini sebagai usaha mencungkil dan mengembangkan bakat pemain golf muda.

Pengerusi KETENGAH, Datuk Rozi Mamat berkata, kejohanan itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Golf Terengganu dan DKay Golf Academy, selain menjadi platform bagi atlet muda mengembangkan bakat serta meningkatkan pengalaman bersaing di peringkat antarabangsa.

“Pada masa sama, kejohanan ini dapat memupuk semangat kesukanan, disiplin dan daya saing dalam kalangan pemain golf muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kejohanan berkenaan menyasarkan penyertaan 88 peserta, dengan 49 peserta setakat ini telah mengesahkan penyertaan termasuk 10 peserta antarabangsa.

KELAB Golf Bukit Besi menjadi lokasi penganjuran Kejohanan KETENGAH Terengganu International Junior Golf Masters 2026 pada 12 hingga 14 Oktober ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar kejohanan Ketengah Terengganu International Junior Golf Masters 2026 di Kelab Golf Bukit Besi di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.

Rozi berkata, peserta akan berentap dalam enam kategori mengikut umur dan jantina iaitu Bawah 18 Tahun Lelaki dan Perempuan, Bawah 15 Tahun Lelaki dan Perempuan serta Bawah 12 Tahun Lelaki dan Perempuan.

“Selain persaingan merebut kemenangan, peserta dan penonton juga berpeluang menikmati pelbagai hadiah menarik yang disediakan sepanjang kejohanan, termasuk sesi cabutan bertuah dan cabaran Hole in One,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran kejohanan itu turut mendapat sokongan beberapa penaja terdiri daripada KETENGAH Holding Sdn Bhd, HHA Associates, Empayar Damai Sdn Bhd, Casa Armada Sdn Bhd, Society of Petroleum Engineers (SPE), RFL Petrolab Sdn Bhd serta A.D. Metal Trading & Transport.

Katanya, kerjasama pihak swasta itu mencerminkan komitmen bersama dalam memperkasa pembangunan sukan golf di peringkat akar umbi, khususnya dalam mencungkil bakat muda.

“Pada masa sama, penganjuran kejohanan ini dapat membantu mempromosikan Terengganu sebagai antara destinasi sukan golf yang berpotensi tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya. – Suara Timur

Selasa, September 22, 2026

𝗦𝗨𝗞, 𝗣𝗲𝗻𝗮𝘀𝗶𝗵𝗮𝘁 𝗨𝗻𝗱𝗮𝗻𝗴-𝗨𝗻𝗱𝗮𝗻𝗴 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗦𝗲𝗺𝗯𝗶𝗹𝗮𝗻 𝗱𝗶𝗴𝗮𝗻𝘁𝘂𝗻𝗴 𝘁𝘂𝗴𝗮𝘀 𝗯𝗲𝗿𝗸𝘂𝗮𝘁 𝗸𝘂𝗮𝘀𝗮 𝘀𝗲𝗿𝘁𝗮-𝗺𝗲𝗿𝘁𝗮

 

SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan digantung tugas berkuat kuasa serta-merta

22/09/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

SEREMBAN: Mesyuarat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan hari ini memutuskan secara sebulat suara untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Masri Haji Razali dinamakan untuk menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga Setiausaha Kerajaan Negeri baharu dinamakan oleh Ketua Setiausaha Negara.

“Manakala tugas memberikan nasihat perundangan akan dilaksanakan oleh Fahmi Adilah, seorang peguam bela dan peguam cara sehingga Penasihat Undang-Undang Negeri yang baharu dinamakan oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata notis penggantungan Setiausaha Kerajaan Negeri akan dimaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam, manakala notis penggantungan Penasihat Undang-Undang Negeri akan dimaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Dalam pada itu, Ismail mengesahkan semua jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) masih kekal dan sah.

“Pada masa yang sama, pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan akan terus berjalan seperti biasa dan amanah kepada rakyat akan terus dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya. – Suara Timur

Jumaat, September 18, 2026

Mini Konvensyen PPKK Kemaman 2026 Perkasa Peranan Komuniti Dalam Kesihatan

Mini Konvensyen PPKK Kemaman 2026 Perkasa Peranan Komuniti Dalam Kesihatan

18/09/2026

Oleh MULHATAR A RAHMAN

KEMAMAN – Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman dengan kerjasama Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Daerah Kemaman akan menganjurkan program Mini Konvensyen PPKK Daerah Kemaman 2026 bertempat di Dewan Dato’ Seri Tuan Guru, Darul Iman Training Centre (DITC), Telok Kalong dekat sini pada 3 Oktober hadapan.

Pengerusi PPKK Daerah Kemaman, Abdul Hadi Muhammad berkata, majlis tersebut akan dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu (Kesihatan Awam), Dr. Mohd Anuar Abd. Rahman.

“Program Mini Konvensyen PPKK Daerah Kemaman 2026 ini merupakan mini konvensyen yang pertama di negeri Terengganu pada tahun ini yang menggabungkan semua Sembilan PPKK dalam daerah Kemaman.

Ujar Abdul Hadi, pertandingan diadakan dalam tiga kategori iaitu Oral (4 PPKK), Poster (5 PPKK) dan Booth (9 PPKK).

“Program Mini Konvensyen PPKK Daerah Kemaman 2026 ini tidak hanya merupakan platform untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman, tetapi juga merupakan medan kemuafakatan antara sukarelawan PPKK dengan anggota kesihatan. Selain itu juga memupuk dan menyemarakkan semangat sukarelawan untuk meningkatkan lagi usahasama dalam meningkatkan mutu kesihatan masyarakat.

Menurutnya, Mini Konvensyen PPKK Daerah Kemaman 2026 ini adalah platform bagi semua ahli PPKK untuk bertukar idea, berkongsi pengetahuan dan memperkaya pengalaman melalui persembahan projek masing-masing.

Abdul Hadi juga berharap, Mini Konvensyen PPKK Daerah Kemaman 2026 ini akan terus mengeratkan silaturrahim di kalangan kakitangan kesihatan dengan ahli PPKK Daerah Kemaman. – Suara Timur

Selasa, September 15, 2026

𝐏𝐚𝐬𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐬𝐮𝐚𝐦𝐢 𝐢𝐬𝐭𝐞𝐫𝐢 𝐧𝐲𝐚𝐫𝐢𝐬 𝐦𝐚𝐮𝐭 𝐥𝐚𝐧𝐠𝐠𝐚𝐫 𝐠𝐚𝐣𝐚𝐡

 

Pasangan suami isteri nyaris maut langgar gajah

15/09/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Sepasang suami isteri nyaris maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Ativa dinaiki mereka merempuh seekor gajah yang melintas jalan di di kilometer 160, Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Bandar Cheneh Baru dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi itu, Amirul Afiq Aazmi, 31,dan isterinya yang berusia lingkungan 30-an hanya mengalami kecederaan ringan manakala kenderaan SUV dinaiki mereka rosak teruk.

Gajah liar berkenaan dipercayai haiwan yang sama ditemui penduduk berkeliaran di sekitar lokasi kemalangan beberapa hari lepas.

Ketika kejadian, kenderaan SUV dinaiki pasangan terbabit dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Kuantan, Pahang menuju ke Kota Bharu, Kelantan.

Pada masa sama, haiwan liar itu dipercayai melintas jalan menuju ke ladang kelapa sawit berhampiran, menyebabkan kenderaan mangsa tidak sempat mengelak sebelum merempuh gajah berkenaan.

Pada masa sama, sebuah kereta Perodua Myvi yang mengekori belakang SUV tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian belakang perodua Ativa.

Kedua-dua mangsa berjaya di keluarkan orang ramai dari kenderaan yang remuk teruk sebelum di bawa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman oleh pasukan perubatan untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika di hubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian itu.

Insiden berkenaan adalah kejadian kedua selepas bulan lalu sepasang suami yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) merempuh sekumpulan gajah liar yang melintas jalan di Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) berhampiran susur masuk ke Plaza Tol Cheneh. – Suara Timur

Ahad, September 13, 2026

𝐖𝐚𝐫𝐠𝐚 𝐞𝐦𝐚𝐬.𝐦𝐚𝐮𝐭, 𝐫𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐜𝐞𝐝𝐞𝐫𝐚 𝐤𝐞𝐧𝐝𝐞𝐫𝐚𝐚𝐧 𝟒𝐗𝟒 𝐭𝐞𝐫𝐥𝐢𝐛𝐚𝐭 𝐤𝐞𝐦𝐚𝐥𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐝𝐢 𝐋𝐏𝐓𝟐

 

Warga emas.maut, rakan cedera  kenderaan 4X4 terlibat kemalangan di LPT2

13/09/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Seorang warga emas maut manakala rakannya cedera selepas kenderaan pacuan empat roda (4X4) dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) dekat sini petang semalam.

Mangsa, Zainal Abidin Zakaria, 63 seorang kontraktor dipercayai mengalami masalah jantung ketika memandu menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 4.15 petang semalam di kilometer 319.4 berhampiran dengan susur keluar Plaza Tol Kerteh di sini.

Ketika kejadian, kenderaan dipandu mangsa itu dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Hulu Terengganu menuju ke Meru, Klang, Selangor.

Siasatan awal polis mendapati, sejurus tiba di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki mangsa itu dipercayai tiba-tiba hilang kawalan sebelum melanggar dan bergesel dengan besi penghadang di sebelah kiri jalan.

Kenderaan berkenaan kemudiannya dikatakan terseret sejauh kira-kira 44 meter sebelum berhenti,” katanya dalam kenyataan jari in

Susulan kejadian itu, Zainal Abidin dipercayai mengalami kecederaan pada bahagian dada dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba sejurus selepas kejadian.

Dalam kejadian itu, seorang penumpang hadapan yang juga rakan mangsa, Abdul Rahman Zakaria, 52 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli, ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian itu.

Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman dan keputusan bedah siasat malam tadi mengesahkan mangsa mengalami serangan jantung.

Kes disiasat di bawah seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Suara Timur

Jumaat, September 04, 2026

𝐑𝐀𝐍𝐀𝐂𝐎 𝐊𝐨𝐥𝐞𝐣 𝐀𝐧𝐠𝐤𝐚𝐭 𝐘𝐓𝐀𝐀 𝐩𝐞𝐫𝐤𝐚𝐬𝐚 𝐩𝐞𝐧𝐝𝐢𝐝𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐓𝐕𝐄𝐓 𝐠𝐨𝐥𝐨𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐛𝐞𝐫𝐩𝐞𝐧𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐫𝐞𝐧𝐝𝐚𝐡

 

RANACO Kolej Angkat YTAA perkasa pendidikan TVET golongan berpendapatan rendah

03/09/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Ranaco Education & Training Institute (RANACO) kini dijadikan Kolej Angkat Yayasan Tengku Abdul Aziz Sultan Abu Bakar (YTAA) dalam usaha memperkukuh akses pendidikan dan latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan asnaf.

Pengerusi YTAA Tengku Hassanal Badyr Almarhum Tengku Panglima Perang Tengku Abdul Aziz berkata inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperluas akses pendidikan TVET, terutama dalam bidang berimpak tinggi seperti maritim, kejuruteraan serta industri minyak dan gas.

Beliau berkata RANACO mempunyai peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir dan kompeten menerusi program pendidikan serta latihan berasaskan industri.

“RANACO telah dikenali sebagai sebuah institusi yang memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga mahir dalam bidang seperti maritim, kejuruteraan, teknologi minyak dan gas serta latihan teknikal lain yang berimpak tinggi.

KAPTEN  Saad Din (dua kiri) memberi penerangan cara mengendali kapal pada simulasi pemanduan kapal sempena Program Lawatan Tapak Ke Ranaco Education & Training Institute (Kolej Angkat YTAA) bersama Yayasan Tropicana di Kemaman hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“Lawatan ini bukan sekadar kunjungan biasa, tetapi membawa maksud yang lebih besar kerana institusi ini bukan sahaja menyediakan peluang pendidikan, malah memberi pendedahan praktikal yang amat diperlukan dalam industri sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Lawatan Tapak ke Ranaco Education & Training Institute (Kolej Angkat YTAA) bersama Yayasan Tropicana di Kawasan Perindustrian Jakar di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif RANACO Syafiq Asyraf Mohd Yusop; Pengarah Program Yayasan Tropicana Serena Lim; Ketua Pegawai Eksekutif YTAA Khairul Anuar Khahfi; Pengarah Urusan Meeka International Sdn Bhd Puteri Alaina Nohuddin dan Ketua Pegawai Operasi RANACO Kapten Saad Din.

SYAFIQ Asyraf Mohd Yusop (kanan) menerangkan sesuatu kepada Tengku Hassanal Badyr Almarhum Tengku Panglima Perang Tengku Abdul Aziz (dua kiri) dan Serena Lim sempena Program Lawatan Tapak Ke Ranaco Education & Training Institute (Kolej Angkat YTAA) bersama Yayasan Tropicana di Kemaman, hari ini. – SUARAVTIMIR/MUKHATAR A RAHMAN

Tengku Hassanal berkata YTAA melihat pendidikan dan kemahiran sebagai satu bentuk pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan, terutama dalam menyediakan laluan pendidikan dan kerjaya yang lebih jelas kepada golongan muda.

“Kami percaya pertemuan ini merupakan langkah penting dalam membina persefahaman dan kerjasama strategik antara YTAA dan Yayasan Tropicana, khususnya dalam merealisasikan hasrat memberikan peluang kepada anak-anak muda mengikuti program pendidikan serta membangunkan mereka sebagai modal insan berkemahiran tinggi dan berdaya saing,” katanya.

Sementara itu,, Ketua Pegawai Eksekutif RANACO Syafiq Asyraf Mohd Yusop berkata, pengiktirafan RANACO sebagai Kolej Angkat YTAA, selain kunjungan Yayasan Tropicana, merupakan satu perkembangan positif dalam usaha memperkukuh agenda pendidikan TVET.

Beliau berkata, RANACO kekal komited melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, kompeten dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan industri, khususnya sektor maritim, kejuruteraan serta teknologi minyak dan gas.

KAPTEN Saad Din (kanan) memberi penerangan cara mengendali kapal pada simulasi pemanduan kapal sempena Program Lawatan Tapak Ke Ranaco Education & Training Institute (Kolej Angkat YTAA) bersama Yayasan Tropicana di Kemaman hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“Kami yakin sokongan YTAA dan potensi kolaborasi bersama Yayasan Tropicana dapat mengangkat agenda pembangunan pendidikan dan kebajikan anak-anak muda ke tahap lebih tinggi.

“Kerjasama ini juga berpotensi membuka lebih banyak laluan kerjaya serta peluang latihan praktikal yang komprehensif bagi membolehkan pelajar mendepani cabaran industri sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Program Yayasan Tropicana Serena Lim berkata lawatan pihaknya ke RANACO merupakan kunjungan tapak dan sesi perbincangan awal bersama YTAA serta RANACO Group bagi memahami dengan lebih mendalam program latihan dan pembangunan belia yang dilaksanakan institusi berkenaan.

“Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha Yayasan Tropicana meneroka peluang kerjasama di bawah program Youth Forward, khususnya inisiatif yang dapat membantu golongan belia membuat persediaan untuk peringkat seterusnya selepas tamat persekolahan, sama ada melanjutkan pelajaran atau memasuki alam pekerjaan.

“Kami tertarik untuk mengetahui dengan lebih lanjut pendekatan YTAA dan RANACO dalam pembangunan belia serta pendedahan kepada latihan berasaskan industri,” katanya.

Serena berkata pihaknya melihat terdapat potensi sinergi antara inisiatif yang dilaksanakan YTAA dan RANACO dengan aspirasi program Youth Forward, namun sebarang bentuk kerjasama masih tertakluk kepada perbincangan lanjut dan penilaian semua pihak – Suara Timur

Selasa, September 01, 2026

CARILAMAT nelayan hilang selepas bot terbalik di perairan Pulau Tenggol ditamatkan

 

CARILAMAT nelayan hilang selepas bot terbalik di perairan Pulau Tenggol ditamatkan

01/09/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) seorang nelayan yang dikhuatiri hilang selepas sebuah bot dilaporkan terbalik di perairan Pulau Tenggol, Dungun pada 27 Ogos lalu, ditamatkan hari ini selepas tiada sebarang petunjuk atau penemuan berjaya dikesan

Pengarah Maritim Zon Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, operasi pencarian meliputi kawasan seluas kira-kira 801.22 batu nautika persegi dan dilaksanakan secara sistematik dengan mengambil kira keadaan cuaca, laut, arus serta kemungkinan hanyutan mangsa

“Sepanjang operasi, pelbagai kaedah pencarian telah dilaksanakan termasuk pencarian permukaan, penggunaan sonar, operasi selaman serta penggunaan Remote Operated Vehicle (ROV) bagi membantu mengesan sebarang petunjuk atau objek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan mangsa

“Namun begitu, sehingga operasi ditamatkan, tiada sebarang petunjuk atau penemuan yang dapat dikaitkan dengan mangsa berjaya dikesan,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, keputusan menamatkan operasi dibuat selepas semua sektor pencarian yang dikenal pasti telah dilaksanakan dan tiada maklumat baharu diperoleh yang dapat membantu usaha mengesan mangsa

“Maritim Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi, pasukan penyelamat, komuniti maritim serta pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang operasi ini atas kerjasama, komitmen dan bantuan yang diberikan

“Walaupun operasi carilamat ditamatkan, aset Maritim Malaysia yang melaksanakan rutin rondaan akan terus membuat pemantauan sekiranya terdapat sebarang maklumat atau penemuan baharu berkaitan mangsa,” katanya

Khamis lalu Maritim Malaysia Zon Kemaman menerima makluman awal daripada Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Kuantan pada 6.25 petang mengenai mangsa, Sabrie Rusli, 32, dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan masih belum ditemukan sehingga kini. – Suara Timur

Ahad, Ogos 30, 2026

Lebih lima tan sampah berjaya dikumpul pada Program Kawalan Denggi

 

Lebih lima tan sampah berjaya dikumpul pada Program Kawalan Denggi

29/08/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Lebih lima tan sampah berjaya dikumpul sempena Program Kawalan Denggi
Di Kawasan Perumahan Kampung Jaya, Cukai dekat sini hari ini.

Pengerusinya, Badeli Mamat berkata, program selama tiga jam yang berakhir pada pukul 11 pagi berjaya mengumpul pelbagai jenis bahan buangan termasuk basikal dan tayar buruk.

“Alhamdulillah sambutan dan kerjasama penduduk Kampung Jaya amat menggalakan dan hari ini kami memeriksa pasu bunga, tayar buruk, tin kosong, atau bekas yang boleh menakung air hujan dan buang barang terpakai ke dalam tong sampah atau pusat kitar semula yang betul.

PESERTA gotong-royong mengutip dan membuang tayar terpakai pada  Program Kawalan Denggi Di Kawasan Perumahan Kampung Jaya, Cukai, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR

“Program gotong-royong berkenaan memberi tumpuan kepada usaha menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan berisiko tinggi, di samping memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pencegahan denggi,” katanya ketika ditemui Suara Timur hari ini.

Program Kawalan Denggi Di Kawasan Perumahan Kampung Jaya itu dianjurkan Unit Vektor Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Jaya, Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Kontraktor Pembersihan MPK dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Batu 2 ½,

Hadir sama Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Azri A. Latip dan Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Batu 2 ½, Wan Norsuriya Wan Mokhtar.

SEBAJAGIAN sampah yang berjaya dikutip peserta pada Program Kawalan Denggi Di Kawasan Perumahan Kampung Jaya, Cukai, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Pada masa sama, Badeli berkata, orang ramai turut diseru supaya sentiasa memainkan peranan dengan memastikan persekitaran rumah sentiasa bersih dan bebas daripada sebarang situasi air bertakung bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes.

“Usaha bersepadu antara agensi kerajaan dan komuniti itu diharap dapat membantu mengekang penularan kes demam denggi,” ujarnya.

Badeli berkata, pihaknya akan memantau setiap minggu bagi memastikan tiada pembiakan nyamuk aedes di kawasan ini. – Suara Timur.

Sabtu, Ogos 29, 2026

Kerajaan digesa perketat kawalan sempadan, tangani isu PATI secara menyeluruh

 

Kerajaan digesa perketat kawalan sempadan, tangani isu PATI secara menyeluruh

29/08/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Kerajaan digesa memperketat kawalan sempadan negara dan mengambil tindakan tegas terhadap Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), termasuk majikan yang menggaji pekerja tanpa dokumen sah.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman (DPPKK), Ahmad Dasuki Mohd Tahir berkata, kemasukan warga asing perlu diurus mengikut undang-undang manakala mereka yang tidak mempunyai dokumen sah tidak seharusnya dibiarkan berada di negara ini tanpa penyelesaian yang jelas.

Beliau berkata, isu PATI bukan perkara kecil kerana ia berkait rapat dengan keselamatan negara, kawalan sempadan, peluang pekerjaan, tekanan terhadap kemudahan awam serta ketenteraman masyarakat.

“Kita berhimpun bukan kerana kebencian kepada mana-mana bangsa, tetapi mahu menyatakan pendirian bahawa Malaysia ialah negara berdaulat dan undang-undang negara mesti dihormati.

KETUA Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman (DPPKK), Ahmad Dasuki Mohd Tahir

“Rakyat Malaysia bekerja keras mencari rezeki, membayar cukai dan mematuhi undang-undang. Justeru, rakyat berhak bertanya sama ada sistem imigresen dan kawalan sempadan negara benar-benar cukup tegas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Himpunan Aman ‘Kemaman Bebas PATI’ yang disertai lebih 400 peserta di Padang Astaka Chukai di sini petang semalam.

Program anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daerah Kemaman itu turut disertai wakil Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, aktivis pendedahan PATI serta beberapa aktivis masyarakat dan wakil belia.

SEBAHAGIAN daripada peserta Program Himpunan Aman ‘Kemaman Bebas PATI’ di Padang Astaka Chukai, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Beliau turut menggesa kerajaan mempunyai dasar yang jelas berhubung pelarian dan pencari suaka termasuk komuniti Rohingya, sambil menegaskan nilai kemanusiaan perlu diseimbangkan dengan kepentingan keselamatan serta kedaulatan negara.

Menurutnya, kerajaan perlu melaksanakan enam langkah utama iaitu memperketat kawalan sempadan, memastikan semua warga asing dikenal pasti dan disaring mengikut undang-undang, membanteras sindiket penyeludupan manusia, mengambil tindakan terhadap majikan yang menggaji pekerja tanpa dokumen sah, menyediakan pelan jelas berkaitan PATI dan pelarian serta memastikan proses penghantaran pulang dibuat berdasarkan penilaian keselamatan dan undang-undang.

“Kita bukan mahu Malaysia menjadi negara yang zalim, tetapi kita juga tidak mahu menjadi negara yang lemah dalam menguatkuasakan undang-undang sendiri.

SEBAHAGIAN daripada peserta Program Himpunan Aman ‘Kemaman Bebas PATI’ di Padang Astaka Chukai, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“Kita mahu sebuah negara yang mempunyai dasar imigresen yang tegas, adil dan konsisten serta memastikan keselamatan, pekerjaan dan kesejahteraan rakyat Malaysia diberikan keutamaan,” katanya.

Beliau turut menegaskan himpunan berkenaan berlangsung secara aman dan tidak bertujuan menghina mana-mana bangsa, sebaliknya sebagai saluran menyampaikan tuntutan rakyat kepada kerajaan. –  Suara Timur