MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Selasa, Jun 03, 2025

Warden tahfiz mengaku salah tampar pelajar makan roti

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : Seorang warden lelaki sebuah pusat tahfiz didenda sebanyak RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menampar seorang pelajar lelaki, April lalu.

Tertuduh, Mohd Norzaizhul Zainudin, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa yang berusia 16 tahun dengan cara menampar pada bahagian kiri dan kanan muka mangsa.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 3.45 petang, pada 26 April lalu di asrama tahfiz itu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum hingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya.

Mahkamah memutuskan tertuduh dikenakan denda sebanyak RM1,200 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi manakala tertuduh diwakili peguam Masliela Ismail.

Difahamkan, tertuduh menampar mangsa selepas mengetahui pelajar itu telah memakan roti tanpa kebenaran.

Roti yang dimakan pelajar itu merupakan sarapan pelajar tahfiz itu untuk keesokkan paginya. – Suara Timur

Pemilik syarikat didenda RM3,500 jual rokok tidak ikut harga ditetapkan

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Sebuah syarikat perniagaan didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Kemaman di sini, hari ini, kerana menjual rokok tidak mengikut harga jualan minimum ditetapkan di premis perniagaannya, November tahun lalu.

Majistret Sharifah Armida Shasha Amir Shariffuddin menjatuhkan hukuman terhadap pemilik syarikat tersebut iaitu orang kena saman (OKS) setelah didapati bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Berdasarkan fakta kes, kesalahan itu dikesan pada Operasi Kawalan Penjualan Produk Merokok di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) pada November tahun lalu.

Pengeledahan di premis perniagaan tersebut telah menemui dan menyita produk tembakau sebanyak 58 jenis paket rokok pelbagai jenama dengan kuantiti 969 kotak paket rokok yang bernilai RM5,732.00.

OKS tersebut merupakan individu pertama di Terengganu disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 14 (5) (a) (i), Akta 852.

OKS mengaku bersalah selepas didapati menjual rokok tidak mengikut harga jualan minimum ditetapkan pada harga jualan minimum RM12 bagi setiap paket yang  melanggar undang-undang yang telah berkuat kuasa.

Penolong Pegawai Pendakwa KKM, Alias Awang Kechik (kiri) dan Penolong Pengarah Kanan (Sub Pendakwaan) Unit Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Mohd Rosli Abd Wahab (kanan) menunjukkan sebahagian hasil rampasan pada  Operasi Kawalan Penjualan Produk Merokok. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Dalam prosiding mahkamah pihak pendakwaan telah mengemukakan hujah pemberatan dengan menyatakan  pihak kerajaan telah mewartakan peraturan penjualan produk tembakau di bawah akta ini bagi mengawal ketat khususnya kepada sasaran orang belum dewasa daripada kebolehcapaian membeli dengan mudah.

Pihak pendakwa memaklum bekalan produk merokok yang disita yang banyak dan terdapat empat cawangan yang dimiliki OKS menunjukkan bahawa pasaran yang dijual sangat meluas dan berskala besar.

Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Pegawai Kesihatan Persekitaran, Mohd Nasir Mohd Shaari dan dibantu oleh Alias Awang Kechik dari Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman.

Turut hadir Mohd Rosli Abd Wahab, Penolong Pengarah Kanan (Sub Pendakwaan) Unit Inspektorat dan Perundangan sebagai Pegawai Pendakwa penasihat teknikal.

Mengikut Akta 852, hukuman maksimum bagi kesalahan pertama individu adalah denda RM20,000 atau penjara setahun, atau kedua-duanya sekali.

Namun, dalam kes ini, OKS dikenakan denda RM3,500, dan jika gagal menjelaskan denda tersebut boleh dikenakan hukuman penjara selama satu tahun. OKS membayar denda tersebut. – Suara Timur

Ahad, Jun 01, 2025

Peserta Konvoi Kembara Jubli Emas Rukun Tetangga disambut meriah di KRT Taman Selesa

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Seramai 30 peserta Konvoi Kembara Jubli Emas Rukun Tetangga disambut meriah ketika tiba di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Selesa, Bandar Al-Muktafibillah Shah (AMBS),  di sini, semalam.

Peserta konvoi yang menunggang motosikal berkuasa tinggi diketuai Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Che Roslan Che Daud.

Sejurus tiba di KRT berkenaan, peserta konvoi disambut dengan persembahan Silat Jawi Terengganu.

CHE ROSLAN CHE DAUD

Pada majlis itu,  Che Roslan merasmikan logo baharu KRT dan pembukaan rasmi Pusat Komuniti (PUSKOM) KRT Taman Selesa.

Selain itu, beliau juga melancarkan Kempen #cakapbaikbaik secara gimik sebagai inisiatif menyemai nilai komunikasi positif dalam kalangan masyarakat.

Ketika berucap Che Roslan menekankan betapa pentingnya KRT sebagai pemacu komuniti harmoni dan progresif.

Menurut beliau, setiap KRT perlu menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memastikan setiap program yang dijalankan memberikan impak positif kepada masyarakat setempat.

Dalam program itu, Che Roslan turut menyampaikan sijil penghargaan kepada beberapa rakan strategik seperti KETENGAH, Pejabat Daerah dan Tanah Dungun, IPD Dungun, Suruhanjaya Koperasi Malaysia serta KRT-KRT aktif yang cemerlang dalam pembangunan komuniti.

Che Roslan  juga melakukan gimik pecah tanah tapak kebun RT Progresif bagi tanaman Sorghum, iaitu sumber pertanian baharu yang diusahakan secara bersama oleh komuniti.

Program diakhiri dengan pelepasan peserta konvoi ke Hulu Terengganu, menghubungkan dua daerah dalam semangat kembara perpaduan.

Program Kembara Jubli Emas RT adalah satu daripada Kembara Perpaduan Malaysia MADANI, yang menjelajah ke enam negeri terpilih dalam rangka memperingati dan meraikan lima dekad penubuhan Rukun Tetangga sebagai entiti penting dalam landskap perpaduan negara. – Suara Timur

Pemandu lori keluar kata kesat, dipukul empat individu

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang pemandu lori dipukul empat lelaki termasuk polis bantuan dipercayai enggan memberikan kerjasama untuk tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan mengeluarkan kata-kata kesat, semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian yang turut tular di laman sosial itu berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) di sini.

Menurutnya, pemandu lori berusia 30 tahun tersebut membuat laporan polis di Balai Polis Chukai, kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

“Siasatan awal mendapati, sebelum kejadian, mangsa yang baru selesai menghantar barang mengudurkan lorinya untuk keluar dari kawasan KSB.

“Polis bantuan yang bertugas melarang mangsa untuk tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu, namun lelaki itu enggan memberikan kerjasama,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Mohd Razi berkata, pemandu lori itu juga dikatakan telah membuat provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan mencabar polis bantuan untuk menumbuknya.

“Pemandu lori itu masih membuat pemeriksaan di Hospital Kemaman. Dia mengadu mengalami sakit di beberapa anggota badan termasuk mata kiri, mulut, lengan dan belakang kepala. Kita masih belum menerima laporan perubatan mangsa,” katanya.

Menurutnya, polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular sebuah rakaman video berdurasi 0.32 saat yang memaparkan pemandu lori itu dipukul beberapa individu  sebaik sahaja dia turun dari lorinya.

Video itu turut menimbulkan pelbagai reaksi warganet.  – Suara Timur

370 pasangan terima manfaat program bantuan rawatan kesuburan

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Seramai 370 pasangan di seluruh negara telah menerima manfaat daripada   program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) yang dilaksanakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bermula 1 Jan hingga 31 Mac lalu.

Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga LPPKN, Rosmonaliza Abdul Ghani berkata, pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6 juta untuk pelaksanaan program BuAI yang melibatkan 1,300 pasangan.

Beliau berkata, pasangan yang layak akan dibiayai untuk menjalani maksimum dua kitaran rawatan kesuburan Intrauterine Insemination (IUI) di klinik subfertiliti LPPKN iaitu di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.

“Setakat ini, sebanyak 17 peratus atau 63 pasangan telah berjaya hamil selepas mendapat rawatan IUI.

“Pasangan yang telah berkahwin selama enam bulan ke atas, namun belum menunjukkan tanda-tanda hamil boleh terus memohon  untuk program BuAI..tidak perlu menunggu lama,” katanya pada Karnival Sentuhan Kasih Ibu Sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Terengganu 2025, di sini hari ini.

ROSMONALIZA ABDUL GHANI

Pelbagai program diadakan sempena sambutan tersebut termasuk peraduan mewarna ibu dan anak, pertandingan mum make over, slot ceramah pemakanan dan taklimat bantuan rawatan kesuburan dan advokasi infertiliti.

Rosmonaliza berkata, selain program BuAI, LPPKN juga giat melaksanakan empat program lain bagi memperkasa wanita dan ibu di negara ini.

Ia termasuk Program Kasih Ibu Tunggal (PROKIT), Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (IKIT), Mamacare san Program Wanita Bangkit serta 2 Years Exit Programme, Gig@bit dan Volvo Iron Women.

“Program ini memberi ruang kepada wanita khususnya ibu tunggal yang tidak bekerja mendapatkan latihan dan peluang pekerjaan sesuai.

“Dalam aspek kesejahteraan pula, LPPKN menyediakan pelbagai program keibubapaan, khidmat kaunseling dan terapi minda serta saringan kesihatan termasuk HPV DNA dan subsidi mamogram,” katanya. – Suara Timur