MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Khamis, Mac 13, 2025

Tenaga pengajar direman disyaki rogol pelajar perempuan

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang tenaga pengajar di sebuah institut kemahiran di daerah ini, ditahan reman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rogol terhadap pelajar perempuannya, tahun lalu.

Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 38 tahun dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 12.15 malam tadi selepas mangsa tampil membuat laporan polis, kira-kira pukul 3.38 petang semalam.

“Mangsa yang berusia 18 tahun mendakwa diperkosa tenaga pengajarnya pada tahun lalu.

“Kita turut merampas sebuah kereta dan beberapa barangan lain yang dipercayai milik suspek yang boleh membantu siasatan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

ANGGOTA polis mengiring suspek (kiri) yang diperintah ditahan reman dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini. – FOTO/MUKHATAR A. RAHMAN

Mohd. Razi berkata, siasatan terperinci berhubung kes itu sedang dilakukan dan pihaknya akan turut menyiasat sama ada terdapat pelajar lain yang turut menjadi mangsa. – Suara Timur

Selasa, Mac 11, 2025

Pegawai keselamatan terpedaya ‘phone scam’ rugi RM303,750

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang pegawai keselamatan swasta menjadi mangsa terbaharu apabila
kerugian lebih RM300,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan melalui telefon atau ‘phone scam’ yang menyamar sebagai seorang pegawai polis, sejak Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli, berkata, lelaki yang berusia 40 tahun itu mendakwa dihubungi oleh seorang individu yang mendakwa mangsa menjual produk kecantikan di sebuah platform e-dagang tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Menurut mangsa, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang individu yang memperkenalkan dirinya seorang pegawai polis dan polis itu mendakwa mangsa terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta penggubahan wang haram.

“Mangsa kemediannya telah membuat pindahan wang sebanyak 15 kali transaksi ke sembilan akaun berbeza bermula 29 Disember tahun lepas sehingga 24 Februari lalu hingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian keseluruhan kira-kira RM303,750,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd. Rozi berkata, mangsa menggunakan wang simpanan dan pinjaman daripada rakan-rakannya serta pinjaman peribadi bank untuk membuat transaksi itu.

“Mangsa yang menyedari dia tertipu dengan ‘phone scam’ itu kemudiannya tampil membuat laporan polis kira-kira pukul 12.57 tengah hari kelmarin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – Suara Timur

Moreh santai tepi sungai di Waterfront Jakar

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Tapak moreh tepi sungai di Waterfront Jakar, Chukai, di sini menjadi pilihan penduduk setempat untuk iftar, moreh dan sahur pada  bulan Ramadan ini.

Pengunjung dapat menikmati pelbagai jenis makanan dan minuman yang dijual di gerai-gerai yang disediakan dengan harga berpatutan.

Kebanyakan menu yang dijual peniaga juga memenuhi cita rasa pelbagai golongan.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga berpeluang lepak bersama ahli keluarga dan rakan-rakan dalam suasana santai di tepi sungai dengan angin nyaman.

Tapak moreh ini dibuka bermula pukul 4 petang hingga 3 pagi di sepanjang Ramadan ini. – Suara Timur

Isnin, Mac 10, 2025

TAD Sapura Berani berlabuh di Pelabuhan Kemaman

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: EPIC Berhad menyambut ketibaan pelantar penggerudian bantuan tender (Tender Assisted Drilling Rig – TAD) Sapura Berani, yang selamat tiba dan berlabuh di Dermaga Barat (West Wharf), Pelabuhan Kemaman.

Memetik catatan di Facebook EPIC BERHAD, pelantar ini mengambil alih kedudukan TAD Rig Sapura Pelaut, yang telah berlepas ke lokasi seterusnya dua hari lalu.

Sebelum ini, TAD Rig Sapura Pelaut telah berlabuh di Pelabuhan Kemaman sejak 1 Julai 2024 bagi tujuan penyelenggaraan.

Setelah selesai menjalani proses tersebut, pelantar ini telah berlayar ke lokasi seterusnya.

Kini, TAD Rig Sapura Berani sedang menjalani penyelenggaraan serta persiapan bagi operasi seterusnya (on-hiring jobs).

Dua lagi pelantar yang turut berada di Pelabuhan Kemaman bagi tujuan penyelenggaraan ialah Sapura T-9 dan PetroVietnam Drilling (PVD) VI.

Sepanjang tempoh ini, Eastern Pacific Marine Services Sdn Bhd (EPMSSB), anak syarikat EPIC Berhad, akan memberikan perkhidmatan sokongan dan penyelenggaraan bagi memastikan kelancaran operasi semua pelantar yang berlabuh.

EPIC Berhad menzahirkan penghargaan kepada semua pihak atas kepercayaan yang diberikan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat. – Suara Timur