MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Selasa, Julai 22, 2025

Beruang berkeliaran berhampiran sekolah

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : Sesi pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Tayor, di sini, bertukar kecoh apabila dua ekor beruang berkeliaran berhampiran sekolah itu, pagi semalam.

Kelibat dua ekor beruang yang berkeliaran di tepi pagar dan kawasan kebun sekolah dikesan warga sekolah itu kira-kira pukul 8.30 pagi.

Tukang kebun sekolah, Azmi Yaakob, 52, berkata, pada awalnya beruang itu hanya berkeliaran di tepi pagar sekolah, berhampiran padang sekolah.

“Pagi semalam kebetulan murid-murid ada latihan sukan di padang sekolah, bila ada kelibat beruang, guru-guru meminta murid-murid bersurai seketika dan masuk ke kelas masing-masing untuk keselamatan mereka.

“Beruang itu agak lama berkeliaran di sekitar kawasan sekolah, kira-kira pukul 11 pagi, kedua-dua beruang itu kemudiannya memanjat pagar sekolah dan masuk ke kawasan kebun di belakang sekolah untuk mencuri buah durian sebelum berlalu pergi ke kawasan belukar berhampiran,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Azmi berkata, dia yang pertama kali melihat beruang turut merasa panik dan takut kerana saiz beruang yang agak besar, setinggi paras paha orang dewasa.

“Kita tak tahu saiz sebenar beruang itu, tapi dia merangkak pun, saiznya paras paha dewasa, kalau dia bangun, mungkin lagi tinggi,” katanya.

Sementara itu Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya telah memasang dua perangkap di kawasan kampung tersebut sejak hujung Mei lalu.

“Kita juga sentiasa mengadakan kawalan dan pemantauan berterusan bagi menangkap beruang tersebut,” katanya. – Suara Timur

Penduduk bimbang dua ekor beruang berkeliaran di Kampung Seberang Tayur Hilir

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN – Seramai 22 peserta Projek Tanaman Jagung Manis Berkelompok, di Kampung Seberang Tayur Hilir, di sini berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera menangkap dua ekor beruang berkeliaran di kawasan kampung mereka sejak beberapa hari lalu.

Penduduk mendakwa dua ekor beruang berkeliaran di kawasan rumah dan kebun jagung mereka itu boleh mengundang bahaya kepada mereka serta berpotensi merosakkan tanaman mereka.

Mereka mendakwa beberapa kali terserempak dengan haiwan itu merayau-rayau dalam kawasan kampung ketika dalam perjalanan ke kebun dan berulang alik menghantar anak ke sekolah.

Penduduk berharap pihak terbabit dapat bertindak segera menangkap haiwan itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku terutama membabitkan kanak-kanak sekolah selepas haiwan itu dilihat merayau-rayau di kawasan sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Seberang Tayur Hilir, Ab. Khalid Kamaludin berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah datang melakukan pemantauan terhadap haiwan tersebut.

WAN Noraini Wan Hassan menunjukan pokok jagung yang ditanam di halaman rumah dirosakkan beruang kepada Ab. Khalid.

Menurutnya, penduduk diminta bersabar kerana pihak Perhilitan akan mengambil tindakan segera untuk menangkap haiwan berkenaan sekaligus menjaga keselamatan penduduk dan tanaman jagung mereka.

“Saya ingin menyarankan dan  berharap supaya tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkaitan supaya beruang itu segera ditangkap,’ katanya ketika ditemui media di Projek Tanaman Jagung Manis Berkelompok, di Kampung Seberang Tayur Hilir di sini, hari ini.

Menurutnya, penduduk bimbang beruang tersebut masuk ke dalam kawasan jagung dan memusnahkan kawasan jagung ini.

“Lebih baik kita elak daripada awal sebab jagung sekarang ni sedang mengeluarkan hasil dan merupakan sumber pendapatan utama bagi peserta kita, ujarnya

Seorang penduduk yang juga pengusaha projek tanaman jagung, Azlinawati Awang berkata, dia berharap Perhilitan dapat segera menangkap haiwan terbabit yang dilihat boleh membahayakan penduduk dan mengancam tanaman yang menjadi sumber pendapatan mereka.

PESERTA Projek Tanaman Jagung Manis Berkelompok, di Kampung Seberang Tayur Hilir, Kemaman, Sarti Mohamad (kiri) dan Azlinawati Awang (kanan).

“Saya mewakili pengusaha tanaman jagung takut untuk datang ke kebun pada waktu pagi dan petang bimbang masalah beruang yang berleluasa di kampung kami,” ujarnya.

Seorang lagi pengusaha tanaman itu, Sarti Mohamad berkata, mereka mengusahakan tanaman jagung seluas lebih 15 ekar itu di bawah Program Sejati Madani, Jabatan Perdana Menteri melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dengan bantuan pelbagai agensi seperti, Jabatan Pertanian, Peladang dan FAMA.

“Saya berharap pihak perhilitan dapat menangkap segera beruang yang berkeliaran di kebun jagung dan sekarang ni berada di sekitar kawasan rumah penduduk kampung. Saya berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera,” tambahnya.

Seorang penduduk, Nurul Sakinah Amira Othman berkata, dua ekor beruang itu telah merayau-rayau mencari makanan sehingga di hadapan rumahnya dan ianya boleh membahayakan keselamatan anak-anak yang bermain di luar rumah.

“Tadi semasa suami saya baiki motosikal, dia nampak beruang lalu depan rumah saya, lalu beruang tu lari masuk ke dalam semak. Perkara ini sangat membahayakan penduduk dan anak-anak kecil yang bermain di luar rumah. Sebab saya setiap petang sentiasa beriadah di kawasan kampung dan membawa anak-anak naik basikal,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Wan Noraini Wan Hassan, 41, berkata, beruang begitu berani masuk ke Kawasan rumahnya yang berpagar dan merosakkan tanaman jagung dalam pasu dihadapan rumahnya diwaktu malam.

Beliau berharap Jabatan Perhilitan segera menangkap beruang tersebut kerana bimbang untuk keluar rumah waktu malam.

Sementara itu Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya telah mengambil maklum mengenai perkara berkenaan dan tindakan pemantauan telahpun dilakukan Perhilitan Kemaman di kawasan kampung itu.

Bulan lalu Suara Timur pernah menyiarkan kebimbangan masyarakat Felda Seberang Tayor di sini dengan kehadiran beruang berhampiran kediaman mereka. – Suara Timur

Isnin, Julai 21, 2025

2,000 hektar tanah di Terengganu ditanam kelapa pandan

 

KEMAMAN – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan membelanjakan RM1.28 juta menerusi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bagi membantu pengeluaran kelapa di negeri Terengganu.

Timbalan Pengarah Pertanian Negeri (Operasi), Hamidah Abdul Hamid berkata, bagi meningkatkan pengeluaran kelapa, kementerian memberi inisiatif kepada 37 usahawan tani dengan keluasan 248 hektar dari tahun 2021 hingga 2025.

“Menurut rekod Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, hasil usahawantani di Terengganu dapat membantu 60 peratus keperluan kelapa bagi negeri ini,” katanya.

Pegawai Pertanian Daerah Kemaman, Nur Shazwani Mohd Salleh (kiri) dan Timbalan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu (Operasi), Hamidah Abdul Hamid (kanan) menunjukkan produk yang dihasilkan daripada kelapa  Seminar Usahawantani Tanaman Kelapa Daerah Kemaman 2025 di Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/ MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau berkata demikian ketika ditemui Suara Timur selepas menyampaikan ucaptama sempena Seminar Usahawantani Tanaman Kelapa Daerah Kemaman 2025 anjuran Pejabat Pertanian Daerah Kemaman bertempat di Dewan Sri Geliga, Majlis Perbandaran Kemaman di sini, hari ini.

Program di bawah Agroteknologi disertai seramai 100  peserta termasuk pengusaha kelapa pandan di daerah Kemaman.

Hamidah memberitahu, di Terengganu, Jabatan Pertanian telah menanam lebih 2,000 hektar kelapa pandan dan daerah Kemaman merupakan daerah paling tinggi dengan 344 hektar bersamaan 15 peratus merupakan peserta dari daerah Kemaman.

Katanya, pengeluaran kelapa di negeri Terengganu pada tahun lepas sebanyak 17,400 metrik tan.

“Setakat ini pengeluaran kelapa di negeri ini masih rendah dengan hasil sekitar lapan metrik tan per hektar.

“Kita berharap dengan bantuan ini pengeluaran kelapa dapat ditingkatkan daripada lapan metrik tan kepada 15 metrik tan bagi mencukupi pemintaan kelapa di negeri ini,” ujarnya.

Tambahnya, produk kelapa bukan sahaja tertumpu kepada santan, malah ia juga boleh dijadikan air nira, minyak kelapa dara dan lipstik – Suara Timur

Ahmad Shabery dilantik semula Pengerusi Felda

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini mengumumkan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilantik semula sebagai Pengerusi Felda.

Jabatan Komunikasi Strategik Felda dalam kenyataan berkata, Ahmad Shabery menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan untuk terus menerajui Felda.

Menurutnya, pengurusan dan seluruh warga Kumpulan Felda juga menyambut baik pelantikan semula Ahmad Shabery.

Beliau berkata, pihaknya yakin pengalaman, wawasan serta komitmen tinggi Ahmad Shabery akan terus membawa Kumpulan Felda melangkah lebih jauh seiring dengan hasrat Malaysia Madani.

“Datuk Seri menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberikan untuk terus menerajui Felda,” katanya.

Ahmad Shabery sebelum ini dilantik sebagai Pengerusi Felda pada 1 Julai 2023 sebelum ditamatkan kontraknya pada 30 Jun 2025. – Suara Timur