MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Jumaat, Julai 11, 2025

Kekalkan tradisi gotong-royong masak bubur asyura

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN:  Bulan Muharam seolah-olah tidak lengkap tanpa kehadiran bubur asyura. Bubur asyura ialah bubur yang dibuat dengan pelbagai campuran ramuan pada 10 Muharram iaitu pada Hari Asyura. Ia juga dikenali sebagai sugha.

Terdapat dalam kalangan komuniti masyarakat setempat mengambil kesempatan pada muharram ini untuk mengadakan aktiviti gotong-royong masak bubur asyura.

Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim, malah dapat berkongsi rezeki bersama orang lain.

Malah, bergotong-royong memasak bubur asyura untuk diagih kepada golongan keluarga, fakir, miskin dan masyarakat setempat telah menjadi adat dan tradisi masyarakat Islam di negara ini.

Sementara itu, Pengerusi Surau Kampung Lot Seri Jaya, Batu 4 Binjai, Syed Mohamad Tuan Soh berkata, tradisi memasak bubur Asyura di kampung ini bermula sejak kampung ini ditubuhkan pada awal tahun 1973.

Pengerusi Surau Kampung Lot Seri Jaya, Batu 4 Binjai, Syed Mohamad Tuan Soh (kanan) Pengerusi JPKK Kampung Lot Seri Jaya, Yusof Ali (dua kanan) dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kawasan Air Putih, Mohd Hafiz Adam (tujuh dari kiri) bergambar pada program memasak bubur Asyura di pekarangan Surau Kampung Lot Seri Jaya, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurutnya, walaupun kepimpinan kampung silih berganti, namum semangat bergotong-royong memasak bersama-sama dapat dijalankan bagi mengeratkan silaturahim sesama warga tanpa mengira fahaman politik.

“Alhamdulillah, hari ini kita memasak bubur Asyura sebanyak dua kawah dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Lot Seri Jaya dan kita akan agih kepada penduduk kampung,” katanya kepada Suara Timur di sini, hari ini.

SEBAHAGIAN bubur asyura yang telah siap dimasak.

Ujarnya,  ramai dalam kalangan anak muda kini tidak kenal dan makan bubur Asyura. Mereka lebih mengenali makanan segera seperti pizza, burger dan ayam goreng yang terdapat di restoran makan segera.

“Mengapa ini berlaku? Soalnya. Ia mungkin disebabkan sesetengah kampung tidak lagi memasak bubur Asyura seperti yang pernah dilakukan oleh datuk nenek kita di zaman mereka dahulu,” katanya.

Syed Mohamad berkata, jika amalan memasak bubur Asyura tidak diteruskan, dibimbangi pada suatu hari nanti, generasi baharu tidak lagi mengenali dan merasai bubur asyura.

Program memasak bubur Asyura tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kawasan Air Putih, Mohd Hafiz Adam dan anggota polis dari Balai Polis Chukai, Kemaman. – Suara Timur

Rabu, Julai 09, 2025

200 penduduk lega beruang matahari berkeliaran ditangkap

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN – Kira-kira 200 penduduk Ladang Pelantoh Selatan, dekat sini lega selepas seekor beruang matahari betina yang berkeliaran di kawasan kediaman mereka berjaya ditangkap, malam tadi.

Beruang Matahari seberat kira-kira 40 kilogram (kg) itu berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kemaman setelah memasuki perangkap pada pukul 12 malam tadi.

Menurut wakil penduduk, Md Fauzi Abdullah, penduduk bimbang dengan kehadiran beruang berkenaan sejak pagi semalam yang berkeliaran dan memusnahkan beberapa tanaman penduduk.

Ujarnya, haiwan itu dikatakan tersesat dari hutan simpan berhampiran dan masuk ke kawasan perumahan penduduk dan memanjat pokok-pokok tanaman seperti kelapa, petai dan buah-buahan.  

BERUANG Matahari yang berjaya ditangkap di Ladang Pelantoh Selatan, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Memang penduduk sini rasa tak senang,  keadaan takut…kita lapor kepada Perhilitan dan Perhilitan memang cepat dan terus pasang perangkap.

“Alhamdulillah pada pukul 12 malam tadi, ada bunyi pintu perangkap ni tertutup. Kita pun datang sini dan didapti ada beruang,” katanya ketika ditemui media di sini.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi mengesahkan beruang berkenaan seberat kira-kira 40 kilogram telah dikesan masuk perangkap lewat malam tadi.

Menurutnya, beruang yang diselamatkan itu akan dibawa dan dilepaskan ke habitat yang sesuai dengan kemandirian spesiesnya seperti habitat asal haiwan itu. – Suara Timur

Jurutera kerugian RM70,400 ditipu pelaburan saham tidak wujud

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang jurutera mengalami kerugian RM70,400 setelah terpedaya dengan penipuan pelaburan saham tidak wujud dalam talian.

Ketua Polis Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, lelaki berusia 40 tahun itu telah melihat iklan pelaburan saham tersebut di laman sosial Facebook dan berurusan dengan seorang wanita berbangsa Cina yang menawarkan pelaburan saham syarikat negara China melalui aplikasi XZCISIFIN.

Menurutnya mangsa telah melakukan sebanyak (8) transaksi pindahan wang dalam talian ke (3) akaun bank yang berbeza, dengan jumlah keseluruhan RM71,000 bermula dari 27 Mei 2025 hingga 26 Jun 2025.

“Pada peringkat awal, mangsa menerima pulangan sebanyak RM600.

“Namun, selepas semua transaksi tersebut, mangsa tidak menerima sebarang pulangan lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa telah membuat laporan mengenai kejadian tersebut di  Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman pada Selasa lalu.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- Suara Timur

Isnin, Julai 07, 2025

50 Ketua AMK PKR tamat latihan AKAR

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Seramai 50 orang Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) seluruh negara tamat latihan Akademi Keadilan Rakyat (AKAR) Siri 1/2025 di Kem Ghaffar Baba, Ulu Kelang, Selangor pada 4 hingga 6 Julai lalu.

AKAR merupakan sebuah akademi yang ditubuhkan untuk melatih kepimpinan sedia ada serta anggota-anggota baharu AMK yang diluncurkan di Perak pada Mac 2024.

Mereka berkampung di Kem Ghaffar Baba, Ulu Kelang, Selangor, selama tiga hari dan mengikuti pelbagai sesi latihan serta penerapan nilai-nilai dan aspirasi parti.

Dari kiri, Ketua AMK Cabang Dungun, Syafiqah Nabihah Shamsul Bahri, Ketua AMK Cabang Marang, Amira Alias, Ketua AMK Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim dan Ketua AMK Cabang Besut, Norhairey Che Pauzi.

AKAR akan terus bergerak dari negeri ke negeri, untuk bertemu dan melatih lebih ramai ahli AMK yang bakal menjadi pemimpin masa depan PKR.

Ketua AMK Cabang Dungun, Syafiqah Nabihah Shamsul Bahri berkata, tiga orang Ketua AMK Terengganu yang terpilih menyertai AKAR Siri 1/2025 terdiri daripada Ketua AMK Cabang Besut, Norhairey Che Pauzi, Ketua AMK Cabang Marang, Amira Alias dan Ketua AMK Cabang Dungun.

Menurutnya, kehadiran dan komitmen AMK Terengganu dalam program ini membuktikan anak muda Terengganu bersedia memimpin perubahan dan mengangkat agenda reformasi ke peringkat yang lebih tinggi.

“Dengan modul latihan yang padat merangkumi kepribadian, kefahaman politik, kebudayaan serta simulasi kepimpinan dan para peserta bukan sahaja dibentuk sebagai aktivis parti, tetapi juga sebagai pemimpin rakyat yang berprinsip dan berani menyuarakan kebenaran.

“Semoga segala ilmu dan pengalaman sepanjang latihan ini menjadi suluh perjuangan. Perubahan tidak datang dengan selesa, ia hadir bersama keberanian dan tekad,” kata Syafiqah Nabihah. – Suara Timur