MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Khamis, Oktober 11, 2012

Antara Calon Luar dan Calon Tempatan

Antara Calon Luar dan Calon Tempatan

Assalamualaikum
Dah lama saya tidak menulis blog, Hari ini saya tertarik dengan komen YB Adun Air Putih Haji Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar dalam facebook beliau berbunyi begini. 
"Baru2 ni ramai yg bertanya pada saya samada saya masih akan bertanding atau tidak di DUN Air Putih. Jawapanya cukup mudah, saya tak tau sebab hanya pucuk pimpinan UMNO yg tau dan akan buat keputusan. Sewaktu dlm perjalanan saya ke Air Putih selepas dimaklumkan saya dicalonkan pada 2008 dulu, saya bertekad jika saya tidak ditawarkan bertanding pada pilihanraya seterusnya (PRU 13), saya akan menerima dgn penuh kesyukuran dan hati terbuka. Saya tidak akan menyusahkan parti dgn menghantar penyokong ber bas-bas untk protes dan sebagainya. Pesan ayahanda waktu itu pun simple, jgn mengharap penggal ke 2, buat yg terbaik." 
YB Adun Air Putih Haji Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar 
2 dari kiri bersama Ketua Cawangan Dun Air Putih.

Sebelum ini terlalu banyak spekulasi tentang beliau, sama ada masih kekal di Dun Air Putih atau berpindah ke Dun Cukai atau juga Parlimen Kemaman. Ada juga yang mengatakan Wan Hakim tidak terpilih disebabkan beliau adalah penyokong kuat Dato' Seri Idris Jusoh Mantan Menteri Besar Terengganu yang lalu. Pada awal tahun baru baru ini, saya pernah bertanya kepada beliau apakah beliau masih menjadi calon dalam PRU 13 yang akan datang? Beliau menjawab, terserah kepada pucuk pimpinan samada beliau masih diperlukan atau sebaliknya, semuanya ketentuan Allah Subhanahuataala. Beliau tidak merasa terkilan jika tidak dipilh dan berharap calon yang dipilih nanti lebih baik dari beliau. 

Sinar Harian 11.3.2011 menyiarkan komen saorang ketua cawangan yang mahukan anak jati Dun Air Putih menjadi calon dalam PRU 13 dan tidak menolak Adun yang sedia ada.

3 Oktober 2012 yang lalu Pengerusi Perkasa Kemaman Zulkifli Ngah membuat kenyataan kepada Sinar Harian "Calon Dun yang berasal dari Air Putih lebih memahami kehendak pengundi"
Keratan Sinar Harian 3 Oktober 2012

Sepanjang saya mengenali Wan Hakim, saya melihat beliau saorang yang mudah didampingi dan senang untuk berjumpa tanpa ada protokol. Saya amat hormat pendiriannya yang tegas dalam sesuatu isu yang dibangkitkan.
Adun Air Putih satu satunya Adun dalam Parlimen Kemaman yang tidak pernah dilantik sebagai exco.

Selasa, September 18, 2012

Calon Bebas Kuala Terengganu


Tok Mun mahu bertanding lagi



KUALA TERENGGANU :  Bakal calon paling awal kunjungi pejabat SPR, beralih ke DUN pula 

Ketika ramai masih berteka teki bila Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan diadakan, Tok Mun atau nama sebenarnya Maimun Yusof, 93, yang pernah bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Kuala Terengganu pada PRU 2008, sudah membuat persediaan untuk bertanding lagi. Dengan kudrat yang masih kuat biarpun usia sudah hampir menjangkau seabad, Tok Mun adalah bakal calon paling awal mengunjungi pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bandar raya ini untuk mendapatkan maklumat yang perlu sebagai persediaan untuk PRU kelak. 

Tok Mun ketika ditemui di rumahnya semalam berkata, dia tidak berhasrat untuk bertanding bagi kerusi Parlimen, sebaliknya mahu merubah angin bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). 

“SPR kata untuk bertanding kerusi Parlimen Tok kena sediakan duit RM10,000, tetapi untuk DUN perlukan wang RM5,000 saja. Tok pun bukan ada duit sangat, jadi Tok nak bertanding kerusi DUN saja. 

“Ketika ke pejabat SPR, Tok beritahu mereka Tok mahu bertanding menggunakan simbol yang Tok simpan (lambang kerajaan negeri Terengganu), tetapi mereka suruh Tok pilih simbol lain. 

“Jadi, jika Tok masuk bertanding PRU nanti terpaksa guna simbol yang mereka beri dan Tok pilih simbol rumah (sambil menunjukkan kertas diberikan SPR yang memaparkan pelbagai simbol). Simbol rumah saboh (sesuai) sikit,” katanya ketika ditemui Berita Harian di rumah sewanya di Kampung Pengadang Akar di sini. 

Tok Mun yang tinggal bersendirian di rumah yang sudah sangat usang itu, adalah calon tertua yang bertanding pada PRU Ke-12 bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan menggunakan simbol kunci, menentang calon Barisan Nasional, Allahyarham Datuk Razali Ismail dan PAS, Mohamad Sabu. 

Bagaimanapun, Tok Mun yang mencari pendapatan dengan menjaja kain dan jeruk buah-buahan menaiki basikal itu tewas di tangan Allahyarham Datuk Razali Ismail dengan hanya meraih 685 undi. 

Ditanya mengapa dia bersungguh-sungguh mahu bertanding dalam PRU sedangkan untuk menyara hidupnya pun dia menerima bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Tok Mun berkata beliau mahu bercakap mewakili rakyat bagi memperbetulkan sistem pentadbiran negara yang didakwanya banyak kesilapan.

Sumber : Berita Harian

Ahad, Mei 13, 2012

Kenapa UMNO parti keramat?


Kenapa UMNO parti keramat?

SEJARAH parti keramat ini pada 11 Mei diraikan semula tahun ini di usia 66 tahun. Umur yang dikira amat matang dan dewasa. Bagi pembangkang mereka melihat umur UMNO ini adalah saat-saat yang menanti detik kematian.
Saya asalnya bukan pendokong UMNO, malah jauh dari itu pernah menyokong Pas bermatian-matian hanya kerana Anwar Ibrahim sekitar 1998 hingga 2003. Ketika dalam kesesatan menyokong perjuangan 'bodoh' bersama Pas, saya mula nampak 'kehebatan' UMNO.

Dari kebencian yang meluap-luap terhadap UMNO, saya mula mengkaji kenapa UMNO dikatakan parti keramat. Pembangkang berjaya menanam rasa kebencian yang amat mendalam saya terhadap UMNO dan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu. Malah saya pernah mengangkat kaki di peti televisyen ketika gambar beliau disiarkan.
Ketika pengumuman peletakan jawatan Dr. Mahathir yang saya benci, saya menangis teresak-esak di hadapan televisyen. Saya bertanya kenapa ia berlaku kepada saya ketika itu. Tentu ada sesuatu yang hebat dalam diri pemimpin UMNO itu.

Saya menemui banyak jawapan yang menyebabkan saya tidak akan berpaling dari menyokong UMNO sehingga ke akhir hayat saya. UMNO tidak menjanjikan syurga untuk saya, tetapi saya yakin menyokong Pas akan mengundang saya ke api neraka.

Namun saya masih lagi tertanya, kenapa UMNO 'lemah' sedangkan sepatutnya parti ini wajar memiliki ahli yang sanggup berjihad mempertahankannya. Kenapa ahli UMNO perlu menunggu arahan dalam meniup obor perjuangan.
Saya melihat kelemahan ahli dan pemimpin tertentu untuk menyedari peranan mereka. Pemimpin harus berupaya menyedarkan situasi cemas dan sentiasa sanggup bersedia berjuang dan berjihad memastikan kemenangan UMNO/ BN di kawasan masing-masing. Keadaan yang mendesak ini perlu dijadikan semangat untuk bangkit dan bergerak cergas dalam masa-masa kritikal menjelang PRU-13.

Saya masih teringat wawancara bersama Tun Dr. Mahathir di akhbar Mingguan Malaysia pada 20 November 2011. Apa yang boleh disimpulkan dari komen Tun tentang UMNO dan kepimpinannya terlalu bernas, tepat dan hampir sukar untuk dinafikan. Tun serta banyak pihak bercakap isu ini kerana sedar apa yang berlaku atas sebab sayang dan kasih terhadap UMNO yang menjadi payung kepada agama Islam, kekuatan bangsa Melayu dan tunggak kesejahteraan negara.

Soalnya, kenapa UMNO masih gagal meyakinkan golongan atas pagar dan gagal menarik ahli parti pembangkang yang sekarang sebenarnya dalam keadaan caca-merba dan tersangat keliru? Kenapa penyokong Pas atau PKR tidak berduyun-duyun menyertai UMNO seperti mana tahun 1998/99 ketika UMNO pernah ditimpa prasangka buruk, hingga ramai ahlinya yang menyertai pembangkang?

Kenapa strategi UMNO/BN sering gagal dan tidak menjadi? Malah kebanyakan masyarakat melihat seolah-olah hanya Perdana Menteri dan Timbalannya yang bertungkus-lumus meyakinkan rakyat tentang jasa dan sumbangan UMNO/BN. Ke mana hilangnya peranan Ketua Perhubungan UMNO Negeri, Ketua Bahagian dan Ketua Penerangan sayap-sayap UMNO empat peringkat juga Ketua Cawangan?

Susah sangatkah mereka untuk merancang gerak kerja mendekati golongan pembangkang tegar dan atas pagar agar terbuka minda menyokong UMNO/BN. Malah amatlah malang bagi saya apabila melihat hampir semua program UMNO adalah untuk ahli UMNO dan penyokong tegar parti ini sahaja dan dilaksanakan di tempat tertutup. Apa yang sering UMNO anjurkan adalah lawatan, aktiviti sukan dan aktiviti rutin yang langsung tidak menjana ahli baru menyokong parti ini.

Sebagai bekas penyokong pembangkang, saya melihat sebilangan besar kepimpinan UMNO kurang berfikir di luar kotak. Mereka hanya menjaga ahli yang setia dan manja. UMNO tidak berani melakukan apa yang menjadi strategi pembangkang seperti ceramah terbuka berskala besar berbekalkan speaker dan corong suara yang boleh didengar dari jauh.

Pembangkang juga telah lama giat mengedar risalah yang mendedahkan keburukan dan fitnah terhadap kerajaan BN di kampung-kampung dengan kerajinan jentera mereka.

Kempen pembangkang cukup mudah dan murah!. Mereka hanya berbekalkan konsep ceramah terbuka di padang dengan kos yang minimum tetapi mampu menarik beribu orang dan menyokong mereka. Dakyah mereka meresap masuk dengan mudah kepada sesiapa sahaja yang hadir jika apa yang didengar itu tidak ditapis secara hikmah.
Bukti dan hasilnya, mereka mengekalkan kuasa di Kelantan selama 21 tahun sekalipun tiada kemajuan dan kemakmuran dapat dibuktikan. Mereka mampu pula menawan empat negeri lain dalam PRU-12 dan bertapak melalui markas parti di hampir semua negeri yang dahulunya tidak terbayang boleh dilakukan berbekalkan strategi yang saya nyatakan.

Mengapa usaha seperti yang dinyatakan ini tidak difokuskan dan kurang dilaksanakan di peringkat bahagian. Kalau dilaksanakan pun, promosi dan aktiviti ceramah ini tidak didedahkan secara agresif hingga tidak ramai yang hadir dan terlalu protokol. Malah tugas semudah membuat salinan artikel pun sebenarnya boleh digerakkan oleh jentera Penerangan Bahagian mengenai isu semasa yang memihak kepada kerajaan.

Namun malang, ia juga 'tidak mampu' difikirkan oleh mereka mungkin disebabkan kos fotostat lebih mahal dari kos menganjurkan program besar-besaran. Malah banyak program lebih mahu menonjolkan diri untuk menjadi 'calon pilihan' bukan untuk 'niat perjuangan'.

Berdasarkan pemerhatian, ahli UMNO amat kurang membaca dan tidak bersedia mengorbankan RM1.50 untuk menyokong akhbar Utusan Malaysia. Kalaulah perkara ini boleh diberi perhatian oleh kepimpinan Bahagian dan Cawangan pasti mereka mendapat banyak input dengan hanya kos RM5 seminggu untuk membuat salinan tulisan- tulisan dalam akhbar Utusan seperti tulisan Zaini Hassan dalam CUIT yang mampu disebarluaskan di cawangan masing-masing.

Perang saraf boleh digerakkan oleh Ketua Cawangan dengan pelbagai kaedah mudah dan murah. Jika tugas seperti ini pun tidak mampu lagi dilaksanakan mereka maka saya bimbang UMNO akan terus layu dan mati sebelum waktunya. Semangat jihad dan kerja keras golongan lelaki dalam parti ini juga semakin kurang. Apakah pendokong parti keramat ini akan bersedia menerima nasib parti-parti besar lain seperti Golkar (Indonesia), LDP (Jepun) dan Kongres (India) yang pernah berjasa kepada negara bangsa mereka?

Saya bimbang masa sudah terlalu lewat dan ketika itu UMNO sudah terlalu nazak. Sebelum nasi menjadi bubur dan sebelum UMNO yang berjasa ini ditalkinkan, mungkinkah sebilangan besar ahli dan pemimpinnya yang masih bersikap 'bodoh sombong' mahu berubah dalam masa kecederaan? Apakah UMNO mengharapkan keajaiban 'sepakan penalti' dalam masa kecederaan dan bergantung kepada kekuatan 'calon boleh menang' sahaja seperti mana Harimau Muda bergantung sepenuhnya kepada Khairul Fahmi (Apek) untuk menyelamatkan maruah negara dan gawang golnya?

Pendokong UMNO tidak boleh bergantung kepada nasib semata-mata tanpa giat berusaha. UMNO berada di dalam gelanggang sendiri tetapi seolah-olah bermain di stadium milik lawan. Harimau Muda telah dipersiapkan oleh jurulatihnya untuk menghadapi segala tekanan, tetapi jurulatih atau pemimpin UMNO kelihatan masih gagal menguruskan mental dan sikap kerjasama pasukan sedangkan gelombang perang PRU 13 mula sudah kedengaran.
Tiada salahnya untuk UMNO mencontohi pembangkang dalam gerak kerja mereka. Kita tahu dan kita sedar akan malapetaka besar jika pakatan pembangkang menjadi pemerintah. Untuk menang selesa, lakukanlah perubahan dan percaturan strategi yang berbeza. Usahakan amalan solat hajat dan munajat di semua UMNO Bahagian agar Allah SWT membantu UMNO dan kepimpinannya di saat begini.

Sedarlah bahawa anda berada di dalam sebuah parti yang ikhlas, betul dan benar dalam asas perjuangannya. Parti yang anda dokong ini benar-benar berjasa kepada seluruh bangsa Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Jika saya yang pernah menyokong pembangkang melihat kehebatan UMNO dan jasa-jasanya, mengapa sebilangan besar ahlinya tidak menjiwai semangat perjuangan yang menjadi nadi UMNO.

Justeru jangan ragu-ragu berjihad dan berkorban kerana parti keramat UMNO ini adalah 'alat dan senjata utama' mempertahankan akidah dan kesucian agama Islam, mengangkat martabat bangsa Melayu dan maruah negara Malaysia.

Petikan Utusan Online 13 Mei 2012

Jumaat, April 20, 2012

Tranformasi UMNO Bahagian Kemaman

CHANGE FOR THE BETTER
Ahli UMNO Bahagian Kemaman mesti berani membuat perubahan secara menyeluruh demi masa depan umno. Perubahan bukan setakat ahli sahaja, malah keseluruhan pemimpin cawangan dan juga bahagian.

Mana mana pemimpin yang bermasalah dan perlu ditukar, kita kena tukar walau apa pun jawatannya dalam parti dan kerajaan. Kita tak bolih biarkan ianya menjadi penyakit yang bolih memudaratkan parti dan kerajan sehingga hilang kepercayaan rakyat terhapat parti dan kerajaan.

Demi parti keramat UMNO, kita tidak bolih biarkan ianya berlaku seperti orang yang mempunyai penyakit kencing manis, jika kaki kita terluka, jika perlu potong pergelangan kaki, kita potong pergelangan kaki, tetapi jika perlu potong paras lutut, kita kena korbankan lutut supaya ianya tidak merebak ke bahagian lain.

Sepatutnya pemimpin umno mengambil iktibar peristiwa 1999 dimana UMNO / BN menjadi pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu. Menjelang PRU 11, pemimpin umno berkerja bertungkus lumus dan sanggup mengeluarkan belanja yang besar demi kemenangan dan kuasa untok membentuk kerajaan.

Setelah memenangi PRU 11 dan menjelang PRU 12 berlaku peteh keting sesama pemimpin. Setelah menang PRU 12 rakyat mula gusar dengan ketiadaan ketua kerajaan selama 23 hari. Alhamdullillah semua telah berakhir.

Menjelang pemilihan Jawatankuasa peringkat Bahagian berlaku lagi sekali peteh keting yang membawa kekalahan kepada pemegang jawatan yang sekian lama berkerja keras demi umno.

Di masa PAS memerintah Negeri Terengganu, mesyuarat cawangan cawangan umno dibuat di sekolah sekolah kerajaan dan juga rumah ketua ketua cawangan dan bukannya Balairaya sepertimana sebelumnya. Segala aktiviti2 umno juga dibuat di sekolah dan juga rumah ketua cawangan.

Sepatutnya umno hari ini di semua cawangan telah mempunyai rumah umno sendiri bagi mengadakan aktiviti2 memandangkan umno sebuah parti yang memerintah. Berbeza dengan PAS yang hanya kutip derma satu ringgit dua ringgit dengan menadah plastik disetiap ceramah, mampu membeli tanah dan mendirikan bangunan untok aktiviti mereka.

Pemimpin umno bukan tidak tahu tentang hal ini, sebaliknya mereka lebih suka membiarkan ahlinya terumbang ambing kesana kemari mencari sumber untok mengadakan aktiviti umno.

Menjelang PRU 13 semakin ramai pemimpin bahagian turun ke cawangan cawangan yang mengadakan aktiviti bagi memperkenalkan diri kepada ahli cawangan dengan harapan mendapat sokongan sekiranya mereka terpilih sebagai calon PRU 13.

Rakyat juga dapat menilaikan siapa mereka? Mengapa selama ini tidak pernah datang dan tiba tiba datang?

BERUBAHLAH DEMI MASA DEPAN UMNO DAN RAKYAT MALAYSIA.

MAR
1020 Malam
20 April 2012