MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Jumaat, Mei 09, 2025

Tadika YIT Cawangan Chukai kutip RM276.15 hasil jualan barangan terpakai

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Tadika Yayasan Islam Terengganu (YIT) Cawangan Chukai di sini berjaya memperoleh kutipan sebanyak RM276.15 hasil jualan barangan terpakai sempena Program Tadika Lestari E-Waste dan Kitar Semula, Rabu lalu.

Penolong Guru Besarnya, Azlinda Abd Aziz ketika dihubungi Suara Timur berkata, program anjuran Biro Keceriaan Tadika YIT Chukai diadakan selama tiga hari berakhir pada Rabu.

Katanya, program tersebut juga dimeriahkan dengan penganjuran pameran denggi, ceramah kesihatan, game dam ular, roda kepastian dan aktiviti jual beli barangan terpakai.

SEBAHAGIAN daripada barangan terpakai yang dikumpul pada Program Tadika Lestari E-Waste dan Kitar Semula di Tadika  YIT Cawangan Chukai, Rabu lalu.

Menurutnya, hasil jualan ini akan dikumpul dan digunakan untuk penambahbaikan peralatan  untuk kemudahan murid-murid Tadika YIT Chukai di Lot 144 Kampung Gong Limau, Chukai.

“Tadika YIT Chukai mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ibu bapa, guru dan kakitangannya yang sudi meluangkan masa, menyumbang tenaga dalam menjayakan program ini,” katanya.

ANTARA barangan terpakai yang dijual pada Program Tadika Lestari E – Waste dan Kitar Semula di Tadika YIT Cawangan Chukai, Rabu lalu.

Program bertemakan ‘Mari bersama-sama menjaga alam sekitar, Jom kitar semula’ mendapat sokongan 380 pelajar, ibu bapa, guru dan kakitangan Tadika YIT Chukai.

Ia juga mendapat kerjasama Pusat E-Waste Kemaman dan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

SEBAHAGIAN pelajar TadikA YIT Cawangan Chukai bersama barangan kitar semula pada Program Tadika Lestari E – Waste dan Kitar Semula di tadika itu, Rabu lalu.

E-waste merupakan barangan elektrik dan elektronik yang telah rosak, tidak berfungsi atau lama atau usang seperti telefon bimbit, komputer, televisyen, mesin basuh, peti sejuk dan pendingin hawa.

Di Malaysia, E-waste dikategorikan sebagai buangan terjadual dengan kod SW110 di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Alam Sekitar. – Suara Timur

Isnin, Mei 05, 2025

Dua penunggang motosikal berlumba haram ditahan polis

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Polis menahan dua penunggang motosikal yang disyaki terlibat dalam kegiatan lumba haram dalam operasi samseng jalanan di Jalan Telaga Simpul, Chukai, di sini, pada pukul 5 petang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan selepas sebuah video berdurasi 11 saat yang memaparkan sekumpulan penunggang motosikal sedang berlumba dan menunggang motosikal secara melulu, tular di laman sosial sejak pagi Jumaat.

Katanya, menerusi operasi itu,  polis telah mengeluarkan 61 saman atas pelbagai kesalahan terhadap pengguna jalan raya dan lima buah motosikal turut disita.

MOHD RAZI ROSLI

“Hasil siasatan awal mendapati, kegiatan lumba haram di kawasan itu telah bermula sejak tiga minggu lalu dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Razi berkata, kedua-dua lelaki ini juga ditahan reman sehingga hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkitan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

Dalam pada itu, Mohd Razi turut menasihatkan ibu bapa supaya lebih peka dan prihatin terhadap pergerakan serta aktiviti anak-anak yang menunggang motosikal.

“Aktiviti lumba haram bukan hanya melanggar undang-undang, tetapi boleh membahayakan keselamatan diri dan mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain,” katanya. – Suara Timur

Ahad, Mei 04, 2025

SMK Kijal hargai pencapaian pelajar

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal di sini menghargai pencapaian pelajar dalam bidang yang diceburi sama ada kokurikulum, sahsiah mahupun akademik.

Pengetuanya, Mohd Nordin Mohd Abdul Majid berkata, penghargaan yang diberikan diharapkan itu mampu memberi suntikan semangat kepada semua pelajar.

Menurutnya, penganjuran majlis penganugerahan seumpama ini bukan sekadar untuk meraikan kejayaan pelajar tetapi juga sebagai satu pengiktirafan terhadap usaha dan kerja keras mereka.

“Kejayaan yang diperoleh hari ini adalah bukti bahawa setiap pelajar di sini mempunyai potensi yang luar biasa dan dengan bimbingan yang tepat serta sokongan yang padu daripada ibu bapa dan guru, mereka mampu mencapai apa sahaja yang mereka impikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Tingkatan 5 2024 SMK Kijal di Dewan Unggul SMK Kijal anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Kijal dengan kerjasama SMK Kijal, hari ini.

PELAJAR SMK Kijal, Siti Nur Atiqah Abas (tengah) mendapat keputusan 9A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 SMK bergambar bersama dua orang kakaknya selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Tingkatan 5 2024 SMK Kijal, hari ini.  – SUARA TIMUR/ MUKHATAR A. RAHMAN

Seramai 26 orang pelajar mendapat A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dan dua daripadanya mendapat 9A, 3 orang 8A, 7 orang 7A, 6 orang 6A dan 5A 8 orang.

Majlis ini bukan sahaja bertujuan untuk menberi penghargaan kepada kejayaan akademik, tetapi juga sebagai motivasi kepada seluruh warga sekolah agar terus berusaha mencapai kecermelangan dalam segala aspek.

Pada majlis yang sama, Mohd Nordin mengumumkan SMK Kijal bakal mendapat bangunan dewan baharu yang bakal dibina pada tahun hadapan bagi menggantikan bangunan yang ada sekarang.

Sementara itu, Pengerusi PIBG SMK Kijal, Abdul Ghafar Mohamed berkata, selain mengiktiraf pelajar pelajar yang cemerlang ia juga dapat menyuntik pelajar lain untuk mengikut jejak langkah pelajar cemerlang.

Tambahnya, ia juga memberi dorongan dan motivasi untuk pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Pada majlis tersebut pelajar yang mendapat straight A menerima wang tunai RM1,000, sijil penghargaan dan baucer penginapan di Swiss Garden Hotel, RM380 dan bgi mereka yang mendapat 8A hingga 5A mendapat RM800 hingga RM300 seorang,’ katanya ketika ditemui Suara Timur.

Sementara itu, pelajar yang mendapat 9A, Siti Nur Atiqah Abas melahirkan rasa bersyukur kerana memperolehi keputusan yang cemerlang dalam SPM 2024.

Anak bongsu dari empat beradik yang menetap di Kampung Telok Kalong berkata, kejayaan ini bukan hanya untuk dirinya sahaja, malah ia turut dikongsi dengan keluarga, rakan rakan dan juga tenaga pengajar SMK Kijal.

Terima kasih kepada semua yang terlibat dengan kejayaan ini. Tanpa sokongan dan tunjukajar semua, tak mungkin saya mencapai kejayaan seorang diri.

Siti Nur Atiqah yang bercita-cita menjadi seorang pensyarah yang berjaya turut berkongsi cara bagaimana beliua mengulangkaji pelajaran.

“Yang paling utama kita mestilah fokus di dalam kelas ketika cikgu mengajar, menjaga hubungan dengan guru supaya ilmu yang dicurahkan mendapat keberkatan. Seterusnya, mengulangkaji pelajaran yang diajarkan oleh guru ketika berada di rumah.

“Saya ingin menjadi seorang anak yang berbakti kepada keluarga agar dapat membalas jasa mereka yang amat bernilai. Walaupun keluarga saya tidaklah senang yang hanya mempunyai pendapatan RM500, tetapi mampu membimbing saya menjadi seorang insan yang berjaya.

“Pesanan saya untuk pelajar yang akan menduduki SPM, berusahalah bersungguh sungguh agar dapat membalas jasa guru-guru dan ibu bapa. Bersusah susah dahulu, bersenang senang kemudian,” ujarnya. – Suara Timur