MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Rabu, Ogos 06, 2014

Selamat Hari Raya

Pengerusi & Ahli Jawatankuasa
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong
Kg Lot Seri Jaya
Mengucapkan
SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI
Maaf Zahir dan Batin.



Isnin, Julai 07, 2014

Najib Rakam Penghargaan Kepada Ahmad Said Selama Mentadbir Terengganu

KUALA TERENGGANU, 6 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said atas jasa yang disumbangkannya sepanjang mentadbir negeri ini.

Beliau berkata jasa Ahmad sepanjang bergelar Menteri Besar tidak harus dipandang mudah kerana beliau melakukan pelbagai sumbangan dan usaha untuk membangunkan negeri Terengganu.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap sebelum mengumumkan pemberian dividen Felda Global Ventures Holdings Berhad dan duit raya kepada warga peneroka Felda di Kompleks Pejabat Felda Wilayah Terengganu di Tepoh di sini hari ini.

Najib juga menyokong penuh konsep pembangunan yang dibawa oleh Menteri Besar Terengganu yang baharu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dalam memajukan pembangunan dan pentadbiran negeri.

Katanya Ahmad Razif juga bersedia meneruskan kesinambungan usaha yang dilakukan oleh Ahmad Said.

"Apa sahaja yang baik yang dilakukan oleh Ahmad Said, Ahmad Razif akan teruskan bagi memastikan negeri ini terus berkembang," katanya.

-- BERNAMA

Khamis, Jun 12, 2014

SMK CUKAI MEMPELOPORI / MEMPERGIAT KEMPEN KITAR SEMULA BERSAMA KOMUNITI DAERAH KEMAMAN

SMK Cukai perintis program kitar semula daerah Kemaman


PELAJAR SMK Cukai dan para penduduk daerah itu bergabung dalam program kempen kitar semula bersama komuniti di Cukai, Kemaman, Terengganu baru-baru ini.


PERINTIS. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cukai, Kemaman, Terengganu menjadi perintis dalam menggerakkan program kempen kitar semula bersama komuniti di daerah berkenaan.
Program itu telah dirasmikan Pengarah Jabatan Undang-Undang Majlis Perbandaran Kemaman, Sina Suria Ramli di sekolah itu baru-baru ini.
Penyelaras program yang juga guru kanan sains dan matematik sekolah itu, Noorizan Din berkata, SMK Cukai juga terpilih mewakili sekolah-sekolah seluruh Terengganu menyertai pertandingan Toyota Eco Youth 2014 nanti bagi kategori kitar semula.
“Matlamat utama program ini bertujuan meningkatkan kemahiran pelajar berfikir secara kritikal melalui penerapan kaedah penyelesaian masalah,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0612&pub=Kosmo&sec=Komuniti_Kita&pg=kk_03.htm#ixzz34QkuIu1s 
Hakcipta terpelihara 


KEMAMAN 2 Jun  – Sekolah Menengah Kebangsaan Cukai Kemaman ( SMK Cukai )  mempelopori, mempergiat kempen kitar semula bersama komuniti di daerah Kemaman.

Majlis perlancaran kempen tersebut telah di buat pada 24 Mei lalu bertempat ditapak permainan Taman Seri Jaya Kg Gong Pauh Cukai dekat sini. Kempen tersebut telah dirasmikan olih Puan Sina Suria Ramli Pengarah Jabatan Undang Undang Majlis Perbandaran Kemaman mewakili Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman.

Penyelaras program yang juga guru kanan sains dan matematik, Puan Noorizan Din berkata, SMK Cukai telah terpilih mewakili sekolah sekolah seluruh negeri Terengganu menyertai pertandingan Toyota Eco Youth ( TEY ) 2014 bagi kategori kitar semula dan memilih Taman Sri Jaya Gong Pauh bagi menjayakan program ini.

Noorizan berkata, program ini telah mendapat kerjasama dan sokongan penuh dari Majlis Perbandaran Kemaman ( MPK ), Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan Daerah Kemaman, Ajk Surau Taman Sri Jaya, Jkkk Taman Sri Jaya, Pibg, Guru Guru dan pelajar SMK Cukai.

Matlamat utama program adalah bagi memperkasa para pelajar dalam meningkatkan kemahiran berfikir secara kritikal melalui penerapan kaedah penyelesaian masalah lapan peringkat yang dipelopori Toyota supaya mereka yang terlibat ini membesar sebagai penggerak masyarakat setempat dan berupaya mencari penyelesaian sendiri sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pihak lain," katanya ketika ditemui selepas pelancaran program di sini baru baru ini.

Menurutnya, para pelajar yang menyertai program ini ditugaskan mencari penyelesaian kreatif dan praktikal terhadap masalah alam sekitar yang dihadapi oleh komuniti, serta memimpin orang ramai di dalam usaha berkenaan.Hadir sama Pengetua SMK Cukai, Che Ku Maznah Che Ku Endut, Wakil Pegawai Pendididkan Daerah, Mohd Anuar Ibrahin, Pegawai PerbadananPengurusan Sisa Pepejal dan Kebersihan Awan, Nor Azimah Azidin, Pengerusi Jkkk Kg Gong Pauh, Yusof Husin dan wakil Jabatan Kesihatan Daerah Kemaman.

Sementara itu Sina Suria semasa perasmiannya mengucapkan tahniah kepada warga penduduk Taman Seri Jaya kerana terpilih menyertai program pelancaran kitar semula anjuran SMK Cukai dengan kerjasama Toyota. Penganjuran program kitar semula yang bermula dari peringkat sekolah dengan kerjasama pihak swasta amatlah dialu alukan olih Majlis Perbandaran Kemaman, ini adalah kerana isu berkaitan kitar semula menjadi satu isu utama yang dititik beratkan olih Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT ), katanya.

Menurutnya pihak kementerian kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan telah mengarahkan PBT menjadikan program bahan kitar semula sebagai acara tahunan yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat. Katanya lagi, statistik menunjukan negara kita hanya menggunakan bahan kitar semula sebanyak 10.5% jauh ketinggalan berbanding dengan negara negara maju yang telah menjangkau lebih 70%.

Bermulanya hari ini, kita menjangkakan peratusan yang lebih tinggi penggunaan bahan kitar semula, situasi ini berlaku kerana masyrakat kurang peka terhadap pengurusan sampah yang bolih dikitar semula, katanya

Menurut Sina Suria, satu kajian telah dibuat olih kementerian kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan mendapati setiap individu membuang sampah sebanyak 0.08 kilogram sehari. Saya juga berharap program yang diadakan hari ini dapat memperluaskan  pendidikan serta kempem bagi memupuk budaya kitar semula.

Bagi menyokong program ini, MPK telah menyediakan tong tong kitar semula terutama sekali di sekolah sekolah, katanya. Dengan adanya tong kitar semula ini memudahkan masyarakat mengasingkan bahan buangan seperti kertas, botol kaca dan plastik serta tin tin aluminium, katanya lagi. Pada program ini juga sebanyak 928 kilogram barang kitar semula dapat di kumpul dari penduduk Taman Seri Jaya Gong Pauh dalam beberapa hari.

Pada majlis ini juga diadakan pertandingan kumpul bahan kitar semula terbanyak, kraftangan dan merwarna kanak kanak. Pertandingan kitar semula terberat di menangi olih Mohd Sukri Wook dengan berat 100.5 kg Pertandingan kraftangan dimenangi olih Nurul Nadirah Mohd Salleh Pertandingan merwarna kanak kanak bawah 9 tahun Adam Aidil

Norizan dua dari kiri bersama tenaga kerja.


Che Ku Maznah menyampaikan cederahati kepada Sinar Suria

Rabu, Mac 26, 2014

MH370 terbang 23 minit atas ketinggian maksimum, sebabkan hipoksia, kata pakar

Analisis yang dibuat terhadap data satelit mendapati pesawat MH370 mengambil masa selama 23 minit pada ketinggian sehingga 45,000 kaki - di atas dari ketinggian maksimum biasa - dan ini mungkin menyebabkan semua orang di atasnya tidak sedarkan diri kerana kekurangan oksigen, lapor tabloid British Daily Mail.
Ketinggian pesawat maksima adalah 43,100 kaki tetapi radar tentera mengesan pesawat itu terbang antara 43,000 ke 45,000 kaki sebaik sahaja selepas komunikasi terakhir juruterbang dari kokpit pesawat.
"Ia dikesan terbang selama 23 minit pada ketinggian itu sebelum menjunam. Oksigen akan habis selepas 12 minit (dalam kabin) dan menyebabkan penumpang tidak sedarkan diri," kata sumber.
Pakar berkata, walaupun Boeing 777-200ER boleh terbang setinggi 43,000 kaki maksimum, ia mungkin terbang dengan selamat untuk ketinggian yang lebih lagi.
Tetapi pada ketinggian itu, apabila atmosfera menjadi nipis secara drastik, ia akan mengambil masa seminit sahaja kalau bukan satu saat untuk hipoksia - kekurangan oksigen berlaku, kata Daily Mail.
Corong oksigen akan jatuh dengan sendiri, tetapi ia boleh membekalkan antara lima ke 10 minit gas sahaja.
Profesor Aerodinamik Gunaan dan Eksperimen Universiti Highlands and Islands, Andrew Rae memberitahu Daily Mail: "Letupan tekanan dalam kabin akan menjadi masalah pada ketinggian 10,000 kaki, 30,000 kaki atau 43,000 kaki, tetapi ketinggian yang lebih mungkin menyebabkan perkara itu berlaku lebih cepat.
“Fakta pesawat itu terbang pada ketinggian 43,000 kaki tidak sepatutnya menggerakkan bekalan oksigen kecemasan pesawat,” katanya.
Udara yang menyebabkan tekanan kepada pesawat datang daripada enjin dan sayap dan ia ditapis sebelum memasuki persekitaran penumpang.
Sistem tekanan mungkin perlu ditutup jika pesawat itu memasuki udara kotor, tetapi penyiasat melihat kepada kemungkinan ia dipadam kerana sebab jahat, kata laporan Daily Mail.
Sementara itu, seorang juruterbang Kanada dengan 20 tahun pengalaman, Chris Goodfellow, berkata dalam satu posting di Google Plus, beliau percaya berlaku kebakaran dalam pesawat itu.
Dalam posting itu yang turut disiarkan di Reddit dan dilaporkan secara meluas, beliau mendakwa juruterbang pesawat itu, Kapten Zaharie Ahmad Shah melakukan apa yang sepatutnya dilakukan pada waktu kecemasan – cuba untuk mendaratkan pesawat di lapangan terbang terhampir.
Goodfellow berkata, dalam kes ini, ia adalah 13,000 kaki di atas Pulau Langkawi, dan ia adalah di mana pesawat itu sedang tuju ketika ia kali terakhir dikesan.
Beliau percaya anak kapal terhidu asap dan pesawat itu terbang seperti “pesawat hantu” untuk beberapa jam melepasi lapangan terbang yang dipilih itu sebelum terhempas ke dalam Lautan Hindi berhampiran Maldives.
“Kami juruterbang tua dilatih untuk selalu tahu lapangan terbang yang paling hampir ketika ia terbang. Selalu.
“Gerak hati saya, saya tahu ia menuju ke lapangan terbang apabila pesawat itu pusing ke kiri,” kata Goodfellow.
Katanya, beliau kemudian terus membuka Google Earth dan menemui landasan, yang mempunyai kurang rintangan yang menghalang pendaratan pesawat itu berbanding jika Zaharie cuba kembali ke Kuala Lumpur.
“Juruterbang itu melakukan segalanya dengan betul. Beliau dimaklumkan mengenai kejadian besar yang berlaku di atas pesawat yang menyebabkan beliau patah balik secara serta merta untuk ke lapangan terbang terdekat,” katanya.
Juruterbang bersara, Eric Moody yang mengetuai kejadian pada 1982 membabitkan pesawat British Airways 9 yang mengalami kegagalan enjin ketika ia terbang merentasi awan dengan abu gunung berapi berkata, jika ada kebakaran, juruterbang pasti mahu mendaratkan pesawat secepat mungkin berbanding terbang untuk tujuh jam lagi.
Beliau berkata, ia kelihatan komunikasi dipadamkan secara sengaja dan keadaan itu tidak berlaku ketika kecemasan.
Pada 1982, semua empat enjin British Airways pesawat 9 yang dipandunya dari London ke Auckland, New Zealand gagal ketika ia terbang menembusi awan dengan abu gunung berapi.
Awan itu datang daripada letusan Gunung Galunggung di Jawa Barat, Indonesia.
Moody terpaksa mengambil tindakan kecemasan dan berjaya menyelamatkan semua 248 penumpang dan 15 anak kapal dengan jatuh dari ketinggian 37,000 kaki kepada 12,000 kaki untuk menghidupkan enjin.
Pesawat itu membuat pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta, Indonesia.
Walaupun dia mengawal, beliau masih tidak mengetahui sepenuhnya apa yang berlaku sehingga laporan didedahkan 11 tahun kemudian.
Moody yang tinggal di Chilworth berhampiran Southampton, Hants, percaya orang awam tidak diberitahu cerita penuh.
"Apa yang saya dapat katakan adalah beberapa agensi tahu sesuatu yang lebih daripada apa yang diberitahu dan saya mempunyai pengalaman dalam hal ini.
"Ia mengambil masa 11 tahun untuk mengetahui bagaimana Boeing dapat menghubungi seorang jurutera di Jakarta yang datang kepada kami selepas kira-kira 15 hingga 20 minit mendarat.
"Satu panggilan telefon dibuat apabila enjin saya mula berhadapan dengan masalah. Ini bermakna mereka tahu apa yang berlaku kerana mereka memantau kami menerusi satelit.
"Stesen pemantauan satelit oleh Alice Springs dan Guam mengekori kami apabila kami mengetahuinya daripada fail yang didedahkan beberapa tahun kemudian.
"Walaupun sekarang banyak perkara yang tidak diketahui tetapi seseorang akan mengetahuinya dengan lebih terperinci dan ia boleh jadi pada mana-mana negara.
"Kita tidak tahu apa yang mereka saksikan," kata beliau seperti yang dilapor Daily Mail.

Pesawat MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac dan walaupun operasi pencarian secara besar-besaran dilakukan oleh banyak negara, tiada tanda ia dijumpai.
Analisis data satelit oleh Inmarsat Britain memberi pengesahan kepada pihak berkuasa Malaysia bahawa pesawat itu terhempas di selatan Lautan Hindi, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada malam Isnin.
Ia didedahkan semalam bahawa isyarat elektronik akhir daripada pesawat itu diterima pada 08:19 (waktu Malaysia) pada 8 Mac.
"Terdapat bukti yang agak bercanggah antara pesawat dan menara kawalan pada  0019 UTC (GMT),"  kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein kepada media semalam.
"Pada masa ini, transmisi ini tidak difahami dan tertakluk kepada kajian lanjut yang berterusan," kata beliau sambil menambah selagi serpihan tidak ditemui, tidak akan ada pengakhiran bagi semua keluarga terlibat. – 26  Mac 2014.
Sumber yahoo

Selasa, Mac 25, 2014

Tragedi MH370: Keluarga MH370 Beri Reaksi Berbeza Berhubung Pengumuman PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH370 itu yang berakhir di selatan Lautan Hindi mendapat reaksi berbeza daripada keluarga serta waris mereka.

Rata-rata mereka sukar menerima berita sedih itu dan percaya selagi tiada bukti kukuh ditemui seperti serpihan pesawat, anggota keluarga pesawat malang itu masih menaruh harapan agar orang yang mereka sayangi selamat.

Namun begitu sebahagian lagi tetap reda dan menerima kesudahan pencarian selama 17 hari, sejak pesawat itu dilaporkan hilang pada 8 Mac sebagai ketentuan Ilahi.

Di ALOR SETAR, Tan Tuan Lay, 53, ibu kepada seorang penumpang iaitu Chew Kar Mooi, 31, berkata dia sekeluarga terkejut selepas mendengar pengumuman itu.

"Semua sedih sangat dan tidak dapat terima kenyataan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Simpang Empat Kerpan, Ayer Hitam dekat sini Selasa.

Tan berkata beliau terima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada pihak MAS pada 9.42 malam tadi, menyuruh mereka menonton di televisyen pengumuman Perdana Menteri.

Ibu kepada pegawai Maybank di Kuala Lumpur itu berkata selagi tidak menemui sebarang bukti yang sahih beliau sekeluarga masih menaruh harapan anaknya akan pulang ke sisi keluarga.

"Tak ada penemuan objek yang berkaitan dengan pesawat. Ia daripada imej satelit sahaja. Kami masih menaruh harapan untuk jumpa dia (Chew) dengan selamat," katanya.

Tinjauan Bernama ke rumah keluarga pegawai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Mohamad Sofuan Ibrahim, 33, di Jalan Kota Tanah, pula mendapati kediaman itu tidak berpenghuni.

Seorang jiran keluarga itu, Mohd Huzaimi Ahmad Shater, 21, berkata ibu bapa Mohamad Sofuan dikatakan bertolak ke Kuala Lumpur kira-kira 10 malam tadi setelah mendapat maklumat terbaharu mengenai pesawat dinaiki anak mereka.

Di JITRA, abang kepada seorang lagi penumpang, Andrew Jee, 42, berkata keluarganya tidak akan ke Kuala Lumpur dan akan menunggu di rumah mereka di Taman Rasa Sayang, Jitra sehingga maklumat tepat diterima.

Andrew berkata jika anggota keluarganya diminta ke Australia, hanya ibunya Tan Giat Gua, 68, yang diiringi seorang bapa saudaranya ke negara itu.

Beliau berkata adiknya Jee Jing Hang, 41, yang mempunyai dua anak berumur 11 dan 13 tahun itu bekerja sebagai pengatur cara komputer serta memiliki syarikat sendiri di Seremban, Negeri Sembilan.

"Sampai sekarang anak-anak dia (mangsa) yang tinggal dengan bekas isterinya tidak tahu mengenai kejadian yang menimpa bapanya kerana tidak mahu mengganggu emosi mereka," katanya.

DI IPOH, ibu mentua kepada Ketua Pramugari MH370, Goh Sock Lay menganggap menantunya itu masih hidup dan akan pulang dengan selamat selagi bangkai pesawat itu belum ditemui.

Pong Sai Mooi, 73, berkata berharap berita yang diumumkan Perdana Menteri malam tadi tiada kaitan dengan pesawat terbabit.

"Selagi tak jumpa bangkai kapal terbang itu saya anggap dia (Goh) masih hidup. Saya sentiasa berdoa pada Tuhan dia akan pulang dengan selamat," katanya dalam keadaan sebak ketika ditemui pemberita hari ini.

Katanya Goh merupakan seorang menantu yang baik serta rajin memasak dan kali terakhir mereka bertemu sebelum pramugari itu berangkat ke Beijing, China.

Sebaliknya, Choi Tat Sang, 75, bapa mentua Goh berkata sekiranya berita sedih yang dimaklumkan malam tadi adalah benar, beliau menerimanya dengan reda.

Beliau berkata anak Goh yang kini bercuti bersama rakannya di Pulau Pinang sejak Ahad lepas, merasa sangat sedih selepas menerima berita itu malam tadi.

"Saya dapat tahu berita itu pukul 9 malam melalui anak saya (Choi Loong Chow, suami Goh) tetapi saya tidak sampai hati untuk beritahu isteri dan cucu saya (anak Goh) tetapi Choi sendiri menelefon dan memberitahu isteri dan cucu saya mengenai perkara itu," katanya.

Di KUALA LANGAT, ibu kepada pengurus pengeluaran Syarikat Freescale Semiconductor di Petaling Jaya, Muzi Yusop, hanya mampu mengungkapkan perkataan 'reda' berhubung tragedi itu.

Biarpun tiada lagi air mata yang mampu dititiskan, namun Semah Sidik, 70, menerima berita semalam dengan tenang dan menganggap ia sudah ditentukan Ilahi.

"Kita reda aja lah. Walaupun malam tadi masa nak dengar pengumuman itu, saya dan suami berdebar-debar namun apa yang mampu kami lakukan, hanya reda dan terima ketentuan-Nya," kata warga emas itu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jenjarom hari ini.

Muzi, 50, adalah antara 227 penumpang penerbangan MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lepas dan beliau ke negara itu untuk mengikuti kursus selama sebulan.

Bapa Muzi, Yusop Tahir, 76, ketika ditemui dilihat tertunduk menangis kerana tidak mampu menahan sebak tatkala diceritakan mengenai tragedi pesawat itu oleh abang iparnya, Iskandar Sidik.

Kedua-dua warga emas itu menganggap kehilangan anak sulung mereka tiada galang gantinya dan hanya berkat doa serta bacaan surah Yasin sejak hari pertama menerima berita itu diharap dapat mensejahterakan pemergian Muzi buat selamanya.

Sementara itu, bapa seorang lagi penumpang pesawat itu, G. Subramaniam, 60, berkata beliau tidak akan ke Australia sekiranya ada cadangan dari mana-mana pihak untuk berbuat demikian melainkan dapat melihat anaknya di sana.

Beliau yang terlalu sedih dengan tragedi itu tidak mampu mengulas lanjut ketika ditemui media di rumahnya di Taman Dato Hormat kerana kehilangan anak sulungnya, S Puspanathan.

"Dia satu saja anak lelaki yang kami ada, sekarang dia sudah tiada jadi kami sudah tidak tahu nak buat apa. Nak pergi Australia pun buat apa, kalau boleh jumpa anak saya, mana pun saya sanggup pergi," katanya.

Subramaniam yang pernah bekerja sebagai penoreh getah turut menyifatkan anaknya seorang yang gigih kerana sanggup bekerja keras untuk memperbaiki taraf hidup mereka.

Isteri beliau, Puspanathan, A Amirtham, 60, dilihat hanya menangis ketika menonton berita di televisyen sambil ditenangkan saudara-mara terdekat.

Puspanathan, 34, seorang pengurus pemasaran di sebuah syarikat minyak dan gas di sini menaiki pesawat itu ke Beijing atas urusan kerja.

Jiran pembantu juruterbang MH370, Shafiq Samsi, 27, ketika ditemui berkata keluarga Fariq Abd Hamid sudah lebih seminggu tidak pulang ke rumah mereka di Seksyen 7 di Shah Alam berikutan khuatir diganggu media.

Shafiq berkata pengumuman mengenai tragedi yang menimpa pesawat itu semalam amat menyedihkan dan walaupun tidak mengenali Fariq secara lebih dekat, namun beliau sentiasa berdoa dan memberi semangat kepada keluarga berkenaan.

Di BERA, Normah Jaafar, ibu kepada seorang daripada penumpang pesawat itu, Khairul Amri Selamat masih terngiang-ngiang kata-kata anaknya: "Mama, adik nak pegi dulu," sebelum menaiki pesawat malang itu.

Normah, 56, merasakan ucapan terakhir anaknya itu seolah-olah petanda untuknya supaya bersedia berpisah di dunia dengan anak bongsunya yang dipanggil 'adik' itu.

"Kak Nor masih ralat dengan kata-kata adik itu, biasanya kami berborak lama, sekurang-kurangnya satu jam sebelum dia pergi ke mana-mana tetapi hari itu (8 Mac) lain sangat.

"Mama rindu sangat pada adik. Dia baik, ceria dan tidak pernah sakiti hati kak Nor," kata ibu tunggal itu yang tenggelam dalam air mata sambil ditenangkan beberapa rakan dan anggota keluarga ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Kerayong Makmur hari ini.

Khairul Amri, 29, jurutera penerbangan, menaiki pesawat itu ke Beijing untuk menjalankan tugas membaiki sebuah pesawat syarikat penerbangan di sana.

Normah berkata dia pengsan dua kali selepas mendengar pengumuman itu malam tadi dan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Triang.

"Kak Nor tidak sangka begini pengakhiran kejadian ini selepas menanti dengan penuh harapan selama 17 hari, berita malam tadi betul-betul mengejutkan.

"Kak Nor tidak makan sejak balik dari Hotel Everly, Putrajaya pada Khamis lepas dan hanya minum air saja kerana terlalu sedih ingatkan anak, sebab itu badan jadi lemah," katanya.

Normah juga sudah bersedia sekiranya diarahkan oleh pihak MAS ke lokasi pesawat terhempas.

"Kak Nor berharap sangat dapat pergi ke lokasi kapal terbang terhempas, Kak Nor sedang menunggu panggilan daripada MAS selepas semua proses mengesan oleh pihak berkuasa selesai," katanya.

Di GEORGE TOWN, Guan Kak Hueng, 69, bapa kepada seorang penumpang, Guan Hua Jin, 34, yang tinggal di Bayan Lepas, berlepas ke Kuala Lumpur pagi ini untuk mengetahui lebih lanjut tragedi yang menimpa pesawat itu.

"Kami sekeluarga sedih dan masih belum dapat menerima pengumuman itu, sekarang saya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk mengetahui lebih lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang merupakan seorang tukang jam di George Town enggan mengulas lanjut dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak.

Hua Jin, yang merupakan ibu kepada dua anak berusia satu dan empat tahun berlepas ke Beijing bagi menyertai kursus selama tiga minggu yang diatur syarikatnya.

Sementara itu, Jalil Saat, 54, rakan kepada Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, berkata sejak hari pertama kehilangan pesawat malang itu beliau dan bekas pelajar Sekolah Penang Free (PFS), tidak putus berkongsi maklumat mengenai apa yang berlaku.

"Walaupun bukan adik-beradik kami umpama saudara, malah semua bekas pelajar Sekolah Penang Free (PFS) merasa sedih dengan apa yang menimpa Zaharie, anak kapal dan penumpang pesawat itu dan berdoa supaya semua mangsa ditemui dengan selamat," katanya di sini hari ini.

Jalil yang juga pengetua PFS berkata pihak sekolah bercadang untuk membuat solat ghaib dan mengatur majlis khas bagi mendoakan keselamatan Zaharie dan kesemua individu yang berada di dalam pesawat malang itu.

Di KUCHING, di sebalik kemeriahan sambutan Hari Polis ke-207 peringkat IPD Kuching pagi tadi, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad tidak dapat menyembunyikan kesedihan mengenang nasib anak saudaranya Suhaili Mustafa, 31, penumpang pesawat malang itu.

Suhaili, jurutera di Freescale Semiconductor bersama 19 lagi rakan sekerja, 12 orang adalah rakyat Malaysia dan lapan lagi dari China menaiki pesawat itu ke Beijing atas urusan kerja.

Nukilan "Anakandaku Suhaili, Allah lebih menyayangimu, kami sekeluarga menerima berita ini sebagai ketentuan Ilahi" pada kain rentang khas MH370 yang disediakan sebagai antara pengisian program sambutan, menggambarkan kesedihan yang dialami mereka sekeluarga namun reda dengan apa yang berlaku.

Roslan berkata pengumuman malam tadi juga amat sukar diterima namun mereka sekeluarga reda dengan berita sedih itu.

"Saya dan seluruh anggota keluarga reda dengan ketetapan Allah walaupun jauh di sudut hati kami terlalu sukar untuk menerima kebenaran berita itu namun sebagai hamba Allah, kami tidak dapat menolak apa juga yang sudah tertulis.

"Kakak saya, Rohani Ahmad (ibu Suhaili) dengan ditemani beberapa anggota keluarga saya yang lain akan terbang ke Perth, Australia dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata dia tidak akan menyertai kakaknya ke Perth namun tidak menolak akan pergi kemudian jika ada perkembangan terbaharu mengenai pesawat itu.

Terdahulu dalam ucapan sambutan itu, Roslan Bek turut melahirkan rasa terharu dan simpati ke atas tragedi yang menimpa pesawat itu dan merakam ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa.

Pesawat Boeing 777-200ER, dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Ia dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

-- BERNAMA

Hukuman mati 529 ahli Ikhwanul Muslimin boleh ancam dunia, kata PAS

PAS memberikan amaran hukuman mati ke atas 529 ahli-ahli Ikhwanul Muslimin termasuk Mursyidul Am Dr Mohammad Badie boleh berkembang menjadi krisis yang bakal mengancam dunia.
Sehubunga itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) meminta badan-badan dunia termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Liga Arab dan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) campur tangan dan mengambil tindakan termasuk mencontohi tindakan Afrika yang menggantung keahlian Mesir sebagai anggota Kesatuan Afrika.
"Insiden ini jika tidak ditangani dengan sewajarnya boleh berkembang menjadi krisis yang lebih besar dan berterusan termasuk ke peringkat antarabangsa kerana Terusan Suez di Mesir adalah antara laluan utama perkapalan dunia.
"Jika krisis dalaman yang boleh mengganggu perjalanan kapal sudah tentu keperluan utama seperti makanan dan minyak akan tersekat dan memberikan impak terhadap pasaran dunia," kata Abdul Hadi dalam satu kenyataan hari ini.
Mohammad Badie bersama 528 lagi ahli Ikwanul Muslimin dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah Mesir yang diperintah tentera dalam perbicaraan paling pantas dalam sejarah kehakiman moden dengan skala tertuduh sebegitu ramai bagi pertuduhan bunuh.
Mereka didakwa terlibat dalam aksi keganasan sepanjang krisis yang berlaku ekoran pemecatan Dr Mohamad Morsi sebagai presiden Mesir.
Bagi Abdul Hadi, apa yang berlaku menunjukkan tatacara perbicaraan mahkamah dan peraturan undang-undang tidak dipatuhi.
"Kami menggesa agar demokrasi dan keamanan dipulihkan dengan menarik balik pengharaman Ikhwan Muslimin, sebuah organisasi politik yang telah mendokong dan menyertai pilihan raya dalam sistem demokrasi di Mesir," katanya.
Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) turut mengecam sekeras-kerasnya hukuman mati yang dijatuhkan mahkamah Mesir hari ini.
Bagi Abim, hukuman ini merupakan langkah ke belakang yang menjanjikan masa depan yang serba gelap terhadap amalan demokrasi serta rakyat Mesir keseluruhannya.
"Hukuman ini jelas merupakan rentetan daripada langkah kuku besi yang didalangi oleh regim pemerintah Mesir untuk mengukuhkan cengkaman kuasa mereka," kata Presiden Abim, Amidi Abd Manan (gambar) dalam satu kenyataannya.
Abim menilai hukuman mati yang dikenakan itu merupakan campur tangan regim pemerintah untuk menakut-nakutkan rakyat Mesir menjelang pilihan raya presiden Mesir tidak lama lagi.
Hari ini seramai 700 lagi saki baki daripada kira-kira 1200 para penyokong Morsi pula akan dibicarakan atas dakwaan mencetuskan huru hara serta mengancam ketenteraman awam.
Bagi Abim, kezaliman terbaru ini bakal merancakkan lagi gerakan diktator negara-negara Arab yang kini bergerak aktif memburu simpatisan Ikhwan Muslimin khususnya di Bahrainn, UAE dan Arab Saudi.
"Abim menegaskan bahawa kemelut politik Mesir ini adalah polemik sejagat yang bakal menjejaskan kestabilan politik dunia," kata Amidi.
Oleh itu, kata Amidi,  Abim menggesa rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa untuk menyuarakan secara lantang tentangan mereka terhadap kezaliman ini. - 25 Mac, 2014.
Sumber: yahoo.com