MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, Julai 19, 2025

Juruteknik minyak dan gas lemas di Air Terjun Lubuk Kain

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN – Seorang lelaki ditemukan lemas dihanyutkan arus ketika berkelah bersama tiga lagi rakannya di Kawasan Perkelahan Air Terjun Lubuk Kain, Hulu Dungun, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang tadi itu, mangsa Muhammad Asri Anuar, 21,  ditemukan di dasar air terjun itu pukul 1.40 petang pada kedalaman kira-kira sembilan meter.

Mangsa yang bertugas sebagai juruteknik minyak dan gas dikatakan ke kawasan perkelahan itu sempena cuti hujung minggu bersama empat lagi rakannya.

Mangsa dikatakan telah terjun untuk mandi dari satu kawasan berbatu setinggi lebih empat meter dan selepas itu gagal timbul ke permukaan air.

Rakannya yang terkejut dengan kejadian itu bertindak meminta bantuan daripada beberapa pengunjung lain tidak jauh dari lokasi kejadian.

Menurut seorang peniaga di situ yang juga saksi kejadian, Nur Shazlin Shafiza Uyok, sebelum kejadian dia melihat mangsa dan tiga rakannya itu ke kawasan lubuk kira-kira pukul 12 tengahari.

Namun tidak lama kemudian, seorang pengunjung datang memaklumkan kejadian itu sebelum memaklumkan kepada pihak pengurusan kawasan perkelahan.

“Masa tu saya tengah jual, orang mari kat saya dia kata kak, ada orang mati lemas, saya pun call lah ketua saya, saya beritahu ada orang mati lemas, dia kata tak pa la kejap lagi dia mari, lepas tu haji pun mari lah, biasanya kalau orang mati lemas ni orang info ke kita dulu, yang ni dia call bomba terus, jadi kita tak tahu maklumat awal,” kata Nur Shazlin Shafiza

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Menurut Superintenden Maizura, walaupun sudah dipasang papan tanda amaran di kawasan berkenaan, tapi masih ada pengunjung yang memasuki kawasan itu dan mengabaikan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti air di situ.

Mayat mangsa di bawa ke jabatan forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat. – Suara Timur

Khamis, Julai 17, 2025

Kontraktor ditemukan mati dikelar di leher, pergelangan tangan

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN : Seorang kontraktor ditemukan mati dengan kesan kelar pada leher dan pergelangan tangan kirinya berhampiran kawasan tapak pembinaan perumahan rumah teres di Taman Madani, Bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, mayat mangsa yang berusia lingkungan 40an itu ditemukan terbaring di atas tanah dengan berlumuran darah, bersebelahan pintu penumpang hadapan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang di parkir di tepi jalan
kira-kira pukul 3.15 petang.

“Pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kesan kelar di pergelangan tangan kiri dan leher mangsa.

“Turut ditemui, sebilah pisau pemotong kertas berhampiran mayat mangsa,” katanya di sini, malam ini.

Maizura berkata, setakat ini, punca kematian mangsa yang berasal dari Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur itu masih dalam siasatan dan pihak forensik turut melakukan siasatan lanjut sama ada wujud unsur jenayah.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penduduk, Mohd Syukri Mamat, 35, berkata, dia terkejut apabila melihat lelaki yang sedang terbaring di tepi jalan dengan berlumuran darah.

“Saya dan rakan saya melalui kawasan projek perumahan ini untuk menghantar makanan kepada rakan.

“Pada awalnya kami nampak orang terbaring tepi kereta, kami ingatkan dia tidur atau kereta rosak sebab enjin kereta masih hidup. Bila kami hampiri lelaki itu, memang terkejut tengok badannya berlumuran darah. Saya terus hubungi polis,” katanya. – Suara Timur

Isnin, Julai 14, 2025

35 peserta usaha tanaman kelapa pandan

 

KEMAMAN: Seramai 35 peserta mengusahakan tanaman kelapa pandan di tapak Projek Pertanian Berkelompok Kampung Tok Kapor, Binjai, di sini melibatkan kawasan seluas 14 hektar pada 1996 lalu.

Seorang pengusaha, Khairul Anuar Othman berkata, Jabatan Pertanian Daerah Kemaman telah menawarkan benih kelapa, baja dan khidmat nasihat kepada peserta.

Menurutnya, peserta menanam 120 pokok kelapa pandan pada setiap ekar tanah dan dapat mengeluarkan hasil antara 600 hingga 700 biji sebulan.

“Peserta bukan sahaja menjual kelapa muda malah ada yang menjual kelapa tua untuk diambil santan.

“Selain itu, terdapat juga peserta memproses  air nira untuk dijual pada masyarakat setempat dan sekitarnya,” katanya kepada Suara Timur di ladang Kelapa Pandan Projek Pertanian Berkelompok Kampung Tok Kapor, Binjai hari ini.

Khairul Anuar memberitahu, peserta yang menjaga pokok kelapa itu dengan baik, mereka akan dapat pulangan kira-kira RM1,500 hingga RM2,000 sebulan.

“Sekarang pokok kelapa pandan telah berusia 26 tahun dan saya mengambil langkah menanam semula sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Menurut Khairul Anuar, bagi menambah pendapatan sampingan, beliau juga turut memelihara lebah kelulut sebanyak 70 sarang dengan penghasilan sebanyak RM500 hingga RM700 sebulan.

“Pemintaan pelanggan terhadap buah kelapa pandan, air nira dan madu lebah kelulut buat masa ini amat tinggi dan saya hanya mampu menjual kepada masyarakat setempat sahaja, ujarnya.

Khairul Anuar turut menasihati orang ramai yang mempunyai tanah terbiar, boleh mendapat khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian Daerah Kemaman bagi memajukan tanah mereka dengan menanam kelapa pandan dan perternakan lebah kelulut.

“Jabatan Pertanian Daerah Kemaman sedia membantu membekal benih kelapa pandan dan benih lebah kelulut,” katanya.  – Suara Timur

Ahad, Julai 13, 2025

Pegawai Pertanian maut kemalangan dua kereta

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN : Seorang pegawai pertanian maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah Perodua Myvi, di Jalan Paka-Bandar Al Muktafi Billah Shah, berhampiran persimpangan lampu isyarat Plaza Tol Paka, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi, mangsa, Nazirah Abdul Rahman, 41, yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan, meninggal di lokasi kejadian.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang tinggal di Kampung Cacar Baru, Paka, di sini, sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Pejabat Pertanian Hulu Paka di Bandar Ketengah Jaya.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila sebuah Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan dipandu seorang lelaki, dikatakan telah hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan, sebelum bertembung dengan Perodua Myvi yang dipandu Nazirah.

Kejadian itu menyebabkan pemandu lelaki yang berusia 43 tahun dan penumpang wanita mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Rizuan Ramli berkata, enam anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.45 pagi.

“Kita menggunakan peralatan khas untuk menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dan kita turut membantu melakukan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa kemalangan selepas kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan laporan mengenai kejadian.

Menurutnya, mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut dan mayat mangsa juga dibawa ke unit forensik hospital sama untuk tindakan lanjut. – Suara Timur

Jumaat, Julai 11, 2025

Kekalkan tradisi gotong-royong masak bubur asyura

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN:  Bulan Muharam seolah-olah tidak lengkap tanpa kehadiran bubur asyura. Bubur asyura ialah bubur yang dibuat dengan pelbagai campuran ramuan pada 10 Muharram iaitu pada Hari Asyura. Ia juga dikenali sebagai sugha.

Terdapat dalam kalangan komuniti masyarakat setempat mengambil kesempatan pada muharram ini untuk mengadakan aktiviti gotong-royong masak bubur asyura.

Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim, malah dapat berkongsi rezeki bersama orang lain.

Malah, bergotong-royong memasak bubur asyura untuk diagih kepada golongan keluarga, fakir, miskin dan masyarakat setempat telah menjadi adat dan tradisi masyarakat Islam di negara ini.

Sementara itu, Pengerusi Surau Kampung Lot Seri Jaya, Batu 4 Binjai, Syed Mohamad Tuan Soh berkata, tradisi memasak bubur Asyura di kampung ini bermula sejak kampung ini ditubuhkan pada awal tahun 1973.

Pengerusi Surau Kampung Lot Seri Jaya, Batu 4 Binjai, Syed Mohamad Tuan Soh (kanan) Pengerusi JPKK Kampung Lot Seri Jaya, Yusof Ali (dua kanan) dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kawasan Air Putih, Mohd Hafiz Adam (tujuh dari kiri) bergambar pada program memasak bubur Asyura di pekarangan Surau Kampung Lot Seri Jaya, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurutnya, walaupun kepimpinan kampung silih berganti, namum semangat bergotong-royong memasak bersama-sama dapat dijalankan bagi mengeratkan silaturahim sesama warga tanpa mengira fahaman politik.

“Alhamdulillah, hari ini kita memasak bubur Asyura sebanyak dua kawah dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Lot Seri Jaya dan kita akan agih kepada penduduk kampung,” katanya kepada Suara Timur di sini, hari ini.

SEBAHAGIAN bubur asyura yang telah siap dimasak.

Ujarnya,  ramai dalam kalangan anak muda kini tidak kenal dan makan bubur Asyura. Mereka lebih mengenali makanan segera seperti pizza, burger dan ayam goreng yang terdapat di restoran makan segera.

“Mengapa ini berlaku? Soalnya. Ia mungkin disebabkan sesetengah kampung tidak lagi memasak bubur Asyura seperti yang pernah dilakukan oleh datuk nenek kita di zaman mereka dahulu,” katanya.

Syed Mohamad berkata, jika amalan memasak bubur Asyura tidak diteruskan, dibimbangi pada suatu hari nanti, generasi baharu tidak lagi mengenali dan merasai bubur asyura.

Program memasak bubur Asyura tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kawasan Air Putih, Mohd Hafiz Adam dan anggota polis dari Balai Polis Chukai, Kemaman. – Suara Timur

Rabu, Julai 09, 2025

200 penduduk lega beruang matahari berkeliaran ditangkap

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN – Kira-kira 200 penduduk Ladang Pelantoh Selatan, dekat sini lega selepas seekor beruang matahari betina yang berkeliaran di kawasan kediaman mereka berjaya ditangkap, malam tadi.

Beruang Matahari seberat kira-kira 40 kilogram (kg) itu berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kemaman setelah memasuki perangkap pada pukul 12 malam tadi.

Menurut wakil penduduk, Md Fauzi Abdullah, penduduk bimbang dengan kehadiran beruang berkenaan sejak pagi semalam yang berkeliaran dan memusnahkan beberapa tanaman penduduk.

Ujarnya, haiwan itu dikatakan tersesat dari hutan simpan berhampiran dan masuk ke kawasan perumahan penduduk dan memanjat pokok-pokok tanaman seperti kelapa, petai dan buah-buahan.  

BERUANG Matahari yang berjaya ditangkap di Ladang Pelantoh Selatan, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Memang penduduk sini rasa tak senang,  keadaan takut…kita lapor kepada Perhilitan dan Perhilitan memang cepat dan terus pasang perangkap.

“Alhamdulillah pada pukul 12 malam tadi, ada bunyi pintu perangkap ni tertutup. Kita pun datang sini dan didapti ada beruang,” katanya ketika ditemui media di sini.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi mengesahkan beruang berkenaan seberat kira-kira 40 kilogram telah dikesan masuk perangkap lewat malam tadi.

Menurutnya, beruang yang diselamatkan itu akan dibawa dan dilepaskan ke habitat yang sesuai dengan kemandirian spesiesnya seperti habitat asal haiwan itu. – Suara Timur

Jurutera kerugian RM70,400 ditipu pelaburan saham tidak wujud

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang jurutera mengalami kerugian RM70,400 setelah terpedaya dengan penipuan pelaburan saham tidak wujud dalam talian.

Ketua Polis Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, lelaki berusia 40 tahun itu telah melihat iklan pelaburan saham tersebut di laman sosial Facebook dan berurusan dengan seorang wanita berbangsa Cina yang menawarkan pelaburan saham syarikat negara China melalui aplikasi XZCISIFIN.

Menurutnya mangsa telah melakukan sebanyak (8) transaksi pindahan wang dalam talian ke (3) akaun bank yang berbeza, dengan jumlah keseluruhan RM71,000 bermula dari 27 Mei 2025 hingga 26 Jun 2025.

“Pada peringkat awal, mangsa menerima pulangan sebanyak RM600.

“Namun, selepas semua transaksi tersebut, mangsa tidak menerima sebarang pulangan lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa telah membuat laporan mengenai kejadian tersebut di  Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman pada Selasa lalu.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- Suara Timur

Isnin, Julai 07, 2025

50 Ketua AMK PKR tamat latihan AKAR

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Seramai 50 orang Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) seluruh negara tamat latihan Akademi Keadilan Rakyat (AKAR) Siri 1/2025 di Kem Ghaffar Baba, Ulu Kelang, Selangor pada 4 hingga 6 Julai lalu.

AKAR merupakan sebuah akademi yang ditubuhkan untuk melatih kepimpinan sedia ada serta anggota-anggota baharu AMK yang diluncurkan di Perak pada Mac 2024.

Mereka berkampung di Kem Ghaffar Baba, Ulu Kelang, Selangor, selama tiga hari dan mengikuti pelbagai sesi latihan serta penerapan nilai-nilai dan aspirasi parti.

Dari kiri, Ketua AMK Cabang Dungun, Syafiqah Nabihah Shamsul Bahri, Ketua AMK Cabang Marang, Amira Alias, Ketua AMK Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim dan Ketua AMK Cabang Besut, Norhairey Che Pauzi.

AKAR akan terus bergerak dari negeri ke negeri, untuk bertemu dan melatih lebih ramai ahli AMK yang bakal menjadi pemimpin masa depan PKR.

Ketua AMK Cabang Dungun, Syafiqah Nabihah Shamsul Bahri berkata, tiga orang Ketua AMK Terengganu yang terpilih menyertai AKAR Siri 1/2025 terdiri daripada Ketua AMK Cabang Besut, Norhairey Che Pauzi, Ketua AMK Cabang Marang, Amira Alias dan Ketua AMK Cabang Dungun.

Menurutnya, kehadiran dan komitmen AMK Terengganu dalam program ini membuktikan anak muda Terengganu bersedia memimpin perubahan dan mengangkat agenda reformasi ke peringkat yang lebih tinggi.

“Dengan modul latihan yang padat merangkumi kepribadian, kefahaman politik, kebudayaan serta simulasi kepimpinan dan para peserta bukan sahaja dibentuk sebagai aktivis parti, tetapi juga sebagai pemimpin rakyat yang berprinsip dan berani menyuarakan kebenaran.

“Semoga segala ilmu dan pengalaman sepanjang latihan ini menjadi suluh perjuangan. Perubahan tidak datang dengan selesa, ia hadir bersama keberanian dan tekad,” kata Syafiqah Nabihah. – Suara Timur

Jumaat, Julai 04, 2025

Nur Amylia Zulaikha cari bapa kandung untuk jadi wali pernikahan

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Seorang pembantu kedai yang bakal melangsungkan perkahwinan pada September depan mencari bapa kandungnya untuk menjadi wali pernikahan.

Nur Amylia Zulaikha Mohd Faiza, 19, dari Kampong Pulau Serai, di sini, berharap dapat menemui bapa kandungnya, Mohd Faiza Mat Yaman, untuk menjadi wali pernikahan setelah usaha menjejaki lelaki itu sejak beberapa bulan lalu tidak berhasil.

Menurutnya, dia yang ditinggalkan bapanya ketika berusia 40 hari dan ibunya, Zainora Md Nor masih dalam berpantang.

MOHD FAIZA MAT YAMAN

Ayahnya berasal dari Jalan Baru, Pak Sabah di sini berkahwin dengan ibunya pada Disember 2002 dan bercerai dengan taklik pada Jun 2010.

“Saya sudah mencarinya di merata tempat dan bertanya kepada rakan ayahnya tetapi gagal,” katanya ketika dihubungi Suara Timur hari ini.

Katanya, dia amat berharap ayahnya dapat dikesan dan orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat boleh menghubungi Nur Amylia Zulaikha di talian 010-5960228. – Suara Timur

Khamis, Julai 03, 2025

Penuntut UMT maut, motosikal terbabas di LPT2

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : Seorang penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) maut, manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang ditunggang mereka terbabas berhampiran susur masuk Hentian Rehat dan Rawat Perasing, di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang, Siti Ain Balqis Hamdan, 23, yang berasal dari Kuala Lumpur, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di beberapa anggota badan.

Rakannya, Nur Intan Syafiera Batrisya Hamzah, 21, berasal dari Negeri Sembilan yang cedera parah di kepala dan badan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.

SEORANG anggota polis memeriksa motosikal y
ditunggangi dua pelajar UMT yang terlibat kemalangan berhampiran susur masuk Hentian Rehat dan Rawat Perasing, di  LPT2, Kemaman,  petang tadi. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Rozi Rosli, berkata, difahamkan ketika kejadian, kedua-dua pelajar itu sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Yamaha Y16ZR yang ditunggang Siti Ain Balqis hilang kawalan ketika melalui selekoh untuk masuk ke hentian itu sebelum motosikal tersebut terlanggar penghadang jalan di sebelah kiri.

“Impak pelanggaran itu menyebabkan Siti Nur Ain tercampak ke sebelah kiri jalan manakala Nur Intan Syafiera Batrisya pula terjatuh atas jalan raya,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mohd. Razi berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UMT, menerusi kenyataannya melahirkan rasa dukacita atas pemergian penuntut Sarjana Muda Pengurusan Pengajian Polisi universiti itu.

Menuruynya, pihak UMT akan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM12,500 kepada waris  Siti Ain Balqis bagi tujuan khairat kematian, pengurusan jenazah dan Skim Perlindungan Pelajar.

“Bagi pelajar yang mengalami kecederaan pula, pihak kami akan menyalurkan Bantuan Bingkas Kasih sebanyak RM500 dan kos rawatan pelajar pula akan dibiayai melalui surat jaminan hospital UMT sebanyak RM2,500,” menurut kenyataan itu. – Suara Timur