MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, Mac 31, 2018

Kayuhan Ria sempena Hari Polis


Sebahagian daripada peserta menunggu pelepasan sebelum memulakan kayuhan sempena Hari Polis peringkat daerah Kemaman, hari ini. - UTUSAN ONLINE

31 Mac 2018 10:12 PM


KEMAMAN 31 Mac - Seramai 200 peserta dari sembilan buah kelab basikal daerah ini menyertai Kayuhan Ria sejauh 23 kilometer, di sini hari ini sempena sambutan Hari Polis. 

Di bawah program Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bersama Masyarakat, mereka berbasikal dari pekarangan IPD menuju Jeram Penitih, Seri Bandi, Kijal.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Said Ibrahim yang menyempurnakan pelepasan memberitahu, program itu sebahagian daripada pendekatan merapatkan perhubungan dengan segenap lapisan masyarakat.

Kayuhan in diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (KBSPT) IPD, Pemangku Asissten Superintendan Zul Ilham Abdul Rahim.

Sepanjang kayuhan, mereka akan singgah di Kawasan Rekreasi dan Zoo Majlis Perbandaran Kemaman, Bukit Takal dan Pondok Polis Seri Bandi.

"Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program ini termasuk cabutan bertuah dan taklimat Volunteer Smartphone Patrol (VSP) kepada peserta," ujarnya. - UTUSAN ONLINE



Jumaat, Mac 30, 2018

AEDES : Syarikat pembinaan didenda RM5,000


Nyamuk aedes

30 Mac 2018 3:28 PM

KEMAMAN 30 Mac - Sebuah syarikat, Multielite Holding didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas didapati bersalah membiak aedes di sebuah tapak pembinaannya di Jalan Jakar, Oktober tahun lalu.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 13(1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 yang dibaca bersama Seksyen 13 (2) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Pendakwaan dikendali oleh pegawai pendakwa Abdul Rahman Abdullah dari Pejabat Kesihatan Daerah

Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Mohd Anuar Abdul Rahman ketika dihubungi memberitahu, kes itu adalah yang pertama didakwa pada tahun ini.

Katanya, sepanjang tahun lepas, sebanyak 14 kes berkait dengan pembiakkan aedes tapak bina telah dihadapkan ke mahkamah, dengan denda keseluruhan berjumlah RM 60,000.

“Pemaju dinasihatkan agar sentiasa mengawasi dengan membuat pemeriksaan sekurang-kurang seminggu sekali di kawasan tapak.

“Mereka perlu menyedia jadual pemeriksaan aedes oleh pekerja dan juga melantik Syarikat Kawalan Makhluk Perosak berdaftar bagi memantau dan menjalankan kerja-kerja pencegahan bagi memasti tapak bina tidak menjadi tempat pembiakan aedes,” katanya.

Mohd Anuar memberitahu, pihaknya akan menjalankan operasi penguatkuasaan secara berkala setiap bulan.

Katanya, tindakan tegas akan diambil kepada syarikat pembinaan yang melakukan kesalahan berulang termasuk menutup tapak dan dihadapkan ke mahkamah. - UTUSAN ONLINE



Ahad, Mac 25, 2018

Itu fitnah lama - Ahmad Said

25 Mac 2018 8:04 AM


KEMAMAN 25 Mac - Dalam era kemuncak penggunaan media sosial kini, sesuatu bahan fitnah yang disebar tidak pernah lenyap, dan akan muncul semula, malah boleh ditularkan sekali lagi jika perlu.


Gejala ini kadangkala memaksa penafian berulang kali dilakukan seperti yang dihadapi oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Kembali tular ketika ini ialah fitnah berhubung kenyataan kononnya beliau “menggesa orang Melayu agar bangkit menentang UMNO” yang ditularkan semula menerusi Facebook dan WhatsApp sejak beberapa hari lalu.

Katanya, apa yang ditularkan itu pernah muncul pada pertengahan tahun 2014 apabila beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar.

“Ketika masih menjadi Menteri Besar, fitnah seperti ini pernah berlaku menerusi media sosial menggunakan nama saya.

“Saya telah menutup akaun Facebook ketika masih memegang jawatan Menteri Besar," katanya yang juga Ketua UMNO bahagian.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Payoh di Kampung Batu 9, Ibok, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha UMNO bahagian, Rosli Ahmad; Ketua Wanita UMNO bahagian , Datuk Rohani Abdullah dan Pengerusi PDM Payoh, Hassan Ali.

Sementara itu dalam ucapannya Ahmad berkata, semua jentera parti peringkat Parlimen Kemaman telah bersiap sedia menghadapi PRU-14 bagi memastikan kemenangan lebih besar kepada UMNO dan BN.-UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/itu-fitnah-lama-ahmad-said-1.634414#ixzz5Al5yxnwE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Selasa, Mac 20, 2018

APMM tahan bot nelayan asing di Kuala Kemaman


MUKHATAR A. RAHMAN

21 Mac 2018 5:26 PM

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Wilayah Timur, Kepten Maritim V. Pannir Selvan menunjukkan sotong jarum yang dirampas selepas menahan sebuah bot nelayan warga Vietnam di perairan Kuala Kemaman semalam.


KEMAMAN - Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan sebuah bot nelayan asing warga Vietnam yang dipercayai menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan kira-kira 75 batu nautika dari timur Kuala Kemaman semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Wilayah Timur, Kepten Maritim V. Pannir Selvan berkata, nelayan-nelayan terbabit dikatakan sedang leka menangkap ikan sebelum perbuatan mereka dikesan oleh sebuah kapal APMM yang melakukan rondaan pada pukul 2 petang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bot dengan nombor pendaftaran BD 30459 TS itu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan selain tidak mempunyai permit untuk menangkap ikan di perairan negara.

"Pemeriksaan lanjut turut mendapati tekong bot bersama enam awak-awak berusia lingkungan 16 hingga 55 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Ketika itu, terdapat dua buah bot nelayan asing sedang menangkap ikan sebelum salah sebuah daripadanya melarikan diri sejurus menyedari kehadiran kapal peronda KM Pekan," katanya pada sidang akhbar di Pengkalan APMM Teluk Kalong di sini hari ini. - K! ONLINE 


Isnin, Mac 19, 2018

Penduduk resah Lembah Jabor jadi tempat pelupusan sampah

Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di tapak yang dijadikan tempat pelupusan sampah sisa kilang, di Lembah Jabor Kemaman, baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE

19 Mac 2018 6:15 PM

KEMAMAN 19 Mac - Penduduk sekitar Lembah Jabor menggesa pihak berkuasa bertindak tegas terhadap mereka yang menjadikan tanah yang diduduki secara Lesen Tumpangan Sementara (TOL) sebagai tempat pelupusan sampah dan melakukan pembakaran secara terbuka.

Sikap tidak mempedulikan peraturan dan mengetepikan keselesaan orang ramai terutama penduduk di kawasan penempatan Taman Sri Perasing, Perasing Jaya dekat sini tidak harus dibiarkan berterusan, malah kebenaran itu perlu ditarik balik dan tindakan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Cina Jabor, Tan Sea San berkata, sampah sarap bukan sahaja menyakitkan pandangan tetapi membawa pencemaran di samping asap yang sentiasa menyelubungi menimbulkan keresahan penduduk.

"Ini juga laluan utama bagi penduduk beberapa buah kampung termasuk kampung Seratus, Tengah, Padang Lalang, Felda Neram 1 dan Perasing Jaya ke kawasan perindustrian Gebeng dan Kuantan setiap hari," ujarnya, di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Siva Kumar berkata, sepatutnya mereka membuang sampah tersebut di tapak pelupusan yang telah disediakan oleh Majlis Perbandaran Kuantan yang tak berapa jauh dari kawasan perindustrian itu," katanya.

"Sekarang musim panas, membakar sampah ini bukan sahaja mencemarkan persekitaran, malah api mungkin merebak ke kawasan ladang kelapa sawit yang berhampiran," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Balai Ceneh, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Hasbullah Halipah ketika dihubungi berkata, sejak 19 Februari hingga 15 Mac, pihaknya telah membuat operasi pemadaman kebakaran di kawasan tersebut sebanyak enam kali. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: 
http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/terengganu/penduduk-resah-lembah-jabor-jadi-tempat-pelupusan-sampah-1.630692#ixzz5ABuE0aqw
© Utusan Melayu (M) Bhd
 

Ahad, Mac 18, 2018

[VIDEO] Karnival Usahawanita 2018 pada 5 hingga 7 Apri


Ahmad Shabery meneliti pelan tapak Karnival Usahawanita di Pantai Kuala Kerteh Kemaman hari ini.-UTUSAN ONLINE


17 Mac 2018 2:18 PM

KEMAMAN 17 Mac - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menganjurkan Karnival Usahawanita 2018 di Pantai Kuala Kerteh, di sini selama tiga hari mulai 5 April ini.

Program sempena Road to MAHA (pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia) Zon Timur 2018 itu merupakan salah satu inisiatif dalam menyokong Tahun Memperkasa Wanita Yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pendekatan itu juga dalam masa sama bertujuan meraikan usahawan wanita tempatan di samping menyediakan platform kepada mereka mempromosi produk yang dihasilkan kepada pasaran yang lebih luas.

"Kita menjangkakan lebih 500 usahawan wanita akan mengambil bahagian, dan disasarkan menarik kehadiran kira-kira 30,000 pengunjung.

"Program ini sepatutnya menjadi kebanggaan wanita 8terutama kaum hawa dari desa yang saya percaya banyak telah mengangkat martabat mereka dalam memiliki keupayaan berniaga, ekonomi dan kewangan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika melawat tapak karnival berkenaan di Pantai Kuala Kerteh dekat sini, hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) kementerian itu, Datuk Mohd. Salehhuddin Hassan dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Rohani Abdullah.

Antara aktiviti yang disediakan dalam karnival ini adalah jualan pelbagai hasil tempatan termasuk ikan, buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan, produk asas tani, trak makanan, kosmetik, spa, kraftangan, pusat pendidikan awal kanak-kanak serta promosi destinasi agropelancongan.

Di samping, pengunjung turut berpeluang menyaksikan forum perdana, perkongsian ilmu dan tips oleh usahawan berjaya, demonstrasi masakan dan kraf, pertandingan memancing wanita, sukan pantai, catur, ping pong serta 'petting zoo.'  - UTUSAN ONLINE



Jumaat, Mac 16, 2018

Aedes: kawasan pembinaan tutup


PEGAWAI penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman menjalankan pemetiksaan di tapak pembinaan di bandar Cukai yang diarah tutup semalam. - UTUSAN ONLINE

15 Mac 2018 1:11 PM

KEMAMAN 15 Mac - Sebuah tapak binaan yang turut menempatkan rumah kongsi di bandar Cukai ditutup serta-merta oleh Pejabat Kesihatan Daerah dikesan menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes.

Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Mohd Anuar Abdul Rahman berkata, tapak  projek berskala besar melibatkan 2 fasa pembangunan hampir 100 unit lot komersial dan pejabat dikenakan tindakan itu mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

Pemaju turut diarah membersihkan persekitaran dan menubuh pasukan kawalan aedes bagi membuat pemeriksaan secara mingguan dan melantik syarikat kawalan makhluk perosak yang berdaftar bagi membuat aktiviti kawalan secara berjadual sebelum dibenarkan beroperasi semula.

"Operasi Gempur Aedes yang bermula kelmarin diketuai oleh Pegawai Kesihatan Persekitaran, Mohd Rosli Abd. Wahab bersama 14 anggota telah membuat pemeriksaan keatas 13 tapak binaan seluruh daerah ini,"ujarnya di sini hari ini.

Mohd Anuar berkata, penutupan ini juga berdasarkan tapak binaan ini juga telah melakukan kesalahan berulang pada tahun lepas dan telah dihadapkan ke mahkamah.

“Pemaju yang mengulangi kesalahan yang berulang akan diarah menhentikan operasi dan didakwa tanpa diberi notis kompaun lagi. Ini bagi memberi pengajaran agar pemaju tidak memandang ringan soal kebersihan,"ujar beliau.

 Selain itu, sebanyak empat notis arahan di bawah akta yang sama telah dikeluarkan kepada  tapak binaan yang lain bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pemusnahan bekas-bekas berisiko menjadi tempat  pembiakan aedes. - UTUSAN ONLINE



Rabu, Mac 14, 2018

AADK Kemaman berkas 55 individu disyaki penagih dadah


MUKHATAR  A. RAHMAN
14 Mac 2018 5:50 PM

55 individu dalam lingkungan 19 hingga 57 tahun ditahan di Kemaman disyaki penagih dadah dalam Ops Sarang berakhir pagi tadi.

KEMAMAN - Seramai 55 individu termasuk tiga wanita dipercayai penagih dadah diberkas dalam operasi bersepadu, Op Sarang yang diadakan di seluruh daerah ini selama dua hari berakhir hari ini.

Operasi bersepadu melibatkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kemaman, Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Agama Islam Daerah Kemaman yang diketuai Ketua Unit Penguat Kuasa AADK Kemaman, Muhammad Norzakri Ahmad Norbi itu berakhir pukul 7 pagi tadi.

Ketua Pegawai AADK Kemaman, Lokman Hakim Othman berkata, operasi berkenaan memfokuskan kepada kawasan Felda Neram, Cheneh, Cherul, Seri Bandi, Kerteh, Binjai dan Air Putih.

"Serbuan yang diadakan di setiap lokasi berkenaan bermula pukul 4 pagi semalam berjaya menahan 55 individu dipercayai penagih dadah berusia dalam lingkungan 19 hingga 57 tahun.

"Sejumlah dadah dipercayai jenis heroin dan syabu serta air ketum yang dianggarkan bernilai lebih RM1,500 turut berjaya dirampas dalam operasi berkenaan," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE



Selasa, Mac 13, 2018

Ditolak ke dalam sungai selepas disamun

13 Mac 2018 6:31 PM


KEMAMAN 13 Mac - Seorang buruh melalui detik mencemaskan selepas ditolak ke dalam sungai sebelum kereta dan telefon bimbitnya dilarikan dalam kejadian samun di Jalan Kampung Tengah, Kuala Kertih, di sini awal pagi tadi.

           MOHD. SAID
Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.15 pagi ketika lelaki berusia 38 tahun berada bersendirian di kawasan berkenaan sebelum didatangi dua lelaki tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, seorang suspek kemudiannya merampas telefon bimbit mangsa dan kunci kereta Proton Wira, sebelum menolak mangsa ker dalam sungai Kertih.

"Sebaik suspek beredar, mangsa yang cedera di kaki kemudiannya berenang ke tebing.

"Selain kereta dan dua buah telefon bimbit, beg duit mengandungi pelbagai dokumen penting turut dilarikan suspek," katanya, di sini hari ini.


Menurut beliau, gerakan memburu suspek giat dijalankan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata.- UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/ditolak-ke-dalam-sungai-selepas-disamun-1.626722#ixzz59d2dlln2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Hari Terbuka Kolej Vokasional Kemaman


Pelajar bidang teknologi kimplan menunjukkan teknik kimpalan dalam majlis perasmian Hari Terbuka Kolej Vokasional Kemaman, hari ini. - UTUSAN ONLINE

13 Mac 2018 6:03 PM


KEMAMAN 13 Mac - Kolej Vokasional Kemaman (KVK) menganjurkan Hari Terbuka KVK hari ini bagi mendekatkan lagi hubungan dengan masyarakat dan mempromosi bidang-bidang pengajian yang ditawarkan kepada umum dengan lebih meluas.

Pengarah program, Norshazlina Razali berkata, program selama dua hari yang digerakkan oleh kumpulan pelajar Tahun 2 Diploma Kesetiausahaan Pentadbiran dengan kerjasama Unit Sukan KVK itu juga sebahagian daripada projek tahun akhir mereka.

“Program ini sebahagian daripada projek tahun akhir dan juga untuk memenuhi syarat keperluan kursus yang dipelajari,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian yang disempurnakan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Mohd Nazri Razali.

Sebanyak 14 pameran dan demonstrasi berkait dengan bidang pengajian diadakan termasukTeknologi Elektrik, Teknologi Elektronik, Teknologi Pemesinan Industri, Teknologi Kimpalan, Teknologi Automotif, Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara.

“Juga Teknologi Pembinaan, Seni Kulinari, Pengurusan Perniagaan dan Kesetiausahaan Pentadbiran. Selain itu terdapat juga pameran oleh pelbagai jabatan dan agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” ujarnya.

Menurutnya, program turut dimeriahkan dengan pertandingan mewarna, aktiviti jualan di samping pemeriksaan kesihatan percuma, senamrobik dan Cabaran Larian KVK  2.0. - UTUSAN ONLINE



46 penagih dicekup di Kemaman


Sebahagian daripada penagih yang dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman hari ini sebelum mendapat perintah tahanan reman, esok. - UTUSAN ONLINE

13 Mac 2018 6:03 PM

KEMAMAN 13 Mac - Polis menahan 46 orang penagih dadah dalam Ops Sarang yang diadakan serentak di sekitar Felda Neram, Ceneh, Cerul, Seri Bandi dan Kerteh sejak awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik melibatkan 60 pegawai dan anggota termasuk anggota Simpanan Polis Diraja Malaysia (SPDRM).

"Operasi bermula pukul 4 pagi hingga tengah hari ini. Kesemua mereka yang ditangkap berusia 23 hingga 57 tahun, kebanyakannya berkerja sebagai buruh," katanya pada sidang akhbar, di sini petang ini.
Menurutnya, ini adalah tangkapan terbesar yang dilakukan serentak sejak Januari lalu membanteras gejala penagihan dadah yang banyak berkait dengan kegiatan jenayah di samping meredakan kebimbangan penduduk.

"Dengan tertangkapnya mereka, kita berharap dapat menyelesaikan lagi beberapa kes pecah rumah, kes kecurian, jenayah samun dan sebagainya. Kita turut merampas dua botol dan enam tiub straw heroin, satu paket syabu dan dua paket plastik air ketum bernilai RM1,500,"ujarnya. - UTUSAN ONLINE



Isnin, Mac 12, 2018

Pesama turut anjur Pasar Jalinan Sentuhan Rakyat


Ir. ROSLI (tiga dari kiri) sewaktu meninjau aktiviti jualan Pasar Jalinan Sentuhan Rakyat di pekarangan pejabat Pesama, Kemaman semalam. menunjukkan ikan yang dijual di PJSR Pesama tengah hari tadi.
12 Mac 2018 2:46 PM


KEMAMAN 11 Mac. - Sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) negeri, Pesama Timber Corporation Sdn Bhd (Pesama)  mengambil inisiatif sendiri dengan turut mengadakan Pasar Jalinan Sentuhan Rakyat  bagi keperluan 250 orang pekerja dan keluarga mereka di sini semalam.

Program sebegini yang pertama oleh GLC digerakkan di bawah pendekatan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pesama kepada seluruh kakitangan pekerja yang sentiasa berusaha kearah kemajuan syarikat.

Pengerusi Lembaga Pengarahnya. I r. Rosli Othman, ketika merasmikan program itu di pekarangan pejabat Pesama di Kawasan Perindustrian Jakar berkata, program itu dibawakan khusus kepada kakitangan sebagai suatu bentuk penghargaan buat mereka.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri memberitahu, pelbagai jenis barangan keperluan harian ditawarkan dengan harga lebih rendah antara 25 hingga lebih 30 peratus berbanding harga semasa di pasaran.

"Ini termasuk  beras, gula, minyak masak dan ayam dan hasil laut," ujarnya dalam majlis yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Golden Pharos Berhad, Datuk Nadza Abdul; Pemangku  Pengurus Besar Pesama, Mohd Shamsol Mohd Shafie dan Ahli Lembaga Pengarah, Rosli Ahmad.

Sementara itu, salah seorang pekerja Mamat Daud, 49, ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Pesama kerana menganjurkan pasar ini dan berharap dapat dijadikan program rutin saban bulan.

"Hari ini saya mengambil peluang membelanjakan sebanyak RM200 membeli barangan kelengkapan dapur dengan peluang yang dapat menjimatkan perbelanjaan,"ujarnya. - UTUSAN ONLINE



KOSMO! 12 MAC 2018



Khamis, Mac 08, 2018

Masyarakat Cina Kemaman memperlihatkan perubahan



Pelajar tingkatan tiga hamil dakwa dirogol kenalan lelaki

MUKHATAR A. RAHMAN
08 Mac 2018 7:23 PM

KEMAMAN - Seorang pelajar tingkatan tiga disahkan hamil tiga minggu mendakwa dia dirogol oleh seorang kenalan lelakinya.

Difahamkan, mangsa berusia 15 tahun yang masih bersekolah itu mengadu tidak sihat kepada ibunya sebelum dibawa ke Hospital Kemaman di sini untuk pemeriksaan kira-kira pukul 12.30 tengah malam kelmarin sebelum disahkan mengandung. 


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, mangsa pada mulanya mengadu tidak sihat termasuk mengalami muntah serta tidak berselera untuk makan. 

“Ibu remaja terbabit yang bimbang dengan keadaan anaknya itu kemudiannya membawa mangsa membuat pemeriksaan di hospital sebelum doktor mengesahkan pelajar itu sudah hamil tiga minggu.

“Terkejut dengan kejadian yang berlaku, ibu mangsa telah hadir membuat laporan di Balai Polis Chukai pada hari yang sama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.


Susulan laporan yang diterima, Mohd. Said berkata, gerakan memburu suspek giat dijalankan sebelum membawa kepada penahanan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun.

Katanya, siasatan lanjut kes itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. - K! ONLINE


http://www.kosmo.com.my/terkini/pelajar-tingkatan-tiga-hamil-dakwa-dirogol-kenalan-lelaki-1.623408

Khamis, Mac 01, 2018

Dr. Zahar Tokoh Kualiti Hospital Kemaman

Dr. Mohamad (duduk tengah) bersama warga Hospital Kemaman dalam majlis sambutan Hari Kualiti semalam.-UTUSAN ONLINE

01 Mac 2018 3:57 PM


KEMAMAN 1 Mac - Pakar Perunding Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Zahar Azuar Zakaria telah dipilih sebagai Tokoh Kualiti sempena sambutan Hari Kualiti Hospital Kemaman 2017 yang diadakan di sini semalam.

Pemilihan berasaskan komitmen yang diperlihatkan sebagai contoh terbaik dalam usaha meningkatkan mutu kerja berpasukan yang menjurus ke arah kelancaran operasi dan peningkatan tahap perkhidmatan untuk masyarakat.

Anugerah kualiti bagi kategori Program Jaminan Kualiti (QAP) diterima oleh Dr. Faizal Nizam Mohd Fozi (Jabatan Anestesioalogi) di samping Dr. Nurul Hidayah Mansor (Jabatan Obstetrik dan Ginekologi), Dr Nur Shida Ahmad (Jabatan Radiologi) dan Dr. Chaw Sui Wai (Jabatan Kecemasan dan Trauma).

Jabatan Pembedahan dipilih sebagai penerima anugerah kualiti Jabatan Terbaik kategori Kilinikal manakala Jabatan Farmasi bagi kategori Sokongan Klinikal dan Jabatan Farmasi bagi kategori Inovasi.

Anugerah disampaikan oleh Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohammad Omar dalam majlis yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Saifur Rahman Muhammad dan Pengarah Hospital Kemaman, Dr. Amran Japar.

Dr. Amran berkata, program yang julung kali diadakan ini bertujuan memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada warga Hospital Kemaman bagi Tahun 2017 yang telah berjaya membuktikan dirinya layak untuk dijadikan contoh kepada rakan sekerja yang lain.

“Objektif utama penganjuran ini adalah untuk memberi pengiktirafan, galakan dan inspirasi seluruh warga dan jabatan dalam meningkatkan aktiviti kualiti hospital," ujarnya. -UTUSAN ONLINE

http://m.utusan.com.my/berita/wilayah/dr-zahar-tokoh-kualiti-hospital-kemaman-1.618990