MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Selasa, Mei 29, 2018

16 notis abai kebersihan kendali makanan

JOHAN menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang anugerah gerai Bazar Ramadan terbersih di Padang Astaka Cukai Kemaman semalam.-UTUSAN ONLINE


29 Mei 2018 2:28 PM


KEMAMAN 29 Mei - Pejabat Kesihatan Daerah ini mengeluarkan 16 notis atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi aspek kebersihan dalam pengendalian jualan makanan di Bazar Ramadan sehingga semalam.

Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Mohd Anuar Abd Rahman berkata, tindakan diambil hasil pemeriksaan di tapak penjaja di lima lokaliti bazar berdaftar melibatkan seramai 532 pengusaha dan pengendali makanan

“Masih terdapat segelintir pengendali yang degil dan tidak mematuhi peraturan ditetapkan walaupun peringatan telah diberi melalui beberapa siri seminar dan pendidikan kesihatan sebelum Ramadan, “ katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Kempen Bersepadu di pekarangan Bazar Ramadan Jalan Padang Astaka, Cukai di sini petang semalam.

Pelancaran kempen anjuran bersama di antara Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman dengan Kerjasama Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) itu disempurnakan oleh Yang Dipertua MPK, Johan Ibrahim.

Majlis pelancaran ini melibatkan 4 kempen yang berjalan serentak iaitu Kempen Kebersihan dan Keselamatan Makanan, Nafas Baru Bermula Ramadan, Kemaman Bebas Denggi dan Amalan Makan Secara Sihat.

Menurutnya Mohd Anuar, kebanyakan kesalahan yang dikesan ialah tahap kebersihan diri pengendalikan makanan, tidak memakai apron dan tidak mengambil suntikan antityphoid.

“Selain itu sebanyak 8 sampel makanan telah diambil untuk dianalisis kandungan mikrobiologi bagi mengesan bakteria patogenik yang boleh menyebabkan penyakit bawaan air dan makanan khususnya keracunan makanan.

“Sabit kesalahan menjual makanan yang boleh memudarat kesihatan orang ramai boleh didenda sehingga RM100,000 di bawah Akta Makanan 1983,” katanya.

Menurutnya, antara punca yang sering berlaku keracunan makanan adalah amalan menjual makanan yang tidak habis dan dipanas semula. 

“Amalan ‘lihat, hidu dan bau’ sebelum membeli dan menikmati juadah berbuka dapat mencegah termakan makanan basi dan tercemar,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE


Iftar: EPIC raikan lebih 1,000 tetamu.

HANAFIAH menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim dalam program iftar anjuran EPIC di Kemaman semalam.-UTUSAN ONLINE


29 Mei 2018 1:06 PM


KEMAMAN 29 Mei - Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad menganjurkan Majlis Iftar Ramadan Kakitangan EPIC Bersama Anak Yatim dan Miskin di Pengkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (KSB) di sini petang semalam.

Majlis itu berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran hampir 1, 400 orang tetamu yang diraikan termasuk seramai 520 orang pelajar daripada 13 buah sekolah di sekitar daerah ini.

Pengerusi Kumpulan, Datuk Tengku Mahamad Tengku Mahamut berkata, majlis tersebut diharapkan dapat memberi lebih penghayatan kepada kakitangan serta jemputan tentang betapa pentingnya nilai kasih sayang dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat

“Melalui program ini EPIC turut menyampaikan sumbangan zakat bernilai RM52,000 kepada 520 orang pelajar yang diraikan,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Penyerahan zakat disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.

Selain wang tunai RM100 seorang mereka juga turut dibekalkan dengan cenderamata dan kuih raya sumbangan anak syarikat kerajaan negeri itu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Noor Fadzil Mohamed Nor; Ketua Pegawai Operasi EPIC, Wan Shukri Mohammad dan Pengurus Besar Bahagian Perancangan dan Komunikasi Korporat EPIC, Abdul Adzim Abdul Hamid.

Sementara menunggu waktu berbuka puasa, majlis diisi dengan ceramah agama, bacaan yasin, tahlil dan selawat di samping persembahan nasyid, qasidah dan alunan zikrullah oleh kumpulan Seedrain.- UTUSAN ONLINE



Ahad, Mei 27, 2018

Maritim rampas bot, peralatan RM2juta

Maritim rampas bot, peralatan RM2juta
Pencerobohan perairan berterusan
LEFT. KOMANDER MARITIM, Mohamad Rezal Kamal Bashah



27 Mei 2018 10:17 PM


KEMAMAN 27 Mei - Cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan menyamar sebagai bot tempatan dan berbekalkan wang tunai untuk sogokan, namun dua bot nelayan Vietnam itu ditahankan semalam.

Penahanan terbaharu di kawasan kira-kira 62 kilometer dari perairan Kuala Kemaman itu menjadikan jumlah bot yang ditahan oleh Agensi Pengkuatkuasaan Maritim Kemaman sebanyak 23 buah sejak awal tahun ini.

Dua buah bot itu ditahan oleh kapal Maritim dalam Operasi Perkasa Timur dan Operasi Marikh di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) bagi membasmi pencerobohan bot nelayan asing yang semakin berleluasa.

Ketua Zon Maritim Kemaman, Left. Komander Maritim Mohamad Rezal Kamal Bashah berkata, kedua-dua buah bot cuba berselindung menggunakan nombor pendaftaran tempatan.

“Bot tersebut dipercayai berasal dari negara Vietnam ditahan bersama 20 kru termasuk dua tekong berumur 17 hingga 47 tahun kerana melakukan kesalahan dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Akta Imigresen 1959,” ujarnya di sini hari ini.

Menurut Mohamad Rezal, tekong salah sebuah bot cuba memberi rasuah sebanyak RM8,000 kepada pasukannya agar tidak mengambil tindakkan terhadap mereka.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemukan 1,500 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis, 1,600 kg sotong kering dan 500 kg ikan baja.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk dua buah bot dan peralatan dianggarkan berjumlah RM2 juta,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE




Selasa, Mei 22, 2018

Empat bot Vietnam bersama 37 nelayan ditahan

MOHAMAD REZAL KAMAL BASHAH menunjukan anak ikan Yu hidup yang dirampas dari nelayan asing, di Kemaman petang ini. - UTUSAN ONLINE


22 Mei 2018 10:35 PM


KEMAMAN 22 Mei - Pencerobohan nelayan asing terutama dari Vietnam masih berleluasa, dan mereka seakan tidak serik walaupun tindakan tegas terus diambil.

Terbaharu, semalam empat buah bot bersama 37 nelayan ditahan oleh kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Operasi Perkasa Timur di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) kira-kira 120 batu nautika dari Kuala Kemaman.

Ketua Zon Maritim Kemaman, Left. Komander Maritim Mohamad Rezal Kamal Bashah berkata, kesemua empat buah bot ditahan ketika sedang menangkap ikan secara ganding.

“Hasil pemeriksaan, kesemua 33 awak awak dan 4 tekong berumur 18 hingga 59 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, dan mereka ditahan atas kesalahan dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959.

“Kesemua bot dibawa ke Pengkalan Maritim Kemaman dan tiba pada pukul 3.30 petang ini,” katanya dalam sidang akhbar.

Mohamad Rezal berkata, pemeriksaan mendapati anggaran 2,600 kilogram ikan pelbagai jenis, 2,000 kilogram ikan baja dan 3,700 liter minyak disel.

Terdapat juga hampir 20 ekor ikan Yu hidup yang mendapat nilai pasaran cukup tinggi di negara jiran terutama Thailand.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan peralatan dianggarkan berjumlah RM3.5 juta. - UTUSAN ONLINE

Ahad, Mei 20, 2018

Lima lelaki mengedar dadah di tahan

MOHD. SAID (tengah) bersama Nawawi dan Mohd Faizol menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di IPD Kemaman hari ini. - UTUSAN ONLINE


20 Mei 2018 1:58 PM


KEMAMAN 20 Mei - Polis menahan lima lelaki yang berjinak-jinak mengedar dadah di daerah ini sejak awal tahun dalam serbuan di Kampung Mak Cili Paya dekat sini pada awal pagi Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Said Ibrahim memberitahu, pihaknya turut merampas dadah jenis heroin seberat 154.8 gram, syabu (1.80 gram) dan pil kuda (220 biji) yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM12,360.

Katanya, semua suspek yang berusia antara 24 hingga 40 tahun itu kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Empat daripada mereka disahkan positif dadah manakala seorang pula mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Asisten Superintendan Mohd Faizol Azuhan Che Omar dan Inspektor Nawawi Muhamad.

Katanya, suspek mendapat bekalan dadah di Pengerang, Johor dua hari sebelum tangkapan dibuat untuk dijual kepada penagih di kawasan sekitar daerah ini.

“Selain itu pihaknya turut menyita sebuah kereta Toyota Wish bernilai RM45,000 dan sebuah motosikal bernilai RM3,500,”ujarnya. - UTUSAN ONLINE

Jumaat, Mei 18, 2018

APMM tahan bot nelayan Vietnam di perairan Kemaman


MUKHATAR A. RAHMAN
18 Mei 2018 2:03 PM

Bot nelayan Vietnam

KEMAMAN - Tindakan sebuah bot nelayan Vietnam yang cuba menyamar menggunakan nombor pendaftaran Malaysia bagi mengaut sumber laut di perairan negeri ini tidak berhasil selepas kegiatan mereka berjaya dipatahkan anggota Maritim Malaysia (APMM) kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Datuk Zulkarnain Mohd. Omar berkata, ketika menjalankan rondaan pada pukul 5.16 pagi, pihaknya menerima aduan awam mengenai sebuah bot dalam keadaan mencurigakan kira-kira 59 batu nautika dari Kuala Kemaman.

"Kapal ronda APMM telah mengesan sebuah bot nelayan asing yang disyaki menyamar sebagai bot nelayan tempatan dengan menggunakan nombor pendaftaran PAF 4128.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan, didapati kesemua tujuh awak-awak termasuk tekong bot berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri, lesen bot dan permit kerja yang sah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zulkarnain, bot nelayan berserta barangan rampasan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM500,000 itu kemudiannya dibawa ke jeti APMM Kemaman bagi tujuan siasatan lanjut. - K! ONLINE



Rabu, Mei 09, 2018

Ahmad Shabery, Rosli mengundi di SK Kemasik

Ahmad Shabery dan isteri, Datin Seri Che Sharifah Ismail menunjukkan jari yang telah dicalit dakwat selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Kemasik, Kemaman hari ini.




09 Mei 2018 2:13 PM


KEMAMAN 9 Mei - Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kemaman dan calon bagi Dewan Undangan Negeri Kemasik, Rosli Othman mengundi di Sekolah Kebangsaan Kemasik pagi ini.


Kedua calon tersebut tiba kira-kira pukul 8.15 pagi dalam suasana yang sudah mulai meriah, dan kemudian beratur menunggu giliran sebelum selesai pada pukul 9 pagi.


Pengundi-pengundi lebih cenderung datang awal untuk memilih wakil rakyat kawasan mereka dan kerajaan yang akan dibentuk.-UTUSAN ONLINE


Isnin, Mei 07, 2018

Empat nelayan terapung lima hari di laut

PENGARAH Maritim Pengkalan Kemaman, Left. Komander Muhamad Rezal Ksmal Bashah bersalam dengan Abu Bakar yang menyambut kepulangan mereka pagi ini. - UTUSAN ONLINE


07 Mei 2018 5:10 PM


KEMAMAN 7 Mei - Empat nelayan dari Kuantan yang hanyut dan terapung di laut dalam tong ikan selama lima hari setelah bot mereka karam, diselamatkan oleh sebuah kapal petang semalam  kira-kira 60 batu nautika dari Kuala Kemaman.

Nasib menyebelahi mereka yang dalam keadaan tidak bermaya itu apabila kelibat mereka disedari oleh pihak kapal Nautica Tanjong Puteri IV yang sedang dalam perjalanan membawa bekalan dari Pengkalan Bekalan Kemaman (KSB) menuju ke Pelantar Seligi A.

 Mangsa terdiri daripada Abu Bakar Abdul Rahman, 65, (pemilik bot), Sulaiman Kadir, 25,  Alias
Mamat, 54, dan Ibrahim Jusoh, 62, tiba di KSB kira-kira pukul 7.30 pagi ini  sebelum diserahkan kepada pihak Maritim Malaysia untuk urusan selanjutnya..

Ketika ditemui, Abu bakar memberitahu, mereka keluar ke laut pada 28 April lalu dan pada pagi 2 Mei, enjin tidak dapat dihidupkan apabila bateri utama rosak menyebabkan air yang memasuki bot akibat kebocoran tidak dapat dipam keluar.

"Kami berusaha menimba tapi lama kelamaan kami dah tak berdaya. Air semakin banyak bertakung dan bot mulai tenggelam, lalu kami mengambil keputusan menyelamatkan diri dengan menggunakan dua bot tong ikan.

"Kami mengikat empat tong itu agar tidak terpisah. Setiap seorang di dalamnya. Kami membawa dua botol air minuman 1.5, sedikit biskut dan telur rebus yang ada," ujarnya.

Katanya, mereka cuba menjimatkan bekalan air minuman dengan turut mencampurkan dengan air laut namun bekalan terputus selepas tiga hari.

Setiap hari katanya, mereka hanya mampu berdoa agar laut tidak bergelora dan dapat diselamatkan seberapa segera.

"Kami pernah terserempak dengan bot nelayan asing. Walaupun memanggil dan melambaikan jaket keselamatan, mereka berlalu begitu sahaja, mungkin takut kerana menceroboh perairan.

"Kami tidak putus asa untuk berdoa ketika hampir kebuluran. Alhamdulillah doa kami akhirinya dimakbulkan dan kami berterima kasih kepada Kapal Nautica Tanjong Puteri yang membantu kami," ujarnya. - UTUSAN ONLINE


Utusan Malaysia 7 Mei 2018

Muka Surat 31

Sabtu, Mei 05, 2018

Padang bola sepak sintetik di Kemaman

PADANG sintetik stadium mini Mak Cili Kemaman. - UTUSAN ONLINE

SEBAHAGIAN daripada peserta yang menyertai program Fit Kemaman di stadium mini Mak Cili, Kemaman hari ini. - UTUSAN ONLINE


05 Mei 2018 8:00 PM

KEMAMAN 5 Mei -Stadium Mini Mak Cili di sini bakal membuka era baharu sukan bola sepak di daerah ini apabila dilengkapi padang sintetik setelah projek menaik taraf mencecah hampir RM3 juta kini siap untuk digunakan.

Dengan kemudahan yang disediakan itu stadium berkenaan kelak berupaya menjadi lokasi bagi pengangjuran kejohanan-kejohanan besar di peringkat negeri dan kebangsaan pada masa depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata,  padang bermutu tinggi yang menarik serta kemudahan sokongan yang bakal disediakan secara berperingkat akan dapat meningkatkan penglibatan kalangan muda dalam sukan itu untuk mengasah bakat .

"Semasa saya menjadi Menteri Belia dan Sukan dahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan idea untuk membina satu padang sintetik di Kampung Mak Chili, dan saya mengambil inisiatif itu, 'ujarnya.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kemaman menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Fit Kemaman di Stadium Mini Mak Cili sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO bahagian, Datuk Seri Ahmad Said yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal; calon DUN Cukai, Datuk Mohamed Awang Tera dan calon DUN Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Katanya, padang sintetik ini menyediakan kemudahan bermain dalam keadaan selesa sepanjang masa manakala kos penyelenggaraan amat rendah dan mampu bertahan sehingga lapan tahun tanpa sebarang masalah.

"Projek ini siap mengikut masa yang ditetapkan dan Kemaman kini mempunyai kemudahan untuk mengendalikan kejohanan-kejohanan besar. Selain itu, akan ada penambahan bilik persalinan, pusat bina badan dan lampu kelak. 

"Kita harap Kemaman akan melahirkan lebih ramai jaguh bola sepak kelak, sebagaimana hoki  yang telah disediakan padang sintetik," ujarnya. - UTUSAN ONLINE



442 anggota IPD Kemaman mengundi awal

MOHD. SAID (dua dari kiri) bersama para pegawai menunjukkan jari berdakwat kekal selepas mengundi awal di Dewan Perumahan Polis Bukit Mentok Kemaman hari ini.-UTUSAN ONLINE



Mukhatar A. Rahman
05 Mei 2018 2:37 PM

KEMAMAN 5 Mei - Seramai 442 anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bersama keluarga mereka turut menunaikan tanggungjawab mereka dalam  Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan melakukan pengundian awal hari ini di empat buah pusat yang disediakan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, seramai 332 orang mengundi di Dewan Ibnu Sinar Perumahan Polis Bukit Mentok (Dewan Undangan Negeri Cukai); 31 orang di Balai Polis Pasir Gajah (Air Putih); 38 orang di Balai Polis Kijal (Kijal) dan 41 di Balai Polis Kerteh (Kemasik).

"Selain anggota polis, terdapat 13 orang termasuk 4 orang isteri anggota tentera dari Kem 512 Askar Wataniah Bukit Kuang yang mengundi awal di Pusat Pengundian Balai Polis Kijal," ujarnya ketika ditemui di pusat pembuangan undi di Dewan Ibnu Sinar Perumahan Polis Bukit Mentok pagi ini.-UTUSAN ONLINE