MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia
Memaparkan catatan dengan label JALUR GEMILANG. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label JALUR GEMILANG. Papar semua catatan

Jumaat, Ogos 29, 2025

Zaleha bangga, bertuah lahir pada 31 Ogos

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Saban tahun tanggal 31 Ogos menjadi detik istimewa buat Zaleha Abdul Hamid yang berkongsi tarikh kelahiran sama dengan Hari Kebangsaan yang diraikan seluruh rakyat negara dengan penuh penghayatan.

Zaleha, 71, berkata, lebih mengembirakannya apabila setiap tahun, ahli keluarga terdekat dan sahabat baiknya tidak pernah lupa menyambut dan memberi ucapan sempena hari lahirnya kerana ia paling mudah diingati.

“Sebenarnya ada perasaan bangga dan bertuah menjadi anak merdeka kerana tidak semua orang dilahirkan pada tarikh yang sangat bermakna kepada penduduk dan negara ini.

ZALEHA Abdul Hamid (kanan) melihat anak dan menantu menyiapkan replika Menara Berkembar KLCC sempena menyambut Hari Kebangsaan yang ke 68 di rumahnya di Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Binjai, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau yang mempunyai empat anak, 14 cucu dan empat cicit berkata, memang setiap tahun beliau menghiasi rumah sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan yang kebetulan sama tarikh kelahirannya.

ZALEHA Abdul Hamid (kanan) bersama anak dan menantu menyiapkan replika Menara Berkembar KLCC sempena menyambut Hari Kebangsaan yang ke 68 di rumahnya di Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Binjai, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Alhamdulillah anak dan cucu turut sama membantu membuat persiapan dan menghias rumah menjelang hari bahagia ini,” katanya ketika ditemui Suara Timur di kediamannya di Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Binjai di sini.

Zaleha menambah, dia merasa keterujaan berganda apabila tiba Ogos bukan hanya kerana ia bulan kelahirannya, malah gembira melihat Jalur Gemilang megah berkibaran di merata kawasan sekitar kediaman mereka.

RUMAH Zaleha Abdul Hamid dihiasi  Jalur Gemilang dan replika Menara Berkembar KLCC di Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Binjai, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Pada tahun ini selain mengibarkan bendera Jalur Gemilang, kami juga membina replika Menara Berkembar KLCC setinggi hampir dua meter dengan menggunakan barang kitar semula seperti botol plastik,” katanya.

“Lebih menyeronokkan lagi setiap tahun Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Rumah Murah Binjai mengadakan pertandingan menghias rumah dan memasang bendera Jalur Gemilang di setiap kawasan perumahan ini.

“Walaupun tahun ini tidak ada pertandingan menghias rumah dan memasang Jalur Gemilang tetapi saya masih berbangga dengan semangat patriotisme penduduk RAKR Binjai yang tetap memasang Bendera Jalur Gemilang.

“Ini dapat kita lihat di setiap lorong perumahan, jalan utama dan kawasan kemudahan awam, sekali gus menceriakan suasana serta menyemarakkan rasa cinta kepada negara,” ujarnya. – Suara Timur

Selasa, Ogos 26, 2025

Warga Orang Asli gotong-royong pasang Jalur Gemilang

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Warga Orang Asli Perkampungan Sungai Pergam di sini mengadakan aktiviti gotong-royong memasang Jalur Gemilang di kediaman mereka dan sekitar kampung sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan Ke-68, pada tahun ini.

Menurut Tok Batin, Roslan Semail, inisiatif memasang mengibarkan Jalur Gemilang di  kampung itu sebagai menzahirkan rasa cinta kepada negara terutama dalam kalangan generasi muda.

Katanya, kampung berkenaan yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Bandar Chukai, di Hulu Kemaman mempunyai kira-kira 300 penduduk daripada kaum Semaq Beri dan Jakun.

PENDUDUK Orang Asli memasang Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan Ke-68 di Perkampungan Sungai Pergam, Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Pada tahun ini penduduk Kampung Sungai Pergam Hulu dan Hilir bergotong-royong memasang lebih 300 Jalur Gemilang di seluruh kampung,” katanya ketika ditemui media petang semalam.

Beliau memberitahu, kemeriahan sambutan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini turut disertai oleh golongan kanak-kanak dan remaja apabila saling membantu memasang bendera di sekitar kawasan kampung termasuk dewan dan pintu gerbang.

ROSLAN Semail bersama golongan remaja selepas memasang Jalur Gemilang di Perkampungan Orang Asli Sungai Pergam, Kemaman, semalam. – Suara Timur/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurut Roslan, beliau berharap generasi muda di kampung itu dapat meneruskan tradisi berkenaan sempena menyambut Hari Kebangsaan pada setiap tahun.

“Pihak pengurusan kampung turut merancang pelbagai aktiviti bagi penduduk sepanjang Bulan Kebangsaan ini termasuk sukaneka dan Malam Ambang Merdeka pada 31 Ogos nanti,” ujarnya. – Suara Timur