MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Jumaat, Ogos 29, 2025

Warganegara China, remaja tempatan maut kemalangan babitkan motosikal, pejalan kali

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang warganegara China dan remaja tempatan maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan pejalan kaki di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.10 malam di Kilometer 146, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran persimpangan lampu isyarat Kawasan Perindustrian Teluk Kalong.

Dalam kejadian itu, warganegara China yang maut dikenali, Zhang Jian Ceng, 41, manakala remaja tempatan itu pula Muhammad Darwisy Irsyad Muhammad Fitri, 18.

Jian Ceng bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang pembuatan besi keluli dan Muhammad Darwisy Irsyad pula mekanik.

Remaja lelaki terbabit dikatakan dalam perjalanan dari arah Bandar Chukai menuju ke Bandar Baharu Kemasek dengan menunggang motosikal bersama seorang rakannya.

KEADAAN motosikal ditunggangi Muhammad Darwisy Irsyad Muhammad Fitri dalam kemalangan di Kilometer 146, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran persimpangan lampu isyarat Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Siasatan awal polis mendapati, lelaki warga China yang berjalan kaki di bahu kiri jalan secara tiba-tiba melintas ke tengah jalan raya menyebabkan motosikal dinaiki remaja terbabit gagal mengelak lalu melanggar lelaki berkenaan.

Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh sepasukan perubatan kerana mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata, polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman bagi proses bedah siasat.

“Manakala rakan mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki turut dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Suara Timur

500 Jalur Gemilang dipasang di RAKR Binjai

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Sebanyak 500 Jalur Gemilang dan bendera negeri dipasang di sekitar kawasan Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Binjai di sini bagi membangkitkan semangat patriotisme dan cintakan negara sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke 68.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Rumah Murah Binjai, Mohd Shahrir Abdul Rahman berkata, aktiviti gotong-royong memasang Jalur Gemilang adalah aktiviti tahunan KRT dan ia membangkitkan lagi semangat patriotisme kepada negara.

“Komuniti RAKR Binjai memang bersatu padu dan setiap jalan dan lorong di kawasan perumahan ini di pasang bendera. Ini inisiatif kami sendiri untuk semarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan,” katanya ketika ditemui Suara Timur semalam.

AKTIVITI gotong-royong memasang Jalur Gemilang menjadi acata tahunan KRT  Rumah Murah Binjai, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurutnya, menjadi rutin kepada penduduk RAKR Binjai mengindahkan kawasan kejiranan dengan Jalur Gemilang pada Bulan Kemerdekaan.

“Aktiviti tersebut sekali gus menceriakan suasana serta menyemarakkan rasa cinta kepada negara.

“Walaupun tahun ini tiada pertandingan menghias dan memasang Jalur Gemilang, komuniti RAKR Binjai tetap memasangnya sebagai tanda semangat patriotisme kepada negara,” ujarnya.

JALUR Gemilang memenuhi hadapan pusat operasi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Rumah Murah Binjai, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Mohd Shahrir berkata, pihaknya sering mengingatkan golongan muda di kawasan perumahan itu tentang pentingnya Jalur Gemilang dan erti sebuah kemerdekaan.

SEBAHAGIAN Jalur Gemilang yang dipasang  di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Rumah Murah Binjai, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Kalau ada bendera jatuh, kanak-kanak dan remaja ini kami ingatkan untuk kutip dan angkat kerana itu adalah lambang kedaulatan dan kebanggaan negara,” katanya. – Suara Timur

Zaleha bangga, bertuah lahir pada 31 Ogos

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Saban tahun tanggal 31 Ogos menjadi detik istimewa buat Zaleha Abdul Hamid yang berkongsi tarikh kelahiran sama dengan Hari Kebangsaan yang diraikan seluruh rakyat negara dengan penuh penghayatan.

Zaleha, 71, berkata, lebih mengembirakannya apabila setiap tahun, ahli keluarga terdekat dan sahabat baiknya tidak pernah lupa menyambut dan memberi ucapan sempena hari lahirnya kerana ia paling mudah diingati.

“Sebenarnya ada perasaan bangga dan bertuah menjadi anak merdeka kerana tidak semua orang dilahirkan pada tarikh yang sangat bermakna kepada penduduk dan negara ini.

ZALEHA Abdul Hamid (kanan) melihat anak dan menantu menyiapkan replika Menara Berkembar KLCC sempena menyambut Hari Kebangsaan yang ke 68 di rumahnya di Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Binjai, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau yang mempunyai empat anak, 14 cucu dan empat cicit berkata, memang setiap tahun beliau menghiasi rumah sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan yang kebetulan sama tarikh kelahirannya.

ZALEHA Abdul Hamid (kanan) bersama anak dan menantu menyiapkan replika Menara Berkembar KLCC sempena menyambut Hari Kebangsaan yang ke 68 di rumahnya di Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Binjai, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Alhamdulillah anak dan cucu turut sama membantu membuat persiapan dan menghias rumah menjelang hari bahagia ini,” katanya ketika ditemui Suara Timur di kediamannya di Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Binjai di sini.

Zaleha menambah, dia merasa keterujaan berganda apabila tiba Ogos bukan hanya kerana ia bulan kelahirannya, malah gembira melihat Jalur Gemilang megah berkibaran di merata kawasan sekitar kediaman mereka.

RUMAH Zaleha Abdul Hamid dihiasi  Jalur Gemilang dan replika Menara Berkembar KLCC di Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Binjai, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Pada tahun ini selain mengibarkan bendera Jalur Gemilang, kami juga membina replika Menara Berkembar KLCC setinggi hampir dua meter dengan menggunakan barang kitar semula seperti botol plastik,” katanya.

“Lebih menyeronokkan lagi setiap tahun Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Rumah Murah Binjai mengadakan pertandingan menghias rumah dan memasang bendera Jalur Gemilang di setiap kawasan perumahan ini.

“Walaupun tahun ini tidak ada pertandingan menghias rumah dan memasang Jalur Gemilang tetapi saya masih berbangga dengan semangat patriotisme penduduk RAKR Binjai yang tetap memasang Bendera Jalur Gemilang.

“Ini dapat kita lihat di setiap lorong perumahan, jalan utama dan kawasan kemudahan awam, sekali gus menceriakan suasana serta menyemarakkan rasa cinta kepada negara,” ujarnya. – Suara Timur

Khamis, Ogos 28, 2025

Sebuah rumah di Kampung Bukit Takal musnah terbakar

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Sebuah rumah di Kampung Bukit Takal dekat sini musnah dalam kejadian kebakaran pukul 2.10 petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Hanif Che Khalid, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.15 petang.

Menurutnya, setelah menerima panggilan, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dan tiba dalam masa 10 minit sebelum jentera bantuan sampai 10 minit kemudian.

SEORANG anggota bomba memadam kebakaran sebuah rumah di Kampung Bukit Takal, Kemaman, petang ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Katanya, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal anggaran keluasan 40 X 30 kaki terbakar 85 peratus dapat dikawal dalam masa 30 minit dan tidak melibatkan mangsa.

“Tindakan pemadaman menggunakan satu aliran hose 400 kaki, satu breeching, dua pancutan air tangki jentera dengan kekuatan anggota seramai 15 orang dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai dan Balai Bomba dan Penyelamat Kijal serta dua buah jentera FRT dan sebuah pacuan empat roda Hilux,” katanya kepada Suara Timir, hari ini.

Beliau memberitahu, operasi pemadamam tamat sepenuhnya pukul 4.31 petang.

“Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya. – Suara Timur

Air tangki RAKR Binjai melimpah sejak empat tahun lalu tidak diperbaiki

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Penduduk Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Binjai di sini kesal terhadap Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) yang kurang peka dengan aduan pelanggan mengenai air dari tangki utama perumahan tersebut melimpah sejak empat tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Rumah Murah / Taman Semarak Binjai, Mohd Shahrir Abdul Rahman berkata, pelbagai aduan telah dibuat oleh penduduk RAKR Binjai dalam tempoh tersebut.

“Sehingga kini belum ada tindakan yang diambil pihak SATU untuk membaik pulih tangki utama tersebut walaupun ada wakil yang datang melihat setiap kali aduan dibuat.

MOHD Shahrir Abdul Rahman menunjukan air yang melimpah dari tangki utama di RAKR Binjai, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Punca air sentiasa keluar tanpa henti dari tangki kemungkinan berpunca daripada Pelampung Injap Tangki Air (Automatic Water Level Control Valve) tidak berfungsi dengan baik,” katanya.

Mohd Shahrir yang juga Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Rumah Murah Binjai berkata demikian kepada media selepas program memasang bendera Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan yang ke 68 Peringkat Rumah Murah Binjai disini semalam.

Tangki air tersebut dibina pada tahun 1982 bagi menampung keperluan 230 buah rumah RAKR dan sekitarnya.

Mohd Shahrir memberitahu, kerajaan negeri dan SATU menanggung kerugian besar apabila jumlah besar air telah dibazirkan dalam tempoh empat tahun itu.

“Setiap hari air melimpah selama 13 jam sehari di antaranya jam 8 pagi hingga 2 petang dan 10 malam hingga 6 pagi,” ujarnya.

Tambahnya, penduduk berharap SATU mengambil tindakan segera memperbaiki kerosakan tersebut untuk mengelakkan pembaziran air itu berterusan selepas ini.

Pada 1 Ogos lalu kadar tarif air bagi pengguna domestik di Terengganu dinaikkan sebanyak lapan sen setiap meter padu bagi penggunaan hingga 20 meter padu sebulan.

Caj penggunaan minimum untuk pengguna domestik berubah kepada RM6.60 sebulan.

Pelarasan Tarif Bekalan Air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif yang berkuat kuasa telah dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Julai lalu setelah mendapat permohonan daripada SATU.

SATU sebelum ini memaklumkan memperuntukkan kira-kira RM50 juta setiap tahun bagi memperkukuh pembangunan infrastruktur bekalan air dan ia mencerminkan komitmen SATU dalam memastikan bekalan air yang stabil, berkualiti dan mampan demi kesejahteraan rakyat serta menyokong pertumbuhan ekonomi Terengganu secara menyeluruh. – Suara Timur

Rabu, Ogos 27, 2025

Peneroka Zon Dua, Felda Kerteh Empat gotong-royong hasil mural tema “Kemerdekaan’

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Lebih 60 orang peneroka Zon Dua, Felda Kerteh Empat, di sini membuat kelainan bagi memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini dengan menghasilkan lukisan dinding atau mural.

Mural bertemakan ‘Kemerdekaan’ itu dihasilkan untuk menzahirkan rasa cinta kepada negara dan para pejuang kemerdekaan satu masa dulu yang menggabungkan semangat seni, kreativit, dan perpaduan seluruh komuniti Felda.

Peneroka terbabit bergotong-royong sejak seminggu lalu melukis dan mewarnakan mural sepanjang 16 meter berkonsepkan Jalur Gemilang sebagai lambang perpaduan rakyat.

Mural berkenaan akan menjadi satu mercu tanda baharu di kawasan penempatan mereka dan juga tempat untuk memperkenalkan tokoh-tokoh serta para pejuang kemerdekaan negara.

Menurut ketua pelukis mural, Puteri Balqis Halim, mural sepanjang 16 meter itu dilakukan secara bergotong-royong bermula awal Ogos lalu dan menjadi simbol semangat patriotisme masyarakat Felda di situ.

PUTERI Balqis Halim menyiapkan mural bertemakan Kemerdekaan di Zon Dua, Felda Kerteh Empat, Dungun.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Nak tunjuk kepada anak muda sekarang bahawa kemerdekaan penting, tanpa merdeka, kita tak tahu ada kat mana sekarang,” katanya ketika ditemui media hari ini.

PENDUDUK  Zon Dua, Felda Kerteh Empat, Dungun, bergotong-royong menghasilkan mural bertemakan ‘Kemerdekaan’.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Katanya, selain mencantikkan kawasan penempatan mereka, aktiviti berkenaan turut menjadi platform bagi mengeratkan tali silaturahim para penduduk pelbagai usia.

Ujar Puteri Balqis, mural menjadi medium penyampaian maklumat berkaitan kemerdekaan dan mengingatkan generasi muda tentang pahit jerih para pejuang kemerdekaan dahulu.

Seorang penduduk berkata, mural berkenaan bukan sekadar hiasan dinding sebaliknya satu warisan seni yang dapat meniup semangat kenegaraan dan sebagai bukti cinta kepada negara. –  Suara Timur

Selasa, Ogos 26, 2025

Warga Orang Asli gotong-royong pasang Jalur Gemilang

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Warga Orang Asli Perkampungan Sungai Pergam di sini mengadakan aktiviti gotong-royong memasang Jalur Gemilang di kediaman mereka dan sekitar kampung sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan Ke-68, pada tahun ini.

Menurut Tok Batin, Roslan Semail, inisiatif memasang mengibarkan Jalur Gemilang di  kampung itu sebagai menzahirkan rasa cinta kepada negara terutama dalam kalangan generasi muda.

Katanya, kampung berkenaan yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Bandar Chukai, di Hulu Kemaman mempunyai kira-kira 300 penduduk daripada kaum Semaq Beri dan Jakun.

PENDUDUK Orang Asli memasang Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan Ke-68 di Perkampungan Sungai Pergam, Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Pada tahun ini penduduk Kampung Sungai Pergam Hulu dan Hilir bergotong-royong memasang lebih 300 Jalur Gemilang di seluruh kampung,” katanya ketika ditemui media petang semalam.

Beliau memberitahu, kemeriahan sambutan Bulan Kemerdekaan pada tahun ini turut disertai oleh golongan kanak-kanak dan remaja apabila saling membantu memasang bendera di sekitar kawasan kampung termasuk dewan dan pintu gerbang.

ROSLAN Semail bersama golongan remaja selepas memasang Jalur Gemilang di Perkampungan Orang Asli Sungai Pergam, Kemaman, semalam. – Suara Timur/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurut Roslan, beliau berharap generasi muda di kampung itu dapat meneruskan tradisi berkenaan sempena menyambut Hari Kebangsaan pada setiap tahun.

“Pihak pengurusan kampung turut merancang pelbagai aktiviti bagi penduduk sepanjang Bulan Kebangsaan ini termasuk sukaneka dan Malam Ambang Merdeka pada 31 Ogos nanti,” ujarnya. – Suara Timur

Isnin, Ogos 25, 2025

Pengusaha khidmat urutan, kecantikan terima barangan bernilai RM6,000

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Seorang pengusaha perkhidmatan urutan dan kecantikan wanita daerah ini menerima barangan bernilai RM6,000 menerusi Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB).

Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Terengganu, Dr. Faridah Mat berkata, SPKLB merupakan salah satu program di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Menurutnya, program SPKLB ini bertujuan untuk menyediakan kemudahan sokongan kepada para usahawan luar bandar yang ingin mengukuhkan dan mengembangkan perniagaan mereka.

“Program ini juga dapat menyediakan peluang kepada usahawan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan mereka bagi tujuan pemasaran yang lebih luas,” katanya.

DR. FARIDAH Mat (tengah) menyampaikam replika cek kepada Noraishah Abd. Rashid (kanan) sambil ditemani Zaini Muhamad pada
Majlis Penyerahan Bantuan Barangan SPKLB Tahun 2025 KEMAS Negeri Terengganu di Plumeria SPA & Beauty, Kampung Pak Sabah, Dungun, hari ini.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau berkata demikian sempena Majlis Penyerahan Bantuan Barangan SPKLB Tahun 2025 KEMAS Negeri Terengganu yang diadakan di Plumeria SPA & Beauty, Kampung Pak Sabah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai KEMAS Daerah Dungun, Zaini Muhamad dan penyelia KEMAS Daerah Dungun.

Pada majlis tersebut, usahawan bimbingan KEMAS Daerah Dungun, Noraishah Abd. Rashid yang merupakan usahawan perkhidmatan urutan dan kecantikan wanita “Plumeria SPA & Beauty” menerima Hair steamer, Portable oxygen injector, Electric towel warmer, SPA 7 colour PDT facial LED light therapy, Facial lamp, Skin scanner with LCD screen, Facial bed dan 3 in 1 facial steamer.

Dr. Faridah berkata, program SPKLB ini telah lama diperkenalkan dan dua tahun lalu KEMAS Terengganu menerima RM10,000 untuk diagihkan dalam lima bidang iaitu bidang masakan / pembuatan makanan, bidang jahitan, bidang pendadanan diri, bidang kraftangan dan bidang komputer.

“Tahun lepas kita mendapat lima projek yang mana kebanyakannya tertumpu kepada bidang masakan / pembuatan makanan. Setiap tahun memang ada projek tetapi bergantung kepada bajet kerajaan.

“Pada ahun ini, KEMAS Terengganu mendapat dua projek, satu di Dungun dan satu lagi Hulu Terengganu. Kedua dua projek ini merupakan bidang pendadanan diri dan pembuatan makanan,” ujarnya.

Noraishah Abd. Rashid merawat pelanggan di Plumeria SPA & Beauty di Kampung Pak Sabah, Dungun, hari ini.- SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau memberitahu, semua pemohon merupakan peserta KEMAS yang telah mengikuti kursus anjuran KEMAS Terengganu.

Jelasnya, mereka layak memohon bantuan dan pihaknya akan menilai dari segi keperluan dan syarat sebelum permohonan dihantar kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk diluluskan.

“Apabila permohonan diluluskan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan membeli peralatan yang diperlukan oleh peserta dan menyerahkan kepada KEMAS negeri untuk diserahkan,” katanya.

Tambahnya, KEMAS juga menawarkan kursus gunting rambut kepada golongan belia dengan mengikuti kursus selama tiga hari dan bantuan sebanyak RM2,000 hingga RM5,000 kepada peserta yang berjaya.

“Di Dungun KEMAS juga telah mengenal pasti seorang peserta masakan dan KEMAS akan membekalkan “Smart Cabin” yang bernilai RM30,000 termasuk peralatan dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Noraishah Abd. Rashid ketika ditemui Suara Timur berkata, Plumeria SPA & Beauty ditubuhkan pada tahun 2024 dengan anggaran kos sebanyak RM2,000 hingga RM5,000.

Katanya, beliau pernah mengikuti kursus Quickwin, Kursus Coaching Keusahawanan , Kursus Pemasaran Digital anjuran KEMAS Daerah Dungun.

“Harapan saya di masa hadapan Plumeria SPA & Beauty dapat membuka cawangan lain dan membuka sebuat pusat bertauliah,” katanya.

Noraishah memberitahu, ntara produk yang dikeluarkan oleh Plumeria SPA & Beauty ialah Minyak Aura Seri Wajah, Scrub kopi dan Minyak Urutan Badan. – Suara Timur

Mata kail dibuang dalam sungai jadi perangkap maut tuntung

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kebimbangan Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-kura dan Labi-labi Malaysia (TCS) terhadap kepupusan tuntung sungai ada asasnya apabila haiwan itu sering ditemukan mati akibat tersangkut mata kail yang dibuang ke dalam sungai oleh pemancing nelayan sungai di Sungai Kemaman dekat sini.

Pengasasnya, Dr. Chen Pelf Nyok berkata, pihaknya telah dimaklumkan oleh seorang nelayan tempatan mengenai satu bangkai tuntung sungai atau nama nama saintifiknya, Batagur affinis yang kelihatan terapung di Sungai Kemaman, Kampung Pasir Gajah, dekat sini.

Menurutnya, bertindak atas laporan, Pasukan Penjaga Tuntung TCS, diketuai oleh Pengurus Lapangan, Dylan Wang telah segera bergerak ke lokasi dan berjaya mengambil bangkai tersebut.

“Tuntung sungai sub-dewasa itu, berukuran 37 sentimenter (cm) panjang dan 29 cm lebar, ditemukan dengan mata kail tersangkut di mulut,” katanya kepada Suara Timur hari ini.

DYLAN Wang menunjukkan tuntung yang mati akibat tersangkut mata kail di di Sungai Kemaman dekat Kampung Pasir Gajah, Kemaman, semalam.

Beliu memberitahu, hasil tinjauan di sungai juga pasukannya turut menemukan tiga set peralatan menangkap ikan yang dipasang mata kail dan diberatkan dengan batu-bata.

“Tuntung atau haiwan akuatik yang terperangkap pada mata kail ini tidak akan berpeluang timbul untuk bernafas, lalu mengakibatkan kematian yang perlahan,” katanya.

TALI dan mata kail yang ditemukan di Sungai Kemaman dekat Kampung Pasir Gajah, Kemaman, semalam.

Menurut Dr. Chen yang juga Pengasas Bersama dan Pengarah Eksekutif TCS, pihaknya sentiasa menjalankan tinjauan sungai secara rutin untuk mengeluarkan peralatan menangkap ikan yang dibuang.

Namun, beliau menjelaskan, usaha rutin yang diambil pihaknya itu tidak mencukupi untuk mengelakkan kematian yang tidak wajar ini.

“Pada 6 Ogos, seorang penduduk dari Kampung Seberang Tayur, menemukan seekor tuntung sungai dewasa dengan mata kail yang juga tersangkut di mulutnya.

SEORANG sukarelawan TCS menunjukkan tali dan mata kali di Sungai Kemaman dekat Kampung Pasir Gajah, Kemaman, semalam.

“Berkat tindakan pantas pasukan kami, mata kail itu berjaya dikeluarkan dan tuntung tersebut dihantar untuk rawatan serta pemerhatian jabatan vaterina, ujarnya.

Beliau menambah, kejadian berulang ini menunjukkan satu ancaman yang mendesak dan semakin meningkat terhadap spesies tuntung sungai yang amat terancam.

“TCS dengan tegas menggesa pihak berkuasa berkenaan untuk mengambil tindakan segera bagi mengawal amalan menangkap ikan yang berbahaya di sungai-sungai yang dikenal pasti sebagai habitat tuntung.

“Tanpa penguatkuasaan lebih ketat dan langkah pencegahan, kematian tuntung sungai yang tidak wajar ini akan terus menjejaskan usaha pemuliharaan selama berdekad-dekad dan mendorong spesies ini hampir kepada kepupusan,” ujarnya. – Suara Timur

Ahad, Ogos 24, 2025

Peserta Himpunan RXZ Member 7.0maut kemalangan ketika perjalanan pulang

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Seorang lagi peserta Himpunan RXZ Member 7.0 maut selepas terbabit dalam satu kemalangan di sini ketika dalam perjalanan pulang ke Johor, petang tadi.

Kemalangan berlaku di kilometer 342.9 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Kawasan Rawat dan Rehat (RnR) Paka ketika mereka berkonvoi pulang ke Segamat, Johor dari Kuala Terengganu, kira-kira pukul 1.22 petang tadi

Dalam kejadian itu, mangsa Muhammad Irfan Izzuddin Md Azhli, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederan parah pada bahagian kepala.

KEADAAN motosikal ditunggangi Muhammad Irfan Izzuddin Md. Azhli selepas terlibat dalam kemalangan ku di kilometer 342.9 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Kawasan Rawat dan Rehat (RnR) Paka, Dungun.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Mangsa seorang pembantu kedai makan dalam perjalanan pulang ke Segamat, Johor, bersama sepuluh lagi rakannya sedang berkonvoi pulang dari himpunan itu di di Kuala Terengganu.

Sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha LC ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh serta terseret beberapa meter di kanan jalan.

Mangsa disahkan telah meninggal dunia dilokasi kejadian oleh pasukan perubatan akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurut Superintenden Maizura, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.

Kes berkenaan akan disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Suara Timur