MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, September 27, 2025

UC TATI raih pengiktirafan Malaysia Book of Records

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Universiti College TATI (UC TATI) berjaya mencipta sejarah apabila meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) bagi pencapaian Kehadiran Terbesar Dalam Pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)’,  Khamis lepas.

UC TATI dalam satu kenyataan kepada Suara Timur berkata, pencapaian ini merupakan bukti kejayaan kolektif dalam Mega Fiesta TVET Polytechnic & College Community (POLYCC) 2025 yang diadakan di Dewan Perdana Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Gong Badak, Kuala Nerus, baru baru ini.

Pencapaian bersejarah ini direkodkan dengan kehadiran lebih 15,000 pengunjung sepanjang pameran berlangsung yang melibatkan 29 institusi, agensi dan pemain industri yang turut menerima sijil MBR sebagai bukti kejayaan kolektif.

Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan komitmen UC TATI dalam memacu pendidikan TVET, malah menjadi mercu tanda kecemerlangan dalam melibatkan komuniti.

SITI Nurhanim Mohd Noh (kiri) menyampaikan sijil pengiktirafan MBR kepada Ts. Dr. Mohamad Redhwan Abd Aziz (kanan) sambil diperhatikan Dr Mohd Daud Isa (tengah) pada Majlis Pengiktirafan dan Penutupan Mega Fiesta TVET POLYCC 2025 di UniSZA, Gong Badak,Kuala Nerus, Khamis lepas.

Sementara itu, dalam ucapan Majlis Pengiktirafan dan Penutupan Mega Fiesta TVET POLYCC 2025, Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr. Mohd Daud Isa berkata, pencapaian ini bukan sekadar angka, tetapi membuktikan daya tarikan dan kepentingan TVET sebagai pemangkin ekonomi negara.

Menurutnya, pengiktirafan ini meletakkan UC TATI dan rakan strategik di peta negara sebagai peneraju dalam mempromosikan TVET kepada masyarakat.

“Kejayaan ini menegaskan kekuatan jaringan kolaborasi yang menjadi tunjang kepada kemajuan TVET negara. Kejayaan ini bukan sekadar mencatat rekod, tetapi bukti bahawa TVET semakin diyakini sebagai laluan masa depan yang mampu melahirkan modal insan berkualiti tinggi.” katanya.

Hadir sama Dekan Jabatan Pengurusan Penyelidikan dan Siswazah (JPPS) UC TATI, Ts. Dr. Mohamad Redhwan Abd. Aziz dan Pegawai Pemantau dari Malaysia Book of Records, Siti Nurhanim Mohd Noh.

Mega Fiesta TVET POLYCC 2025 anjuran Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) itu berjaya menggabungkan elemen pendidikan, sukan dan komuniti melalui aktiviti seperti Kayuhan Bersama Lagenda, Career Fest, Persidangan Antarabangsa, serta Kayak Merdeka.

Aktiviti berimpak tinggi ini bukan sahaja menggabungkan elemen pendidikan, sukan dan komuniti, malah menjadi platform pendedahan kerjaya, inovasi penyelidikan dan pembangunan kemahiran.

Program anjuran PSMZA dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Kementerian Pendidikan Tinggi ini pada awalnya menyasarkan penglibatan seramai 30,000 pengunjung, namun berjaya menarik penyertaan lebih empat kali ganda daripada sasaran tersebut. – Suara Timur

Bangkai tuntung ditemukan tersangkut dipukat

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Menjelang pelepasan 680 ekor anak tuntung sungai pada minggu hadapan, Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai, Kampung Pasir Gajah di sini menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan bangkai seekor anak tuntung  tersangkut di pukat yang dipasang di sungai kampung itu.

Pengasas Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-kura dan Labi-labi Malaysia (TCS), Dr Chen Pelf Nyok berkata, pihaknya menerima maklumat tersebut lewat malam kelmarin sebelum sukarelawan TCS pergi melihatnya pagi semalam.

“Setelah pemeriksaan dibuat, sukarelawan TCS menemukan seekor anak tuntung tersangkut di pukat, sebelum mereka membawa pulang ke Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai di sini untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi Suara Timur di sni.

BANGKAI tuntung yang ditemukan tersangkut di pukat di Sungai Kampung Pasir Gajah, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurutnya, setelah diperiksa dengan “scan” kaki bangkai tuntung tersebut, pihaknya mendapati tuntung itu mempunyai mikrocip yang dipasang pada 7 September lalu.

“Data menunjukkan anak tuntung tersebut dilepaskan pada 18 September lalu sebelum ditemukan mati tersangkut di pukat yang dipasang oleh nelayan sungai seminggu kemudian,” katanya.

Dr Chen berkata, beliau menasihatkan penduduk kampung supaya selalu memeriksa pukat yang dipasang di sungai bagi mengelak kejadian sama berulang di masa hadapan.

SUKARELAWAN TCS memeriksa pukat yang dipasang di Sungai Kampung Pasir Gajah, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurutnya, salah satu ancaman utama dihadapi tuntung sungai ialah peralatan menangkap ikan, sama ada yang masih digunakan atau terbiar.

“Sayanglah kalau anak anak tuntung mati sebaik sahaja dilepaskan akibat pukat yang tidak diperiksa dengan kerap dan segala usaha untuk menyelamatkan tuntung sungai jadi sia-sia.

“Sangat menyedihkan apabila berdepan dengan kes seperti ini, lebih-lebih lagi ketika pasukan kami sedang bertungkus-lumus membuat persiapan untuk program pelepasan tuntung tahunan kami yang ke-13,” ujarnya.

Untuk makluman, Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-kura dan Labi-labi Malaysia (TCS) ditubuhkan pada tahun 2011 bagi tujuan menjaga dan memelihara Tuntung yang sangat terancam di Malaysia.

Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai, Kampung Pasir Gajah mula beroperasi pada tahun 2017 dan hingga kini berjaya mengutip sebanyak lebih dari sebelas ribu biji telur bagi pengeramam dan berjaya melepaskan lebih 6,000 anak Tuntung ke Sungai Kemaman bagi tujuan pemeliharaan. – Suara Timur

Rabu, September 24, 2025

Lelaki berusia 59 tahun ditipu pelaburan saham

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki berusia 59 tahun yang telah terpedaya dengan penipuan pelaburan saham.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, mangsa yang merupakan seorang tenaga pengajar kemahiran instrumentasi secara sambilan membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) IPD Kemaman, hari ini.

Menurutnya, pada 26 April lalu, semasa mangsa berada di rumah telah tertarik melihat satu iklan pelaburan saham di laman sosial Facebook dan menghubungi syarikat pelaburan tersebut di aplikasi WhatsApp bernombor 014-2781082.

MOHD RAZI ROSLI

Katanya, mangsa kemudiannya telah dimasukkan ke dalam Group WhatsApp bernama Wealth Explorer oleh admin bernama Annabelle dan mangsa dikehendaki memuat turun satu aplikasi pelaburan dari Apple Store bernama PHGMAX.

“Selepas itu, mangsa telah membuat 21 transaksi pemindahan wang ke sebelas akuan bank berbeza berjumlah RM872,290.00 dari tempoh pada 4 Jun hingga 8 Ogos lalu.

Mangsa hanya menerima pulangan wang berjumlah RM1,000.00 dan tidak menerima apa-apa pulangan pelaburan sehingga laporan polis dibuat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Suara Timur

Paip gas bocor: Bacaan tahap kualiti udara disah selamat, terkawal

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Insiden kebocoran paip gas Butana di tapak pembinaan Projek Rel Pantai Timur (ECRL), di Kerteh, Kemaman, Terengganu telah disahkan selamat dan terkawal, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, bacaan tahap kualiti udara pada operasi yang memasuki hari kelima hari ini menunjukkan tiada kandungan gas berkenaan di sekitar kawasan tempat kejadian.

Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat selepas pemantauan yang dilakukan selama dua hari mendapati bacaan kandungan gas dalam udara berada pada tahap kosong.

DARI kiri, Pakar Hazmat JBPM, Penguasa Bomba Kasyfi Syahmi Ghazali dan Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli (tengah)

Katanya, pihak Petronas dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, (JKKP) akan terus melakukan pemantauan sehingga keadaan selamat bagi kerja-kerja penyelenggaraan.

“Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) ditutup secara rasmi kira-kira jam 4.00 petang tadi,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan terus berada di lokasi kejadian bagi melakukan pemantauan pada skala yang lebih kecil.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak lagi berasa bimbang dan boleh meneruskan aktiviti seharian seperti biasa. – Suara Timur

Pengawal keselamatan direman tujuh hari disyaki rogol dua kanak-kanak

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di sini direman tujuh hari kerana disyaki merogol dua kanak kanak, pada awal September lalu.

Perintah reman sehingga Selasa (30 September) ke atas lelaki berusia 30 tahun itu, dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin di Mahkamah Majistret Kemaman, di sini, hari ini.

Menurut fakta kes, kejadian berlaku di dalam kereta milik suspek di tempat kerja suspek.

Suspek merupakan kenalan keluarga mangsa dan sering membawa mangsa keluar dan belanja makan.

Suspek boleh dihukum mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan. – Suara Timur

Selasa, September 23, 2025

Rumah musnah terbakar di Kampung Paya Bukit Mentok

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Sebuah rumah musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Paya Bukit Mentok, Chukai, dekat sini, pukul 1 petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Hanif Che Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran tersebut pada pukul 1.27 petang dan menggerakan jentera ke tempat kejadian sejauh 3.5 kilometer.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kebakaran, anggota bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran hose 400 kaki dengan dua pancutan air tangki jentera hingga pemadaman selesai.

ANGGOTA bomba sedang memadam kebakaran sebuah rumah di Kampung Paya Bukit Mentok, Chukai, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Operasi pemadaman dengan kekuatan anggota seramai 16 orang dari BBP Chukai di bantu BBP Kemaman dengan sebuah jentera bomba Fire Rescue Tender (FRT), sebuah kenderaan Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya kepada Suara Timur di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, rumah jenis separuh kekal itu musnah kira-kira  95 peratus.

Tambahnya, operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 3.21 petang.

“Tiada mangsa yang terlibat dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – Suara Timur

Pencemaran udara gas bocor pulih berada di tahap normal

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Pencemaran udara susulan kebocoran gas butana di tapak Projek Seksyen 5, ECRL di Kampung Chabang, Kerteh di sini pada Sabtu lalu telah pulih apabila berada di tahap normal, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, alat pengesan gas yang dipasang di lapan lokasi dipantau itu kini berada pada tahap normal dengan catatan kosong (0).

“Laporan terkini kebocoran paip gas setakat jam 12 tengah hari tadi di lapan lokasi yang diletakkan alat pengesan gas mendapati bacaan yang dicatatkan adalah kosong termasuklah berhampiran dengan terowong,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, penduduk setempat juga tidak perlu bimbang dan boleh menjalankan aktiviti seperti biasa.

“Situasi terkini disahkan terkawal dan selamat, masyarakat tidak perlu rasa bimbang dan boleh menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

“Pihak berkuasa masih lagi memantau situasi dengan rapi dan akan mengeluarkan kenyataan lanjut dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Mohd Razi menambah, seramai 21 penghuni Pusat Tahfiz Al-Muqarabbin yang dipindahkan kelmarin telah dibenarkan pulang semula ke pusat pengajian berkenaan, hari ini.

“Orang awam turut dinasihatkan supaya tidak menghampiri kawasan kejadian dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa,” ujarnya.

Pada Sabtu lalu, media melaporkanlaluan dari Kerteh ke Kampung Ranggon ditutup sementara kepada semua kenderaan susulan insiden kebocoran paip gas butana di tapak Projek Seksyen 5, ECRL di Kampung Chabang, pada pukul 9.53 pagi. – Suara Timur

Operasi lupus sisa gas Butana bocor ambil masa dua hingga tiga hari

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Operasi melupuskan sisa gas Butana yang bocor di tapak Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kerteh,  dekat sini, dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga hari untuk selesai.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, pemeriksaan di tujuh lokasi yang ditempatkan alat pengesan gas mendapati lima daripadanya menunjukkan bacaan kosong kecuali di kawasan yang berlakunya kejadian.

Menurutnya, alat pengesan gas itu dipasang pasukan khas bahan kimia berbahaya (HAZMAT), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Katanya, setakat ini, pihak berkuasa masih mengekalkan jarak selamat sekitar radius  500 meter untuk beroperasi bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Operasi membakar sisa gas menggunakan dua alat pembakaran mudah alih sedang dilakukan dengan diberikan kawalan ketat pasukan HAZMAT,” katanya di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, aktiviti pembinaan projek ECRL masih belum dibenarkan beroperasi untuk sementara waktu sehingga gas berkenaan dapat dilupuskan sepenuhnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bomba Terengganu, Mohd Khairiri Mat Resad berkata, bomba menggunakan dua peralatan berteknologi tinggi untuk mengesan kehadiran gas berbahaya dan mudah terbakar di lokasi berkenaan.

“Selain itu, Petronas dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga menggunakan dron yang dilengkapi dengan alat khas bagi tujuan pemantauan dan mengesan keberadaan gas dalam udara.

“Proses melupuskan sisa butana mengambil masa agak lama kerana proses pembakaran secara terkawal tidak boleh dibuat dalam skala besar kerana boleh memberi kesan kepada kualiti udara sekeliling,” katanya. – Suara Timur

Isnin, September 22, 2025

RETI, YTAASAB jalin kerjasama tawar latihan kemahiran kepada pelajar miskin

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Institut Pendidikan dan Latihan Ranaco (RETI) bakal menjalin kerjasama dengan Yayasan Tengku Abdul Aziz Sultan Abu Bakar (YTAASAB) dalam menjalankan Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET) khas kepada golongan berpendapatan rendah dan asnaf.

Ianya selari dengan dasar kerajaan untuk memberikan peluang pendidikan TVET kepada rakyat khusus dalam bidang maritim dan perkapalan bagi memenuhi peluang pekerjaan di masa hadapan.

Ketua Pegawai Ekskutif YTAASAB, Khairul Anuar Khahfi berkata, kerjasama berkenaan membabitkan penambahbaikan prasarana dan pembiayaan yuran pendidikan kepada pelajar miskin yang layak.

Tengku Hassanal Badyr Al-Marhum Tengku Panglima Perang Tengku Abdul Aziz (enam dari kanan) bergambar bersama pegawai dan kakitangan RETI sempena Program Lawatan Tapak dan Ramah Mesra YTAASAB bersama warga RETI di Kampus RETI  di Kawasan Perindustrian Jakar, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurutnya, usaha tersebut diambil untuk membuka lebih banyak peluang kepada pelajar berkenaan yang berpotensi tinggi tetapi berdepan dengan masalah kewangan untuk menceburi industri berkenaan.

“Melalui usahasama tersebut, diharapkan lebih ramai pelajar bumiputera kurang berkemampuan dapat mengikuti kursus kemahiran ditawarkan dan seterusnya menceburi sektor pekerjaan dalam bidang itu yang mempunyai permintaan tinggi di negara ini dan seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Lawatan Tapak dan Ramah Mesra YTAASAB bersama warga RETI di Kampus RETI  di Kawasan Perindustrian Jakar, di sini, hari ini.

Hadir sama dalam majlis dalam lawatan itu ialah Pengerusi YTAASAB, Tengku Hassanal Badyr Al-Marhum Tengku Panglima Perang Tengku Abdul Aziz.

Tengku Hassanal Badyr Al-Marhum Tengku Panglima Perang Tengku Abdul Aziz

Pada masa ini, seramai 500 pelajar sedang mengkuti latihan TVET di RETI dalam pelbagai bidang peringkat sijil dan diploma 

Khairul Anuar berkata, langkah tersebut akan memudahkan pelajar mendapatkan pinjaman pendidikan yang disediakan YTAASAB.

Tambahnya, kerjasama yang dijalinkan itu akan memperkukuhkan lagi peranan institusi latihan berkenaan sebagai institusi pilihan dalam bidang latihan kemahiran maritim dan perkapalan termasuk sektor minyak dan gas di negara ini.

Sementata itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ranaco, Syafiq Asraf Mohd Yusup berkata, objektif utama kerjasama tersebut membantu pelajar kurang berkemampuan mengikuti latihan di RETI yang menjadi satu wadah dalam industri TVET.

Syafiq Asraf Mohd Yusup

Jelasnya, ia secara tidak langsung dapat mengelakkan pelajar miskin tercicir dan tidak mendapat mengikuti kursus kemahiran.

RETI merupakan satu-satunya institusi pendidikan milik bumiputera yang menawarkan latihan kemahiran dalam bidang maritim dan perkapalan.

Tengku Hassanal Badyr Al-Marhum Tengku Panglima Perang Tengku Abdul Aziz merakam gambar tenaga pengajar RETI mengendalikan latihan menyelam.

Sementara itu, Syafiq Asraf dalam ucapannya pada majlis itu berkata, seramai 50 pelajar (antarabangsa) dari Bangladesh, Pakistan dan Indonesia telah berdaftar untuk memasuki institut ini pada tahun depan.

Dalam masa yang sama, tambahnya, RETI turut berhasrat membangunkan fasiliti bilik kuliah dan pejabat pengurusan yang lebih kondusif dengan menambah baik dan membaik pulih struktur bangunan sedia ada.

“Usaha ini penting bagi memastikan warga kerja dan para pelajar RETI dapat menikmati suasana pembelajaran serta persekitaran kerja yang lebih selesa, selamat dan produktif,” ujarnya. – Suara Timur

Petronas laku teknik pembakar secara terkawal asing sisa gas dalam saluran paip bocor

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Petronas melakukan teknik pembakaran secara terkawal untuk mengasingkan sisa gas dalam di saluran paip yang bocor sebagai satu prosedur keselamatan standard operasi.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Suffian Sulaiman berkata, pada operasi hari kedua hari ini telah menunjukkan penurunan kadar kandungan gas Butana dalam saluran paip berkenaan.

Menurutnya,, teknik berkenaan perlu dilakukan untuk mengeluarkan sisa baki gas di dalam saluran paip dengan cepat supaya proses penyelenggaraan dapat dilakukan dengan segera.

SUFFIAN SULAIMAN

Selain itu, katanya, petronas akan memasukkan gas Nitrogen ke dalam saluran paip bagi menghasilkan satu tindak balas dengan gas Butana untuk melancarkan pergerakan keluar gas berkenaan.

“Dalam usaha memastikan keadaan semakin pulih, Petronas juga telah memasang dua pembakar mudah alih atau ‘portable flare’ di lokasi di berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Suffian memberitahu, pihaknya masih mengesan masih terdapat satu peratus gas butana dalam kandungan udara pada jarak 400 meter dan bagi mengelak risiko, operasi masih mengekalkan jarak operasi pada 500 meter.

Tambahnya, pada masa yang sama, pihaknya turut mengingatkan orang ramai tidak menyebarkan sebarang berita palsu berkenaan kejadian itu bagi mengelakkan panik orang ramai.

“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak atau individu yang menyebarkan sebarang berita palsu berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang ada,” ujarnya. – Suara Timur

20 pelajar, guru pusat tahfiz dipindahkan susulan kebocoran paip gas

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kira-kira 20 pelajar dan guru sebuah pusat tahfiz di sini, dipindahkan hari ini susulan kejadian kebocoran paip gas di Tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), di Seksyen 5, Kerteh, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, meskipun jarak lokasi kejadian dengan pusat tahfiz itu agak jauh lebih dua kilometer, namun tindakan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga demi memastikan keselamatan penghuni tahfiz tersebut.

Menurutnya, lokasi tahfiz itu jauh dari lokasi kejadian, namun pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga kerana bimbang arah angin menghala ke pusat tahfiz itu.

MOHD RAZI ROSLI

Katanya, ianya boleh menyebabkan pencemaran udara sekali gus memberi kesan buruk menyebabkan pelajar berkenaan dipindahkan lebih awal.

“Pemindahan telah dilaksanakan pagi tadi bagi mengelakkan sebarang risiko dan pihaknya telah memaklumkan arahan kepada pusat tahfiz berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua pelajar terbabit  dipindahkan ke sebuah penempatan sementara di bandar paka, Dungun.

Tambahnya, pada masa sama, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Selain itu, jelasnya, orang awam juga diingatkan supaya tidak mendekati kawasan kejadian atau cuba melihat lokasi dari jarak dekat kerana dikhuatiri terdedah kepada risiko pencemaran udara.

“Sebarang pembakaran terbuka juga dilarang di sekitar kawasan berkenaan kerana ianya berisiko mendatangkan bahaya kepada orang awam,” ujarnya.

Bagaimanapun, Mohd. Razi berkata,  orang ramai tidak perlu panik kerana situasi  berada dalam keadaan terkawal.

Semalam, media melaporkan insiden kebocoran paip gas butana milik Petronas Gas Berhad (PGB) berlaku kira-kira pukul 9.53 pagi. –  Suara Timur

Ahad, September 21, 2025

Petronas Gas sahkan kejadian saluran paip gas bocor di Kerteh

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Petronas Gas Berhad (PGB) mengesahkan kejadian kebocoran gas pada saluran paip berhampiran Kampung Chabang, Kerteh, semalam.

Menurut kenyataan PGB, hari ini, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9.50 pagi dan berada dalam keadaan terkawal.

Katanya, lokasi kejadian itu jauh dari laluan serta penempatan penduduk.

“Pemantauan secara berterusan sedang dijalankan sementara saluran paip yang terlibat telah diasingkan,” katanya.

PGB menambah, sebagai langkah keselamatan lokasi kejadian ditutup kepada orang ramai dan pekerja.

Katanya, kakitangan syarikat berkenaan juga sudah ditempatkan untuk memantau lokasi kejadian.

“Bagaimanapun kejadian itu juga tidak menjejaskan bekalan gas kepada pelanggan berikutan penghantaran diteruskan melalui saluran paip gantian dalam rangkaiannya,” katanya.

Semalam Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli dilaporkan berkata insiden itu berlaku di tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen Lima, Kerteh.

Katanya, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu kira-kira jam 9.53 pagi dan dilaporkan berlaku kira-kira dua kilometer dari laluan utama serta tidak membabitkan perkampungan atau kediaman penduduk.

Berikutan itu, katanya, jalan Kerteh ke Kampung Ranggon ditutup sementara waktu kepada pengguna jalan raya. – Suara Timur

Sabtu, September 20, 2025

Paip gas milik Petronas bocor

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Paip gas jenis  ‘butane’ milik Petronas Gas Berhad (PGB) bocor di tapak projek laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kerteh, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, polis menerima panggilan kecemasan daripada Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 mengenau kebocoran paip gas tersebut pada pukul 9.53 pagi.

Menurutnya, gas jenis ‘butane’ yang bocor itu dikenal pasti sebagai bahan mudah terbakar.

Katanya, lokasi kebocoran berada kira-kira dua kilometer dari laluan jalan utama dan tidak melibatkan kawasan perkampungan atau kediaman penduduk.

KEADAAN gas jenis  ‘butane’ milik Petronas yang bocor di tapak projek laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kerteh, Kemaman, hari ini.
KEADAAN gas jenis  ‘butane’ milik Petronas yang bocor di tapak projek laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kerteh, Kemaman, hari ini.

“Sebaik menerima laporan, pihaknya terus ke lokasi kejadian dan meaktifkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dengan menutup laluan utama Kerteh ke Pengkalan Ranggon kepada semua kenderaan bagi tujuan keselamatan.

“Langkah awal yang dilakukan oleh pihak polis adalah menutup sepenuhnya kawasan kejadian daripada akses orang awam dan pekerja,” katanya kepada Suara Timur, hari ini.

MOHD RAZI ROSLI

Beliau memberitahu, bekalan gas di saluran paip gas yang bocor telah diberhentikan dan ditutup untuk sementara waktu sehingga selesai kerja-kerja penyelenggaraan oleh pihak kontraktor.

Katanya, pihak berkuasa sedang memantau situasi dengan rapi dan akan mengeluarkan kenyataan lanjut dari semasa ke semasa.

“Orang awam dinasihatkan tidak menghampiri kawasan kejadian dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan,” ujarnya. – Suara Timur

Khamis, September 18, 2025

Mekanik maut kemalangan tiga kenderaan di Kemaman

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang mekanik maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kereta dan dua buah kenderaan pikap di Kemaman, Terengganu petang tadi.

Mangsa, Muhammad Shukri Shaari, 24 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan selepas mengalami cedera parah di bahagian kepala dan anggota badan.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 2.00 petang tadi di atas Bukit Jemalang, Jalan Mak Lagam ke Bandar Ceneh Baru, Kemaman.

Ketika kejadian mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan pulang dari bengkel membaiki kenderaan ke rumahnya di Bandar Ceneh Baru.

ANGGOTA bomba dan pasukan perubatan memeriksa mangsa kemalangan sebelum disahkan meninggal dunia dalam kemalangam dua buah kenderaan di di Jalan Cheneh – Chukai dekat Bukit Jembalang, Kemaman, hari ini. – GAMBAR/IHSAN BOMBA

Setiba di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Saga dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh berbukit lalu terbabas ke bahu jalan dan melanggar sebuah kenderaan pikap lain.

Ekoran itu, kereta mangsa melintang di tengah jalan dan pada masa sama kenderaan pikap Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh bahagian sisi  kiri kereta terbabit.

Mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu telah berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Balai Bomba dan Penyelamat Chukai menerima panggilan berhubung kemalangan itu pukul 1.26 petang dan terus ke lokasi kejadian dan tiba di lokasi 15 minit kemudian.

Seramai 11 orang anggota terlibat bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS).

Operasi menyelamat ditamatkan pada pukul 2.20 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian berkenaan.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.

Pemandu kenderaan pikap berumur 21 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.  – Suara Timur

Rabu, September 17, 2025

Kanak-kanak lelaki nyaris lemas ketika mandi di Pantai Teluk Kalong, Kijal

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang kanak kanak lelaki berusia 13 tahun nyaris lemas ketika mandi bersama keluarga di Pantai Teluk Kalong, Kijal di sini, petang tadi.

Komander Operasi, PBK II Mohd Aziddy Che Jaafa dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan pukul 5.35 petang dan  mengaktifkan operasi pencarian.

Mangsa Muhammad Al Addin Mohd Azri dari Rumah Murah Fikri 1, Chukai berjaya diselamatkan oleh anggota unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jarak 500 meter dari pesisir pantai.

Menurutnya, ketika kejadian berlaku, kebetulan anggota JBPM sedang membuat rondaan Pemantauan Keselamatan Aktiviti Di Air (MKAA) di Pantai Telok Kalong.

Katanya, anggota tersebut telah menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang mangsa remaja lelaki dipercayai  lemas ketika mandi bersama keluarga.

“Seramai 12 orang anggota terlibat bersama sbuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS),” katanya kepada Suara Timur, hari ini.

Beliau memberitahu, operasi mencari dan menyelamat mangsa ditamatkan pukul 6.02 petang.

Tambahnya, mangsa diserahkan kepada unit EMRS untuk dihantar ke Hospital Kemaman. – Suara Timur

Pemandu kenderaan pacuan empat roda maut kemalangan di LPT2

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda maut selepas terlibat  dalam satu kemalangan di Kilometer (KM) 250.8 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) menghala ke Kuantan berdekatan Plaza Tol Jabor, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, kejadian berlaku pada pukul 7.41 pagi ketika mangsa yang memandu pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm dalam perjalanan dari Kuala Terengganu bersama isteri dan dua anaknya untuk balik ke rumahnya di Kuantan, Pahang.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kenderaan itu, Ahmad Shuhaimi Kadir, 50, memberhentikan kenderaan dibahu jalan sebelah kiri sebelum dirempuh sebuah lori Hino yang membawa ayam segar untuk dihantar ke Triang, Pahang.

Menurutnya, lori Hino yang datang dari arah belakang dipandu oleh Tengku Mohd Aidie Tengku Mohd Zuki, 31, tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian sisi sebelah kanan Mitsubishi Storm kerana jarak terlalu dekat.

“Akibat dari pelanggaran tersebut, lori Hino terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan serta melanggar besi penghadang jalan dan terbalik di lorong kiri sejauh lebih kurang 89 meter.

“Ekoran daripada kemalangan tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman bagi urusan bedah siasat.

Sementara itu, tambahnya, isteri dan anak mangsa dihantar Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut. –  Suara Timur

Sementara itu, Tengku Mohd Aidie Tengku Mohd Zuki menerima rawatan di Hospital Kemaman.

Kes disasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Suara Timur

Isnin, September 15, 2025

Penyelia kilang rugi RM537,000 ditipu sindiket penyamaran panggilan telefon

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki berusia 59 tahun yang terpedaya sindiket penyamaran melalui panggilan telefon.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, mangsa yang bekerja sebagai penyelia kilang membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) IPD Kemaman hari ini.

Menurutnya, mangsa telah menerima satu panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai agen insurans pada 31 Ogos 2024.

Katanya, mangsa juga menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dengan mendakwa mangsa telah membuat tuntutan insurans palsu di sebuah hospital swasta di Selangor.

“Mangsa kemudiannya diarahkan untuk membuka akaun simpanan di Agrobank dan memindahkan wang simpanan KWSP miliknya berjumlah RM400,000 ke dalam akaun tersebut.

“Selepas itu, mangsa telah membuat 21 transaksi pemindahan wang ke lapan akuan bank berbeza berjumlah RM400,000 dari tempoh pada 5 September 2024 hingga 11 September 2024, selain turut menyerahkan akses penggunaan akaun berkenaan kepada suspek.

“Pada 9 Februari 2025 hingga 12 September 2025, mangsa juga telah melakukan sebanyak 56 transaksi ke-30 akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM137,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Razi memberitahu, mangsa hanya menyedari dirinya telah ditipu setelah suspek gagal dihubungi dan mengalami kerugian RM537,000.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Suara Timur

Ahad, September 14, 2025

Wanita maut motosikal ditunggangi langgar kerbau

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KUALA TERENGGANU:  Seorang wanita berusia 20 tahun maut dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dengan haiwan dipercayai kerbau di Jalan Kg Alor Parit, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kemalangan itu kejadian kira-kira jam 3.10 pagi ketika motosikal jenis Honda Beat yang ditunggang mangsa, Siti Nur Zainatul Akmal Hanim Muhammad Hanipah bergerak dari arah bandar Kuala Terengganu menghala ke rumahnya di Kampung Undang dekat sini.

Menurutnya, ketika sampai di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai telah melanggar kerbau yang berkeliaran di tengah jalan.

“Akibat rempuhan tersebut mangsa tercampak di atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian anggota badan dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

Katanya kes disiasat dibawah Sek 41(1) APJ 1987. – Suara Timur