Peniaga rugi RM136,400 ditipu pelaburan saham tidak wujud dalam talian
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seorang peniaga mengalami kerugian RM136,400 setelah terpedaya dengan penipuan pelaburan saham tidak wujud dalam talian.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Mohd. Razi Rosli berkata, lelaki berusia 51 tahun itu tertarik dengan pelaburan tersebut selepas melihat satu iklan pelaburan saham di dalam laman Facebook pada 5 Oktober lalu.
Menurutnya, mangsa telah melakukan transaksi melalui Mesin Deposit Tuna (CDM) ke dalam lapan akaun bank yang berbeza berjumlah keseluruhan RM136,400 bermula pada 5 Oktober sehingga 2 November lalu.
“Mangsa membuat laporan polis selepas menerima sebarang pulangan sebanyak RM700,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Suara Timur
DUNGUN: Penduduk di Kampung Minda, Hulu Dungun, dekat sini meminta pihak berkuasa segera mengambil tindakan susulan seekor gajah liar yang didakwa sering muncul di kawasan rumah mereka.
Masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu menyebabkan penduduk yang mengusahakan kebun terpaksa menanggung kerugian selepas tanaman mereka dimusnahkan haiwan berkenaan.
Mereka mendakwa, gajah liar itu adalah gajah yang sama ditemui berkeliaran di Kampung Dendang, tidak jauh dari kampung berkenaan bulan lalu.
Menurut penduduk yang juga pekebun, kehadiran gajah liar ke kampung berkenaan empat hari lalu telah memusnahkan pelbagai jenis tanaman seperti pisang yang boleh dituai dan dijual.
PENDUDUK membersihkan pokok pisang yang dirosakkan gajah liar di Kampung Minda, Hulu Dungun, Dungun. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
Susulan itu, penduduk kini serik untuk menanam semula dan menanggung kerugian malah ada mereka yang terpaksa berjaga malam bagi mengawal kebun mereka walaupun berdepan risiko bahaya.
Walaupun banyak aduan dibuat, sehingga kini masih belum ada tindakan daripada pihak berkenaan.
Seorang pekebun Mohd Shamsudin Khalid berkata, penduduk kecewa apabila hasil tanaman yang boleh dituai dirosakkan gajah liar tersebut.
MOHD SHAMSUDIN KHALID
“Pendapatan penduduk terjejas apabila hasil tanaman mereka rosak dan tidak dapat dijual,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pekebun, Mohamad Nordin Samad pula berkata, masalah yang dihadapi penduduk itu telah lama berlarutan namun tiada tindakan diambil pihak berkuasa.
MOHAMAD NORDIN SAMAD
“Keadaan tersebut menyebabkan saya sentiasa mengeluar modal baharu untuk menaman pisang setiap kali dirosakan gajah liar itu,” ujarnya.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Bukit Besi, Ghazali Sulaiman ketika dihubungi berkata, operasi menangkap gajah berkenaan sebelum ini berdepan kesukaran khususnya bagi mengesan lokasi kedudukan haiwan liar itu.
“Pihak saya akan turut mengadakan perbincangan bersama pihak berkaitan dan meminta penduduk supaya menyalurkan maklumat sekiranya haiwan itu muncul di kawasan kebun milik mereka,” tambahnya. – Suara Timur
9 pekerja kilang memproses makanan haiwan terhidu gas toksik
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Sembilan pekerja sebuah kilang memproses makanan haiwan berdepan detik cemas selepas terhidu gas toksik ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan tangki di kawasan perindustrian biopolimer Kerteh di sini, pada pukul 6.51 petang.
Ketika kejadian kesemua mangsa yang berusia 23 hingga 40 tahun itu baru memulakan kerja-kerja penyelenggraan continuous reacter tank di kilang tersebut.
Kejadian dipercayai berlaku selepas salah seorang mangsa dikatakan membuka penutup tangki tersebut menyebabkan berlakunya pelepas gas amonia dan methyl mercaptan di sekitar kawasan lokasi kejadian.
Akibat dari pelepasan gas toksik tersebut, kesemua mangsa mengalami simptom sesak nafas dan kakitangan kilang yang menyedari kejadian itu telah membawa kesemua mangsa keluar ke kawasan selamat.
ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan penyebaran gas toksin di kilang memproses makanan haiwan di Kemaman, semalam.
Sementara itu Komander Operasi dari Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM), Zon Dua Terengganu, Penguasa Bomba, Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat), dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, telah digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian tersebut.
Menurutnya, pasukan Hazmat telah melakukan teknik water suppression untuk mengurangkan penyebaran dan bacaan gas serta memasang water curtain dilokasi kejadian.
Katanya lagi, kebocoran gas berjaya dikawal pada pukul 8.09 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.05 pagi tadi.
Pegawai Zon 2 JBPM Terengganu Penguasa Kanan Bomba II Rohaya Jamil (tengah) diberi taklimat mengenai kebocoran gas toksik di kilang memproses makanan haiwan, Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
“Tiga mangsa telah dibenarkan pulang selepas diberi rawatan di Hospital Dungun manakala enam mangsa lagi masih menerima rawatan di hospital sama dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya kepada Suara Timur hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi berkata, lima mangsa yang terhidu gas toksik dalam kejadian itu masih menerima rawatan di Hospital Dungun.
Menurutnya, salah seorang mangsa terlibat telah dibenarkan keluar dari hospital tersebut selepas keadaannya pulih sepenuhnya pagi tadi.
“Lokasi kejadian kini diishtyiharkan selamat dan telah diserahkan pihak pengurusan kilang selepas operasi selesai awal pagi tadi.
“Pada masa yang sama orang ramai tidak perlu risau kerana gas toksik tersebut tidak tersebar ke kawasan penempatan berhampiran,” ujarnya. – Suara Timur
Pasar raya didenda RM15,000 jual terung panjang beracun
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KUALA TERENGGANU: Sebuah pasar raya di Hulu Terengganu didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam atas pertuduhan menjual terung panjang (Pearl) yang mengandungi residue racun perosak Carbendazim pada Mei lalu.
Hakim Mohd Zulzakiqudin Zulkifli membuat keputusan itu selepas wakil syarikat mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Peraturan 41(3)(C) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 kerana menjual terung panjang (Pearl) yang mengandungi residue racun perosak Carbendazim sebanyak 0.02mg/kg.
Mengikut pertuduhan, pasar raya berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu di premis perniagaan di Bandar Kuala Berang, Hulu Terengganu pukul 4.30 petang pada 25 Mei 2025.
Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 13(1) Akta Makanan 1983 dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama Akta Makanan 1983.
Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak metebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan (PPKPK), Alias Awang Kechik dan dibantu Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP), Abdul Rahim Ali.
Wakil pasaraya membayar denda tersebut. – Suara Timur
Kerajaan Persekutuan peruntuk RM26.7 juta bina, naik taraf masjid di Terengganu
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Kerajaan Persekutuan melalui Unit Penyelaras Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) memperuntukkan sebanyak RM26.7 juta bagi melaksanakan kerja-kerja membina dan menaiktaraf sebanyak 137 buah masjid di negeri Terengganu sejak 2023.
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Terengganu, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif berkata, kerajaan memang komited untuk melaksanakan pembangunan masjid bagi keselesaan jemaah.
Menurut Datuk Abdul Kahar, buat masa ini terdapat dua lagi projek pembinaan masjid yang sedang dilaksanakan iaitu Masjid Kampung Apal di Besut yang dijangka siap hujung tahun ini.
“Peruntukan RM26.7 juta untuk pembinaan baharu dan membaik pulih masjid di seluruh Terengganu.
“Ikut rekod, 137 buah masjid yang kita buat kerja-kerja pembaikian dari tahun 2023 hingga 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Menaik Taraf Masjid Jamek Kerteh dekat sini hari ini.
Abdul Kahar berkata, Masjid Kampung Langgar di Hulu Terengganu juga masih sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pertengahan tahun depan.
Beliau berkata, kerja-kerja menaik taraf Masjid Jamek Kerteh telah bermula April tahun lalu dan siap 6 November lalu membabitkan kos RM1.73 juta.
Menurutnya, selain tambahan ruang solat dengan kapasiti 600 jemaah, ianya termasuk pembinaan beberapa infrastruktur lain seperti tandas dan empat unit kediaman imam dan bilal.
“Masjid berkenaan bukan sahaja tempat beribadah malah dijadikan pelbagai aktiviti untuk pembangunan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, penduduk Kerteh melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang telah menyediakan peruntukan khas bagi kerja-kerja menaik taraf masjid berkenaan.- Suara Timur
Semua berita yang disiarkan didalam Akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! merupakan tulisan penulis yang diolah oleh Biro Utusan Malaysia dan Kosmo! Terengganu.
Mereka terdiri daripada Wan Zulkifli Wan Yaakob, Azli Adlan, Radhuan Hussain dan Rosalinda Md. Said
Bermula Oktober 2019 menjadi penulis bebas
Bermula Mac 2025 ditawar menjadi wartawan sambilan dengan Portal Suara Timur
Dilahirkan di Kg Tasik Mengkuang, Kerandang, Besut, Terengganu.
Dibesarkan di Kemaman Terengganu.
Jawatan sukarela dan badan bukan kerajaan.
1. Menyertai Ikatan Relawan Rakyat Malaysia ( 1989 hingga sekarang )
2. Dilantik sebagai Timbalan Ketua Platun TRG 0219 dari tahun 1994 - 1998
3. Dilantik sebagai Ketua Kumpulan Elit dari Tahun 1994 - 1998
4. Pengasas Persatuan Belia Seri Jaya pada Tahun 1993
5. Pengerusi Persatuan Belia Seri Jaya dari Tahun 1994 - 2004
6. Pengasas UMNO Cawangan Kg Lot Seri Jaya pada Tahun 1994
7. Ketua UMNO Cawangan Kg Lot Seri Jaya dari Tahun 1994 - 1995
8. Timbalan Ketua UMNO Cawangan Kg Lot Seri Jaya dari Tahun 1995 hingga 2023.
9. Dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa MAYC Kawasan Kemaman dari Tahun 1998 hingga 2009.
10. Dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis Belia Daerah Kemaman dari Tahun 2000 - 2004
11. Dilantik Timbalan Pengerusi JKKK Kg Lot Seri Jaya dari Tahun 2005 hingga 31 Mac 2014.
12. Dilantik sebagai Pengerusi JKKK Kg Lot Seri Jaya dari bermula 1 April 2014 hingga 31 Mei 2018
Menjadi Ahli PAS dari Tahun 1987 - 1993