MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, Oktober 04, 2025

1,825 biji telur tuntung sungai dieram tahun ini

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai, Kampung Pasir Gajah di sini  melakukan pengeraman 1,825 biji telur tuntung sungai pada tahun ini.

Pengasas Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-kura dan Labi-labi Malaysia (TCS), Dr Chen Pelf Nyok berkata, daripada jumlah itu, lebih 1,372 berjaya ditetaskan.

Menurutnya, pada hari ini pula, 680 ekor anak tuntung sungai dilepaslan di Sungai Kemaman dekat Kampung Pasir Gajah sebagai simbolik sempena Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia Ke-68.

“Selebihnya akan dilepaskan bersama syarikat-syarikat korporat yang membuat Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), pelajar-pelajar sekolah dan orang awam yang datang melawat pusat tuntung,” katanya.

DR. Maketab Mohamed, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa dan Dr Chen Pelf Nyok hadir pada  Program Pelepasan Tuntung 2025 oleh Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai Kampung Pasir Gajah, Kampung Pasir Gajah, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau berkata demikian ketika ditemui Suara Timur pada Program Pelepasan Tuntung 2025 oleh Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai Kampung Pasir Gajah di Dewan Orang Ramai, Kampung Pasir Gajah di sini hari ini.

Majlis perasmian pelepasan disempurnakan oleh Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.

Hadir sama, Pengerusi Turtle Conservation Society of Malaysia, Prof. Dr. Maketab Mohamed, Pengarah Bahagian Ex-Situ, Ibu Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN), Dr. Pazil Abdul Patah dan Pengarah Jabatan PERHILITAN Negeri Pahang, Rozidan Mohd Yasin.

SUKARELAWAN Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai, Kampung Pasir Gajah, Kemaman menerima cederamata daripada Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-kura dan Labi-labi Malaysia (TCS) sempena Program Pelepasan Tuntung 2025 oleh Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai Kampung Pasir Gajah, Kemaman,  hari ini. SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurut Dr Chen, Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-kura dan Labi-labi Malaysia (TCS) ditubuhkan pada tahun 2011 bagi tujuan menjaga dan memelihara Tuntung yang sanga terancam di Malaysia.

Katanya, Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai, Kampung Pasir Gajah mula beroperasi pada tahun 2017 dan hingga kini kami berjaya mengutip sebanyak lebih 11,000 biji telur bagi pengeramam.

Pada masa sama, tambahnya, pihaknya  melepaskan lebih 6,000 anak tuntung ke Sungai Kemaman bagi tujuan pemeliharaan.

“Salah satu objektif kami menggunakan tuntung sungai ini sebagai simbol dan ikon bagi menaikkan lagi imej pelancongan terutama sekali di negeri Terengganu kerana di negeri Terengganulah TCS terkenal dengan ‘turtle’ dan tuntung sungai juga dikenali dengan panggilan ‘turtle’.

“Berdasarkan pengalaman saya, suatu ketika dahulu ramai orang yang pergi melawat pusat pusat pelancongan dengan mengambil gambar sebagai kenangan tetapi sekarang mereka lebih berminat untuk belajar sesuatu perkara baru,” ujarnya. – Suara Timur

Agihan barangan terpakai sempena Program Pelepasan Tuntung

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Petronas Penapisan (Terengganu) Sdn. Bhd. dan Petronas Chemical Aromatic Sdn. Bhd. mengambil kesempatan mengagihan barangan terpakai kepada penduduk Kampung Pasir Gajah sempena Program Pelepasan Tuntung 2025 oleh Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai Kampung Pasir Gajah, di sini, hari ini.

Antara barangan terpakai tersebut adalah barangan elektrik, kasut, buku, permainan kanak-kanak, pakaian orang dewasa lelaki dan wanita, kain tudung, pakaian kanak-kanak dan pakaian bayi.

Program kongsi rezeki dengan komuniti Kampung Pasir Gajah itu merupakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Petronas Penapisan (Terengganu) Sdn. Bhd. dan Petronas Chemical Aromatic Sdn. Bhd.

Barangan seberat 1.5 tan metrik telah berjaya dikumpul oleh kakitangannya untuk dikongsi kepada orang ramai.

SEBAHAGIAN daripada penduduk memilih barangan terpakai yang diagihkan secara percuma sempena Program Pelepasan Tuntung 2025 oleh Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai Kampung Pasir Gajah, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Sebelum dikongsi kepada orang ramai, pihaknya telah mengasingkan dan memilih terlebih dahulu supaya barang yang dikongsi kesemuanya dalam keadaan baik untuk digunakan.

Sementara itu, seorang penduduk, Fauziah Alias, 40, menyifatkan usaha itu banyak membantu dan meringankan beban golongan kurang berkemampuan.

“Saya bukan sahaja mengambil barangan atau pakaian untuk kegunaan keluarga malah turut mengagihkan kepada penduduk kampung yang memerlukan,” katanya. – Suara Timur

Selasa, September 30, 2025

KMI Healthcare lancar Hospital Mesra Ibadah

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KUALA TERENGGANU: Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI Healthcare) hari ini melakar satu lagi pencapaian penting dalam industri penjagaan kesihatan negara dengan pelancaran Hospital Mesra Ibadah (HMI), sebuah inisiatif yang menekankan gabungan rawatan moden dan pemeliharaan nilai spiritual.

KMI Healthcare dalam satu kenyataan kepada Suara Timur berkata, Hospital Mesra Ibadah adalah komitmen KMI Healthcare dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang bukan sahaja memberi fokus kepada rawatan fizikal, tetapi turut memelihara kesejahteraan rohani, emosi dan mental pesakit.

Majlis pelancaran dan perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu merangkap Pengerusi KMI Kuala Terengganu Medical Centre (KMIKT), Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi di sini, hari ini.

DR Muhammad Khalil Abdul Hadi (tengah) melakukan gimit pelancaran pelancaran Hospital Mesra Ibadah sambil diperhatikan
Najman Kamaruddin (kiri) dan Dr Rayney Azmi Ali (kanan) di Kuala Terengganu, hari ini.

Majlis pelancaran ini turut dihadiri oleh
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin.

Konsep ini dirangka bagi memastikan pesakit, keluarga, dan warga kerja hospital dapat merasai suasana yang tenang, bersih, mesra dan mendukung keperluan ibadah, tanpa mengira latar belakang agama.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr. Rayney Azm i Ali berkata, inisiatif ini telah dibangunkan sejak tahun 2021 dan diperkemaskan melalui pelbagai usaha strategik. Hospital Mesra Ibadah mencerminkan kepercayaan kami bahawa rawatan terbaik bukan sahaja merawat jasmani tetapi juga menjaga kesejahteraan rohani.

“Usaha ini telah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila KMI Healthcare memenangi Healthcare Asia Awards 2023 bagi kategori Patient Care Initiative of The Year dan Service Delivery Innovation Initiative of The Year,” katanya.

Dari kiri,  Dr Rayney Azmi Ali, Najman Kamaruddin dan Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi (tengah) bergambar selepas majlis pelancaran Hospital Mesra Ibadah di Kuala Terengganu, hari ini.

Bagi memastikan pematuhan prinsip Syariah yang menyeluruh, beliau menambah, KMI Healthcare turut menjalinkan kerjasama dengan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dalam membangunkan Rangka Kerja Hospital Patuh Syariah.

Selain itu, katanya, persediaan sedang giat dijalankan untuk memperoleh pensijilan MS ISO 1900:2014 – Standard Malaysia bagi Sistem Pengurusan Kualiti Berteraskan Syariah, menjadikan hospital-hospital KMI sebagai rujukan dalam perkhidmatan kesihatan berasaskan Syariah di Malaysia dan rantau ini.

Sementara itu, Muhammad Khalil menegaskan, pendekatan HMI ini selaras dengan prinsip Maqasid Syariah yang menekankan pemeliharaan agama (hifz al-din), nyawa (hifz al-nafs) dan akal (hifz al-‘aql).

“Apabila pesakit diberi ruang untuk menunaikan ibadah dengan selesa, ia bukan sahaja mempercepat proses pemulihan, malah memberi ketenangan jiwa kepada pesakit dan keluarga mereka.

“Konsep ini juga tidak membelakangkan agama lain dengan penyediaan kemudahan khas seperti bilik senyap (silent room) untuk penganut agama lain menunaikan ibadah,” katanya.

Jelasnya, Hospital Mesra Ibadah menjadi mercu tanda baharu bagi KMI Healthcare dalam menggabungkan kecanggihan perubatan moden dengan nilai-nilai ihsan, empati, dan hormat kepada semua lapisan masyarakat.

“Usaha ini juga diharap dapat menjadi model rujukan bagi hospital lain di seluruh negara dalam memperluas perkhidmatan kesihatan yang berteraskan rahmatan lil ‘alamin – rahmat untuk sekalian alam,” ujarnya. – Suara Timur

Isnin, September 29, 2025

Beberapa laluan di daerah Kemaman ditutup sempena LTdL

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Beberapa laluan di daerah Kemaman akan ditutup secara berperingkat susulan Kejohanan Lumba Basikal Antarabangsa Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 pada 1 Oktober ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, laluan perlumbaan  peringkat keempat itu akan melalui laluan Kilometer 103 hingga Kilometer 152 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan dan Jalan Lama Kijal hingga Lampu Isyarat Eastern Steel, Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kijal.

Menurutnya, laluan membabitkan sejauh 54.1 kilometer itu akan ditutup secara berperingkat semasa acara berlangsung bermula pada 11 pagi hingga 3 petang.

LALUAN pelumba LTdL 2025 dari Kemaman ke Kuala Terengganu pada 1 Oktober ini.

“Perlumbaan itu melalui Paka – Kerteh – Kemasik – Kijal – Chukai (Taman Bandar Chukai Jalan Pandang).

“Bagi pengguna jalanraya yang ingin ke Dungun / Kuala Terengganu, mereka boleh menggunakan jalan alternatif Tol Chukai / Binjai – Lampu Isyarat Mak Chili – Jalan Rahmat (Lot 144) -Jalan Pengkalan Sir – Bukit Kuang / Dungun atau Kuantan / Geliga – Lampu Isyarat Sek. Men. Chukai – Jalan Bukit Mentok Lampu Isyarat Pema Jaya – Binjai / Tol Chukai dan juga atau Mak Chili Ibok / Dungun,

“Mereka yang hendak ke Bandar Chukai, mereka boleh menggunakan laluan Jalan Air Putih – Jalan Bukit Mentok – Taman Chukai Utama – Jalan Jakar Bandar Chukai,” tambahnya.

Matteo Malucelli melintasi garisan penamat peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 sejauh 96.7 kilometer mengelilingi pulau peranginan itu, semalam.

Menurut Mohd Razi, penutupan secara kekal bagi Jalan Padang dan Jalan Padang bermula pukul 8 pagi hingga 4 petang dan Kilometer 1 Jalan Air Putih serta Kilometer 152 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan (hadapan Masjid Sultan Ahmad) ditutup bermula pukul 12 tengah hari hingga 3 petang.

“Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan yang dirancang, orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi arahan pegawai bertugas dan menggunakan laluan alternatif yang disediakan bagi melancarkan pergerakan semasa kejohanan berlangsung,” katanya.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman di talian 09-8591999. – Suara Timur

Warga emas maut dilanggar kereta ketika melintas jalan

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang lelaki warga emas berusia 86 tahun maut dalam kemalangan dengan sebuah kereta di simpang masuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Binjai, Kilometer 8, Jalan Chukai Air Putih menghala ke Chukai di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 8 malam ketika mangsa, Wee Hin Tin berjalan kaki melintas jalan dari tengah jalan hendak ke bahu jalan sebelah kiri.

MOHD RAZI ROSLI

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa secara tiba-tiba melintas jalan dari tengah jalan hendak ke bahu jalan sebelah kiri hendak pulang ke rumah selepas minum di sebuah kedai di simpang masuk SMK Binjai.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta Ford Fiesta yang dipandu seorang wanita berusia 25 tahun dalam perjalanan dari Binjai menuju ke Bandar Chukai terlanggar mangsa akibat jarak yang terlalu dekat.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke bahu jalan sebelah kiri telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Suara Timur. 

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Suara Timur

Ahad, September 28, 2025

Kerajaan peruntuk RM504 juta bina 5,450 Rumah Mesra Rakyat di seluruh negara

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM504 juta untuk pembinaan 5,450 buah Rumah Mesra Rakyat (RMR) menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di seluruh negara, tahun ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, setakat Ogos, sebanyak 2,766 unit rumah telah siap dibina dan 1,310 unit sedang dalam pembinaan manakala 1,374 unit lagi sedang dalam dalam proses untuk diserahkan kepada kontraktor.

“Sejak SPNB diletakkan di bawah seliaan KPKT pada 2018, usaha penyelarasan inisiatif perumahan rakyat menjadi lebih bersepadu dan berkesan dan sehingga kini, sebanyak 73,167 unit RMR telah siap dibina di seluruh negara.

“RMR yang dilengkapi tiga bilik ini bernilai RM75,000 yang mana kita memberikan subsidi RM20,000 untuk setiap rumah yang dibina dan pemilik hanya perlu membayar kira-kira RM300 sebulan dalam tempoh 16 tahun,” katanya.

DR. Mohd Azmi Mohd Lila (dua dari kiri) dan 
Aiman Athirah Sabu (tiga dari kiri) bergambar pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat di RTB Kampung Baru di Kemasik, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Baru di Kemasik, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 11 pemilik Rumah Mesra Rakyat menerima kunci dan sembilan kontraktor dianugerahkan sijil penghargaan.

Aiman Athirah berkata, program RMR merupakan komitmen kerajaan dalam menyediakan perumahan kepada rakyat yang berpendapatan RM5,000, dengan syarat pemilik memiliki tanah.

Katanya, sehingga Julai, SPNB mererima sebanyak 182,208 permohonan untuk program RMR.

“Daripada jumlah itu, 117,000 adalah permohonan yang telah lengkap dan 73,354 telah diluluskan selepas memenuhi syarat ditetapkan.

“Sebanyak 65,000 permohonan lagi dalam proses pendaftaran serta semakan sebelum disenaraikan untuk kelulusan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SPNB, Datuk Prof. Dr. Mohd Azmi Mohd Lila berkata, antara produk unggul SPNB ialah program RMR yang diwujudkan khusus bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri dengan kos berpatutan.

Tambahnya, pada tahun 2025 sahaja, SPNB telah diamanahkan untuk membina sebanyak 5,450 unit RMR di seluruh negara.

“SPNB ialah sebuah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan), yang ditubuhkan pada tahun 1997 dengan mandat menyediakan kediaman mampu milik, selesa dan berkualiti kepada rakyat Malaysia.

“Bermula Ogos 2018, SPNB diletakkan di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan program perumahan dapat dilakukan dengan lebih efektif dan bersepadu,” ujarnya. – Suara Timur