KEMAMAN: Paip gas jenis ‘butane’ milik Petronas Gas Berhad (PGB) bocor di tapak projek laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kerteh, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, polis menerima panggilan kecemasan daripada Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 mengenau kebocoran paip gas tersebut pada pukul 9.53 pagi.
Menurutnya, gas jenis ‘butane’ yang bocor itu dikenal pasti sebagai bahan mudah terbakar.
Katanya, lokasi kebocoran berada kira-kira dua kilometer dari laluan jalan utama dan tidak melibatkan kawasan perkampungan atau kediaman penduduk.
KEADAAN gas jenis ‘butane’ milik Petronas yang bocor di tapak projek laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kerteh, Kemaman, hari ini.KEADAAN gas jenis ‘butane’ milik Petronas yang bocor di tapak projek laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kerteh, Kemaman, hari ini.
“Sebaik menerima laporan, pihaknya terus ke lokasi kejadian dan meaktifkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dengan menutup laluan utama Kerteh ke Pengkalan Ranggon kepada semua kenderaan bagi tujuan keselamatan.
“Langkah awal yang dilakukan oleh pihak polis adalah menutup sepenuhnya kawasan kejadian daripada akses orang awam dan pekerja,” katanya kepada Suara Timur, hari ini.
MOHD RAZI ROSLI
Beliau memberitahu, bekalan gas di saluran paip gas yang bocor telah diberhentikan dan ditutup untuk sementara waktu sehingga selesai kerja-kerja penyelenggaraan oleh pihak kontraktor.
Katanya, pihak berkuasa sedang memantau situasi dengan rapi dan akan mengeluarkan kenyataan lanjut dari semasa ke semasa.
“Orang awam dinasihatkan tidak menghampiri kawasan kejadian dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan,” ujarnya. – Suara Timur
KEMAMAN: Seorang mekanik maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kereta dan dua buah kenderaan pikap di Kemaman, Terengganu petang tadi.
Mangsa, Muhammad Shukri Shaari, 24 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan selepas mengalami cedera parah di bahagian kepala dan anggota badan.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 2.00 petang tadi di atas Bukit Jemalang, Jalan Mak Lagam ke Bandar Ceneh Baru, Kemaman.
Ketika kejadian mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan pulang dari bengkel membaiki kenderaan ke rumahnya di Bandar Ceneh Baru.
ANGGOTA bomba dan pasukan perubatan memeriksa mangsa kemalangan sebelum disahkan meninggal dunia dalam kemalangam dua buah kenderaan di di Jalan Cheneh – Chukai dekat Bukit Jembalang, Kemaman, hari ini. – GAMBAR/IHSAN BOMBA
Setiba di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Saga dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh berbukit lalu terbabas ke bahu jalan dan melanggar sebuah kenderaan pikap lain.
Ekoran itu, kereta mangsa melintang di tengah jalan dan pada masa sama kenderaan pikap Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh bahagian sisi kiri kereta terbabit.
Mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu telah berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Balai Bomba dan Penyelamat Chukai menerima panggilan berhubung kemalangan itu pukul 1.26 petang dan terus ke lokasi kejadian dan tiba di lokasi 15 minit kemudian.
Seramai 11 orang anggota terlibat bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS).
Operasi menyelamat ditamatkan pada pukul 2.20 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian berkenaan.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.
Pemandu kenderaan pikap berumur 21 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Suara Timur
KEMAMAN: Seorang kanak kanak lelaki berusia 13 tahun nyaris lemas ketika mandi bersama keluarga di Pantai Teluk Kalong, Kijal di sini, petang tadi.
Komander Operasi, PBK II Mohd Aziddy Che Jaafa dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan pukul 5.35 petang dan mengaktifkan operasi pencarian.
Mangsa Muhammad Al Addin Mohd Azri dari Rumah Murah Fikri 1, Chukai berjaya diselamatkan oleh anggota unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jarak 500 meter dari pesisir pantai.
Menurutnya, ketika kejadian berlaku, kebetulan anggota JBPM sedang membuat rondaan Pemantauan Keselamatan Aktiviti Di Air (MKAA) di Pantai Telok Kalong.
Katanya, anggota tersebut telah menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang mangsa remaja lelaki dipercayai lemas ketika mandi bersama keluarga.
“Seramai 12 orang anggota terlibat bersama sbuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS),” katanya kepada Suara Timur, hari ini.
Beliau memberitahu, operasi mencari dan menyelamat mangsa ditamatkan pukul 6.02 petang.
Tambahnya, mangsa diserahkan kepada unit EMRS untuk dihantar ke Hospital Kemaman. – Suara Timur
KEMAMAN: Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda maut selepas terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer (KM) 250.8 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) menghala ke Kuantan berdekatan Plaza Tol Jabor, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, kejadian berlaku pada pukul 7.41 pagi ketika mangsa yang memandu pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm dalam perjalanan dari Kuala Terengganu bersama isteri dan dua anaknya untuk balik ke rumahnya di Kuantan, Pahang.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kenderaan itu, Ahmad Shuhaimi Kadir, 50, memberhentikan kenderaan dibahu jalan sebelah kiri sebelum dirempuh sebuah lori Hino yang membawa ayam segar untuk dihantar ke Triang, Pahang.
Menurutnya, lori Hino yang datang dari arah belakang dipandu oleh Tengku Mohd Aidie Tengku Mohd Zuki, 31, tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian sisi sebelah kanan Mitsubishi Storm kerana jarak terlalu dekat.
“Akibat dari pelanggaran tersebut, lori Hino terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan serta melanggar besi penghadang jalan dan terbalik di lorong kiri sejauh lebih kurang 89 meter.
“Ekoran daripada kemalangan tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman bagi urusan bedah siasat.
Sementara itu, tambahnya, isteri dan anak mangsa dihantar Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut. – Suara Timur
Sementara itu, Tengku Mohd Aidie Tengku Mohd Zuki menerima rawatan di Hospital Kemaman.
Kes disasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Suara Timur
KEMAMAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki berusia 59 tahun yang terpedaya sindiket penyamaran melalui panggilan telefon.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, mangsa yang bekerja sebagai penyelia kilang membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) IPD Kemaman hari ini.
Menurutnya, mangsa telah menerima satu panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai agen insurans pada 31 Ogos 2024.
Katanya, mangsa juga menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dengan mendakwa mangsa telah membuat tuntutan insurans palsu di sebuah hospital swasta di Selangor.
“Mangsa kemudiannya diarahkan untuk membuka akaun simpanan di Agrobank dan memindahkan wang simpanan KWSP miliknya berjumlah RM400,000 ke dalam akaun tersebut.
“Selepas itu, mangsa telah membuat 21 transaksi pemindahan wang ke lapan akuan bank berbeza berjumlah RM400,000 dari tempoh pada 5 September 2024 hingga 11 September 2024, selain turut menyerahkan akses penggunaan akaun berkenaan kepada suspek.
“Pada 9 Februari 2025 hingga 12 September 2025, mangsa juga telah melakukan sebanyak 56 transaksi ke-30 akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM137,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Razi memberitahu, mangsa hanya menyedari dirinya telah ditipu setelah suspek gagal dihubungi dan mengalami kerugian RM537,000.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Suara Timur
KUALA TERENGGANU: Seorang wanita berusia 20 tahun maut dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dengan haiwan dipercayai kerbau di Jalan Kg Alor Parit, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kemalangan itu kejadian kira-kira jam 3.10 pagi ketika motosikal jenis Honda Beat yang ditunggang mangsa, Siti Nur Zainatul Akmal Hanim Muhammad Hanipah bergerak dari arah bandar Kuala Terengganu menghala ke rumahnya di Kampung Undang dekat sini.
Menurutnya, ketika sampai di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai telah melanggar kerbau yang berkeliaran di tengah jalan.
“Akibat rempuhan tersebut mangsa tercampak di atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian anggota badan dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
Katanya kes disiasat dibawah Sek 41(1) APJ 1987. – Suara Timur
KEMAMAN: Lebih 450 orang pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) di sini, mengikuti Program Sahsiah Generasi Madani : Singkir Buli, Tolak Seks Bebas Dan Perangi Vape (STOP) peringkat Daerah Kemaman bagi tahun 2025 di sekolah tersebut, Rabu lalu.
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kemaman dalam satu kenyataan kepada Suara Timur berkata, program ini merupakan program kali kedua tahun 2025 anjuran bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kemaman.
Menurutnya, program tersebut diadakan selepas Program Sinergi Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman “Menjana Generasi Madani Cemerlang” di dewan EPIC Kemaman pada 21 Jun lalu.
“Majlis permuafakatan yang penuh bermakna antara PDRM IPD Kemaman dan warga pendidikan daerah Kemaman merupakan satu platform penting dalam usaha memperkukuhkan kerjasama strategik antara kedua-dua agensi demi kesejahteraan dan keselamatan anak-anak didik kita serta komuniti sekolah,” katanya.
KETUA Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli (dua, kiri) dan Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Tengku Shahrir Tengku Dahlan (tengah) pada majlis perasmian pelancaran program Sahsiah Generasi Madani : Singkir Buli, Tolak Seks Bebas, dan Perangi Vape (STOP) peringkat Daerah Kemaman di SM Imtiaz YT, Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
Majlis perasmian program itu disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli.
Hadir sama, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Tengku Shahrir Tengku Dahlan, Timbalan Pengarah Pendidikan Yayasan Terengganu, Haji Megat Samsudin Megat Yusuf dan Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Terengganu, Tengku Mohd Majid Tunku Mahmud.
Sementara itu, Tengku Shahrir pula berkata, perkara utama yang harus dilihat diinstitusi Pendidikan ialah tempat mencari ilmu dan tempat paling selamat.
Katanya, bagaimanapun, akhir-akhir ini negara sering disajikan dengan kes-kes disiplin yang dasyat sehingga melibatkan kecederaan dan yang paling parah hingga melibatkan nyawa.
“Menjadi titik hitam dalam sistem pendidikan negara setelah berlaku kejadian-kejadian seperti ini. Oleh itu, sangat bertepatan program yang kita anjurkan pada hari ini yang mana memberi pendidikan dan kesedaran kepada murid-murid betapa peri pentingnya kita menjauhi perkara-perkara seperti ini.
MOHD Razi Rosli memberi ucapan pada majlis perasmian pelancaran program Sahsiah Generasi Madani : Singkir Buli, Tolak Seks Bebas, dan Perangi Vape (STOP) peringkat Daerah Kemaman di Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
“Begitu juga dengan seks bebas dan vape. Murid-murid dilihat begitu menderung dan mudah terpengaruh ke arah itu. Lebih malang lagi ada murid-murid kita datang ke sekolah bukan untuk belajar sebaliknya memilih keseronokan ini sebagai pilihan utama.
“Sebab itu, saya sangat berterima kasih kepada pihak PDRM kerana melihat perkara ini sebagai satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) utama untuk diselesaikan.
Beliau memambah, warga pendidikan di Kemaman sentiasa memandang serius masalah disiplin yang berlaku dan dalam masa yang mengharapkan bantuan dari pihak PDRM untuk mengekang perkara ini dari terus berlaku.
TENGKU Shahrir Tengku Dahlan (dua kiri) dan Mohd Razi Rosli (tiga kiri) pada majlis perasmian pelancaran program Sahsiah Generasi Madani : Singkir Buli, Tolak Seks Bebas, dan Perangi Vape (STOP) peringkat Daerah Kemaman di Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
“Saya cukup berbangga kerana sejak akhir-akhir ini, hubungan baik antara PPD Kemaman dan IPD Kemaman semakin erat terjalin. Setiap kali program yang dianjurkan oleh pihak PPD Kemaman yang memerlukan penglibatan pihak PDRM, pasti tidak akan dipandang sepi,”
Tengku Shahrir memberitahu, kerjasama erat antara PDRM dan Pejabat Pendidikan adalah kunci utama dalam memastikan persekitaran sekolah yang selamat dan kondusif.
Jelasnya, permuafakatan ini adalah penting bagi kita untuk berkongsi maklumat, sumber, dan strategi dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan keselamatan dan disiplin di sekolah.
“Saya melihat PDRM sentiasa komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada PPD Kemaman dan sekolah dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah. Kita berharap agar kerjasama ini dapat dipertingkatkan lagi pada masa akan datang, dengan lebih banyak program dan aktiviti yang dapat memberikan manfaat kepada pelajar, guru, dan masyarakat.
“Hakikat yang saya akui, kehadiran Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dari PDRM bukan sahaja dapat membantu sekolah menyelesaikan isu-isu yang berlaku malah dapat mendekatkan diri mereka dengan pelajar serta berkongsi maklumat berguna,” tambahnya.
Sementara itu Mohd Razi berkata, isu buli sama ada secara fizikal, lisan atau media sosial semuanya adalah jenayah. Mangsa akan trauma, dan pelaku boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Tiada siapa berhak merendahkan orang lain. Sebaliknya jadilah pelajar yang berani melindungi kawan, bukan menyakiti,” ujarnya.
Mengenai vape dan rokok elektronik, Mohd Razi berkata, ramai pelajar fikir yang ianya selamat berbanding rokok biasa tetapi hakikatnya vape juga mengandungi bahan kimia yang boleh merosakkan otak dan paru-paru.
“Kesihatan juga adalah aset paling beharga dan jangan bazirkan kesihatan di usia muda dengan tabiat yang merugikan,” ujarnya.
Pada masa sama, beliah juga mengingatkan bahawa seks bebas bukan sahaja bercanggah dengan agama dan budaya kita, malah boleh merosakkan masa depan pelajar. – Suara Timur
Semua berita yang disiarkan didalam Akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! merupakan tulisan penulis yang diolah oleh Biro Utusan Malaysia dan Kosmo! Terengganu.
Mereka terdiri daripada Wan Zulkifli Wan Yaakob, Azli Adlan, Radhuan Hussain dan Rosalinda Md. Said
Bermula Oktober 2019 menjadi penulis bebas
Bermula Mac 2025 ditawar menjadi wartawan sambilan dengan Portal Suara Timur
Dilahirkan di Kg Tasik Mengkuang, Kerandang, Besut, Terengganu.
Dibesarkan di Kemaman Terengganu.
Jawatan sukarela dan badan bukan kerajaan.
1. Menyertai Ikatan Relawan Rakyat Malaysia ( 1989 hingga sekarang )
2. Dilantik sebagai Timbalan Ketua Platun TRG 0219 dari tahun 1994 - 1998
3. Dilantik sebagai Ketua Kumpulan Elit dari Tahun 1994 - 1998
4. Pengasas Persatuan Belia Seri Jaya pada Tahun 1993
5. Pengerusi Persatuan Belia Seri Jaya dari Tahun 1994 - 2004
6. Pengasas UMNO Cawangan Kg Lot Seri Jaya pada Tahun 1994
7. Ketua UMNO Cawangan Kg Lot Seri Jaya dari Tahun 1994 - 1995
8. Timbalan Ketua UMNO Cawangan Kg Lot Seri Jaya dari Tahun 1995 hingga 2023.
9. Dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa MAYC Kawasan Kemaman dari Tahun 1998 hingga 2009.
10. Dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis Belia Daerah Kemaman dari Tahun 2000 - 2004
11. Dilantik Timbalan Pengerusi JKKK Kg Lot Seri Jaya dari Tahun 2005 hingga 31 Mac 2014.
12. Dilantik sebagai Pengerusi JKKK Kg Lot Seri Jaya dari bermula 1 April 2014 hingga 31 Mei 2018
Menjadi Ahli PAS dari Tahun 1987 - 1993