MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, November 08, 2025

Rozi dilantik Pengerusi Ketengah baharu

 

Rozi dilantik Pengerusi Ketengah baharu

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat diumum sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) yang baharu berkuat kuasa mulai 1 November lalu.

Pengumuman tersebut dibuat agensi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah itu menerusi media sosialnya hari ini, sekali gus menamatkan spekulasi selepas tempoh perkhidmatan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berakhir Mei lalu.

Menurut Ketengah, pelantikan itu akan terus memperkukuh peranan serta hala tuju strategik agensi itu dalam memacu kemajuan sosioekonomi dan pembangunan mampan di wilayah Terengganu Tengah.

“Dengan pengalaman luas, kepimpinan berwibawa serta komitmen tinggi yang dimiliki oleh Rozi, Ketengah yakin pelantikan ini akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu yang selari dengan agenda pembangunan negara dan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.

Rozi menggantikan Pengerusi Ketengah sementara, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar yang dilantik selepas perkhidmatan Ahmad Said berakhir. – Suara Timur

Trend kumpul ‘blind box’ beri tekanan kewangan kepada ibu bapa

 

Trend kumpul ‘blind box’ beri tekanan kewangan kepada ibu bapa

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KUALA TERENGGANU: Trend mengumpul barangan misteri atau ‘blind box’ semakin menjadi kegilaan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, namun dalam masa yang sama ia dilihat memberi tekanan kewangan kepada ibu bapa.

‘Blind box’ atau kotak misteri merujuk kepada permainan atau figura yang dijual tanpa pendedahan awal terhadap watak atau rekaan di dalamnya, menyebabkan pembeli perlu membeli berulang kali bagi melengkapkan koleksi.

Naib Presiden Kebangsaan (Timur) Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Datuk Mohd Faiz Zulkifli berkata, konsep jualan secara misteri itu mampu menimbulkan ketagihan, terutama dalam kalangan kanak-kanak yang belum matang dalam membuat pertimbangan kewangan.

“Elemen kejutan dalam ‘blind box’ memberi rasa keterujaan sementara, sama seperti mekanisme yang berlaku dalam perjudian ringan.

MOHD FAIZ ZULKIFLI

“Kanak-kanak akan terdorong membeli lagi bagi mendapatkan watak yang diingini,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, kesan trend itu kini bukan sekadar kepada kanak-kanak, tetapi turut memberi tekanan kepada ibu bapa yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan berlebihan demi memenuhi permintaan anak mereka.

“Ada ibu bapa yang sanggup berhabis ratusan ringgit setiap bulan hanya untuk memenuhi keinginan anak semata-mata tidak mahu anaknya merajuk atau bermasam muka.

“Ini boleh menjejaskan kestabilan ekonomi keluarga jika tidak dikawal,” katanya.

Jelasnya lagi, dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar ini trend baharu itu menyembunyikan isu yang jauh lebih besar iaitu ketidakpastian dalam jual beli, pembaziran wang, dan kesan sosial terhadap pengguna muda serta ibu bapa.

“Pada pandangan pertama, ia nampak seperti satu bentuk hiburan kecil atau koleksi menyeronokkan. Namun apabila diteliti secara mendalam ia banyak memberikan kesan tidak baik.

“Tambahan pula, fenomena ini semakin merebak di seluruh negara. Kedai-kedai menjual kotak misteri kini tumbuh ibarat cendawan selepas hujan, malah sebahagian besar menjadikan kanak-kanak dan remaja sebagai sasaran utama melalui iklan berwarna-warni dan strategi promosi yang memancing emosi, “ujar beliau.

Menurut Mohd Faiz, trend ini menambah kan lagi beban kewangan bagi keluarga B40.

“Ada ibu bapa yang mengeluh apabila anak-anak mendesak untuk membeli hanya kerana terpengaruh dengan video ‘unboxing’ yang tular di media sosial. Ia menjadi satu bentuk ‘perjudian kecil’ yang dibungkus dalam gaya permainan.

“Inilah yang membimbangkan MTPN. Fenomena sebegini bukan sekadar isu hiburan, tetapi menyentuh hak pengguna untuk mendapat maklumat yang jelas, hak untuk membuat pilihan bijak, serta hak untuk dilindungi daripada amalan pasaran yang menipu atau mengelirukan, “katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati harga satu ‘blind box’ boleh mencecah antara RM25 hingga RM80 bergantung kepada jenama dan edisi, malah ada yang dijual secara edisi terhad hingga mencecah ratusan ringgit di pasaran.

Seorang ibu, Roslina Alias, 36, berkata, anak perempuannya yang berusia sembilan tahun turut terpengaruh dengan trend tersebut selepas menonton video di media sosial.

Katanya, anaknya akan berusaha memujuknya untuk membeli setiap koleksi figura kegemarannya untuk disimpan.

“Dia sanggup tak berbelanja di kantin sekolah semata-mata mahu kumpul duit untuk beli ‘blind box’.

“Pernah juga saya belikan dia satu kotak blind box harga RM50 semata-mata tak mahu lihat dia bermasam muka dan mahu mengelak tertekan dengan keadaan itu,” katanya. – Suara Timur

Khamis, November 06, 2025

Enam buah rumah rosak ditimpa ribut

 

Enam buah rumah rosak ditimpa ribut

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kira-kira enam buah rumah mengalami kerosakan teruk dalam kejadian  ribut yang melanda kawasan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Binjai di sini petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Rumah Murah / Taman Semarak Binjai, Mohd Shahrir Abdul Rahman berkata, kejadian ribut secara tiba-tiba itu berlaku pada pukul 1.15 petang.

“Saya menerima panggilan telefon pukul 1.30 petang daripada anak seorang warga emas, Zaleha Abdul Hamid, 71, yang memaklumkan rumah ibunya mengalami kerosakan apabila bumbung rumah mereka tercabut akibat ditiup angin kencang.

PENDUDUK membaiki bumbung rumah yang rosak dalam kejadian ribut di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Binjai, Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Ketika kejadian saya berada di tempat kerja dan terus ke lokasi kejadian. Apabila saya sampai didapati banyak bumbung yang rosak dan pecah.

“Saya dimaklumkan oleh Zaleha, kejadian berlaku terlalu pantas dalam masa beberapa saat sahaja.

KEADAAN bumbung rumah yang rosak dalam kejadian ribut di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Binjai, Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Beliau dengar bunyi kuat dari bahagian bumbung seperti orang berlari tetapi sekejap sahaja,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Suara Timur di PAKR Binjai mendapati sekurang kurangnya enam buah rumah  mengalami kerosakan di bahagian bumbung.

MOHD Hafiz Adam (dua, kiri) meninjau kerosakan rumah akibat ribut di Kawasan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Binjai, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam ketika ditemui hari ini berkata, anggaran kerugian dalam kejadian ribut itu masib tidak dapat dikenal pasti.

Bagaimanapun, katanya, pihak pejabat ADUN akan segera membantu mengganti bumbung yang rosak untuk keselesaan penghuni rumah.

“Tindakan kita meminta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) membuat satu laporan terperinci mengenai kerosakan supaya kita boleh ambil tindakan melaporkan kepada Jawatankuasa Bencana Alam Daerah untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – Suara Timur

Penduduk bimbang kemunculan seekor gajah liar

 

Penduduk bimbang kemunculan seekor gajah liar

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Kira-kira 300 keluarga di Kampung Dendang di sini berada dalam kebimbangan setelah kemunculan seekor gajah liar yang berkeliaran di kawasan kediaman mereka sejak tiga hari lalu.

Kehadiran mamalia liar itu bukan sahaja merosakan tanaman penduduk, malah mengancam keselamatan mereka.

Menurut penduduk, kejadian tersebut adalah kali kedua berlaku sejak kemunculan pertama haiwan liar itu pada 30 tahun lalu.

Gajah liar itu dikesan memasuki kawasan kebun dan kediaman penduduk pada waktu malam dan awal pagi.

SEBAHAGIAN pokok pisang yang dimusnahkan seekor gajah liar di 300 keluarga di Kampung Dendang, Dungun. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Seorang penduduk, Abdul Malik Abdul Rani ketika ditemui hari ini berkata, gajah liar itu berkeliaran kira-kira 30 meter dari rumah penduduk dan keadaan tersebut mencetuskan kebimbangan penduduk.

“Saya dan keluarga memang bimbang keselamatan kami kerana gajah liar itu berkeliaran bedekatan rumah,” katanya.

ABDUL MALIK  ABDUL RANI

Seorang lagi penduduk, Mohd Marzuki Mohamad berkata, dia juga pernah menjumpai tapak kaki gajah liar tersebut di kampung itu.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu kerana bimbang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

MOHD MARZUKI MOHAMAD

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman ketika dihubungi memberitahu, beliau telah melaporkan kejadian gajah berkeliaran di kampung itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, (PERHILITAN), Daerah Dungun untuk tindakan lanjut.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan penduduk supaya tidak memasuki kawasan kebun pada waktu petang dan malam bagi mengelakkan sebarang sebarang kejadian tidak diingini. – Suara Timur

MTL: Persatuan Alumni Ranaco Group adakan latihan simulasi banjir

 

MTL: Persatuan Alumni Ranaco Group adakan latihan simulasi banjir

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Persatuan Alumni Ranaco Group mengadakan Program Latihan Simulasi Bencana Banjir, Menyelamat dan Pertolongan Cemas Peringkat Ranaco Group 2025 di Pusat Latihan Ranaco Group, Kawasan Perindustrian Jakar di sini bagi persediaan menghadapi banjir dalam Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula tidak lama lagi.

Program latihan simulasi itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Kemaman dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kemaman, semalam

Pegawai Jabatan Pertukaran Perindustrian (IED) selaku Penasihat Persatuan Alumni Ranaco Group, Abdul Malek Abd. Hamid berkata, program tahunan ini bertujuan memastikan sukarelawan, khususnya pelajar Ranaco Group bersedia menghadapi sebarang bencana alam seperti banjir, sejajar dengan usaha institusi dalam membina modal insan yang berkemahiran dan berdaya tahan. 

SEBAHAGIAN daripada peserta Program Latihan Simulasi Bencana Banjir, Menyelamat dan Pertolongan Cemas Peringkat Ranaco Group 2025 di Pusat Latihan Ranaco Group, Kawasan Perindustrian Jakar, Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Sejak penubuhannya pada 2018, program ini telah menjadi platform latihan praktikal kepada sukarelawan Khidmat Sosial Masyarakat (CSR) Ranaco Group untuk mereka diberi peluang memahami proses operasi semasa bencana, pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS) serta pemulihan pasca-bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas tamat Program Latihan Simulasi Bencana Banjir, Menyelamat dan Pertolongan Cemas Peringkat Ranaco Group 2025 di Kolam Latihan Ranaco Group, Kawasan Perindustrian Jakar di sini, petang semalam.

Menurut Abdul Malek, seramai 500 sukarelawan terdiri daripada pelajar diploma dan persijilan Ranaco pada tahun ini.

ABDUL Malek Abd. Hamid (kiri), Mislaiha A. Ghani (dua, kiri) dan Kasyfi Syahmi Ghazali (tengah) bergambar selepas tamat Program Latihan Simulasi Bencana Banjir, Menyelamat dan Pertolongan Cemas Peringkat Ranaco Group 2025 di Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Jelasnya, peserta itu terdiri daripada pelajar Ranaco Education and Training Institute Sdn. Bhd. (RETI), Ranaco Seafarer Training Centre (RSTC), Ranaco Vocational Training Centre (RVTC) dan Security-Safety, Health, Environmental & Quality (S-SHEQ).

Katanya, program tersebut turut disertai pelajar Kolej Vokasional Wakaf Tembesu, Kuala Terengganu, Agensi Bantuan Malaysia (MRA), Persatuan Bulan Sabit Merah, Kelab Profesional Muda (YPC) Petronas dan Kelab Radio Amatur dan Rekreasi Terengganu.

“Program latihan satu hari ini menjadi medan bagi peserta daripada pelbagai bidang untuk menguji ketahanan mental apabila berdepan situasi sebenar banjir,” katanya.

Selain itu, Abdul Malek memberitahu, simulasi banjir juga penting dalam mewujudkan koordinasi, komunikasi dan kesefahaman antara semua agensi penyelamat.

PESERTA Program Latihan Simulasi Bencana Banjir, Menyelamat dan Pertolongan Cemas Peringkat Ranaco Group 2025 diberi taklimat persediaan menghadapi banjir di Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Para peserta turut diajar panduan tatacara pendaftaran mangsa banjir di Pusat Permindahan Sementara (PPS), tatacara agihan barangan banjir, tatacara persiapan khemah mangsa banjir, persiapan bilik mangsa pemindahan banjir, kit makanan banjir dan packing kit barangan bantuan serta psikologi kanak-kanak dan warga emas mangsa banjir oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman,” ujarnya.

Jelas Abdul Malek, peserta juga didedahkan dengan pelbagai teknik supaya mereka bersedia apabila berdepan situasi sebenar.

“Selain itu, antara perkara yang turut dititikberatkan dalam program simulasi banjir ini adalah berkaitan aspek keselamatan supaya masyarakat yakin dengan keupayaan anggota sukarelawan dalam melaksanakan operasi menyelamat.

“Kehadiran agensi-agensi ini membolehkan sukarelawan bertukar pengalaman, mempelajari strategi operasi kecemasan, serta membina keyakinan untuk berkhidmat semasa bencana sebenar. Aktiviti simulasi termasuk latihan pemindahan mangsa, pengurusan logistik di pusat pemindahan sementara, serta koordinasi pasca banjir untuk memastikan mangsa menerima bantuan yang cepat dan sistematik. 

“Peserta juga menjalani latihan berenang untuk menambah keyakinan diri peserta supaya mereka tidak ‘segan’ dengan air, malah sekiranya berdepan situasi tidak diingini, sekurang-kurangnya mereka tahu untuk menyelamatkan diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata, Ranaco Group berharap program ini akan terus memberi impak positif kepada pelajar dan masyarakat, serta menjadi contoh inisiatif tanggungjawab sosial institusi pendidikan dalam menghadapi cabaran bencana di masa depan. – Suara Timur

Wanita penghantar barang rugi RM9,000 ditipu penyamaran polis

 

Wanita penghantar barang rugi RM9,000 ditipu penyamaran polis

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang wanita penghantar barang mengalami kerugian keseluruhan RM9,000 setelah terpedaya dengan penipuan penyamaran sebagai polis dalam talian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, mangsa berusia 35 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki pada 4 November yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

Menurutnya, anggota polis yang membuat panggilan itu menawarkan bantuan untuk membebaskan adik pengadu yang ditahan kerana terlibat dengan kesalahan jenayah dan diminta untuk membuat bayaran sebagai wang jaminan.

Katanya, sehubungan itu, mangsa telah melakukan dua kali transaksi ke dalam satu akaun bank yang sama berjumlah keseluruhan RM9,000 pada 4 November hingga 5 November lalu.

“Mangsa rasa tertipu dengan perkara tersebut setelah membuat semakan dengan pegawai penyiasat yang menafikan ada menghubungi dan mengarahkan mangsa untuk membuat bayaran bagi membebaskan adiknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Muhamad  memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon yang menyamar sebagai penguat kuasa, pegawai bank atau wakil mana-mana agensi.

Tambahnya, sahkan maklumat dengan menghubungi pihak berkuasa menggunakan nombor rasmi di laman web atau sumber yang sahih.

“Mangsa boleh hubungi Nasional Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 untuk membuat laporan atau pengesahan segera,” ujarnya. – Suara Timur

MTL: Bomba siap siaga hadapi banjir

 

MTL: Bomba siap siaga hadapi banjir

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Zon Dua, Terengganu berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir pada Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula tidak lama lagi.

Pegawai Zon Dua, JBPM Terengganu, Penguasa Bomba, Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa kawasan panas atau tempat sering berlaku banjir di daerah Kemaman dan Dungun bagi tujuan pemantauan.

Menurutnya, antara kawasan yang dikenal pasti di daerah Kemaman ialah Kampung Teladas, Air Putih, Perumahan Telok Kalong, Padang Kubu, Kemasik dan Kampung Tebak.

Sementara katanya,  kampung yang sering terjejas daerah Dungun ialah Kampung Pasir Raja, Syukur, Jongok Batu dan beberapa kawasan di bandar Dungun.

SEBAHAGIAN daripada peserta kursus Program Latihan Simulasi Bencana Banjir, Menyelamat dan Pertolongan Cemas Peringkat Ranaco Group 2025 di Kolam Latihan Ranaco Group, Kawasan Perindustrian Jakar, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau berkata demikian kepada media selepas tamat Program Latihan Simulasi Bencana Banjir, Menyelamat dan Pertolongan Cemas Peringkat Ranaco Group 2025 di Kolam Latihan Ranaco Group, Kawasan Perindustrian Jakar di sini, petang semalam.

Hadir sama Ketua Eksekutif Institut Latihan dan Pendidikan Ranaco (RETI), Mislaiha A. Ghani dan Pegawai Jabatan Pertukaran Perindustrian (IED) selaku Penasihat Persatuan Alumni Ranaco Group, Abdul Malek Abd. Hamid.

MISLAIHA A. Ghani (kiri)  dan Kasyfi Syahmi Ghazali (tengah) bergambar selepas tamat Program Latihan Simulasi Bencana Banjir, Menyelamat dan Pertolongan Cemas Peringkat Ranaco Group 2025 di Kolam Latihan Ranaco Group, Kawasan Perindustrian Jakar, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Kasyfi Syahmi berkata, penduduk yang tinggal berisiko banjir kawasan disaran supaya sentiasa berwaspada dengan sebarang kemungkinan yang berlaku dan sentiasa menyimpan apa jenis dokumen yang penting sebagai contoh kad pengenalan, sijil lahir dan sebagainya di tempat selamat.

Menurutnya, seramai 320 pegawai dan anggota diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi banjir dalam tempoh MTL itu.

“Bagi tujuan operasi pemindahan penduduk terjejas, JBPM,  Zon Dua, Terengganu akan menggunakan kekuatan sebanyak 16 buah pacuan empat roda dan lori serta 20 buah bot dan semua aset berkenaan ditempatkan di lima buah balai JBPM di Kemaman dan tiga di Dungun,” katanya. – Suara Timur

Rabu, November 05, 2025

Empat warga Indonesia ceroboh pelantar minyak tidak berpenghuni ditahan

 

Empat warga Indonesia ceroboh pelantar minyak tidak berpenghuni ditahan

0 komen  
A+A-

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman menahan empat lelaki warga Indonesia kerana menceroboh sebuah pelantar minyak tidak berpenghuni di kedudukan kira-kira 139 batu nautika timur laut Kuala Kemaman, kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, penahanan tersebut dilakukan selepas pihak Maritim Malaysia menerima aduan daripada sebuah syarikat minyak dan gas tempatan yang merupakan pemilik pelantar berkenaan pada 31 Oktober lalu.

Menurutny, sejurus menerima aduan tersebut, aset Maritim Malaysia iaitu KM SEBATIK telah diaturgerak ke lokasi pelantar dan tiba di kawasan kejadian pada pagi 1 November.

Abdul Halim berkata, pemeriksaan awal oleh pasukan penggeledah bersama pihak pelantar mendapati beberapa kabel elektrik di pelantar tersebut telah dipotong, namun tiada individu ditemui pada hari pertama operasi.

Tambah beliau, pemeriksaan susulan yang dijalankan pada hari berikutnya mendapati kabel yang dipotong sehari sebelumnya telah digulung dan disusun rapi.

“Hasil pemeriksaan menyeluruh menemui empat lelaki warga Indonesia berusia antara 27 hingga 62 tahun yang bersembunyi di belakang ruang pengudaraan. Turut ditemui beberapa peralatan yang digunakan bagi kegiatan mencuri kabel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku menaiki pelantar tersebut untuk mencuri kabel elektrik.

“Mereka kemudian ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman bagi tujuan siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat,” katanya.

Tambahnya, Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan dan penguatkuasaan di perairan negara bagi memastikan keselamatan aset-aset strategik negara daripada sebarang bentuk pencerobohan atau aktiviti jenayah maritim. – Suara Timur

Bekas Panglima Tentera Gerakan PULO, Ruslan Jambu Rendang meninggal dunia di Malaysia

 

Bekas Panglima Tentera Gerakan PULO, Ruslan Jambu Rendang meninggal dunia di Malaysia

0 komen  

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

PATTANI (Selatan Thailand): Bekas Panglima Tentera Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO), Abdul Malik Yunus, atau lebih dikenali sebagai Ruslan Jambu Rendang meninggal dunia di Malaysia pada jam 9 malam, 1 November lalu.

Menurut kenyataan tersebut, Allahyarham meninggal dunia akibat uzur dan sakit tua setelah sekian lama menjalani rawatan di Malaysia.

Allahyarham Ruslan Jambu Rendang merupakan antara tokoh penting dalam kepimpinan sayap ketenteraan PULO, dan memainkan peranan besar dalam perjuangan kemerdekaan Pattani pada era 1980-an dan 1990-an.

Beliau dikenang oleh rakan seperjuangan sebagai seorang pemimpin yang berdisiplin, tegas, dan setia terhadap perjuangan bangsanya.

Sebelum ini, Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (PULO) turut mengeluarkan surat takziah rasmi bagi menzahirkan rasa dukacita dan penghormatan atas jasa serta pengorbanan Allahyarham terhadap perjuangan rakyat Pattani.

Pemergian beliau dianggap sebagai kehilangan besar bagi gerakan perjuangan Patani, namun semangat dan prinsip perjuangannya diyakini akan terus menjadi inspirasi generasi baharu. – Suara Timur

Ahad, November 02, 2025

Graduan RETI mudah dapat tawaran kerja

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Pelajar Diploma In Occupational Safety and Health (DIOSH), Muhammad Amirul Hadi Mat Ali menerima Anugerah Khas Kapten Ramlan dan Anugerah Perdana Tahun 2024 pada Majlis Konvokesyen Ke-14 Ranaco Education and Training Institute (RETI)  dan Ranaco Marine Sdn. Bhd. (RMSB) di Dewan Dato’ Seri Tuan Guru, Darul Iman Training Centre (DITC), Telok Kalong, di sini, semalam.

Muhammad Amirul Hadi, 31, dari Kota Bharu, Kelantan kini  bertugas sebagai Safety Technician, Petronas Gas Bhd di Kerteh dekat sini setelah menamatkan pengajian di peringkat diploma tahun lalu

Beliau berkata, sebelum diterima kerja, graduan Diploma In Occupational Safety And Health (DIOSH) di RETI itu menjalani latihan praktikal di Geowell Sdn. Bhd. dalam tempoh tiga bulan dan Gissco Sdn. Bhd. selama sembilan bulan beliau terus diterima kerja.

“Selama mengikuti pengajian, saya sentiasa mendapat sokongan padu daripada ibu-bapa, selain sistem pembelajaran yang mudah difahami dan tunjuk ajar daripada tenaga pengajar serta rakan-rakan membolehkannya mendapat 4.00 dalam Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK).

KAPTEN Abdul Aziz Abdullah (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaam kepada Penerima Anugerah Kapten Ramlan dan Anugerah Perdana Tahun 2024, Muhammad Amirul Hadi Mat Ali pada Majlis Konvokesyen Ke-14 RETI dan RMSB di Telok Kalong, Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Saya juga dapati sistem pembelajaran mudah difahami serta dapat tunjuk ajar daripada tenaga pengajar dan rakan-rakan walaupun di luar waktu belajar, semua ini membantu saya mendapat keputusan cemerlang,” katanya ketika ditemui Suara Timur dalam majlis konvokesyen itu.

Muhammad Amirul  memberitahu, beliau berminat melanjutkan pengajian di RETI setelah mendapat maklumat daripada rakannya, seorang bekas tenaga pengajar RETI yang memaklumkan graduan lepasan pusat latihan itu lebih mudah mendapat pekerjaan berbanding lepasan institusi pendidikan tinggi swasta lain.

Tambahnya, RETI menyediakan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan tiada jurang antara tenaga pengajar dengan pelajar.

“Malah saya juga berhasrat menyambung pengajian ke peringkat ijazah setelah di RETI kelak,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Khas Kapten Ramlan 2025 Puteri Nurul Liyana Ibrahim, 23, pula berkata, sebelum menyertai RETI pada tahun 2022, beliau terlebih dahulu membuat penyelidikan di media sosial mengenai jurusan yang ingin diambil iaitu Diploma in Occupational Safety and Health.

KAPTEN Abdul Aziz Abdullah (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaam kepada penerima Anugerah Kapten Ramlan dan Anugerah Perdana Tahun 2024, Puteri Nurul Liyana Ibrahim pada Majlis Konvokesyen Ke-14 RETI dan RMSB di Telok Kalong, Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Saya mula melakukan penyelidikan terperinci dan bertanyakan kepada kenalan-kenalan tentang program tersebut di Ranaco. RETI juga salah satu institut yang popular yang saya ketahui memandangkan terdapat kenalan yang turut menuntut ilmu di institut pengajian tinggi itu.

Anak bongsu daripada lima beradik berasal dari Dungun, yang mendapat 3.90 PNGK berkata, sepanjang tiga tahun bersama RETI, beliau bukan sahaja menjadi tempat untuk menuntut ilmu, malah memberi impak besar dalam membentuk jati dirinya untuk terus melangkah ke hadapan.

“Saya turut diberi peluang memegang jawatan dalam organisasi pelajar, di samping aktif melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti seperti sukan, permainan, dan program kemanusiaan,” ujarnya.

“Selain itu, pengalaman ini juga mengeratkan hubungan antara pelajar, pensyarah, serta kakitangan di RETI, menjadikan suasana pembelajaran lebih mesra dan bermakna,” katanya.

Menurut Puteri Nurul Liyana, sebelum memulakan pekerjaan, beliau telah menjalankan praktikal di syarikat Geowell Sdn. Bhd. selama satu tahun dan pada masa yang sama mendapat tawaran dari syarikat sama untuk bekerja bersama mereka.

Anak pasangan Fazaiah @ Fauziah Hussain dan Ibrahim Jusoh berkata, bagi mencapai cita-cita menjadi Safety and Health Officer dan Business Owner, beliau akan menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya, cuma belum tentu lagi bila akan mulakan.

Pada konvokesyen itu, seramai 583 graduan menerima sijil kemahiran dan diploma masing-masing dalam Majlis Konvokesyen Ke-14 RETI dan RMSB yang disempurnakan oleh Canselor RETI, Kapten Abdul Aziz Abdullah.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Ranaco Group, Syafiq Asyraf Mohd Yusup, Ketua Eksekutif RETI, Mislaiha A. Ghani dan Pengurus RMSB, Jasrin Mohd Radin. – Suara Timur

Wanita patah jari kaki tergelincir daki Air Terjun Janda Mandi

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : Seorang wanita mengalami patah jari kaki kanan selepas tergelincir ketika melakukan aktiviti pendakian di kawasan Air Terjun Janda Mandi, di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Hanif Che Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.03 tengah hari sebelum sembilan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.

“Difahamkan, mangsa yang berusia 49 tahun itu ditemani rakannya mendaki bukit tersebut. Ketika melalui laluan berbatu, mangsa tiba-tiba tergelincir menyebabkan salah satu jari kakinya dipercayai patah hingga menyukarkan mangsa untuk berjalan.

“Kita membawa turun mangsa ke kaki bukit dengan menggunakan pengusung sejauh kira-kira dua kilometer dari kawasan bukit berketinggian kira-kira 80 meter,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mohamad Hanif berkata, operasi menyelamatkan mangsa mengambil masa kira-kira satu jam melalui kawasan belukar dan lereng bukit yang curam serta licin.

“Meskipun berdepan sedikit kesukaran, kami berjaya menyelamatkan mangsa dan wanita itu kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut,” katanya. – Suara Timur