MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Selasa, September 09, 2025

Pelajar mengaku salah cederakan rakan kolej

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Dua pelajar lelaki berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan menyebabkan kecederaan seorang rakan kolej mereka di sebuah kolej vokasional, Mei lalu.

Kedua-dua pelajar tingkatan lima itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin dalam prosiding tertutup.

Mengikut pertuduhan, mereka dengan sengaja menumbuk badan, menyepak kaki dan punggung mangsa lelaki berusia 17 tahun di koridor asrama kolej berkenaan kira-kira 12.30 tengah malam pada 27 Mei.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan masing-masing diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin serta menetapkan 1 Oktober ini untuk laporan akhlak dan jatuh hukum.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi manakala kedua-dua pelajar diwakili peguam Nurul Farhana Shamsudin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.  – Suara Timur

Tidak wajar lakukan serangan siber terhadap Dr Jessie -Dr Dzulkefly

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius isu erangan siber terhadap Pakar Patalogi Forensik, Dr Jessie Hui susulan keterangan yang dibuatnya mengenai inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, serangan terhadap pakar perubatan yang menjalankan tugas secara profesional adalah tidak wajar dan hanya akan mencemarkan martabat profesion perubatan di negara kita.

“Saya memandang serius isu pembulian siber yang menimpa Dr Jessie Hui.

“Saya ingin tegaskan setiap pihak harus menghormati proses kehakiman yang sedang berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Intan Minister’s Conversation Reformasi Pembiayaan Kesihatan di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Wilayah Timur, di sini, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, dalam masa yang sama, pihaknya berharap integriti dan kredebiliti profesion perubatan yang berkhidmat berdasarkan fakta dan prinsip sains juga wajar dihormati dan diiktiraf.

“Kita boleh pertikai apa-apa sahaja, tak mengapa… tetapi sampai ke paras buli secara siber itu, bagi saya sangat tidak wajar,” katanya.

Pada Sabtu lalu, media melaporkan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, Dr Jessie tampil membuat laporan polis selepas menerima ugutan di media sosial.

Menurutnya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). – Suara Timur