MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, Oktober 11, 2025

Pesta Gagar Udang Kemaman tarikan pelancongan baharu

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Pesta Gagar Udang Kemaman 2025 yang berlangsung di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, di sini, melabuh tirai hari ini dengan penuh warna-warni dan meninggalkan kenangan indah kepada setiap para peserta dari dalam dan luar Terengganu.

Pesta ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga platform untuk meraikan keunikan budaya kampung, cita rasa tradisi, dan hasil laut segar yang sinonim dengan daerah Kemaman.

Dengan pelbagai acara menarik seperti pertandingan memasak udang galah, memancing dalam sunga dan atas tebing, pertandingan tangkap udang (gagar udang), hiking, RC Crawler, sukan air dan pertandingan mewarna kanak-kanak.

SEBAHAGIAN daripada peserta memeriahkan Pesta Gagar Udang Kemaman 2025 di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Selain itu, turut diadakan petandingan udang cantik (udang pelihara), pertandingan anyam ketupat nasi dan pulut, demonstrasi cucuk atap nipah, anyam tikar mengkuang, demonstrasi permainan tradisi dan makanan tradisional, persembahan budaya dan cabutan bertuah.

Program dua hari bermula semalam merupakan penganjuran kali kedua selepas kali pertama diadakan tahun lepas.

Perasmiannya disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris.

SEBAHAGIAN daripada peserta termasuk pelancong dari luar Terengganu yang menyertai Pesta Gagar Udang Kemaman 2025 di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata,  seramai 5,000 peserta dan pengunjung termasuk dari luar Terengganu hadir memeriahkan program tersebut.

“Pesta ini bukan sahaja memupuk semangat kebersamaan masyarakat, tetapi turut mempromosikan kekayaan hasil laut serta budaya kampung yang menjadi identiti daerah Kemaman.

SEORANG peserta menunjukkan seekor udang yang berjaya ditangkap pada Pesta Gagar Udang Kemaman 2025 di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Sukan air merupakan aktiviti yang mencabar seperti panjat tiang, lumba bot faber, tangkap itik, menyelam, tarik tali, pukul bantal.

“Sukan air kali ini menjanjikan keseronokan berganda dari sukan lumba perahu hingga sukan panjat tiang licin, semuanya menggabungkan kekuatan, keseimbangan dan kerja berpasukan,” katanya ketika ditemui Suara Timur, hari ini.

MOHD Hafiz Adam menyalakan meriam buluh pada Pesta Gagar Udang di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, Kemaman, hari ini. –  SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Pesta gagar udang mempertandingkan sembilan kategori iaitu tangkap udang terpantas, udang terbanyak dan paling berat, seekor udang terberat, tertangkap ikan baung, tertangkap ikan terebur, masakan udang galah, udang galah cantik (udang pelihara), memancing (sungai) dan memancing udang galah (tebing).

Mohd Hafiz berkata, gagar udang merupakan tangkap udang dengan tangan yang memerlukan kemahiran tinggi dan menguji keberanian, kepekaan serta emosi.

PERTANDINGAN  anyam ketupat turut diadakan bagi memeriahkan Pesta Gagar Udang di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Jelasnya, aktiviti tersebut juga salah satu warisan budaya turun-temurun yang hampir pupus dan perlu dihidupkan semula agar generasi baru dapat menghayati cara orang terdahulu menangkap udang sebelum adanya kemudahan seperti sekarang

“Program gagar udang boleh menjadi satu tarikan pelancongan bagi negeri Terengganu dan khususnya bagi daerah Kemaman, selain secara tidak langsung dapat memperkenalkan produk kampung dan kawasan pelancongan baharu,” ujarnya.

SEBAHAGIAN daripada peserta acara tangkap itik sempena Pesta Gagar Udang di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Malah, tambahnya, Pesta Gagar Udang Kemaman juga telah dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Negeri oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT).

Menurutnya, JPNT turut meluluskan peruntukan RM50,000 bagi menurap tar di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, Kemaman.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris meluluskan sebanyak RM15,000 sebagai tambahan bagi program Pesta Gagar Udang tahun ini. – Suara Timur

Pengusaha kedai makan, isteri maut kemalangan

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang pengusaha kedai makan dan isteri meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 162.9 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Maran, Pahang,  malam tadi.

Kemalangan dipercayai berlaku lebih kurang pukul 7.30 petang ketika mangsa, Aziz Awang, 68, bersama isteri yang mengusahakan Warung Aziz Satar, Kampung Geliga Kuala Kemaman di sini dan seorang cucu serta tiga pekerja dalam perjalanan dari arah Cameron Highlands, Pahang menghala ke arah Kemaman, Terengganu.

Apabila sampai di tempat kejadian, cuaca hujan lebat ketika kenderaan mangsa bergerak lurus di lorong kiri tiba-tiba kenderaan mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke longkang di sebelah kiri jalan.

KEADAAN mayat salah seorang daripada pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 162.9 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Maran, Pahang, malam tadi.

Akibat daripada kemalangan ini mangsa dan isteri, Hasnah Mat Nong, 64, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas ambulan Kementerian Kesihatan Malaysia dan mayat mangsa di bawa ke Unit Forensik Hospital Jengka untuk bedah siasat.

Sementara itu, pekerja warung, Che Siti Suhaida Che Amat, 27, dan Rohani Chik, 65, dari Kampung Payoh, Kijal serta Noraini Mamat, 45, Kampung Geliga Besar dibawa ke Hospital Termeloh untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Seorang lagi mangsa, Nor Ayra Qaisara Ahmad Iduwan, 8, iaitu anak salah seorang pekerja terlibat.

Jenazah pasangan itu disembahyangkan di Masjid Kuala Kemaman dan kebumikan di Tanah Perkuburan Kuala Kemaman di sini pagi ini. – Suara Timur

Jumaat, Oktober 10, 2025

BUDI95: Nelayan Terengganu bersyukur, berterima kasih kepada kerajaan

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Para nelayan di Terengganu menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang memberikan subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) kepada mereka sejak awal bulan ini.

Mereka amat gembira kerana selain telah mendapat subsidi bahan api nelayan berharga RM1.65 sen seliter melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan, kini diberikan pula subsidi BUDI95 dengan harga RM1.99 sen seliter.

Mereka berasa bertuah kerana mendapat dua subsidi sekaligus yang dapat meringankan beban tanggungan mereka dalam menjalani rutin harian menangkap ikan di laut dan urusan seharian lain.

Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu, Mat Yassin Mohamad berkata, melalui dua subsidi itu ianya membuktikan keperihatinan kerajaan dalam membantu meringankan para nelayan.

“Terima kasihlah kepada pihak Kerajaan Madani yang pertama sekali subsidi BUDI95 yang diberikan 300 liter sebulan untuk kegunaan rakyat.

MAT YASSIN MOHAMAD

“Bagi nelayan, mereka ada dua subsidi satu subsidi kerajaan untuk nelayan berharga RM1.65 untuk bot. Jadi setakat ni kita dalam proses orang kata kemas kini balik supaya ia tidak bertindih antara BUDI95 dengan subsidi yang diberikan kerajaan sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada Program Rahmah Mesra Madani Bersama Nelayan Dungun di sini, hari ini

Mat Yassin yang juga Pengerusi Persatuan Nelayan Dungun berkata, pihaknya dan LKIM sedang giat mengemas kini data bagi memastikan semua nelayan yang layak mendapat subsidi BUDI95.

Sementara itu, seorang pengusaha bot nelayan, Mohd Muslim Hashim berkata, langkah kerajaan menyalurkan subsidi BUDI95, selain subsidi sedia ada membuktikan kerajaan memahami keperluan para nelayan.

MOHD MUSLIM HASHIM

“Terima kasih kepada kerajaan Madani yang telah memberikan bantuan subsidi petrol BUDI95 kepada kami golongan nelayan.

“Alhamdulillah sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami semua. Selain itu kami juga ingin mencadangkan supaya pihak kerajaan boleh mengkaji semula bantuan minyak kepada bot-bot kecil,” katanya.

Seorang lagi nelayan, Alaudin Ali, pula menyambut baik dan berterima kasih kepada kerajaan yang turut memberikan subsidi petrol BUDI95 itu sebagai tambahan kepada subsidi nelayan sedia ada yang dilihat dapat meringankan beban kos operasi harian nelayan.

ALAUDIN ALI

“Inisiatif yang diberikan kerajaan melalui PMX ini dapat meringankan bebanan, kedua-dua subsidi ini memberi melegakan warga nelayan bukan setakat di Dungun sahaja tetapi di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Serawak,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, sehingga kini terdapat seramai 17,900 nelayan di seluruh negara telah mendapat BUDI95.

Menurut Muhammad Faiz, para nelayan perlu bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang telah memberikan dua subsidi secara serentak dan perlu menggunakannya secara berintegriti.

MUHAMMAD FAIZ FADZIL

“Yang wajib mereka dapat mengikut kuota RM1.65 tetapi mengikut kuota RM1.99 mereka dapat 300 liter dahulu dan selebihnya nanti baharulah mereka membeli mengikut harga pasaran.

“Jadi tidak timbul sebenarnya para nelayan tidak mendapat subsidi minyak petrol itu tidak benar. Malah mereka mendapat dua manafaat iaitu subsidi asal dan juga subsidi tambahan mengikut pelarasan baharu secara bersasar ini,” jelasnya.

Menurutnya, dua subsidi itu dilihat amat mencukupi bagi menampung kos operasi para nelayan di laut serta kehidupan mereka. – Suara Timur

Khamis, Oktober 09, 2025

Lelaki pandu lori secara bahaya ditahan

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Tindakan seorang lelaki memandu lori secara bahaya bagi mengelak ditahan polis mengundang padah selepas dia berjaya diberkas polis petang semalam.

Video kejadian itu turut sempat dirakamkan oleh pengguna jalan raya yang melihat kejadian itu dan tular di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi memberitahu, kejadian berlaku di Jalan Kilang Kerteh 2, di sini, pada pukul 12.10 tengah hari.

Menurutnya, ketika kejadian, sebuah kereta peronda polis sedang melakukan rondaan rutin di laluan tersebut.

“Kereta peronda polis kemudiaanya terserempak dengan sebuah lori yang membawa muatan buah kelapa sawit yang tidak mempunyai nombor pendaftaran dan mengarahkan pemandunya yang berumur 47 tahun untuk memberhentikan kenderaannya.

“Namun, pemandu lori terbabit bertindak memandu lorinya secara berbahaya ke kiri dan ke kanan jalan bagi mengelak ditahan.

“Setelah mengekori sejauh hampir satu kilometer, lori itu kemudiannya membelok ke kiri jalan dan melarikan diri ke arah ladang kelapa sawit,” katanya.

Maizura berkata, suspek telah ditahan pada pukul 7 petang setelah hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk memberi keterangan.

Tambahnya, pada masa yang sama, polis turut merampas sebuah lori manakala lelaki terbabit direman sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” ujarnya. – Suara Timur

Musim tengkujuh: Bekalan ikan dijamin cukup

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN:  Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan bekalan ikan untuk sepanjang musim tengkujuh ini mencukupi khususnya bagi kegunaan rakyat di seluruh negara.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil, berkata, pihaknya telah membuat persediaan rapi bagi memastikan bekalan ikan mengcukupi bagi tempoh berkenaan atau sekurang-kurangnya untuk tiga bulan.

Muhammad Faiz berkata, sepanjang tempoh itu juga LKIM akan turut memastikan harga ikan di pasaran terus stabil sekaligus menjamin keperluan serta Kebajikan pengguna.

Menurutnya, bagi tujuan itu juga LKIM turut mengadakan kolaborasi atau kerjasama dengan pihak pemborong dan pembekal ikan swasta bagi tujuan menyimpan stok ikan supaya berkalan sentiasa cukup dan harganya stabil.

MUHAMMAD FAIZ FADZIL

“Berdasarkan dengan simpanan yang mereka ada, kita anggarkan kita ada lebih kurang 1,600 metrik tan ikan simpanan.

“Hasil daripada simpanan kita sendiri hampir 300 metrik tan dan pihak swasta ada kira-kira 1,600 metrik tan, dan apa yang kita harapkan dengan kerjasama ini kita akan dapat menghasilkan bekalan ikan yang cukup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Rahmah Mesra Madani Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Dungun di Dewan Serbaguna LKIM, di sini,  hari ini. 

MUHAMMAD Faiz Fadzil (barisan belakang, enam dari kanan) bergambar bersama penerima sumbangan bakul makanan pada Program Rahmah Mesra Madani Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Dungun di Dewan Serbaguna LKIM, Dungun,  hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Muhammad Faiz berkata, LKIM mengingatkan pemborong dan pihak swasta supaya tidak menaikkkan harga ikan sesuka hati bagi sepanjang tempoh berkenaan bagi menjamin keperluan dan hak pengguna.

Tambahnya, LKIM turut mengadakan kolaborasi bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi tujuan melakukan pemantauan harga dan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan.

Muhammad Faiz berkata, LKIM sememangnya bertanggungjawab untuk memastikan setiap rakyat Malaysia berhak mendapatkan bekalan keperluan ikan yang cukup dengan harga stabil di pasaran.

Dalam perkambangan lain, LKIM turut memberi sumbangan bakul makanan kepada 219 nelayan seluruh negara yang terjejas bencana banjir tahun ini dengan kos keseluruhan lebih RM16,000.00 di bawah Skim Bantuan Bencana Alam. – Suara Timur

150 buah rumah di Kemaman rosak ditimpa ribut

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : Kira-kira 150 buah rumah di daerah ini mengalami kerosakan dalam kejadian ribut dan hujan lebat yang melanda daerah ini, petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (Pengurusan Bencana) negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, kebanyakan rumah penduduk terlibat mengalami kerosakan terutamanya bahagian bumbung dalam kejadian ribut  pada pukul 3.30 petang itu.

Menurutnya, kampung-kampung terlibat terletak di kawasan Chukai, Air Putih, Kijal dan Kemasik 

“Kejadian ribut ini bermula dengan hujan lebat hampir 20 minit, disusuli angin kencang, kilat dan ribut kuat yang berlaku hanya beberapa minit menyebabkan banyak rumah penduduk yang terjejas.

“Kita telah memeriksa dan mengambil data rumah yang terlibat dan kerja-kerja pembaikian telah dilakukan segera oleh kontraktor dilantik. Kita jangka esok akan selesai semua kerja-kerja pembaikian ini kerana kita bimbang hujan akan kembali berlaku dan menyukarkan penduduk,” katanya ketika meninjau keadaan rumah penduduk di Chukai, hari ini.

Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Chukai berkata, setakat ini, jumlah  kerugian dialami penduduk masih dalam penilaian.

“Selain rumah penduduk yang mengalami kerosakan, kejadian ribut itu turut menyebabkan banyak pokok tumbang. Bagaimanapun pihak berkuasa dan pasukan penyelamat telah mengambil tindakan memotong pokok yang menghalang lalu lintas,” katanya.

Sementara itu salah seorang penduduk di Bandar Seri Bandi, Ahsun Mohamad Shari, 74, berkata, kejadian ribut itu menyebabkan separuh bumbung bahagian kediamannya diterbangkan angin.

“Ketika kejadian saya dan isteri, Mahsuri Senik,63, sedang berada di dapur. Kami dengar bunyi hujan yang sangat lebat dengan angin kencang. Kami agak takut untuk keluar kerana angin kencang yang sangat luar biasa.

“Bila angin dan hujan dah reda, kami  terkejut melihat separuh atap rumah bahagian bilik dan ruang tamu sudah terbang dan hanya berbumbungkan langit,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia kerugian hampir RM30,000 dan kesemua barangan peribadi, perabot dan tilam di empat buah bilik rumahnya juga rosak ditimpa hujan dan kayu yang berterbangan.

Bagi seorang penduduk di Kampung Binjai, Mohammad Shahrool Amir, 32, berkata, kejadian ribut itu turut menyebabkan berlaku hujan air batu di kawasan kampung tersebut.

“Di kawasan lain saya tak pasti berlaku hujan air batu atau tidak, tapi di kawasan Binjai ini memang berlaku hujan air batu dan ada juga penduduk yang sempat merakam gambar.

“Tak pernah berlaku hujan air batu dan ribut yang kuat di sini sebelum ini, kami agak bimbang kalau kejadian sama berulang kerana sudah dua hari berturut-turut hujan berlaku pada waktu petang,” katanya.  – Suara Timur

Rabu, Oktober 08, 2025

Rumah musnah terbakar, tiada mangsa terlibat

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN:  Sebuah rumah musnah dalam kejadian kebakaran di Jalan Teluk Kalong, Kijal dekat sini, pukul 3.30 petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Hanif Che Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran tersebut pada pukul 3.46 petang dan menggerakkan jentera ke lokasi kejadian sejauh 15 kilometer.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kebakaran, anggota bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran hose 300 kaki, satu breaching dengan dua pancutan air tangki jentera hingga pemadaman selesai.

ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah rumah di akaran di Jalan Teluk Kalong, Kijal, Kemaman, petang tadi. – SUARA TIMUR/ MUKHATAR A. RAHMAN

“Operasi pemadaman dengan kekuatan anggota seramai 14 orang dari BBP Chukai di bantu BBP Kijal dengan sebuah jentera bomba Fire Rescue Tender (FRT), sebuah kenderaan Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya dalam satu kenyataan kepada Suara Timur di sini, hari ini.

Mohd Hanif memberitahu, rumah jenis separuh kekal berhampiran sebuah homestay musnah kira-kira 90 peratus.

Tambahnya, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 4.41 petang dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 5.47 petang.

“Tiada mangsa yang terlibat dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. Suara Timur

Pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah rogol kanak-kanak perempuan

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di bandar Chukai di sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini, atas tiga pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun 10 bulan pada September lalu.

Tertuduh, Mohd Afizzafri Mohammed Residalan, 30, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Wan Suhaila Mohd.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki terbabit didakwa telah melakukan rogol terhadap kanak-kanak berkenaan pada bulan September lalu, kira-kira pukul 12 tengah malam hingga pukul 6 pagi di sebuah surau di Taman Perumahan Jakar di sini.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan sama, pada hari dan tempoh masa sama di dalam sebuah kedai permainan kanak-kanak berhampiran sebuah surau.

MOHD Afizzafri Mohammed Residalan (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Sementara pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa merogol kanak-kanak berkenaan juga pada hari dan dalam tempoh masa yang sama, di dalam sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza di dalam pekarangan pasar raya berkenaan.

Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan tertuduh mengikut kesalahan di bawah Seksyen 376(2)(e) yang boleh dihukum penjara tidak kurang dari 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.

Wan Suhaila kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah jaminan keseluruhan sebanyak RM24,000 dan turut menetapkan 5 November depan sebagai sebutan semula kes.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Asyikin Hashim.

Sebelum itu, tertuduh tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 8 pagi dengan menaiki kenderaan polis.

September lalu, Suara Timur menyiarkan pengawal keselamatan direman tujuh hari disyaki rogol dua kanak-kanak. – Suara Timur

Selasa, Oktober 07, 2025

Syarikat pengusaha makanan didenda RM5,000 jual makanan tercemar

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Sebuah syarikat pengusaha makanan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menjual makanan tercemar pada 9 April lalu.

Majistret Nur Hafiezah Mohamed Fauzi menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhibbah Packaging & Trading (PHG) Sdn. Bhd. selepas  wakil syarikat itu, Pua Mei Heong mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, syarikat itu didakwa telah melanggar peraturan 39(4) Peraturan- Peraturan Makanan 1985. dan kesalahan di bawah Peraturan 397(1) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 397(2) peraturan-peraturan yang sama.

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan menyedia dan menjual Cili Kering Kerinting Muhibbah yang mengandungi cemaran mikologi, Aflatoxin B1 pada kadar 25.41 µg/k melebihi kadar maksimum yang dibenarkan dalam Jadual Kelima Belas, Daftar II, iaitu 5 µg/kg dan telah melakukan suatu kesalahan dibawah Peraturan 397(1) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan boleh dihukum dibawah Peraturan 397(2) peraturan-peraturan yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa dari Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (KPPKP), Mohd Azman Mohd Ramli dan dibantu Pegawai Kesihatan Persekitaran (PKP) Mohd Nasir Mohd Shaari.

Mengikut fakta kes, pegawai serbuan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kemaman menjalankan aktiviti pensampelan makanan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985, syarikat telah menjual produk makanan yang dicemari toksin merbahaya Aflatoxin B1 (AFB1).

Toksin ini bukan sahaja berbahaya tetapi telah diklasifikasikan sebagai karsinogen Kumpulan 1 (pasti menyebabkan kanser kepada manusia) oleh Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC).

Difahamkan, hasil analisa yang dijalankan di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan, Sungai Buloh, Selangor mendapati makanan berkenaan telah melebihi had lima kali ganda tahap pencemaran yang dikesan adalah 25.41ug/kg, iaitu lebih lima kali ganda had maksimum yang dibenarkan iaitu 5 ug/kg.

Ini menunjukkan kecuaian yang nyata dan tidak boleh dimaafkan dalam proses kawalan kualiti, penyimpanan atau pemilihan bahan mentah. – Suara Timur

Isnin, Oktober 06, 2025

PROSPEK: Peruntukan RM8 juta tingkat kesejahteraan penduduk desa

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) memperuntukan RM8 juta untuk meningkat infrastruktur dan ekonomi di Kampung Pasir Gajah di bawah Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) pada tahun ini.

Pengurus Besarnya, Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, projek tersebut memfokuskan peningkatan kesejahteraan penduduk desa menerusi ekonomi, usahawan, prasarana, perumahan, pelancongan dan alam sekitar. 

“Antara projek yang dilaksanakan di bawah projek itu adalah menaik taraf Pusat Konservasi Tuntung Sungai yang bernilai RM200,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pelepasan Tuntung 2025 oleh Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai Kampung Pasir Gajah di Dewan Orang Ramai, Kampung Pasir Gajah di sini, semalam.

SEBAHAGIAN penduduk Kampung Pasir Gajah yang hadir pada Program Pelepasan Tuntung 2025 oleh Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai Kampung Pasir Gajah di Dewan Orang Ramai, Kampung Pasir Gajah, Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Hadir sama, Pengerusi Turtle Conservation Society of Malaysia, Prof. Dr. Maketab Mohamed, Pengasas Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-kura dan Labi-labi Malaysia (TCS), Dr Chen Pelf Nyok, Pengarah Bahagian Ex-Situ, Ibu Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN), Dr. Pazil Abdul Patah dan Pengarah Jabatan PERHILITAN Negeri Pahang, Rozidan Mohd Yasin.

Menurutnya, KETENGAH juga akan mengadakan kursus pembangunan produk kepada komuniti setempat bagi memperkasa kemahiran komuniti.

Katanya, seramai 10 orang komuniti wanita yang mengikuti kursus tersebut disediakan bantuan peralatan mesin jahit berjumlah RM90,00 untuk menghasilkan produk cenderamata. 

“KETENGAH juga mengiktiraf peranan komuniti Kampung Pasir Gajah sebagai rakan strategik utama dalam menjayakan usaha ini.

“Tidak dilupakan juga rakan-rakan korporat seperti Yinson Holdings Berhad yang tampil menghulurkan dana dan sokongan, serta agensi kerajaan dan institusi akademik yang menyumbang dari sudut kepakaran.

“Saya dimaklumkan, TCS dengan kerjasama komuniti setempat telah berjaya melaksanakan pelbagai usaha konservasi yang berterusan, antaranya aktiviti mengutip telur tuntung, menetaskannya secara terkawal, dan seterusnya melepaskan anak tuntung ke habitat asal di Sungai Kemaman setiap tahun.

“Usaha ini jelas mencerminkan kesungguhan masyarakat tempatan bersama-sama NGO dalam memastikan kelestarian spesies yang semakin terancam ini terus terpelihara untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.

Tengku Ahmad Nadzri berkata, program konservasi ini turut memberi nilai tambah dalam aspek sosioekonomi penduduk.

“Wanita-wanita tempatan diberi sokongan untuk menjana pendapatan melalui aktiviti menjahit dan menghasilkan produk berasaskan batik bercorak tuntung, sekaligus membuka peluang pendapatan baharu dan memperkasakan ekonomi komuniti setempat.

“Sokongan kewangan daripada syarikat swasta serta bantuan teknikal daripada agensi kerajaan amatlah dialu-alukan, kerana galakan daripada pelbagai pihak inilah yang akan memastikan usaha pemuliharaan ini terus berkembang dengan lebih kukuh dan mampan,” ujarnya.

Selain itu, beliau memberitahu, sebagai agensi pembangunan wilayah, KETENGAH akan terus menyalurkan kepakaran dan sumber yang ada untuk memastikan kelangsungan program konservasi ini.

“Kami juga komited membantu pembangunan fasiliti komuniti, menggalakkan aktiviti ekonomi setempat serta mempromosikan Kampung Pasir Gajah sebagai sebuah hab eko-pelancongan pendidikan berasaskan tuntung.

“Pusat Konservasi Tuntung Sungai merupakan salah satu daripada 60 produk pelancongan dalam wilayah KETENGAH,” katanya.

Tengku Ahmad Nadzri berkata, KETENGAH juga telah menyerahkan bantuan peralatan enjin bot sangkut kepada TCS dengan nilai kos RM10,000 melalui Program Pembangunan Pelancongan Desa Wilayah KETENGAH (PEDEKAT) pada tahun lalu. – Suara Timur

Pembantu tadbir rugi RM123,705 ditipu tawaran kerja sambilan dalam talian

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN – Seorang pembantu tadbir di sebuah agensi kerajaan mengalami kerugian RM123,705 setelah terpedaya dengan penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, mangsa seorang perempuan berusia 48 tahun itu menerima satu bungkusan hadiah berupa mop lantai daripada suspek melalui aplikasi TikTok kerana telah memberi komen dan pendapat terhadap barangan tersebut pada  30 September lalu.

Menurutnya, mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp ‘Feedback Fusion 2025’ dan diberi pautan untuk kerja sambilan serta menerima komisen sebanyak RM80.

Setelah itu, katanya, mangsa telah dimasukkan ke dalam kumpulan Telegram ‘RM205 Tugasan Misi’ dan diberi tawaran kerja dengan pilihan modal dan pulangan keuntungan yang akan diterima.

“Untuk tugasan tersebut, mangsa perlu membayar RM205.00 sebagai permulaan modal pilihan.

“Bagi setiap tugasan kerja yang lain, mangsa telah membuat 19 kali transaksi ke lapan akaun yang berlainan dengan jumlah keseluruhan RM123,705 bermula pada tarikh 4 Oktober hingga 5 Oktober 2025,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Razi memberitahu, mangsa tidak pernah menerima apa-apa pulangan keuntungan sehingga laporan polis dibuat di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman semalam.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mohd Razi menasihati orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan tawaran kerja dalam talian yang tidak wujud dan jangan mudah terpedaya dengan sebarang iklan atau tawaran kerja atas talian di mana-mana laman sosial dari individu yang tidak dikenali. – Suara Timur