MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Jumaat, Februari 13, 2026

150 Peserta Felcra Bukit Keladi Sertai Program Penerangan Pembahagian Pusaka

 

150 Peserta Felcra Bukit Keladi Sertai Program Penerangan Pembahagian Pusaka

13/02/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seramai 150 peserta Felcra Kawasan Bukit Keladi menghadiri Program Sehari Bersama Pewaris Felcra Kawasan Bukit Keladi di Dewan Sri Geliga, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), di sini semalam.

Mereka terdiri daripada Peserta Projek Pasir Gagak, Peserta Projek Sungai Pergam PLBP (Pusat Latihan Belia Pertanian), Peserta Projek Bukit Keladi serta ahli Koperasi Peserta Felcra Kawasan Bukit Keladi Kemaman Berhad (KPR).

Taklimat program disampaikan Penolong Pengarah Pembahagian Pusaka Dungun, Farah Najihah Mazlan. Turut hadir Pengurus Kawasan Felcra Bukit Keladi Berhad Abdul Mutalib Mohd Hanifah; Penolong Pengarah Kanan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Kemaman Saffuan Fathi Md Shuhaimi; dan Pengerusi Koperasi Peserta Felcra Kawasan Bukit Keladi Kemaman Berhad Wan Abd Aziz Wan Othman.


Farah Najihah berkata rukun pusaka terbahagi kepada tiga iaitu kematian, pewaris dan harta.

Beliau berkata, bagi menuntut harta pusaka, pewaris perlu mengemukakan sijil kematian yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada Pejabat Pembahagian Pusaka di negeri tempat si mati menetap.


“Bagi kes orang hilang, pewaris yang terdiri daripada ibu, bapa, suami, isteri, anak atau adik-beradik kandung serta firma guaman boleh memohon pengesahan rasmi kematian berdasarkan anggapan kematian di Mahkamah Tinggi Sivil mengikut Seksyen 108 Akta Keterangan 1950 (Akta 56).

“Permohonan boleh dibuat selepas individu berkenaan hilang atau tidak dapat dikesan melebihi tempoh tujuh tahun sebelum sijil anggapan kematian dikeluarkan oleh JPN,” katanya.

Beliau berkata, antara harta yang boleh dituntut termasuk harta tak alih seperti rumah dan hartanah, manakala harta alih merangkumi wang tunai, saham, kenderaan serta barang kemas. – Suara Timur

KPR Bukit Keladi diingatkan adakan MAT sebelum Jun

 

KPR Bukit Keladi diingatkan adakan MAT sebelum Jun

13/02/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Koperasi Peserta-Peserta Felcra Kawasan Bukit Keladi Kemaman Berhad (KPR) diingatkan supaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) bagi tahun ini selewat-lewatnya pada Jun depan.

Penolong Pengarah Kanan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Kemaman, Saffuan Fathi Md Shuhaimi berkata, peringatan itu dibuat susulan pindaan undang-undang kecil yang diluluskan dalam MAT KPR tahun lalu.

Beliau berkata, sebelum ini tahun kewangan KPR berakhir pada 30 Jun setiap tahun, namun ia telah dipinda kepada 31 Disember.

“Mesyuarat agung tahunan hendaklah diadakan dalam tempoh enam bulan selepas berakhirnya tahun kewangan,” katanya ketika berucap pada Program Sehari Bersama Pewaris Felcra Kawasan Bukit Keladi di Dewan Sri Geliga, Majlis Perbandaran Kemaman, di sini semalam.

Turut hadir Pengurus Kawasan Felcra Bukit Keladi Berhad, Abdul Mutalib Mohd Hanifah dan Pengerusi KPR, Wan Abd Aziz Wan Othman.

PENGURUS Kawasan Felcra Bukit Keladi Berhad, Abdul Mutalib Mohd Hanifah (kanan) menyampaikan cederahati kepada Penolong Pengarah Kanan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Kemaman, Saffuan Fathi Md Shuhaimi (tengah).

Saffuan Fathi berkata, Seksyen 39 Akta Koperasi 1993 (Akta 502) di bawah seliaan SKM mewajibkan setiap koperasi mengadakan MAT dalam tempoh enam bulan selepas tamat tahun kewangan.

Beliau turut menjelaskan syarat keanggotaan KPR adalah terdiri daripada peserta Felcra Kawasan Bukit Keladi yang disahkan oleh Felcra Berhad serta ahli keluarga terdekat iaitu suami, isteri dan anak yang memiliki saham minimum.

Menurutnya, jumlah saham minimum yang sebelum ini ditetapkan sebanyak RM200 telah dipinda kepada RM500.

“Hanya anggota yang memiliki saham minimum layak menghadiri dan mengambil bahagian dalam MAT termasuk membahaskan usul, mencadang, menyokong, mengundi serta menerima pelantikan.

“Anggota yang tidak memenuhi syarat saham minimum masih boleh hadir tetapi hanya sebagai pemerhati dan tidak layak mengambil bahagian dalam mesyuarat,” katanya.

Beliau berkata, anggota yang belum mencukupi saham minimum disaran menambah pegangan saham masing-masing bagi membolehkan mereka mengambil bahagian sepenuhnya dalam MAT.

Sementara itu, wakil kepada anggota yang tidak dapat hadir juga dibenarkan menghadiri mesyuarat sebagai pemerhati sahaja dan tidak mempunyai hak untuk bersuara atau mengundi.

Saffuan Fathi berharap KPR sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi mengelakkan MAT diadakan menjadi tidak sah atau terbatal. – Suara Timur

Khamis, Februari 12, 2026

Penduduk Kampung Pasir Minal, Kemaman resah beruang Matahari berkeliaran

 

Penduduk Kampung Pasir Minal, Kemaman resah beruang Matahari berkeliaran

12/02/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Penduduk Kampung Pasir Minal di sini bimbang dengan kehadiran seekor beruang Matahari yang berkeliaran di kawasan berkenaan sejak tiga hari lalu.

Kehadiran binatang liar itu menimbulkan keresahan kepada penduduk terbabit yang bimbang mengenai keselamatan mereka.

BERUANG Matahari berkeliaran di Kampung Pasir Minal, Kemaman sejak tiga hari lalu. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurut penduduk, Syed Mohammad Syed Abdullah berkata, haiwan liar itu dipercayai tersesat dari kawasan hutan berhampiran yang berkeliaran pada waktu petang untuk mencari makanan di sekitar kampung.

Katanya, kehadiran beruang Matahari berkenaan dikatakan kali kedua berlaku di kawasan itu selepas pertama kali dilihat berkeliaran pada tahun lalu.

SYED MOHAMMAD SYED ABDULLAH

“Keadaan itu menyebabkan penduduk takut untuk berada di luar rumah atau menjalani rutin harian kerana haiwan berkenaan boleh muncul pada bila-bila masa,” katanya kepada Suara Timur hari ini.

Menurut Tuan Sharifah Nor Abdul Ghani, haiwan berkenaan boleh bertindak ganas pada bila-bila masa terutamanya kepada kanak-kanak ketika mereka bermain di luar kawasan rumah atau kampung.

TUAN SHARIFAH NOR ABDUL GHAN

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pasir Minal, Shahrunuddin Syed Mohd Sah ketika dihubungi berkata, pihaknya akan membuat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kemaman berkaitan perkara berkenaan.

“Pada masa sama, penduduk dinasihatkan dapat mengambil langkah keselamatan ketika berada di luar rumah bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini,” ujarnya. – Suara Timur


Rabu, Februari 11, 2026

Op Iman: APMM tahan bot nelayan tempatan tangkap ikan dalam zon larangan

 

Op Iman: APMM tahan bot nelayan tempatan tangkap ikan dalam zon larangan

11/02/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman menahan sebuah bot nelayan tempatan kerana disyaki melanggar syarat lesen serta melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 dalam satu operasi rondaan di perairan Terengganu, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kemaman Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, penahanan itu dibuat kira-kira 5.15 petang oleh bot ronda Maritim Malaysia yang melaksanakan Op Iman selepas mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot nelayan pada jarak 9.7 batu nautika dari Pantai Kemasik.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan lima kru lelaki terdiri daripada tiga warga Kemboja termasuk tekong serta dua warga tempatan berumur antara 27 hingga 50 tahun.

BOT nelayan tempatan yang ditahan APMM ketika menangkap ikan pada jarak 9.7 batu nautika dari Pantai Kemasik, Kemaman, semalam.

“Bot itu disyaki melanggar syarat lesen kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika dari pantai Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati tiga kru warga asing berkenaan disyaki menggunakan dokumen pengenalan diri yang meragukan dan melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Susulan itu, tambahnya, bot bersama tekong dan awak-awak, hasil laut dianggarkan seberat 350 kilogram serta kira-kira 6,000 liter minyak diesel ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia untuk tujuan dokumentasi serta siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Halim menegaskan, Maritim Malaysia akan terus memperketat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perikanan haram serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara. – Suara Timur

Selasa, Februari 10, 2026

400 penduduk bimbang kehadiran beruang Matahari di Kampung Padang Ping

 

400 penduduk bimbang kehadiran beruang Matahari di Kampung Padang Ping

10/02/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Kira-kira 400 penduduk di Kampung Padang Ping dekat sini bimbang dengan kehadiran seekor beruang Matahari yang berkeliaran di kampung mereka sejak tiga hari lalu.

Beruang Matahari berkenaan dipercayai telah tersesat dari hutan berhampiran dan masuk ke kawasan kampung untuk mencari makanan.

Seorang penduduk, Hamzah Ahmad berkata, penduduk telah beberapa terserempak dengan binatang liar itu yang dilihat berkeliaran di kawasan kampung ini.

“Situasi itu amat membimbangkan apabila beruang berkenaan sudah semakin menghampiri rumah penduduk menyebabkan penduduk takut untuk keluar ke kebun dan menjalani rutin harian,” katanya ketika ditemui hari ini.

Rohani Mat Nor pula berkata, dia takut membuka pintu rumah kerana dikhuatiri beruang itu memasuki rumahnya.

“Anak-anak saya juga sering keluar ke kedai berdekatan pada waktu malam dan bimbang akan tersempak dengan beruang tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman ketika dihubungi memaklumkan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah memasang sebuah perangkap di lokasi beruang berkenaan sering berkeliaran.

Pada masa sama, beliau mengingatkan penduduk kampung berkenaan sentiasa berwaspada dan berhati-hati demi menjaga keselamatan mereka serta mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini. – Suara Timur


Ahad, Februari 08, 2026

Penduduk bimbang sekumpulan gajah liar berkeliaran berdekatan rumah

 

Penduduk bimbang sekumpulan gajah liar berkeliaran berdekatan rumah

08/02/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Kira-kira 2,000 penduduk di dua taman perumahan Bandar Al Mukhtafi Billah Shah dekat sini bimbang dengan kehadiran sekumpulan gajah liar di kawasan mereka.

Kumpulan gajah liar berkenaan dikesan mula menghampiri kawasan penempatan penduduk pada hari ini dan ianya menimbulkan keresahan berkaitan keselamatan mereka

Sebelum ini, kumpulan haiwan liar berkenaan dikatakan telah berkeliaran di kawasan hutan berhampiran dan tidak masuk kawasan perumahan itu.

KESAN najis gajah yang dijumpai di Bandar Al Mukhtafi Billah Shah, Dungun, hari ini.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Bagaimanapun, dalam kejadian awal pagi tadi, kumpulan gajah liar berkenaan dikesan berada di kawasan hutan di Taman Mulia dan Taman Selesa serta menghampiri jalan utama taman itu.

Seorang penduduk,  Abdul Ghani Muda berkata, kehadiran haiwan liar itu dipercayai berlaku akibat gangguan habitat semula jadi di kawasan hutan berhampiran.

ABDUL GHANI MUDA

“Penduduk merasa bimbang setelah mendapati mula berkeliaran di belakang kawasan rumah,” katanya kepada Suara Timur hari ini.

Seorang lagi penduduk, Azwadi Mohammad berkata, penduduk berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera dan berkesan bagi menangani isu kehadiran kumpulan gajah liar berkenaan.

AZWADI MOHAMMAD

“Tindakan segera amat perlu bagi memastikan keselamatan penduduk terbabit terjamin kerana masalah itu telah lama berlarutan di kawasan berkenaan,” ujarnya. – Suara Timur