MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, Disember 20, 2025

Penuntut IPT manfaat cuti semester bersih surau

 

Penuntut IPT manfaat cuti semester bersih surau

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Beberapa mahasiswa institusi pengajian tinggi memanfaatkan cuti semester dan mengisi masa lapang mereka dengan melakukan kerja amal membersihkan sebuah surau di kawasan komuniti.

Mereka bertindak membersihkan bahagian dalaman dan persekitaran surau berkenaan secara sukarela bagi memastikan rumah ibadah itu sentiasa dalam keadaan bersih dan selesa bagi kegunaan jemaah.

Mahasiswa terbabit adalah Mohammad Adam Naqiudin Mohammad Zulkifli, dari Institusi Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu, Kelantan, Mohd Najwan Zakaria, dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Abdul Hadie Al Mubasshir Syafie, penuntut A-Level, Sunway Kolej dan semua mereka berusia 18 tahun.

BEBERAPA mahasiswa institusi pengajian tinggi memanfaatkan cuti semester dengan mengisi masa lapang melakukan kerja amal membersihkan sebuah surau di kawasan komuniti hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurut Mohammad Adam Naqiudin, idea untuk melakukan kerja amal itu lahir dua hari lepas selepas mereka bertiga belum ada sebarang perancangan aktiviti sempena cuti semester ini.

“Mereka memilih surau itu sebagai projek amal pertama kerana rumah ibadah terbabit tiada peruntukan mencukupi bagi tujuan penyelenggaraan berbanding masjid yang mempunyai peruntukan khas.

SEORANG mahasiswa institusi pengajian tinggi mencuci sebuah surau di kawasan komuniti hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Selain itu aktiviti berkenaan juga dapat memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan remaja dan mengeratkan hubungan sesama ahli komuniti setempat,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mohammad Adam Naqiudin berkata, jemaah-jemaah yang solat di surau ni adalah kalangan warga emas, jadi mereka juga tidak mempunyai kudrat membuat kerja-kerja seperti kemas surau, menyapu dan sebagainya.

MOHAMMAD ADAM NAQIUDIN MOHAMMAD ZULKIFLI

Menurut mereka, usaha murni itu membuktikan golongan remaja mampu menjadi agen perubahan positif dalam masyarakat jika diberi peluang dan sokongan yang sewajarnya.

“Dalam masa sama, kita boleh jadi sebagai teladan dan contoh kepada anak muda lain, untuk anak muda datang ke surau sambil membuat kerja amal,” ujarnya.

Selain itu, tambahnya, mereka bercadang melakukan lebih banyak kerja amal di  surau-surau di sekitar bandar Dungun untuk mengisi masa lapang sempena cuti semester yang masih berbaki tiga minggu lagi.

Pada masa sama, katanya, mereka turut mempelawa para remaja yang ingin turut serta melakukan kerja-kerja amal itu sebagai satu usaha menggalakkan golongan muda mengimarahkan masjid dan surau. – Suara Timur

Penduduk Kampung Pengkalan Pandan, Chukai berpindah awal sebelum paras air meningkat

 

Penduduk Kampung Pengkalan Pandan, Chukai berpindah awal sebelum paras air meningkat

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Beberapa penduduk di Kampung Pengkalan, Chukai di sini berpindah awal selepas kawasan rumah mereka mulai dinaiki air selepas hujan berterusan sejak kelmarin.

Mereka mengambil keputusan berpindah awal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Chukai sebelum banjir bertambah buruk.

Bagaimanapun, tinjauan Suara Timur pada pukul 12 tengah hari tadi di kampung terbabit mendapati air mulai menurun.

Seorang mangsa banjir di kampung itu,  Noradila Muda, 41, berkata, paras air naik terlalu cepat menyebabkan keluarganya terpaksa berpindah awal di PPS SK Chukai, kelmarin.

NORADILA Muda (tengah) bersam keluarga di PPS SK Chukai, Kemaman.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Saya keluar rumah pada pukul 8.30 malam dengan menaiki kenderaan sendiri menuju PPS SK Chukai, dan ketika keluar rumah paras air di dalam rumah paras lutut.

“Kami berpindah awal kerana bimbang paras air semakin tinggi.

“Tahun sebelum ni kita tak pindah, kita hanya duduk dirumah sahaja kecuali banjir besar,” katanya ketika ditemui Suara Timur di PPS SK Chukai di sini, hari ini.

SEBAHAGIAN anak mangsa banjir bermain di PPS SK Chukai, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurut, beliau turut membawa lima orang keluarga termasuk ibu yang berusia 69 tahun dan seorang kakak istimewa yang berusia 43 tahun.

“Alhamdulillah, layanan pihak yang mengendali PPS sangat baik dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat,” ujarnya.

Sementara itu, Yusnita Amzah, 47, pula berkata, air mula melimpah di kampung ini pada pukul 6 petang dah mula meningkat  pukul 8 malam sehingga air memasuki dapur.

YUSNITA  Amzah bersama salah seorang anaknya berpindah awal  di PPS SK Cukai, Kemaman.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Di tangga hadapan rumah air telah penuh dan kebetulan suami kerja malam. Saya bersama dua orang anak kemudian berpindah dengan menunggang motosikal dan daftar masuk PPS pukul 10 malam.

“Kami telah biasa berpindah di PPS ini sejak beberapa tahun lalu dan dalam keadaan hari ini amat selesa.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat di PPS ini yang sentiasa cakna dengan keadaan semasa,” tambahnya.

Menurut laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu pada pukul 1.30 petang terdapat seramai 500 mangsa daripada 162 keluarga di 3 buah PPS seluruh daerah Kemaman. – Suara Timur

Jumaat, Disember 19, 2025

Pemandu lori ditahan bawa 470 guni baja subsidi

 

Pemandu lori ditahan bawa 470 guni baja subsidi

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang pemandu lori ditahan selepas kenderaan dibawanya dipercayai membawa muatan 470 guni baja tanaman bersubsidi yang dipercayai diseludup di Kemaman, Terengganu, awal pagi tadi.

Pemandu lori berusia 40 puluhan itu di ditahan kira-kira pukul 2.30 pagi dekat Plaza Tol Cheneh Baru, Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) oleh sepasukan Unit Peronda LPT2, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bukit Aman.

Ketika kejadian, lori terbabit sedang dalam perjalanan dari arah Kelantan menuju ke Pahang dan disyaki untuk menjual baja berkenaan secara pasaran gelap.

ANGGOTA polis memeriksa baja subsidi yang dirampas selepas menahan sebuah lori dekat Plaza Tol Cheneh Baru di LPT2, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Sewaktu ditahan, pemandu lori berkenaan gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan penjualan dan kebenaran untuk membawa baja tersebut.

Siasatan lanjut mendapati, baja bersubsidi itu diambil secara runcit daripada penduduk kampung di kawasan Jelawat dan Bachok, Kelantan bagi tujuan pasaran gelap.

Kesemua baja bersubsidi itu kemudiannya dipercayai akan dijual secara haram di kawasan Paloh Hinai dan Muadzam Shah di Rompin dengan harga antara RM25 hingga RM30 ringgit untuk satu kampit.

Siasatan lanjut turut mendapati pemandu lori terbabit dipercayai telah diupah sebanyak RM250 ringgit untuk membawa muatan baja berkenaan bagi satu perjalanan .

Lori terbabit kemudiannya di bawa ke Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi telah mengesahkan mengenai tangkapan tersebut. – Suara Timur

Beberapa kampung di Kemaman masih ditenggelami banjir

 

Beberapa kampung di Kemaman masih ditenggelami banjir

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Hujan berterusan sejak kelmarin dan fenomena air pasang menyebabkan beberapa buah kampung di daerah ini dinaikkan air sejak petang semalam.

Antara kampung terlibat, Kampung Pulau Tempurung, Kampung Pasir Minal dan Kampung Padang Lalang Binjai.

Tinjauan Suara Timur di kampung terbabit mendapati air semakin naik.

KEADAAN banjir yang berlaku di Kampung Bukit Mentok, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Sehingga pukul 3 petang, seramai 112 orang mangsa banjir daripada 36 keluarga di tempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Binjai.

SALAH sebuah rumah yang terjejas banjir di Kampung Pulau Tempurung, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Mereka terdiri daripada tiga buah kampung iaitu Kampung Pulau Tempurung, Kampung Pasir Minal dan Kampung Padang Lalang Binjai

Sementara itu di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok terdapat 243 orang mangsa banjir daripada 61 keluarga.

PETUGAS perubatan memeriksa kesihatan mangsa banjir di PPS SK Bukit Mentok, Kemaman. –  SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Dalam pada itu, seorang mangsa banjir dari Kampung Pulau Tempurung, Muhamad Faizal Salim berkata, air naik dengan cepat dan laju sekitar pukul 7.30 malam menyebabkan beliau sekeluarga terpaksa berpindah dengan bantuan pihak polis.

MUHAMAD FAIZAL SALIM

“Alhamdulillah kami sekeluarga selamat dan terima kasih kepada pihak PDRM Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman atas bantuan dan terima kasih juga kepada pengurusan PPS dan mereka yang terlibat,” katanya.

Menurut laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu pada pukul 3.30 petang terdapat seramai 448 mangsa daripada 149 keluarga di 14 buah PPS seluruh daerah Kemaman. – Suara Timur

KETENGAH sumbang kit bantuan kepada mangsa banjir

 

KETENGAH sumbang kit bantuan kepada mangsa banjir

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN : Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) sebuah agengsi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyalurkan sumbangan berupa kit bantuan bencana kepada mangsa banjir dalam wilayah KETENGAH semalam.

KETENGAH dalam satu kenyataan kepada Suara Timur berkata, kit bantuan bencana itu diagih kepada 506 orang mangsa daripada 115 keluarga telah ditempatkan di 8 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan banjir gelombang kedua yang melanda beberapa kawasan di daerah Dungun dan Kemaman.

DR. MOHD Zaki Salleh (tengah) mewakili Pengerusi KETENGAH, Datuk Rozi Mamat menyampaikan Kit Bantuan Bencana kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Air Putih, Mohd Zailani Othman (tiga kiri) sambil diperhatikan Zulita Mohamed mewakili Pengurus Besar KETENGAH, Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih, Kemaman, semalam.

Kit bantuan tersebut mengandungi barangan keperluan asas seperti makanan kering, tuala, dan barangan kebersihan diri.

Sumbangan tersebut sebagai tanda prihatin dan komitmen KETENGAH untuk bersama-sama masyarakat di saat mereka mengalami kesulitan akibat bencana banjir.

Bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban mereka yang terpaksa menghadapi keadaan mencabar akibat bencana ini. – Suara Timur

Khamis, Disember 18, 2025

Pengguna jalan raya dikejutkan kehadiran gajah

 

Pengguna jalan raya dikejutkan kehadiran gajah

KEMAMAN: Pengguna jalan raya dari Bandar Cheneh Baru ke kawasan penempatan Felda Cherul, di sini, hari ini dikejutkan dengan kehadiran seekor gajah liar yang berkeliaran di laluan berkenaan sejak pagi tadi.

Kejadian haiwan liar berkeliaran kira-kira pukul 10 pagi tadi itu sempat dirakam pengguna jalan raya dan video kejadian itu telah tular di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli, berkata kelibat seekor gajah jantan itu dipercayai tersesat selepas kawasan hutan berdekatan yang juga habitatnya ditenggelami air banjir.

“Gajah liar itu kemudiannya dikesan cuba memasuki kawasan ladang sawit berhampiran menyebabkan pengguna jalan raya bimbang kerana ianya telah mengganggu lalu – lintas di kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

SEEKOR gajah liar yang berkeliaran di Felda Cerul, Kemaman. – MEDIA SOSIAL

Beliau berkata, sepasukan pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Kemaman, bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menemui haiwan itu dalam kawasan hutan kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

“Orang ramai tidak perlu bimbang untuk menggunakan laluan berkenaan kerana gajah liar itu telah berada dalam kawalan pihak Perhilitan dan selepas ini ianya akan dipindahkan ke lokasi lain,” ujarnya.

Pada masa sama, katanya, pihaknya mengingatkan orang ramai supaya tidak berada di lokasi berhampiran gajah liar itu bagi mengelakkan berlaku sebarang insiden tidak diingini. – Suara Timur

Wanita tidak mengaku salah perdaya skim ‘Kutu Lelong’

 

Wanita tidak mengaku salah perdaya skim ‘Kutu Lelong’

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kemaman hari ini atas  memperdaya seorang mangsa menyertai skim ‘Kutu Lelong’ dengan menyerahkan wang berjumlah RM10,250.00 pada Oktober lalu.

Tertuduh, Noor Suzila Adnan, 27 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Mengikut fakta pertuduhan, wanita terbabit didakwa telah menipu seorang wanita berusia 32 tahun dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai tertuduh untuk menyerahkan wang pelaburan kepada ‘Kutu Lelong’ atau tertuduh.

NOOR Suzila Adnan (tengah) dibawa le Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini.  – A
SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Wanita terbabit juga telah secara tidak jujur mendorong mangsa untuk memindahkan wang sebanyak RM10, 250 ke dalam akaun milik tertuduh.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh antara pukul 10.23 pagi hingga 10.41 malam pada 23 Oktober hingga 19 November lalu di Kampung Laut, Pasir Gajah, di sini.

Wanita terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574), sabit kesalahan tertuduh dikenakan penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan juga dikenakan denda.

Hakim Wan Suhaila kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Muhammad Afif Mohd Amin.

Media sebelum ini melaporkan, wanita terbabit diburu polis bagi membantu siasatan kes penipuan pelaburan dikenali ‘Kutu Lelong’ dari Julai hingga November tahun ini yang menyebabkan kerugian kira-kira RM701,000 selepas 12 laporan polis dibuat kesemua mangsa. – Suara Timur

Rabu, Disember 17, 2025

Lelaki cedera terkena parang dilibas sendiri ketika cari kayu gaharu

 

Lelaki cedera terkena parang dilibas sendiri ketika cari kayu gaharu

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Seorang lelaki cedera terkena parang dilibasnya sendiri ketika mencari kayu gaharu di hutan berdekatan rumahnya di Kampung Serdang, Dungun, Terengganu, petang kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu,  mangsa dan rakannya berjaya diselamatkan pasukan bomba dalam satu operasi mencari dan menyelamat selama hampir dua jam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sharizal Shamsudin berkata mangsa berusia 39 tahun itu dikatakan pergi ke hutan bersama rakannya untuk mencari kayu gaharu kira-kira pada pukul 8 pagi.

Menurut Sharizal, ketika sedang memotong kayu, parang digunakan mangsa terlibas dan terkena kaki kanannya sehingga cedera teruk di mana mangsa tidak berupaya berjalan untuk keluar dari hutan.

Sharizal berkata, bomba menerima panggilan dari rakan mangsa pukul 7.30 petang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pukul 8 malam dengan kekuatan seramai 15 anggota bomba.

Menurut Penolong Kanan Penguasa Bomba Sharizal, pihaknya terpaksa menggunakan sebuah bot untuk ke kaki bukit hutan berkenaan sebelum berjaya membawa turun mangsa sejauh hampir 300 meter.

“Mangsa mengalami pendarahan agak teruk terpaksa diberikan rawatan kecemasan di lokasi kejadian sebelum di bawa keluar dari hutan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa bersama rakannya berjaya di bawa keluar dari hutan berkenaan pukul 9.50 minit malam tadi dan dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Dungun untuk menerima rawatan. – Suara Timur

Selasa, Disember 16, 2025

RETI tingkatkan pengetahuan bidang teknologi maklumat berasaskan AI

 

RETI tingkatkan pengetahuan bidang teknologi maklumat berasaskan AI

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Ranaco Education and Training Institute (RETI) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat tersenarai awam iaitu Awantec Systems Sdn. Bhd. (Awantec Systems) bagi meningkatkan pengetahuan bidang teknologi maklumat berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pendidikan dan Latihan Vokasional atau Technical and Vocational Education and Training (TVET).

Majlis menandatangani MoU antara RETI dan Awantec Systems disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Ranaco Group, Syafiq Asyraf Mohd Yusup dan Pengarah Teknologi, Awantec Systems, Ahmad Rizal Ibrahim di Kampus Ranaco di Kawasan Perindustrian Jakar di sini, hari ini.

Syafiq Asyraf berkata, kerjasama ini merupakan langkah penting ke arah memperkukuh ekosistem pendidikan, teknologi dan pembangunan dengan aspirasi transformasi digital dan keperluan industri pada masa ini.

SYAFIQ Asyraf Mohd Yusup (dua dari kanan) dan Ahmad Rizal Ibrahim (dua dari kiri) bergambar selepas menandatangan MoU antara RETI dan Awantec Systems
di Kampus Ranaco di Kawasan Perindustrian Jakar, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Bagi pihak RETI, kami melihat kolaborasi ini sebagai peluang untuk menggabungkan kepakaran teknologi dan pengalaman kedua-dua organisasi di mana Awantec Systems merupakan pilihan dalam industri AI.

“Saya rasa impak ini lebih manfaat bukan sahaja kepada institusi malah kepada para pelajar, tenaga kerja dan masyarakat secara keseluruhan,” ujarnya.

Menurut Syafiq Asyraf, MoU ini juga bertujuan menjalin kerjasama strategik dalam melaksanakan program latihan kepada para pensyarah, khususnya bagi memperkasa pengintegrasian elemen AI dalam kursus yang diajar.

“Inisiatif ini memberi fokus kepada penyelarasan kandungan akademik dengan keperluan industri semasa, di mana AI merupakan nilai tambah yang amat penting dalam pembangunan kemahiran dan pembinaan kerjaya masa kini, sekali gus memastikan pengajaran dan pembelajaran yang lebih relevan, terkini dan berdaya saing.

Bercakap kepada Suara Timur, Syafiq Asyraf berkata, perjanjian MOU diantara RETI dan Awantech Systems pada hari ini merupakan kejasama strategik untuk mempukuhkan satu langkah penting ekosistem pendidikan teknologi dah pembagunan bakat.

“Selari dengan aspirasi transformasi digital AI ini adalah salah satu subjek yang dapat memberi satu nilai tambah kepada para pelajar dan salah satu institusi pendidikan yang berada di Pantai Timur yang memperkenalkan AI dalam bidang maritin serta bidang minyak dan gas yang belum ada lagi institusi pendidikan di luar sana yang membuat nilai tambah AI untuk masa hadapan.

“RETI memilih Awantech Systems kerana ia merupakan salah satu rakan kongsi utama Google di dalam industri IT sebagai sijil Google merupakan salah satu nama yang besar di luar sana,” katanya.

Sementara itu Pengarah Teknologi, Awantec Systems, Ahmad Rizal Ibrahim bekata, Awantec Systems merupakan rakan kongsi utama Google di Malaysia dan Awantec Systems merupakan rakan kongsi teratas.

“AwanTec Systems memainkan peranan penting dalam landskap teknologi Malaysia dengan menyokong inisiatif digital dan memupuk bakat teknologi maklumat melalui rangkaian perkhidmatannya yang komprehensif

“Kolaborasi dengan RETI berdasarkan yang kita buat bersama-sama untuk memberikan kemajuan teknologi dalam bidang Google Cloud dan Teknologi AI.

“Kami akan mengajar pensyarah RETI dengan kepakaran kami dalam analitik data Google AI untuk membawa pensyarah ke peringkat di mana pada asasnya untuk pensijilan,” ujarnya.

Beliau berkata, matlamat program latihan dan pembangunan bakat ini bertujuan menyediakan bakat negara untuk permintaan industri masa hadapan.

Tambahnya, program penempatan kerjaya, peningkatan kemahiran dalam bidang AI membolehkan lepasan RETI dengan mudah mendapat pasaran kerja didalam dan luar negara. – Suara Timur

Isnin, Disember 15, 2025

Kampung Teladas, Kemaman dilanda banjir gelombang kedua

 

Kampung Teladas, Kemaman dilanda banjir gelombang kedua

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : Kampung Teladas, Air Putih, di sini dilanda banjir gelombang kedua selepas hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan paras air Sungai Teladas berdekatan meningkat dan melimpah.

Sehingga pukul 3 petang tadi, seramai 81 penduduk terjejas daripada 20 keluarga dipindahkan sejak pukul 10 malam tadi ke Pusat Perpindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai, Kampung Air Putih.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Air Putih, Mohd Zailani Othman berkata, paras air Sungai Teladas naik ekoran hujan lebat sejak petang semalam.

SEORANG penduduk meletakkan barangan di atas rakit yang dibina mengunakan tong drun untuk berpindah ke PPS di Kampung Taladas, Air Putih , Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Susulan itu, beberapa buah rumah berhampiran sungai berkenaan mula dinaiki air sedalam sehingga satu meter dan tindakan awal diambil bagi memindahkan kesemua penduduk ke PPS berdekatan.

“Buat masa sekarang cuaca nampak cerah tapi kita takut hujan hulu dan kadang-kadang kita tak tahu kemungkinan dan kita macam biasa membuat persiapan awal berpindah ke PPS dengan bantuan polis dan bomba.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Air Putih, Mohd Zailani Othman (kanan) dan Roslan Hasan (kiri)

Menurut Mohd Zailani, kampung berkenaan memang berisiko berlaku banjir kerana kedudukannya berdekatan dengan sungai terutamanya selepas berlaku hujan lebat di kawasan hulu.

SALAH sebuah rumah dinaiki air dalam kejadian banjir di Kampung Taladas, Air Putih, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Pihaknya sentiasa memantau keadaan banjir di kampung berkenaan dan turut berkolaborasi dengan beberapa agensi keselamatan untuk memindahkan penduduk terjejas sekiranya keadaan banjir semakin buruk susulan hujan lebat yang masih turun,” katanya pada pemberita di Perkarangan Pusat Perpindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai, Kampung Air Putih di sini, hari ini.

Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui berkata, mereka membuat keputusan berpindah ke PPS selepas kawasan kediaman mereka mula dinaiki air bagi menjamin keselamatan diri dan keluarga serta mengelakkan berpindah pada saat-saat akhir.

KEADAAN jalan Jalan Air Putih – Chukai dekat Persimpangan Felda Seberang Tayor, Kemaman yang ditenggelami air dalam kejadian banjir, hari ini.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Seorang penduduk, Anita Sulong berkata, dia membuat persiapan awal berpindah dengan mengemas pakaian selepas kawasan kampung ini mula dinaiki air semalam.

ANITA SULONG

“Ketika dalam perjalanan pulang dari hospital pada pukul 6.30 petang didapati jalan di kampung ini mula ditenggelami banjir.

“Sampai di rumah, saya kemas barang, kain baju dan berpindah di PPS kira-kira pukul 1 pagi,” katanya.

Noriah Mohd Amin pula berkata, dia membuat persiapan awal menghadapi banjir dengan meletakkan beberapa barangan di atas staging yang dipasang di belakang rumah.

NORIAH MOHD AMIN

Seorang lagi penduduk, Roslan Hasan berkata, paras air di kampung ini naik dengan cepat selepas hujan lebat semalam.

“Paras air petang semalam baru satu kaki sahaja dan hari ini di kawasan rumah saya meningkat di paras pinggang,” ujar

Tinjauan di PPS Dewan Orang Ramai Air Putih mendapati semua penduduk terjejas berada dalam keadaan selesa dan kebajikan mereka sentiasa dipantau pihak berkenaan.

SUASANA di PPS di Dewan Orang Ramai, Kampung Air Putih, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Mohd Hafiz Adam turut melawat PPS bagi menyantuni dan memastikan semua aspek kebajikan dan keselamatan dapat diberikan kepada semua penduduk terjejas.

Tinjauan turut mendapati beberapa kampung lain dalam Dewan Undangan Negeri Air Putih turut dinaiki air antaranya ialah Kampung Dadong, Tebak, Seberang Tayor, Felda Seberang Tayor dan Kampung Pasir Gajah.

Sementara itu, berdasarkan laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Kampung Air Putih kini mencatatkan bacaan 14.39 meter iaitu telah melepasi paras bahaya dengan trend menaik.  – Suara Timur

Beberapa kampung di Kemaman berisiko banjir

 

Beberapa kampung di Kemaman berisiko banjir

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Beberapa kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih, di sini, berisiko berlaku banjir berikutan hujan lebat di kawasan hulu dan peningkatan paras air Sungai Teladas, sejak semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Mohd. Hafiz Adam berkata, antara kampung yang dijangka terjejas ialah Kampung Dadong, Kampung Tebak, Kampung Seberang Tayor hingga ke Kampung Pasir Gajah.

“Situasi terkini di kawasan Air Putih, paras air sungai menunjukkan trend peningkatan dan kita jangka lebih ramai penduduk akan dipindahkan.

MOHD HAFIZ ADAM

“Kampung Air Putih atau Jambatan Sungai Teladas lazimnya menjadi penanda aras bagi bencana banjir di sekitar DUN ini dan biasanya selepas di kawasan kampung ini banjir, air sungai kemudiannya akan melimpah ke beberapa kampung lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih, di sini, hari ini.

Mohd. Hafiz berkata, justeru penduduk diminta agar menyimpan segala barangan dan dokumen penting dan bersiap siaga  untuk sebarang kemungkinan termasuk segera berpindah jika diarahkan pihak berkuasa.

Sementara itu berdasarkan laman web Jabatan Pengairan dan Saliran, paras air Sungai Kampung Air Putih kini mencatatkan bacaan 14.39 meter iaitu telah melepasi paras bahaya dengan trend menaik. – Suara Timur