MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Rabu, Februari 18, 2026

Pengawal keselamatan maut motosikal ditunggangi langgar lori bawa muatan tong gas

 

Pengawal keselamatan maut motosikal ditunggangi langgar lori bawa muatan tong gas

18/02/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam satu kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan tong gas di Kilometer 297.7, Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) dekat Hentian Rehat & Rawat (R&R) Kijal dekat sini semalam.

Dalam kemalangan pada pukul 5 petang itu, mangsa, Syazwan Saidi, 29, disahkan maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Cherating, Pahang menuju ke arah Bandar Jerteh, Besut, Terengganu.

Sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai melanggar bahagian belakang kiri sebuah lori treler yang dipandu perlahan di lorong kiri lebuh raya.

Akibat perlanggaran itu motosikal mangsa terbabas dan melanggar besi penghadang jalan menyebabkan mangsa terjatuh ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian .

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Mayat mangsa kemudiannya di hantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman (HK) untuk proses bedah siasat.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Penganglkutan Jalan 1987. – Suara Timur

Selasa, Februari 17, 2026

Bot karam di perairan Kerteh, tiada mangsa ditemui

 

Bot karam di perairan Kerteh, tiada mangsa ditemui

17/02/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : Sebuah bot berwarna merah dan biru dipercayai milik nelayan ditemui karam di perairan Kerteh, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan bot itu yang karam di antara Perairan Penapisan Kerteh dengan Pelabuhan Kerteh , kira-kira pukul 9.05 malam daripada Polis Bantuan Petronas.

“Bot tersebut ditemui tenggelam pada kedudukan kira-kira 500 meter dari persisir pantai.

“Semasa ditemui, hanya terdapat bot dan pukat sahaja. Tiada sebarang kelibat mangsa dijumpai berhampiran kawasan bot,” katanya ketika dihubungi  hari ini.

Mohd. Razi berkata, rondaan yang dilakukan polis bantuan menggunakan bot juga tidak menemui sebarang petunjuk.

“Bagaimanapun, setakat ini, kita tidak menerima sebarang laporan yang dibuat mana-mana pihak mendakwa bot karam atau ada ahli keluarga yang hilang.

“Pihak polis masih memantau berkenaan kejadian ini dari semasa ke semasa dan Jabatan Laut akan dimaklumkan bagi urusan menarik bot ke tepi,” katanya.

Terdahulu, seorang individu memuat naik video yang memaparkan sebuah bot yang ditemui karam.  – Suara Timur

Pusat Konservasi Tuntung Sungai di Kampung Pasir Gajah jadi mercu tanda pelancongan baharu wilayah KETENGAH

 

Pusat Konservasi Tuntung Sungai di Kampung Pasir Gajah jadi mercu tanda pelancongan baharu wilayah KETENGAH

16/02/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Pusat Konservasi Tuntung Sungai yang bakal dibina di Kampung Pasir Gajah dekat sini dijangka menjadi mercu tanda pelancongan baharu di wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

Projek bernilai RM300,000 itu dilaksanakan oleh KETENGAH bagi menggantikan pusat konservasi sementara yang beroperasi di ruang stor Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Gajah milik agensi berkenaan sejak 2011.

Pengerusi KETENGAH, Rozi Mamat berkata, pembinaan pusat tersebut merupakan antara inisiatif pihaknya dalam memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti, memperkasa pendidikan alam sekitar serta merancakkan pembangunan eko-pelancongan di wilayah berkenaan.

ROZI Mamat melakukan gimik majlis pecah tanah pembinaan Pusat Konservasi Tuntung Sungai di Kampung Pasir Gajah, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurut beliau, pusat konservasi itu juga merupakan salah satu daripada 59 produk eko-pelancongan yang terdapat di wilayah KETENGAH.

“Dalam tempoh dua tahun ini, pusat konservasi tersebut telah merekodkan kehadiran seramai 2,257 pengunjung dan majoritinya terdiri daripada pelancong luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pusat Konservasi Tuntung Sungai Kampung Pasir Gajah, di sini, hari ini.

ROZI Mamat diberi penerangan mengenai pembinaan Pusat Konservasi Tuntung Sungai yang dibina di Kampung Pasir Gajah, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Turut hadir Pengurus Besar KETENGAH, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa.

Rozi berkata, pusat konservasi sementara itu kini diuruskan oleh Turtle Conservation Society of Malaysia (TCS Malaysia) dan merupakan satu-satunya pusat konservasi tuntung sungai yang masih beroperasi di Semenanjung Malaysia.

ROZI Mamat diberi penerangan oleh Pengasas Bersama merangkap Pengarah Eksekutif TCS, Dr Chen Pelf Nyok mengenai tuntung yang merupakan haiwan eksotik dilindungi pada majlis pecah tanah pembinaan Pusat Konservasi Tuntung Sungai di Kampung Pasir Gajah, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Tambah beliau, pusat konservasi baharu itu kelak akan berfungsi sebagai stesen penyelidikan hidupan liar, khususnya bagi spesies eksotik seperti tuntung sungai, labi-labi, kura-kura dan penyu.

“Malah, pusat ini turut menjadi rujukan dan lokasi penyelidikan oleh institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN),” katanya. – Suara Timur

Isnin, Februari 16, 2026

Penyelia tapak projek maut motosikal rempuh SUV

 

Penyelia tapak projek maut motosikal rempuh SUV

16/02/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Seorang penyelia tapak projek maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Dungun, Terengganu pagi tadi.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 9.20 pagi tadi di Kilometer 92, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan dekat Kampung Nyior, Paka.
 
Dalam kemalangan itu, mangsa, Zulkiflee Jusoh, 42, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah bandar Dungun menuju ke tempat kerjanya di Kawasan Perindustrian Paka.

KEADAAN motosikal yang ditunggangi, mangsa, Zulkiflee Jusoh selepas terlibat dalam kemalangan di di Kilometer 92, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan dekat Kampung Nyior, Paka, Dungun, hari ini.
 

Sejurus tiba di lokasi kejadian, kenderaan SUV dipandu seorang warga emas berusia 63 tahun dari arah Bandar Paka dikatakan telah membelok ke kanan ketika berada di satu persimpangan jalan.

Motosikal ditunggang mangsa dipercayai gagal mengelak lalu merempuh kereta SUV terbabit dan mangsa disahkan meninggal dunia sejurus selepas kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian berkenaan.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Suara Timur

Ahad, Februari 15, 2026

PTPTN adakan kempen buka akaun SSPN kepada penduduk luar bandar

 

PTPTN adakan kempen buka akaun SSPN kepada penduduk luar bandar

14/02/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan mengadakan lebih banyak kempen meningkatkan kesedaran membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)  dalam kalangan warga luar bandar termasuk tanah rancangan Felda.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, kadar penyertaan penduduk luar bandar di seluruh negara masih perlu ditingkatkan bagi masa depan pendidikan anak mereka.

“Mereka boleh membuka akaun SSPN dengan semurah RM20 sahaja. Sudah ada kemampuan nanti, boleh menabungk RM30,” katanya.

NORLIZA Abdul Rahim (empat kiri) menyampaikan Sumbangan Akuan Simpan SSPN kepada salah seorang pelajar  di SMK Bukit Besi, Dungun, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau berkata demikuan pada program Komuniti dan Penyampaian Sumbangan Akuan Simpan SSPN di Sekolah Menengah Kebangsaan  (SMK) Bukit Besi dekat sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu Prof Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim dan Pengerusi UMT Holdings Sdn Bhd Datuk Dr Din Adam.

Pada program itu sebanyak 200 pelajar di sekolah tersebut menerima sumbangan RM50 seorang daripada PTPTN dalam bentuk Akaun Simpan SSPN Prime yang bernilai keseluruhan RM10,000.

Dalam perkembangan berkaitan, Norliza berkata, seramai 7.314 juta penyimpan telah mendeposit simpanan mereka di dalam SSPN melibatkan nilai deposit keseluruhan kira-kira RM24 bilion setakat ini.

NORLIZA Abdul Rahim dan Din Adam bergambar bersama pelajar yang menerima Sumbangan Akuan Simpan SSPN kepada salah seorang pelajar  di SMK Bukit Besi, Dungun, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Ia mencerminkan kesedaran tentang kepentingan penabungan demi masa depan pendidikan tinggi anak-anak sudah semakin tinggi dalam kalangan masyarakat kita,” katanya. 

Sementara itu, Din pula berkata, pada majlis UMT Holdings turut memberi sumbangan tabungan SSPN sebanyak RM25 setiap seorang kepada 200 pelajar berkenaan.

Katanya, UMT Holdings merancang untuk membantu lebih ramai pelajar di Bukit Besi dan kawasan-kawasan lain membuka akaun SSPN bagi menggalakkan mereka belajar dengan lebih tekun untuk berjaya  melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi selepas ini.

“Penganjuran ini selaras dengan komitmen UMT Holdings untuk menyokong agenda pembangunan pendidikan dan kesejahteraan komuniti secara mampan,” katanya. – Suara Timur