MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Rabu, Januari 28, 2026

Arang batu di Pantai Teluk Kalong mula dibersihkan

 

Arang batu di Pantai Teluk Kalong mula dibersihkan

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Operasi pembersihan Pantai Teluk Kalong, di sini yang dicemari arang batu susulan sebuah tongkang pecah telah mula dijalankan sejak semalam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Terengganu, Hamzah Mohamad berkata, kerja-kerja pembersihan di sepanjang 1.2 kilometer pantai itu dilakukan kontraktor yang dilantik syarikat tongkang tersebut.

“Kerja-kerja ini dijangka mengambil sedikit masa memandangkan sebahagian arang batu telah dibawa arus dan berada di dasar laut.

BEBERAPA pekerja menggunakan penyodok untuk mencuci arang batu yang mencemari Pantai Teluk Kalong, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Bagaimanapun anggota JAS akan terus membuat pemantauan operasi pembersihan tersebut,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Suara Timur mendapati pihak kontraktor menggunakan sebuah jengkaut dan mereka juga turut menggunakan kaedah manual dengan menggunakan penyodok dibantu 14 pekerja sebelum bahan api yang dikutip itu kemudiannya akan diisi ke dalam guni besar.

Sebelum ini media melaporkan, JAS menerima laporan berhubung pantai yang dicemari arang batu itu pada 11 Januari lalu.

Tongkang muatan arang batu tersebut sedang dalam perjalanan dari Indonesia ke Vietnam, terkandas di pantai ini akibat tiupan angin yang kuat. – Suara Timur

Isnin, Januari 26, 2026

KETENGAH TAWAR 260 LOT PERNIAGAAN DI LIMA TAPAK BAZAR RAMADAN

 

KETENGAH TAWAR 260 LOT PERNIAGAAN DI LIMA TAPAK BAZAR RAMADAN

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menawarkan 260 lot perniagaan di lima tapak Bazar Ramadan Rahmah dalam wilayahnya sempena Ramadan tahun ini.

Pengerusi Ketengah, Datuk Rozi Mamat berkata, lima tapak bazar Ramadan itu adalah di Bandar Al Muktafi Billah Shah (60 lot), Bandar Bukit Besi (50 lot), Bandar Ketengah Jaya (50 lot), Bandar Seri Bandi (30 lot) dan Bandar Ceneh Baharu (70 lot).

Menurutnya, harga sewa bagi satu unit lot berbumbung adalah RM160 manakala lot terbuka sewanya adalah RM100 sebulan dan harga sewa itu amat rendah dan berpatutan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Yayasan KETENGAH kepada lima pelajar dan seorang mangsa kebakaran di Bandar Bukit Besi hari ini.

MOHAMAD Danial Jazli Darus (kiri) dan Muhammad Harith Fitri Rizwan menunjukkan sumbangan yang diterima daripada Yayasan KETENGAH di Bukit Besi, Dungun, hari ini. -SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau berkata, lot bazar Ramadan itu ditawarkan kepada peniaga bumiputera dalam wilayahnya yang mempunyai sijil pendaftaran perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan tarikh tutup permohonan pada 4 Feb depan.

Tambahnya, peniaga bazar Ramadan dinasihatkan menjual juadah berbuka puasa pada harga berpatutan memandangkan mereka menyewa lot jualan dengan harga murah.

Selain itu, menurutnya, peniaga juga perlu bertanggungjawab dengan memastikan makanan dan minuman yang dijual terjamin kebersihannya.

Dalam perkembangan lain, Rozi memberitahu, Yayasan KETENGAH turut menyediakan sumbangan bantuan pendidikan bagi membantu anak-anak dalam wilayah berkenaan yang kurang berkemampuan dan beberapa bantuan seperti di timpa musibah atau bencana.

Beberapa penerima sumbangan pendidikan di bawah Yayasan Ketengah melahirkan rasa bangga dan berterima kasih selepas terpilih menerima bantuan kewangan sebanyak RM1,000 itu.

Seorang penuntut Universiti Malaya, Muhamad Harith Fitri Rizwan berkata, beliau akan menggunakan sumbangan yang diberikan itu bagi kegunaan pembelajaran dan ianya sekaligus dapat meringan beban keluarganya.

Seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Mohamad Danial Jazli Darus, berterima kasih kepada Yayasan KETENGAH dan dengan adanya bantuan itu ianya dapat membantyu menjelaskan sebahagian daripada yuran belajar.

“Terima kasih kepada Yayasan KETENGAH kerana dapat membantu sedikit sebanyak yuran-yuran saya atau belanja harian di sana,” ujarnya. – Suara Timur

Ahad, Januari 25, 2026

Tiga pasangan pengantin Orang Asli teruja diraikan di Kampung Sungai Pergam

 

Tiga pasangan pengantin Orang Asli teruja diraikan di Kampung Sungai Pergam

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Tiga pasangan pengantin Orang Asli teruja diraikan dalam satu Majlis Perkahwinan Masyarakat Orang Asli yang diadakan di Dewan Orang Ramai, Kampung Sungai Pergam dekat sini hari ini.

Tiga pasangan terbabit ialah Khairul Anuar, 33, dan Nurul Izzatie Andol, 25,  Abby Shahril Soki, 27, dan Nurul Nadhira Abdullah, 18, serta Mohammad Khairul Nizam Rosman, 23, dan Rosnah Misa, 20 tahun.

Ketiga-tiga pasangan berkenaan sebelum itu telah dinikahkan oleh jurunikah Pejabat Agama Daerah Kemaman, Mohamad Faizu Zakaria di Surau An Nur, kampung tersebut.

PASANGAN pengantin Orang Asli dinikahkan Mohamad Faizu Zakaria di Surau An Nur di Kampung Sungai Pergam, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/ MUKHATAR A. RAHMAN

Sebelum ini, dua pengantin perempuan iaitu Rosnah dan Nurul Izzatie merupakan saudara baru selepas mereka memeluk agama Islam pada November tahun lalu.

Ketiga-tiga pasangan pengantin berkenaan kemudian diarak dengan bunga manggar sejauh  50 meter menuju ke Dewan Orang Ramai kampung berkenaan untuk majlis persandingan.

Lebih 100 tetamu termasuk ahli keluarga terdekat hadir untuk memeriahkan majlis berkenaan.

TIGA pasangan pengantin yang diraikan di Dewan Orang Ramai, Kampung Sungai Pergam, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Majlis itu dianjurkan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Terengganu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Terengganu dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Turut diadakan majlis memotong pulut kuning dan penyampaian cenderamata untuk kesemua pasangan pengantin berkenaan.

Sementara itu, seorang wakil pengantin yang ditemui Mohamad Khairul Nizam Rosman, melahirkan rasa teruja kerana telah selamat diijab kabulkan dalam majlis berkenaan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau mengakui bakal memikul tanggungjawab besar  memandangkan isterinya, Rosnah yang berasal dari Rompin, Pahang baru memeluk Islam.

“Insya-Allah saya akan membimbing isteri untuk menjadi seorang muslim yang baik, ajar solat dan berpuasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut  hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Perkim Terengganu, Prof. Dr. Ramle Abdullah yang turut hadir pada majlis itu berkata, dua pengantin perempuan iaitu Rosnah dan Nurul Izzatie memeluk agama Islam pada November tahun lalu.

Menurut Dr Ramle, pihaknya akan membantu membimbing pasangan pengantin berkenaan dengan bantuan penggerak masyarakat dan guru agama dilantik pejabat agama serta pegawai Perkim melalui pemantauan dan khidmat bimbingan kepada pasangan tersebut. – Suara Timur

Pelajar UiTM ditemui lemas di Air Terjun Tasik Puteri Bukit Besi

 

Pelajar UiTM ditemui lemas di Air Terjun Tasik Puteri Bukit Besi

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Bukit Besi ditemui lemas di Air Terjun Tasik Puteri, Bukit Besi, di sini, hari ini.

Mayat mangsa, Amirul Danish Zamri, 19, yang merupakan pelajar tahun satu jurusan Kejuruteraan Mekanikal ditemui pasukan mencari dan penyelamat (SAR) pada pukul 12.45 tengah hari.

Beliau berkata, remaja berkenaan yang berasal dari Kampung seberang Pintasan, di sini, dikatakan tiba-tiba lemas sewaktu sedang asyik mandi bersama rakan-rakannya.

“Rakan-rakan mangsa panik sebelum menghubungi pihak berkuasa bagi memaklumkan insiden lemas itu pada pukul 11.18 pagi.

“Sepasukan 10 anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat AMBS kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.

Mohd. Izzuddin berkata, mayat Amirul Danish ditemukan pasukan SAR di dasar air terjun berkenaan yang sedalam kira-kira tujuh meter. – Suara Timur