MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Jumaat, Februari 27, 2026

80 pelajar asnaf, anak yatim terima sumbangan pada Majlis Semarak Kasih Ramadan TOGC

 

80 pelajar asnaf, anak yatim terima sumbangan pada Majlis Semarak Kasih Ramadan TOGC

27/02/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seramai 80 pelajar asnaf dan anak yatim diraikan pada Majlis Semarak Kasih Ramadan Terengganu Oil & Gas Council (TOGC) 2026 dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman di Dewan MJ Event Space, Kawasan Perindustrian Jakar 2, di sini, malam tadi.

Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman Tengku Shahrir Tengku Dahlan berkata, Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, sebaliknya menjadi medan tarbiah yang mendidik masyarakat supaya lebih peka terhadap kesusahan golongan kurang bernasib baik.

Beliau berkata, usaha menyantuni golongan asnaf dan anak yatim bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, malah mendidik masyarakat untuk sentiasa bersyukur serta memahami bahawa setiap rezeki yang dimiliki turut mempunyai hak golongan lain.

“Institusi pendidikan bukan sekadar tempat menyampaikan ilmu akademik, sebaliknya berperanan sebagai pusat pembentukan sahsiah, pembangunan nilai dan pembinaan masyarakat yang seimbang,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

TENGKU AMRAN Tengku Awang (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar Majlis Semarak Kasih Ramadan Terengganu Oil & Gas Council (TOGC) 2026 di Kemaman, malam tadi. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Turut hadir Penasihat TOGC, Roslin Abd Rahman, Pengerusi TOGC, Tengku Amran Tengku Awang, Timbalan Rektor (Akademik dan Pengantarabangsaan) Universiti College TATI (UC TATI), Ts Dr Mohd Najib Muhamed.

Majlis itu melibatkan pelajar dari tujuh sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai, SK Pusat, SK Bukit Mentok, SK Sultan Ismail, SK Sri Iman, SK Cheneh Baru 2 dan SK Cheneh Baru, selain 20 penerima daripada Pertubuhan CAKNA Kemaman.

Menurut Tengku Shahrir, penganjuran program berkenaan bertujuan mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan dan rakan strategik, di samping menyemai budaya prihatin serta memperkukuh kerjasama dengan pemain industri, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau berkata, kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan industri penting dalam memperluas peluang pembangunan pelajar serta memperkukuh pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat kepada komuniti.

“Dalam landskap pembangunan semasa, kerjasama strategik bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan bagi memastikan pembangunan insan dapat dilaksanakan secara menyeluruh, merangkumi aspek pendidikan, ekonomi dan sosial,” katanya. – Suara Timur

Selasa, Februari 24, 2026

Dua lelaki curi kebal ditahan reman empat hari

 

Dua lelaki curi kebal ditahan reman empat hari

24/02/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN:  Dua lelaki yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di sini, awal pagi semalam direman selama empat hari sehingga Khamis ini.

Perintah reman terhadap suspek berusia 35 dan 28 tahun itu dikeluarkan secara berasingan oleh Mahkamah Majistret Dungun dan Kemaman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi berkata, perintah reman dibuat secara berasingan kerana kedua-dua suspek sedang menerima rawatan di hospital berbeza.

Menurut beliau, salah sworang suspek itu berusia 28 tahun, kini menerima rawatan di Hospital Kemaman selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian pinggang.

“Seorang lagi suspek berusia 35 tahun pula dirawat di Hospital Dungun akibat kecederaan patah kaki.

“Polis juga sedang giat memburu seorang lagi suspek yang berjaya meloloskan diri selepas kenderaan dinaiki mereka ditahan dalam sekatan jalan raya di Kemaman,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi semalam, kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki kesemua suspek ditahan di Kampung Padang Kubu, Kemaman selepas dikejar sejauh kira-kira 100 kilometer.

Kesemua suspek kemudian bertindak terjun dari sebuah jambatan setinggi kira-kira 10 meter, namun dua daripadanya berjaya ditahan selepas mengalami kecederaan parah. – Suara Timur

Ahad, Februari 22, 2026

Exco Terengganu ditahan SPRM

 

Exco Terengganu ditahan SPRM

22/02/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan seorang Exco kerajaan negeri kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukan bagi mengarahkan dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 11.15 pagi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman, hari ini.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan pada tahun 2018 dan 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, suspek yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi salah satu kawasan di negeri ini didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Exco dan Pengerusi Lembaga Pengarah sebuah syarikat untuk mengarahkan kedua-dua anaknya diterima bekerja di dua anak syarikat milik kerajaan negeri.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek dijangka  dituduh dalam masa terdekat. – Suara Timur