MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Khamis, Februari 05, 2026

Lima sekeluarga bimbang ancaman tanah runtuh berpunca daripada aktiviti perlombongan

 

Lima sekeluarga bimbang ancaman tanah runtuh berpunca daripada aktiviti perlombongan

05/02/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN:  Lima sekeluarga yang tinggal di Felda Neram 2, Bandar Cheneh Baru, di sini, berharap pihak berkaitan dapat segera menyelesaikan kejadian runtuhan tanah yang mengancam keselamatan mereka dipercayai akibat aktiviti perlombongan berhampiran kawasan kediaman mereka.

Masalah yang berlarutan sejak dua tahun lalu itu kini dilaporkan semakin serius sehingga menjejaskan sekurang-kurangnya dua keluarga apabila aliran air bercampur tanah dari kawasan berbukit mengalir masuk ke kawasan rumah mereka.

Tinjauan mendapati mendapan tanah dan lumpur semakin menghampiri rumah penduduk, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka, terutama ketika hujan lebat.

SHAHIRAN Baharom meninjau kesan tanah runtuh di belakang rumahnya di Felda Neram 2, Bandar Cheneh Baru, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Penduduk mendakwa setiap kali hujan berterusan, aliran air bercampur tanah dari kawasan bukit akan memasuki kawasan kediaman, menyebabkan struktur tanah menjadi tidak stabil, selain gegaran akibat aktiviti perlombongan yang dipercayai mengakibatkan kerosakan pada kediaman.

Seorang penduduk, Suziwati Mohd Shakri, berkata, keadaan rumahnya semakin terjejas dengan kerosakan pada longkang, mozek serta dinding, selain terdapat bata yang tertanggal akibat gegaran berterusan.

“Keadaan rumah tak sempurna apabila dibaiki lepas itu rosak lagi malah dinding rumah semakin retak,” katanya ketika ditemui hari ini.

SHAHIRAN Baharom (kiri) dan Suziwati Mohd Shakri (kanan) bersama
Dr. Mohd Zaki Mohd Salleh (tengah). – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Seorang lagi penduduk, Shahiran Baharom, berharap pihak terlibat dapat menunaikan janji melaksanakan langkah mitigasi seperti pemasangan kavium, penghamparan kain geotekstil dan pembinaan sistem perparitan bagi mengawal aliran air dari kawasan bukit.

“Saya bimbang berlaku runtuhan bukit berdekatan rumah lebih serius sekiranya tiada tindakan diambil,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) DUN Air Putih, Dr Mohd Zaki Mohd Salleh, berkata pihaknya telah mengemukakan laporan berhubung perkara tersebut kepada beberapa agensi berkaitan.

“Kes ini telah dilaporkan kepada pihak FELDA, Jabatan Alam Sekitar serta Pejabat Tanah dan Galian untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berharap pemeriksaan segera dapat dijalankan serta langkah penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian lebih buruk pada masa hadapan. – Suara Timur

Rabu, Februari 04, 2026

RANACO, syarikat industri meterai MoU perkukuh latihan industri dan kebolehpasaran graduan RETI

 

RANACO, syarikat industri meterai MoU perkukuh latihan industri dan kebolehpasaran graduan RETI

04/02/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kumpulan RANACO hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan enam syarikat industri bagi menyediakan peluang penempatan latihan industri dan pekerjaan kepada pelajar Institusi pengajian tinggi swasta, RANACO Education & Training Institute (RETI) di sini.

Kerjasama itu memberi tumpuan khusus kepada pelajar aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bagi memastikan peluang pekerjaan tersedia selepas mereka menamatkan pengajian.

Ketua Pegawai Eksekutif RETI, Syafiq Asyraf Mohd. Yusup berkata, menerusi MoU tersebut, pelajar berpeluang mengikuti latihan industri secara berperingkat bergantung kepada keperluan dan kapasiti syarikat yang terlibat.

“Kerjasama ini penting bagi menyelaraskan keperluan industri dengan latihan yang diterima pelajar, sekali gus melahirkan graduan yang lebih bersedia dan berkemahiran,” katanya.

SYAFIQ Asyraf Mohd Yusup (duduk, tiga dari kiri) bersama wakil syarikat industri yang memeterai MoU bagi menyediakan peluang penempatan latihan industri dan pekerjaan kepada pelajar di RETI, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara enam syarikat pemain industri dan Kumpulan Ranaco di RETI dekat sini hari ini.

Enam syarikat tersebut ialah Emerald Insulation Services Sdn Bhd, Js Major Solution Sdn Bhd, Suria Resort Management Sdn Bhd, TSMN (M) Sdn Bhd, Vesmatic Intergrated Solution Sdn Bhd dan CKJ Engineering and Services Sdn Bhd.

Turut hadir Pengerusi Yayasan Tengku Abdul Aziz Sultan Abu Bakar (YTAA), Tengku Hassanal Badyr Tengku Abdul Aziz.

Pada majlis itu, YTAA menyampaikan sumbangan naik taraf dan peralatan baik pulih fasiliti Surau RANACO.

Syafiq Asyraf berkata, pihak syarikat pula mendapat manfaat melalui akses kepada pelajar berpotensi sebagai tenaga kerja mahir untuk keperluan industri pada masa hadapan.

TENGKU Hassanal Badyr Tengku Abdul Aziz (lima kiri) menyampaikan replika sumbangansumbangan naik taraf dan peralatan baik pulih fasiliti Surau di RETI, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“RANACO mengakui antara cabaran utama pelaksanaan kerjasama ini adalah penyelarasan keperluan industri, namun ia boleh diatasi melalui komunikasi berterusan antara kedua-dua pihak,” ujarnya.

Dalam jangka panjang, menurutnya, RANACO berharap kerjasama itu dapat diteruskan dan diperluaskan bagi merangkumi lebih banyak peluang penempatan kerja dan latihan industri, selain menarik minat lebih banyak syarikat untuk bekerjasama.

“Pendekatan TVET yang menekankan kemahiran praktikal, pembelajaran secara ‘hands-on’ serta pendedahan sebenar di tempat kerja amat penting dalam menyediakan pelajar menghadapi alam pekerjaan,” menurutnya.

Menurutnya, RANACO turut menegaskan penambahbaikan fasiliti dan sokongan yayasan memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran TVET yang kondusif sebelum pelajar ditempatkan ke industri.

Selain itu, tambahnya, syarikat yang menaja pendidikan atau menyumbang kepada Tabung Pembangunan Modal Insan dengan kerjasama YTAA layak menikmati pengecualian cukai sebanyak 100 peratus di bawah insentif yang ditetapkan.

“RANACO berharap MoU tersebut dapat memperkukuh pembangunan TVET serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri dan negara,” katanya. – Suara Timur

Ahad, Februari 01, 2026

Guru berdepan detik cemas kereta dipandu rempuh tapir

 

Guru berdepan detik cemas kereta dipandu rempuh tapir

01/02/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Seorang guru berdepan detik cemas selepas kereta yang dipandunya merempuh seekor tapir jantan seberat kira-kira 300 kilogram di kilometer 8, Jalan Bandar Al-Mukhtafi Bilah Shah, Dungun menuju ke Bandar Paka dekat Kampung Santong, di sini malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 malam tadi ketika kejadian mangsa berumur 49 tahun dalam perjalanan pulang ke ke rumahnya di Bandar Kerteh, Kemaman.

Sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Volkswagen dipandu mangsa dipercayai tidak sempat mengelak haiwan berkenaan yang sedang melintas jalan menuju hutan berhampiran.

KEADAAN tapir yang mati selepas dilanggar sebuah kereta di di kilometer 8, Jalan Bandar Al-Mukhtafi Bilah Shah, Dungun menuju ke Bandar Paka dekat Kampung Santong, Dungun, malam tadi.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Akibat rempuhan itu, tapir berkenaan dikatakan tercampak sejauh beberapa meter manakala kereta mangsa mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan.

Bagaimanapun, mangsa disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bangkai tapir berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Pada 24 Januari lalu seekor tapir seberat 200 kilogram mati dirempuh sebuah motosikal di Kilometer 320.5 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) selepas susur keluar Kerteh, Kemaman pada 1 pagi.

Dalam kemalangan itu penunggang motosikal berusia 19 tahun turut maut di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu. – Suara Timur

Tuntung ditemui mati tersangkut rawai di Sungai Kemaman

 

Tuntung ditemui mati tersangkut rawai di Sungai Kemaman

01/02/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Bangkai seekor tuntung sungai ditemui mati akibat tersangkut pada rawai yang digunakan untuk menangkap ikan di Sungai Kemaman dekat Kampung Pasir Gajah di sini Khamis lalu.

Pengasas Bersama merangkap Pengarah Eksekutif Persatuan Pemuliharaan Tuntung Malaysia (TCS) Dr. Chen Pelf Nyok berkata, bangkai tuntung jantan dewasa berusia antara 12 hingga 15 tahun ditemukan mati terapung di sungai tersebut pada 10.30 pagi.

Menurutnya pasukan penjaga tuntung TCS diketuai Pengurus Lapangan Dylan Wang
ke lokasi selepas menerima laporan daripada penduduk turut mendapati dua tali pancing juga tersangkut pada kaki dan leher tuntung seberat 18 kilogram (kg) dan berukuran 47 sentimeter (cm) panjang serta 37 cm lebar itu.

TALI pancing yang tersangkut pada pada kaki dan leher tuntung yang ditemui mati di Sungai Kemaman dekat Kampung Pasir Gajah, Kemaman.

“Tuntung yang terperangkap pada rawai sukar untuk timbul dan bernafas sehingga mengakibatkan kematian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata tuntung tersebut merupakan yang pertama ditemukan mati di sungai tersebut pada tahun ini.

“Kami sentiasa menjalankan tinjauan di Sungai Kemaman secara rutin untuk membersihkan peralatan menangkap ikan yang dibuang untuk mengelakkan kematian yang tidak wajar ini,” katanya. – Suara Timur

157 motosikal ditahan dalam Ops Samseng Jalanan

 

157 motosikal ditahan dalam Ops Samseng Jalanan

01/02/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN:  Sebanyak 157 buah motosikal ditahan selepas menjadikan beberapa jalan di bandar ini sebagai litar bagi melakukan aksi berbahaya dalam Ops Samseng Jalanan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, operasi yang bermula pada pukul 6 petang itu dilakukan hasil risikan serta aduan penduduk setempat yang terganggu dengan aktiviti kumpulan terbabit.

“Operasi dijalankan di Jalan Batu 49 hingga Lampu Isyarat Alor Tempoyak serta Jalan Lapangan Terbang Sura Hujung.

SEBAHAGIAN daripada motosikal yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Dungun.

“Sebanyak 157 motosikal ditahan membabitkan penunggang berusia antara 15 hingga 30-an dan sebanyak 259 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu berakhir pada pukul 2 pagi dan kesemua motosikal yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk tindakan lanjut.

Maizura berkata, antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada lesen memandu, pengubahsuaian struktur motosikal, penggunaan ekzos bising serta cukai jalan tamat tempoh.

“Polis akan terus mempergiat operasi seumpama ini bagi membendung aktiviti samseng jalanan serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan ketenteraman awam,” katanya. – Suara Timur