MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, Oktober 25, 2025

340 graduan UC TATI tamat pengajian diraikan

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seramai 340 graduan Kolej Universiti TATI (UC TATI) diraikan setelah berjaya menamatkan pengajian pada Majlis Konvokesyen Ke-25 UC TATI di Dewan Canselor kolej universiti itu, hari ini.

Graduan UC TATI tersebut menerima anugerah Ijazah Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Fakulti Komputer, Media dan Pengurusan Teknologi.

Antara yang mencuri perhatian pada majlis konvokesyen tahun ini ialah kisah seorang graduan dari Kemaman, Ahmad Bahauddin Kamal Baharin, 27, yang berdiri di atas pentas tanpa kehadiran kedua ibubapanya di sisi.

Ibunya, Allahyarham Wan Najmiah Wan Ali, meninggal dunia akibat penyakit cyst pada tahun 2019, manakala bapanya, Kamal Baharin Alias, meninggal dunia ketika beliau berusia 26 tahun.

Bagi Ahmad Bahauddin, hari konvokesyen ini menjadi saat paling bermakna dalam hidupnya dan menjadi satu penghormatan kepada pengorbanan kedua-dua arwah ibu bapanya dan bukti bahawa usaha gigih mampu mengatasi kehilangan.

AHMAD Bahauddin Kamal Baharin menerima Anugerah Graduan Terbaik Program Bachelor of Manufacturing Engineering Technology (Tooling) With Honours pada Majlis Konvokesyen Ke-25 UC TATI, Kemaman, hari ini.  –  SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau yang pernah menuntut di pondok sejak usia 15 tahun, kini berhasrat untuk menceburi bidang keusahawanan sebagai langkah untuk berdikari dan menyumbang kembali kepada masyarakat.

Ketika ditemui Suara Timur, Ahmad Bahauddin berkata, walaupun pernah bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran di universiti lain, namun keadaan memaksanya memilih UC TATI kerana kesihatan Allahyarham bapanya merosot yang memerlukan perhatian keluarga.

“Alhamdulillah UC TATI merupakan salah satu universiti yang terdekat dengan kediaman keluarga dan memudahkan beliau berulang alik dari rumah ke tempat belajar.

“Bagi saya modul pembelajaran di semua universiti hampir sama sahaja, ia bergantung kepada bidang apa yang kita ambil,” katanya.

Ahmad Bahauddin yang merupakan penerima Anugerah Graduan Terbaik Program Bachelor of Manufacturing Engineering Technology (Tooling) With Honours berkata, di UC TATI semua tenaga pengajar baik baik belaka dan sering memberi tunjuk ajar bila diperlukan tanpa jemu.

AHMAD Bahauddin Kamal Baharin bergambar bersama  keluarga selepas menerima Anugerah Graduan Terbaik Program Bachelor of Manufacturing Engineering Technology (Tooling) With Honours pada  Majlis Konvokesyen Ke-25 UC TATI, Kijal, Keamaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Dari segi pasaran kerja, UC TATI banyak melahirkan graduan yang berkualiti tinggi dan ketika pratikal dengan sebuah syarikat swasta, saya diberi tanggungjawab memimpin rakan sebaya dalam mengendalikan projek,” katanya.

Beliau yang kini berkerja sebagai Project Engineer di syarikat di Kuala Lumpr dan kini adiknya, Afiqah Badriah mengikuti jejak  menyambung pelajaran di UC TATI sejak tahun lepas.

Bagi Ahmad Bahauddin, kejayaan ini bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi juga warisan kasih dan semangat kedua ibu bapanya yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dalam setiap langkahnya.

Sementara itu, Rektor UC TATI, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid, dalam ucapannya menegaskan, Majlis Konvokesyen Ke-25 ini bukan sekadar pengiktirafan akademik, tetapi juga simbol kepada ketabahan dan semangat pelajar menghadapi cabaran dalam mencapai kejayaan.

“Kisah seperti Ahmad Bahauddin membuktikan bahawa pendidikan bukan hanya tentang pencapaian akademik, tetapi juga tentang membentuk jati diri, ketahanan emosi dan semangat untuk berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut menambah, UC TATI terus komited melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri dan negara.

“Graduan UC TATI merupakan aset penting kepada pembangunan negeri Terengganu dan Malaysia secara keseluruhan.

“Mereka adalah tenaga muda yang akan memacu kemajuan dalam bidang teknikal, keusahawanan dan sosial,” tambahnya.

Majlis yang dihadiri oleh keluarga, pensyarah dan warga universiti itu diakhiri dengan upacara simbolik pelontaran topi graduan melambangkan penutup perjalanan akademik dan permulaan kepada cabaran dunia sebenar.

Perasmian Majlis Konvokesyen Ke-25 UC TATI disempurnakan oleh Canselor UC TATI, Kamaluddin Abdul Rashid. – Suara Timur

300 peneroka Felda Neram Dua, Kemaman bimbang ancaman gajah liar

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kira-kira 300  keluarga peneroka di kawasan penempatan Felda Neram Dua, di sini bimbang dengan kehadiran sekumpulan gajah liar berkeliaran di sekitar kawasan kediaman mereka sejak dua hari lalu.

Menurut penduduk, kumpulan kira-kira empat ekor gajah liar itu turut memusnahkan tanaman penduduk dan kehadiran mamalia terrestrial itu terlalu hampir dengan rumah boleh mengancam keselamatan.

Seorang penduduk, Mohd Nawi Mohd Nor, berkata, pencerobohan gajah liar di kawasan kediaman itu merupakan pertama kali berlaku sejak mereka mula tinggal di Felda tersebut lebih 20 tahun lalu.

“Kumpulan haiwan liar itu mula dilihat bergerak masuk ke kawasan kebun dan menghampiri rumah penduduk pada tengah malam tadi.

Mohd Nawi Mohd Nor (tengah) menunjukan buah pisang  dirosakkan sekumpulan gajah liar di belakang rumahnya di Peringkat 3A, Felda Neram 2, Kemaman, semalam. –  SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Keadaan itu menyebabkan pelbagai jenis tanaman penduduk termasuk pokok pisang dan kelapa dimusnahkan haiwan berkenaan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sehubungan itu, tambahnya, beberapa penduduk mengambil inisiatif mengadakan kawalan pada waktu malam bagi menghalang haiwan liar itu berkeliaran lagi walaupun menyedari tindakan tersebut berisiko.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kehadiran gajah liar berkenaan.

Menurutnya, pihak Perhilitan kini sedang melakukan pemantauan dan telah mengambil tindakan kawalan di kawasan berkenaan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang. – Suara Timur

Pekebun maut motosikal ditunggangi rempuh kereta

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Seorang pekebun maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di kilometer 15 Jalan Al Mukltafi Billah Shah – Bandar Paka, berhampiran sebuah tapak pertandingan memancing berdekatan Bandar Ketengah Jaya di sini, petang semalam.

Dalam kejadian 6.45 petang itu, mangsa, Ibrahim Daud, 47, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Kerteh Enam di sini, selepas selesai kerja di ladang kelapa sawit miliknya.

KEADAAN motosikal ditunggangi Ibrahim Daud selepas merempuh sebuah kereta di kilometer 15 Jalan Al Mukltafi Billah Shah – Bandar Paka, berhampiran sebuah tapak pertandingan memancing berdekatan Bandar Ketengah Jaya, Dungun, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dikatakan tidak sempat mengelak dan melanggar sebuah kereta dari arah bertentangan yang sedang membelok masuk ke kolam memancing.

Akibat perlanggaran itu, mangsa dan motosikalnya terjatuh di atas jalan raya dan telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat dan urusan selanjutnya.

“Kes berkenaan akan disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – Suara Timur

Jumaat, Oktober 24, 2025

Pemandu lori maut motosikal RX-Z ditunggangi langgar kereta buat pusingan U

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang pemandu lori maut selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 5, Jalan Mak Chili – Ibok di persimpangan ke Taman Desa Solehah, Chukai, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11.33 pagi, mangsa Amirul Faizal Kamaruzzaman, 38, dari Kampung Tempurong di sini, maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada kepala.

Ketika kejadian, Amirul seorang pemandu lori dikatakan sedang dalam perjalanan dari Kampung Mak Chili ke Kampung Ibok.

ORANG ramai membantu mengangkat motosikal RX-Z milik Amirul Faizal Kamaruzzaman selepas terlibat dalam kenalangan di Kilometer 5, Jalan Mak Chili – Ibok di persimpangan ke Taman Desa Solehah, Chukai, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Sejurus tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun dalam perjalanan dari Desa Soleheh, Mak Chili menuju ke Bukit Kuang dikatakan ingin membuat pusingan U di persimpangan berkenaan.

Pada masa sama, sebuah motosikal Yamaha RX-Z ditunggangi mangsa di sebelah lorong kiri dikatakan telah melanggar bahagian pintu hadapan sebelah kanan kereta berkenaan.

Kejadian itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba sejurus selepas kemalangan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.

“Kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.  – Suara Timur

Khamis, Oktober 23, 2025

70 pelajar SMK Binjai, Kemaman sertai Kem Kesihatan Remaja

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seramai 70 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Binjai, di sini, menyertai Kem Kesihatan Remaja 2025 di sekolah itu, hari ini.

Program bertemakan ‘Sayangi Diri, Pilih Hidup Sihat’ anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Batu 2 ½, di sini, bertujuan melahirkan remaja yang berdaya tahan dan berilmu serta berupaya menjaga kesihatan diri dalam menyumbang kepada kesejahteraan pada masa hadapan.

Program yang mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman, Klinik Kesihatan Batu 2 ½ dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kemaman dirasmikan Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Wan Norsuriya Wan Mokhtar.

DARI kiri, hadapan, Dr Nurul Afidza Noor Allim, Wan Norsuriya Wan Mokhtar dan Sharifah Rohaya Syed Yahya hadir pada Kem Kesihatan Remaja 2025 di SMK Binjai, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Hadir sama, wakil Ketua Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Dr Nurul Afidza Noor Allim, Pengetua SMK Binjai, Sharifah Rohaya Syed Yahya dan wakil AADK Daerah Kemaman.

Program tersebut dibahagikan empat kumpulan bagi memudahkan penceramah memberi penerangan kepada pelajar.

Penerangan mengenai Kesihatan Mental dikendalikan oleh Pegawai Kaunselor Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Wan Ain Nadhirah Wan Aziz manakala Penyalahgunaan Substans, Bahaya Merokok dan Vape oleh Pegawai AADK Daerah Kemaman.

DR Norezzah Azlin Sofian
memberi penerangan mengenai Penyakit-Penyakit Kelamin dan Seksual Reproduktif kepada pelajar SMK Binjai pada Kem Kesihatan Remaja 2025 di Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Ceramah Penyakit-Penyakit Kelamin dan Seksual Reproduktif penerangan disampaikan oleh pegawai Unit Kawalan Penyakit-Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Dr Norezzah Azlin Sofian dan Pemakanan Yang Sihat disampaikan oleh Pegawai Sains Pemakanan, PKD Kemaman, Nurul Asyikin Osman dan Muhamad Nazrul Fahmi Noordin.

Wan Norsuriya berkata, Panel Penasihat Klinik Kesihatan Batu 2 ½ merupakan wakil komuniti secara sukarela mewujudkan saluran dua hala di antara masyarakat dan klinik kesihatan bagi mencapai matlamat kesihatan untuk semua.

SEBAHAGIAN daripada pelajar yang menyertai Kem Kesihatan Remaja 2025 di SMK Binjai, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurutnya, setiap tahun panel penasihat akan mengadakan program seperti saringan kesihatan, ceramah, bengkel kesihatan dan sebagainya di dalam kawasan operasi klinik.

“Memandangkan tahun ini masalah remaja sering diperkatakan, justeru itu kami memilih untuk mengadakan Kem Kesihatan Remaja.

“Remaja merupakan aset penting negara yang bakal memimpin masa hadapan. Mereka juga terdedah dengan pengaruh negatif yang mana ia boleh membuat keputusan yang boleh merosakkan diri dan mental,” katanya.

PEGAWAI Kaunselor Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Kemaman, Wan Ain Nadhirah Wan Aziz.

Sementara itu Pengetua SMK Binjai Kemaman, Sharifah Rohaya Syed Yahya berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Panel Penasihat Klinik Kesihatan Batu 2 ½ dan Klinik Kesihatan Batu 2 ½  memilih SMK Binjai bagi menjayakan program ini.

“Program hari ini banyak membantu pelajar dari segi pemakanan yang sihat, bahaya merokok dan dadah. Maklumat yang diperolehi hari ini merupakan ilmu amat memberi manfaat kepada pelajar,” ujarnya. – Suara Timur

Isnin, Oktober 20, 2025

Sambutan Deepavali di Kampung Jabor meriah

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Sambutan Deepavali dalam kalangan masyarakat India di Kampung Jabor, Perasing dekat sini meriah, setiap tahun kerana turut diraikan kaum-kaum lain di perkampungan tersebut.

Wartawan Suara Timur yang berkunjung ke kampung berkenaan hati ini berpeluang melihat sendiri kemeriahan dan semangat perpaduan kaum sempena sambutan perayaan Deepavali.

Ketua Masyarakat India kampung berkenaan, Siva Kumar a/l Sri Raman berkata, beliau berbangga menerima ramai tetamu pelbagai kaum pada sambutan Deepavali ini dan sekaligus membuktikan semangat perpaduan yang tinggi kekal dipertahankan masyarakat kampung ini.

SIVA  Kumar a/l Sri Raman bersama keluarga sempena sambutan Deepavali di kediaman mereka di Taman Perasing Jaya, Jabor, Kemaman,  hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurutnya, semangat tersebut sekali gus membuktikan usaha kerajaan untuk mewujudkan suasana perpaduan pelbagai kaum berjaya diamalkan di kampung berkenaan.

“Saya sukalah sambut Deepavali sini, sebab pelbagai kaum datang rumah saya, dia datang makan muruku, tosai, macam-macam, so saya sukalah, dengan rakan-rakan saya, jiran-jiran saya pun, datang semua, hari ni YB pun datang, kawan-kawan lama saya semua datang, terima kasihlah merayakan hari Deepavali,” katanya.

SIVA  Kumar a/l Sri Raman menyambut jiran yang datang meraikan hari Deepavali sempena sambutan Deepavali di kediaman mereka di Taman Perasing Jaya, Jabor, Kemaman, hari ini.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam dirumahnya di Taman Perasing Jaya, di sini, hari ini.

Siva Kumar menambah, beliau berharap semangat perpaduan antara penduduk di kampung tersebut akan terus dapat dikekalkan sehingga ke anak cucu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata, beliau bangga melihat sambutan perayaan Deepavali di kawasan berkenaan yang sentiasa meriah setiap tahun.

MOHD Hafiz Adam (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Siva Kumar a/l Sri Raman sempena sambutan Deepavali di kediaman Siva Kumar di Taman Perasing Jaya, Jabor, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Semangat perpaduan dan kerjasama di antara masyarakat berbilang kaum khususnya di Malaysia mestilah diteruskan dan dikekalkan kerana melambangkan semangat Malaysia yang sebenarnya,” katanya.

Menurut Hafiz, kepimpinan ditunjukkan ketua masyarakat kaum India, Siva Kumar ternyata dapat menyatukan pelbagai kaum di kampung berkenaan dengan satu semangat perpaduan tinggi. 

Seorang wakil wanita masyarakat India, Thurgaashine a/p Visvanathan berkata, dia bangga melihat ramai tetamu pelbagai kaum yang datang ke rumah mereka untuk sama-sama menyambut perayaan Deepavali.

Thurgaashine a/p Visvanathan (dua dari kanan) bersama ahli keluarga sempena sambutan Deepavali di kediamannya di Taman Perasing Jaya, Jabor disini hari ini.

“Selamat Deepavali, hari ni kami menyambut perayaan Deepavali dan rumah kami ramai tetamu datang pelbagai kaum seperti Cina, Melayu dan kami sangat gembira,” ujarnya.

Sementara itu, tinjauan Suara Timur difahamkan lebih 300 penduduk pelbagai kaum akan menyambut Tahun Baharu Cina dan Deepavali bersama-sama dengan semangat perpaduan yang begitu tinggi. – Suara Timur

Ahad, Oktober 19, 2025

APM hantar warg emas cedera terjatuh di Hentian Kijal ke Hospital Kemaman

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kemaman bertindak pantas menghantar seorang warga emas yang cedera akibat terjatuh di Hentian Sebelah Kijal Arah Timur untuk menjalani rawatan ke Hospital Kemaman di sini, hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kemaman, Kapten (PA) Mohd Suhaimi Awang @ Muhammad berkata, sepasukan empat anggota lain lain pangkat (LLP) bersama sebuah ambulan bergegas ke lokasi yang terletak 26.5 kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) sebaik menerima panggilan kecemasan daripada MERS 999 (Terengganu) pada pukul 10.02 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota dimaklumkan pengadu bahawa mangsa, seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun yang mengalami sakit kepala dan belakang.

WARGA emas yang terjatuh di Hentian Sebelah Kijal Arah Timur ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan.

Menurut Mohd Suhaimi, mangsa bersama tiga orang keluarga dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Dungun, Terengganu dari Kampung Balok, Kuantan, Pahang terjatuh di dalam bilik air Hentian Sebelah Kijal Arah Timur.

“Akibat kemalangan tersebut mangsa mengalami sakit kepala, belakang, kepala bengkak.

ANGGOTA APM memimpin warga emas yang  terjatuh di Hentian Sebelah Kijal Arah Timur untuk menaiki ambulans sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman.

“Anggota kita terus melakukan pemeriksaan terhadap mangsa sebelum menghantarnya ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Suara Timur, hari ini.

Katanya, mangsa diserahkan ke Unit Kecemasa Hospital Kemaman pada pukul 11.02 pagi. – Suara Timur

Budak 12 tahun, ibu saudara lemas di Pantai Penunjuk

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : Kegembiraan sebuah keluarga yang berkelah di Pantai Penunjuk Kijal, di sini, bertukar tragedi apabila dua daripada ahli keluarga itu lemas ketika mandi di pantai itu, petang tadi.

Mangsa yang berusia 39 tahun, berasal dari Jitra, Kedah, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 5.42 petang di Hospital Kemaman, manakala anak saudaranya yang berusia 12 tahun, berasal dari Ampang, Selangor disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Kijal, kira-kira pukul 5.23 petang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa mandi di pantai itu bersama lima lagi ahli keluarga mereka.

AHLI keluarga mangsa lemas sedang menunggu bedah siasat di pekarangan Unit Forensik Hospital Kemaman, malam ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Kejadian dipercayai berlaku ketika mereka mandi, tiba-tiba mereka telah ditarik ombak ke tempat yang lebih dalam menyebabkan lima daripada mereka hampir lemas.

“Bagaimanapun, mereka berjaya diselamatkan ahli keluarga dan orang awam yang berada di lokasi kejadian,” katanya.

Mohd. Rozi berkata, bagaimanapun dua daripada mereka telah disahkan meninggal dunia selepas beberapa jam menerima rawatan.

“Kedua-dua mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman, untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, salah seorang keluarga mangsa memberitahu Suara Timur, jenazah kedua-dua mangsa akan dibawa pulang dan dikebumikan di Jitra, Kedah. – Suara Timur