MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Rabu, Mac 18, 2026

Pengusaha lemang Kijal diingat jaga kualiti, elak cemar imej Terengganu

 

Pengusaha lemang Kijal diingat jaga kualiti, elak cemar imej Terengganu

18/03/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Pengusaha lemang di Kijal dekat sini diingatkan supaya sentiasa menjaga kualiti produk bagi memastikan kelangsungan industri berkenaan serta memelihara imej negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, lemang Kijal bukan sahaja menjadi identiti Kijal dan Kemaman, malah merupakan antara ikon makanan tradisi negeri itu yang semakin dikenali sehingga ke Kuala Lumpur.

“Justeru, kualiti perlu sentiasa dipelihara agar pelanggan berpuas hati. Saya tidak mahu melihat komen negatif mengenai lemang Kijal di media sosial kerana ia secara tidak langsung boleh menjejaskan dan membunuh industri ini,” katanya.

RAZALI  Idris menandatangan plak perasmian pembukaan Gerai Wilayah Lemang Kijal Arah Utara di Kijal, Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar dan Perasmian Pembukaan Gerai Wilayah Lemang Kijal Arah Utara di hadapan stesen minyak Shell, Kampung Bukit Anak Dara, di sini, petang semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Hajijan; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Zuwislan Awang; serta Pengerusi Persatuan Lemang Kijal, Khazalina Khalid.

Sebanyak 16 gerai baharu dibina di tapak baharu yang dikenali Wilayah Lemang Kijal yang dilengkapi pelbagai kemudahan untuk keselesaan peniaga dan pelanggan.

RAZALI Idris melawat salah sebuah gerai me jual lemang selepas merasmikan pembukaan Gerai Wilayah Lemang Kijal Arah Utara di Kijal, Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Pembinaan gerai baharu itu yang terletak tidak jauh dari tapak gerai lama itu bernilai RM570,000 yang dibayai MPK dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.

Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata, lemang Kijal merupakan produk warisan turun-temurun yang tersenarai sebagai antara makanan Malaysia dan perlu dipelihara keasliannya.

Selain itu, beliau berkata, sebarang pengubahsuaian gerai baharu itu perlu mendapat kebenaran MPK terlebih dahulu bagi memastikan keseragaman dan keselamatan.

RAZALI Idris berselfie bersama peniaga gerai lemang di Wilayah Lemang Kijal Arah Utara di Kijal, Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Mengulas pembangunan gerai, Razali berkata, pembinaan baharu dilaksanakan bagi menggantikan lokasi lama yang berisiko tinggi kerana terlalu hampir dengan jalan raya.

“Pemindahan ini mengambil masa selepas beberapa siri perbincangan dengan pengusaha, namun akhirnya berjaya direalisasikan dengan reka bentuk serta kemudahan infrastruktur yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, kerja penurapan bitumen akan dilaksanakan selepas struktur tanah benar-benar stabil bagi mengelakkan pemendapan dan masalah air bertakung.

DERETAN gerai menjual lemang di Wilayah Lemang Kijal Arah Utara di Kijal, Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Selain itu, menurutnya, pada masa ini, pengusaha tidak dikenakan sewa sehingga Mei, manakala bayaran sewa akan bermula Jun dengan kadar minimum sebelum semakan semula selepas tempoh tiga tahun.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebuah lagi  projek Gerai Lemang Kijal Wilayah Selatan akan dibangunkan dalam masa terdekat berhampiran simpang ke Universiti Kolej TATI.

Sementara itu, peniaga lemang terlibat pula menarik nafas lega apabila dapat berniaga dengan lebih selamat dan selesa di Wilayah Lemang Kijal Zon Arah Utara itu.

RAZALI Idris menyampaikan replika kunci gerai lemang kepada Khazalina Khalid pada majlis perasmian pembukaan Gerai Wilayah Lemang Kijal Arah Utara di Kijal, Kemaman, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Pengerusi Persatuan Lemang Kijal, Khazalina Khalid berkata, sebelum ini mereka sering berasa bimbang kerana gerai terletak di tepi jalan dan dikaitkan dengan risiko kemalangan.

“Dulu setiap kali berlaku kemalangan, kami rasa serba salah kerana orang mengaitkannya dengan gerai lemang yang boleh mengganggu tumpuan pemandu.

“Sekarang kami rasa lebih selamat dan tenang untuk berniaga kerana susun atur gerai yang lebih kemas serta jaraknya lebih jauh dari jalan raya, sekali gus memudahkan pelanggan untuk meletak kenderaan,” jelasnya. – Suara Timur

Selasa, Mac 17, 2026

Tanah Rancangan FELDA Jerangau bermandikan cahaya ‘Lip Lap Raya’

 

Tanah Rancangan FELDA Jerangau bermandikan cahaya ‘Lip Lap Raya’

17/03/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN:  Kawasan Tanah Rancangan (FELDA) Jerangau di sini bermandikan cahaya pada program  ‘Lip Lap Raya FELDA’
bersempena ‘Malam Tujuh Likur’ dan persediaan menyambut Hari Hari Aidilfitri malam tadi.

Ribuan warga FELDA tersebut keluar beramai-ramai seusai solat sunat Terawih begitu teruja apabila menyaksikan kemeriahan lampu hiasan berwarna-warni dan pelita raya menghiasi kampung mereka.

Program  ‘Lip Lap Raya FELDA’ itu merupakan kali pertama diadakan di kawasan mereka sejak mula mendiami tanah rancangan itu lebih enam puluh tahun lalu.

Program hasil cetusan idea pengurusan FELDA bersama penduduk serta beberapa persatuan tanah rancangan itu dianjurkan bagi memeriahkan suasana sambutan Aidilfitri pada tahun ini.     

KAWASAN FELDA Jerangau diterangi cahaya lampu hiasan dan pelita raya sempena program Lip Lap Raya FELDA.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Penempatan penduduk FELDA Jerangau dibahagikan dengan enam zon itu bergerak melalui komuniti untuk menghiasi kawasan rumah masing-masing dengan memasang lampu lip-lap dan pelita raya.

Sementara itu, tinjauan menyaksikan penduduk begitu teruja melihat keceriaan dan kemeriahan penempatan mereka dengan kilauan cahaya daripada lampu lip-lap berwarna-warni dan pelita raya.

BEBERAPA aktiviti sampingan diadakan sempena sempena program Lip Lap Raya FELDA.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Mereka amat berbangga melihat kejayaan program yang julung-julung kali diadakan itu yang mendapat sokongan dan sambutan serta kerjasama daripada pelbagai pihak.

Seorang wakil penduduk, Wan Mohd Rashid Wan Ismail berkata, selaku ketua peneroka FELDA berkenaan beliau berbangga melihat penyatuan penduduk dan komuniti di situ.

Menurutnya, semangat kerjasama yang ditunjukkan warga FELDA berkenaan amat tinggi demi menjayakan program berkenaan tanpa mengira fahaman politik, kedudukan dan usia mereka.

WAN MOHD RASHID WAN ISMAIL

“Saya kagum dengan semangat kerjasama komuiti FELDA Jerangau tanpa mengira peringkat umur bergotong-royong menjayakan program Lip Lap Raya FELDA ini,” katanya.

Pengerusi Gerakan Persatuan Wanita (GPW) FELDA, Mahsuri Abdul Ghani pula berkata, setiap ahli dan warga Felda berkenaan memberikan kerjasama terbaik bagi merealisasikan program itu sekaligus membuktikan semangat perpaduan dalam kalangan mereka begitu tinggi.

MAHSURI ABDUL GHANI

Menurutnya, kebanyakannya anak FELDA yang berada di luar tanah rancangan itu turut menyumbang sumber kewangan bagi melihat kejayaan program ‘Lip-Lap Raya FELDA’ itu.

“Penganjuran program ini cukup meriah walaupun pertama diadakan di FELDA Jerangau ini” katanya.

Seorang penduduk, Maimun Manaf, amat terharu dan teruja apabila setiap kali melihat perpaduan dan semangat kerjasama ditunjukkan warga FELDA itu dalam menjalankan pelbagai aktiviti.

MAIMUN MANAF

Maimun berkata, kejayaan program, ‘Lip-Lap FELDA Raya’ itu membuktikan penyatuan dan perpaduan warga FELDA berkenaan dan berharap ianya dapat dikekal dan diteruskan generasi baharu.
  
“Program ini dapat merapatkan hubungan dalam kalangan peneroka apabila mereka saling bersatu padu memberi pandangan dan tenaga masing-masing,” ujarnya.

Wakil majlis belia FELDA berkenaan, Nurul Sakinah Majid berkata, kemeriahan dan kejayaan program malam itu menunjukkan perpaduan seluruh warga tanah rancangan itu khususnya anak-anak muda yang sentiasa memberikan komitmen terbaik dan ianya wajar diteruskan.

NURUL SAKINAH MAJID

“Saya sebagai wakil belia daripada FELDA, berharap agar program pihak FELDA ini akan dapat teruskan supaya kita dapat melahirkan generasi-generasi yang sentiasa bersatu padu dalam menjayakan program yang dirancang apa FELDA,” ujarnya.

Seorang wakil peneroka, Ramli Ngah, berkata beliau bangga dengan kesungguhan ditunjukkan warga FELDA itu yang begitu gigih membuat persiapan seperti membina replika, memasang lampu hiasan dan pelita raya bagi memastikan kediaman mereka cantik dan ceria.

RAMLI NGAH

“Walaupun program diadakan di bulan Ramadan tetapi penduduk tetap bersemangat memasang lampu hiasan dan pelita sebagai tanda sokongan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus FELDA Jerangau, Mohd Nasir Shamsudin berkata, program hasil inisiatif pengurusan FELDA bersama penduduk itu dilihat berjaya dan perlu diteruskan pada masa akan datang.

MOJD NASIR SHAMSUDIN

Menurutnya, beliau bangga dan terharu melihat kerjasama dan kesungguhan kerja komuniti FELDA berkenaan termasuk anak-anak FELDA yang berada di luar yang sentiasa membantu.

“Turut diadakan pertandingan keceriaan antara zon, aktiviti memasak, pertunjukan silat dan juga pelbagai aktiviti lain bagi menambah lagi  keceriaan dan kemeriahan ‘Malam Tujuh Likur itu’. – Suara Timur

Dua pemancing hanyut 11 jam enjin bot rosak di perairan Kemaman

 

Dua pemancing hanyut 11 jam enjin bot rosak di perairan Kemaman

17/03/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN:  Dua pemancing berdepan detik mencemaskan apabila hanyut hampir 11 jam di perairan Kemaman selepas bot yang dinaiki mengalami kerosakan enjin, sebelum berjaya diselamatkan awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat kecemasan kira-kira pukul 12.30 tengah malam sebelum operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) segera digerakkan.

“Aset Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi pada pukul 1.18 pagi dan hasil pencarian, kedua-dua mangsa bersama bot berjaya ditemui serta diselamatkan kira-kira pukul 3.00 pagi,” katanya.

Mangsa dikenali sebagai Abdul Hafiz Imran Abd Latif, 39, dari Dungun dan Ahmad Arif Tajudin Rosli, 29, dari Pengkalan Nelayan Paka.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dilaporkan keluar ke laut untuk aktiviti memancing sebelum bot dinaiki mengalami kerosakan pada kipas enjin kira-kira pukul 4.00 petang semalam.

“Keadaan itu menyebabkan bot tidak dapat bergerak dan hanyut dibawa arus laut,” katanya.

Beliau berkata, mangsa hanya berjaya mendapatkan liputan talian telefon sekitar pukul 9.00 malam sebelum menghubungi ahli keluarga bagi memaklumkan situasi mereka.

Susulan itu, ahli keluarga mangsa menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan, sekali gus mencetuskan operasi CARILAMAT oleh Maritim Malaysia.

Abdul Halim berkata, operasi pencarian mengambil sedikit masa berikutan kedudukan bot mangsa telah berubah dari lokasi asal akibat faktor arus laut.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan komuniti nelayan dan pemancing supaya sentiasa memastikan bot berada dalam keadaan baik, membawa peralatan keselamatan mencukupi serta memaklumkan pergerakan kepada ahli keluarga sebelum keluar ke laut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Suara Timur