Penyelam dikhuatiri hilang di perairan Pulau Tenggol belum ditemukan
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) seorang penyelam yang dikhuatiri hilang di perairan Pulau Tenggol, di sini, Jumaat lalu yang memasuki hari kedua masih belum menemukan mangsa setakat petang Ahad
Mangsa, Tam Peng Hoong, 66, dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti selaman dan kali terakhir dilihat memakai pakaian penyelam berwarna gelap.
Operasi CARILAMAT melibatkan pelbagai agensi yang diselaraskan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan penggunaan sebuah bot peronda PERKASA 49 bersama lima kru dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut terlibat menggunakan bot peronda PSC 25 bersama empat kru.
Selain itu, bantuan daripada komuniti penyelam turut diteruskan melibatkan Tenggol Coral Beach Resort (15 penyelam), Tenggol Dive Buddy Dungun (enam penyelam) dan Ocean Dream Dungun (enam penyelam).
“Sehingga kini, tiada sebarang petunjuk baharu atau penemuan mangsa dilaporkan. Operasi pencarian terus dipergiatkan dengan tumpuan di sekitar lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang serta kawasan perairan berhampiran,” menurut kenyataan dikeluarkan Maritim Malaysia.
Bagaimanapun, operasi ditangguhkan pada petang Ahad dan akan disambung semula pada Isnin.
Maritim Malaysia memohon orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu bagi melancarkan operasi pencarian dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 013-7464357. – Suara Timur


Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.