Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Para nelayan di Terengganu menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang memberikan subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) kepada mereka sejak awal bulan ini.
Mereka amat gembira kerana selain telah mendapat subsidi bahan api nelayan berharga RM1.65 sen seliter melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan, kini diberikan pula subsidi BUDI95 dengan harga RM1.99 sen seliter.
Mereka berasa bertuah kerana mendapat dua subsidi sekaligus yang dapat meringankan beban tanggungan mereka dalam menjalani rutin harian menangkap ikan di laut dan urusan seharian lain.
Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu, Mat Yassin Mohamad berkata, melalui dua subsidi itu ianya membuktikan keperihatinan kerajaan dalam membantu meringankan para nelayan.
“Terima kasihlah kepada pihak Kerajaan Madani yang pertama sekali subsidi BUDI95 yang diberikan 300 liter sebulan untuk kegunaan rakyat.
“Bagi nelayan, mereka ada dua subsidi satu subsidi kerajaan untuk nelayan berharga RM1.65 untuk bot. Jadi setakat ni kita dalam proses orang kata kemas kini balik supaya ia tidak bertindih antara BUDI95 dengan subsidi yang diberikan kerajaan sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada Program Rahmah Mesra Madani Bersama Nelayan Dungun di sini, hari ini
Mat Yassin yang juga Pengerusi Persatuan Nelayan Dungun berkata, pihaknya dan LKIM sedang giat mengemas kini data bagi memastikan semua nelayan yang layak mendapat subsidi BUDI95.
Sementara itu, seorang pengusaha bot nelayan, Mohd Muslim Hashim berkata, langkah kerajaan menyalurkan subsidi BUDI95, selain subsidi sedia ada membuktikan kerajaan memahami keperluan para nelayan.
“Terima kasih kepada kerajaan Madani yang telah memberikan bantuan subsidi petrol BUDI95 kepada kami golongan nelayan.
“Alhamdulillah sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami semua. Selain itu kami juga ingin mencadangkan supaya pihak kerajaan boleh mengkaji semula bantuan minyak kepada bot-bot kecil,” katanya.
Seorang lagi nelayan, Alaudin Ali, pula menyambut baik dan berterima kasih kepada kerajaan yang turut memberikan subsidi petrol BUDI95 itu sebagai tambahan kepada subsidi nelayan sedia ada yang dilihat dapat meringankan beban kos operasi harian nelayan.
“Inisiatif yang diberikan kerajaan melalui PMX ini dapat meringankan bebanan, kedua-dua subsidi ini memberi melegakan warga nelayan bukan setakat di Dungun sahaja tetapi di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Serawak,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, sehingga kini terdapat seramai 17,900 nelayan di seluruh negara telah mendapat BUDI95.
Menurut Muhammad Faiz, para nelayan perlu bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang telah memberikan dua subsidi secara serentak dan perlu menggunakannya secara berintegriti.
“Yang wajib mereka dapat mengikut kuota RM1.65 tetapi mengikut kuota RM1.99 mereka dapat 300 liter dahulu dan selebihnya nanti baharulah mereka membeli mengikut harga pasaran.
“Jadi tidak timbul sebenarnya para nelayan tidak mendapat subsidi minyak petrol itu tidak benar. Malah mereka mendapat dua manafaat iaitu subsidi asal dan juga subsidi tambahan mengikut pelarasan baharu secara bersasar ini,” jelasnya.
Menurutnya, dua subsidi itu dilihat amat mencukupi bagi menampung kos operasi para nelayan di laut serta kehidupan mereka. – Suara Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.