MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Jumaat, April 24, 2026

Kebakaran hutan jejas hampir 1,000 penduduk Kuala Abang

 

Kebakaran hutan jejas hampir 1,000 penduduk Kuala Abang

24/04/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Kira-kira 1,000 penduduk Kampung Baru, Kuala Abang dekat sini terjejas susulan kebakaran hutan yang dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak pagi semalam.

Kebakaran itu dilaporkan telah memusnahkan kira-kira 32 hektar kawasan hutan simpan bakau berhampiran kampung berkenaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Tinjauan di lokasi mendapati kepulan asap tebal menyelubungi kawasan sekitar sehingga menjejaskan jarak penglihatan dan mengganggu keselesaan penduduk.

ASAP tebal dari hutan yang terbakar di Kampung Baru, Kuala Abang, Dungin. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Keadaan itu turut memberi kesan kepada kesihatan penduduk, khususnya warga emas, kanak-kanak dan bayi yang berisiko mengalami masalah pernafasan serta komplikasi kesihatan lain.

Seorang penduduk, Hafsham Aksah berkata beberapa rumah di kawasan terjejas terpaksa dikosongkan sementara kerana penghuni tidak tahan dengan asap tebal.

HAFSHAM AKSAH

“Rumah saya memang tiada orang duduk buat masa ini, begitu juga beberapa rumah jiran kerana mereka berpindah sementara ke rumah saudara-mara,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohamad Shahrul Zamzuri Amri berkata keadaan itu amat membimbangkan terutama kepada keluarga yang mempunyai anak kecil.

MOHAMAD SHAHRUL ZAMZURI AMRI

“Asap ini memberi kesan kepada kesihatan, terutama bayi dan kanak-kanak, termasuk pelajar sekolah berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Sazlah Aksah berkata aktiviti harian keluarganya turut terjejas akibat keadaan jerebu yang semakin teruk.

SAZLAH AKSAH

“Memang terseksa dengan keadaan asap ini, tambahan pula saya mempunyai anak yang menghidap penyakit jantung dan seorang lagi masih kecil,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Yahaya Hanafi berkata cuaca panas dan berangin dikenal pasti sebagai faktor yang menyebabkan kebakaran mudah merebak.

Beliau berkata operasi pemadaman sedang giat dijalankan dan pihaknya menjangkakan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh kira-kira seminggu. – Suara Timur

Khamis, April 23, 2026

Dua beradik gembira terima kunci rumah baharu

 

Dua beradik gembira terima kunci rumah baharu

23/04/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kegembiraan jelas terpancar pada wajah dua keluarga adik-beradik di Kampung Tanah Lot, Binjai di sini apabila akhirnya dapat menarik nafas lega selepas menerima kunci rumah baharu yang lebih selesa untuk didiami hari ini.

Selepas menanti hampir dua tahun, pasangan adik-beradik Ramli Muda, 46, dan Kamaruddin Muda, 42, kini mampu memulakan lembaran baharu kehidupan selepas kediaman lama mereka musnah dalam satu kebakaran.

Penyerahan kunci rumah tersebut disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Terengganu, Datuk Haji Abdul Kahar Abdul Latif menerusi Program Rumah Kasih Ihsan, hasil inisiatif Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

ABDUL Kahar Abdul Latif (tengah) menyerahkan kunci rumah kepada Kamarudin Muda dan abangnya Ramli Muda sempena Program Rumah Kasih Ihsan sumbangan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) di Kampung Tanah Lot, Binjai, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Abdul Kahar berkata, pihaknya sentiasa komited memastikan kebajikan rakyat terus terbela melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif berteraskan nilai ihsan dan kesejahteraan.

“Projek Rumah Kasih Ihsan kategori bina baharu ini merupakan usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam menyediakan kediaman yang selesa dan selamat kepada golongan yang memerlukan, sekali gus mengembalikan sinar harapan kepada mereka yang diuji,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, bantuan seumpama itu bukan sahaja memberi perlindungan fizikal, malah turut menjadi pemangkin kepada kehidupan yang lebih stabil dan bermaruah bagi penerima.

Dalam majlis sama, beliau turut menyempurnakan Program Ziarah Syifa dengan menyampaikan sumbangan kepada Kamal Naufal Kamaruddin, 16, anak kepada salah seorang penerima rumah, yang mengalami kemalangan jalan raya pada Mac lalu.

ABDUL Kahar Abdul Latif (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada Kamal Naufal Kamaruddin pada program Ziarah Syifa sempena Program Rumah Kasih Ihsan sumbangan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) di Kampung Tanah Lot, Binjai, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Insiden tersebut menyebabkan remaja itu mengalami kecederaan serius termasuk kecederaan otak serta kehilangan penglihatan pada mata kiri.

Abdul Kahar berkata, inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan keluarga terlibat, malah sebagai tanda sokongan moral dan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat yang berdepan ujian hidup.

“Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan nilai kemanusiaan, ihsan dan keseimbangan dalam pembangunan negara,” katanya.

Beliau menegaskan, keprihatinan terhadap nasib rakyat, khususnya mereka yang berada dalam kesusahan, akan terus menjadi keutamaan agar tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan.


Tambahnya, kerajaan percaya kesejahteraan akyat merupakan asas penting kepada kemakmuran negara, justeru pelbagai program kebajikan akan terus diperkasa bagi memastikan rakyat dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa, selamat dan bermaruah. – Suara Timur

169 individu ditahan dalam Ops Perdana AADK

 

169 individu ditahan dalam Ops Perdana AADK

23/04/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Tiga orang warga emas adalah antara 169 individu yang ditahan dalam Ops Perdana Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Terengganu di tiga daerah di negeri ini bermula Sabtu lalu hingga hari ini.

Tiga warga emas terbabit masing-masing berumur antara 61 hingga 69 tahun ditahan bersama penagih lain di beberapa sarang penagihan dadah di Kemaman, Marang dan Setiu.

Pengarah AADK Terengganu, Arzmi Abdullah berkata, daerah Kemaman mencatatkan jumlah paling ramai jumlah penagih ditahan iaitu 65 orang sementara masing-masing 52 orang di Marang dan Setiu.

SEBAHAGIAN daripada penagih yang ditahan dalam Ops Perdana AADK Terengganu di Seri Bandi, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Jumlah tangkapan penagih pula bagi seluruh Terengganu adalah seramai 146 orang iaitu 142 lelaki dan empat wanita termasuk tiga beradik.

“Kesemua mereka akan didakwa di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan 1983) kerana positif ujian air kencing.

Arzmi berkata, purata tangkapan mengikut umur pula, 13-18 tahun (seorang), 19-40 (62 orang), 41-50 (57 orabg) dan 51-60 (23 orang) termasuk seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi.

ARZMI Abdullah (tiga dari kiri) bersama pegawai AADK yang menyertai
Operasi Perdana AADK Terengganu di Seri Bandi, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurut Arzmi, hasil semakan yang dilakukan AADK, seramai 132 orang penagih (90%) didapati menyalahguna methamphetamine manakala baki tujuh orang lagi mengambil heroin.

Katanya, operasi di tiga daerah itu membabitkan seramai 75 pegawai dan anggota yang telah berjaya melaksanakan tugas mereka dengan baik dan lancar.

DUA penagih yang ditahan dalam Ops Perdana AADK Terengganu di Seri Bandi, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Objektif utama Operasi Perdana ini adalah untuk membanteras serta mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang di kawasan dikenal pasti, di samping membersihkan lokasi yang menjadi sarang penagihan,” katanya.

Arzmi berkata AADK akan terus mempergiat operasi pengesanan dan penahanan terhadap individu terlibat bagi membantu mereka mendapatkan rawatan serta pemulihan yang sewajarnya. – Suara Timur

Isnin, April 20, 2026

FMS 2026: UC TATI bersedia cipta kejayaan dalam kejuruteraan automotif

 

FMS 2026: UC TATI bersedia cipta kejayaan dalam kejuruteraan automotif

20/04/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN : Universiti Kolej TATI (UC TATI) k bersedia mencipta kejayaan dalam dunia kejuruteraan automotif menerusi pertandingan Formula Student Malaysia (FMS) 2026 yang akan berlangsung  di Litar Dato Sagor, Perak pada 22 hingga 23 April ini.

FMS 2026 ini merupakan kesinambungan Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) yang diberhentikan sejak 10 tahun lalu.

Rektor UC TATI Profesor Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid berkata, UCTATI Racing Team (UTRT) tampil dengan dua jentera utama iaitu Red Shark dan Blue Shark yang dibangunkan sepenuhnya oleh pelajar pelbagai disiplin.

Rektor UC TATI, Profesor Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid yang mencuba jentera  dibangunkan pelajar bergambar bersama UC TATI Racing Team di UC TATI, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Kedua-dua jentera itu menjadi simbol keupayaan teknikal pelajar institusi berkenaan yang menggabungkan elemen reka bentuk, analisis aerodinamik (CFD), fabrikasi, pemasangan serta ujian prestasi dalam satu ekosistem pembangunan sebenar.

“Pendekatan “hands-on engineering” yang diterapkan dilihat selari dengan kehendak industri semasa yang menuntut integrasi antara kejuruteraan, inovasi dan keusahawanan, sekali gus memperkukuh kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran UC TATI Racing Team di UC TATI di sini hari ini.

DUA jentera yang dibangunkan pelajar UC TATI   untuk beraksi pada FMS 2026  di Litar Dato Sagor, Perak pada 22 hingga 23 April ini.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Dr. Hairul Azhar berkata, UTRT bukan nama asing dalam arena perlumbaan pelajar apabila mencatat kadar kejayaan 50 peratus dalam penyertaan terdahulu selain meraih beberapa kemenangan di litar seperti Melaka International Motorsport Circuit (MIMC),
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Sepang International Circuit (SIC) dan Kuantan.

Bagi edisi 2026, katanya, jentera Red Shark diketuai Muhammad Adam Alif Muhammad Zani dengan Che Hanif Haikal Che Mat sebagai pemandu, manakala Blue Shark diterajui Muhammad Redaniel Haqim Redzuan bersama pemandunya Eizzedin Afkar Azil Hizaq.

“Kedua-dua pasukan turut dibarisi pelajar daripada pelbagai bidang termasuk pembuatan, automotif, mekatronik, kimia, pengurusan perniagaan serta sains komputer,” katanya.

Rektor UC TATI Profesor Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid menyerahkan bendera UC TATI Racing Team pengurusan pasukan UC TATI. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau berkata, dari sudut teknikal, fokus pembangunan jentera tertumpu kepada peningkatan prestasi aerodinamik melalui analisis CFD, pengurangan berat bagi meningkatkan kelajuan, serta kestabilan dan kawalan optimum di litar, selain memastikan reka bentuk memenuhi piawaian pertandingan antarabangsa.

“Persiapan ke arah FMS 2026 telah melalui beberapa fasa rapi sejak tahun lalu merangkumi perancangan teknikal dan kewangan, pembangunan serta penambahbaikan jentera, selain latihan intensif dan ujian prestasi,” katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, UTRT meletakkan sasaran untuk muncul antara pencabar utama dalam kategori teknikal dan perlumbaan di samping memperkenalkan bakat kejuruteraan muda kepada industri serta mengukuhkan reputasi UC TATI sebagai institusi TVET kompetitif.

“Dengan kombinasi kepakaran teknikal, pengalaman pertandingan dan semangat berpasukan, Red Shark dan Blue Shark dijangka mampu memberi saingan sengit pada FMS 2026,” katanya. – Suara Timur