MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Rabu, April 15, 2026

Tompokan minyak cemari Pantai Teluk Kalong

 

Tompokan minyak cemari Pantai Teluk Kalong

15/04/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Penduduk yang tinggal berhampiran Pantai Teluk Kalong di sini bimbang dengan pencemaran dipercayai tompokan sisa-sisa minyak mencemari kawasan pantai peranginan itu.

Mereka risau tompokan sisa-sisa minyak tersebut bukan sahaja mencemari keindahan pantai berkenaan malah turut mengancam pelbagai hidupan laut.

Penduduk mendakwa, tompokan tumpahan sisa-sisa minyak itu mula dikesan kira-kira dua hari lalu dipercayai berpunca aripada kapal yang berlabuh di pelabuhan berhampiran pantai berkenaan.

Tinjauan di pantai berkenaan mendapati terdapat tompokan sisa-sisa minyak sepanjang kira-kira dua kilometer memenuhi kawasan pesisir pantai itu serta menghasilkan bau kurang selesa.

ANGGOTA JAS memantau pencemaran tompokan minyak menggunakan teknologi  dron di Pantai Teluk Kalong, Kemaman.

Beberapa nelayan pantai turut menemui pelbagai bangkai hidupan laut termasuk sotong dan ikan di sepanjang pantai itu dipercayai mati akibat pencemaran berkenaan.

Penduduk, Mohammad Hasban Khalid berkata, kawasan pantai peranginan itu telah dicemari sisa-sisa arang batu dan terbaharu sisa-sisa minyak dipercayai daripada kapal yang berlabuh berdekatan pantai ini.

“Pencemaran tersebut mengakibatkan hasil tangkapan nelayan pantai berkurangan apabila banyak ikan dan sotong telah mati dan pendapatan mereka terjejas,” katanya.

Penduduk, Mohd Noor Ali pula berkata,  pencemaran tompokan minyak itu menjejaskan kehadiran pengunjung di pantai tersebut untuk beriadah.

“Saya bimbang kehadiran pengunjung di pantai ini akan semakin berkurangan sekiranya kawasan ini sering diancam pencemaran,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Azrol Naim Rahim berkata, kebanyakan pengunjung gemar mandi di Pantai Teluk Kalong kerana airnya bersih sebelum ini.

Namun katanya, pencemaran tersebut menyebabkan pengunjung tidak selamat untuk mandi kerana bimbang air laut tercemar.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu, Hamzah Mohamad ketika dihubungi memaklumkan, sampel minyak berkenaan telahpun diambil bagi tujuan pengesanan dan analisis.

Menurut Hamzah, pihaknya akan bekerjasama dengan Pejabat Daerah Kemaman bagi menyelaras kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak di pantai berkenaan mengikut pelan tindakan ditetapkan.

Hamzah berkata, JAS sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak bertanggungjawab. – Suara Timur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.